Kisah Anjing
From: Sari Nande
Date: 2010/2/4
Subject: Kisah Anjing
To: Pengurus Laman <ebacaan114@gmail.com>
Salamun ‘alaikum,Para sahabat yang saya sayangi, semoga berbahagia selalu. Peristiwa semalam buat saya teringatkan KISAH ANJING. Saya suka menulis daripada bercerita kerana kebanyakan orang tidak sependapat dengan saya. Jika ditulis pembaca boleh memilih sama ada ingin meneruskan dan berfikir atau sebaliknya. Saya menulis pun untuk golongan seperti saya dengan harapan ia dapat menyuntik sekelumit kesegaran kpd minda yang kabut.
Pengalaman Hidup Seorang Muslimah VI
KISAH ANJING
Kisah Satu
Melihat User Administrator laptop saya yang dihiasi muka seekor anjing, remaja Cina itu terkejut.
“Aiya, awak orang Melayu pun boleh letak ini gambar, lo?”
“Comel, kan?” kata saya.
“Yalah… Emmm, tapi babi yang tak boleh kan? Orang Melayu tak boleh makan.” katanya.
“Semua orang pun tak boleh makan babi, ada sebab,” kata saya.
“Saya pernah tengok orang Melayu makan sup babi.” dia menambah.
“Bukan semua orang Melayu Islam. Orang Islam tak makan.” saya jelaskan,
“Eh, Melayu bukan Islam? Habis agama apa?” dia berhenti buat kerjanya.
“Tanya dialah…,” kata saya. Kami ketawa.
Kawan Melayu saya ketika melihat gambar User Admin saya berkata,
“Hah! takde gambar lain ke nak letak?”
Saya: Suka hati akulah, hak aku.
Dia tercabar: Kenapa tak letak gambar khinzir ke?
Saya: Sebab babi tu haram…
Dia memperli: Dagingnya yang haram dimakan…
Saya: Kau letaklah kalau kau suka, aku tak suka.
Kisah Dua
Sememangnya gambar anjing bermata kuyu itu comel. Wajahnya seiras muka Corie anjing mongrel kepunyaan kami dulu, awal 1970-an. Jika anda melihat telatah anjing, banyak yang dapat dipelajari. Setiap pagi Corie tidak pernah bersungut menghantar setiap orang ke pintu pagar. Lambaian suaranya masih terdengar hingga ke hujung simpang. Ketika pergi atau balik Corie akan meluru ke tengah jalan, jadi polis trafik menahan kereta supaya kami dapat melintas. Dia sanggup menggadai nyawa demi tuannya. Malangnya Corie tidak faham larangan kami dan itulah menyebabkan kematiannya, dilanggar kereta yang dipandu laju. Regular user of the road memang telah biasa dengan kehadirannya pada masa-masa tertentu setiap pagi dan petang, kami dapati mereka memandu dengan lebih perlahan. Ada juga yang menganggapnya lucu, atau kagum, daripada riak wajah mereka yang tersenyum dan melambai kepada kami.
Setiap kepulangan kami akan disambutnya dengan salakan riangnya, tanpa memilih kasih atau mengharap ganjaran. Kerana telah diajar sejak kecil dia tidak pernah masuk ke rumah atau cuba menjilat-jilat seperti anjing-anjing lain, tetapi cukup sekadar digaru belakang teling dan disapu kepalanya ketika dia menggesel-gesel ingin dimanja. Kemudian duduk di bawa redupan pohon rambutan menanti kepulangan yang lain. Dia tidak pernah meminta-minta makanan kerana telah faham masa makannya pagi dan jam sembilan malam. Waktu itu sepupu saya pulang dari kerjanya di kelab membawa makanan yang secukupnya. Kadang-kadang saya memberinya makan tulang potong berdaging yang dipanggang dan biskut sebagai snek. Tidurnya pula memadai di atas simen beralaskan kain buruk. Setiap bunyi dentingan pagar atau pintu telinganya akan bergerak dulu.
Seminggu sekali saya akan memandi dan membuang kutunya, menyikat dan membedaknya supaya dia sentiasa berbau wangi. Waktu petang abang akan membawanya berjalan-jalan di taman sambil berjogging. Hujung minggu Corie dan anak-anak saudara saya (2, 4 & 5 tahun) bermain berkejar-kejaran sambil yang tua melihat keriangan. Tanpa Corie rasanya kami tidak seseronok itu. Mereka kejar-mengejar dan merangkulnya dan berbaring di atas badannya dengan selesa.
Tiada pula jiran-jiran atau tetamu yang datang mengadu, kerana Corie pandai menjaga diri. Dia tidak menyalak atau menggesel dengan mereka. Tetapi dia akan memanggil kami jika ada tetamu yang datang.
Kami menangisi pemergiannya. Terasa seperti kehilangan salah seorang ahli keluarga yang disayang. Kami semadikan ia disudut taman. Hari-hari yang berlalu kemudiannya terasa sangat muram dan sepi. Kucing yang mengambil tempatnya tidak dapat menyamai karisma Corie.
Kisah Tiga
Beberapa bulan lepas berlaku perebutan jawatan di masjid setelah bertukar pucuk pimpinan negeri. Mereka terbahagi kepada tiga puak mengikut ideologi yang mereka sokong, dan atas pagar. Tapi itu semua tidak penting. Seminggu sebelum penamaan calon AJK masjid dibuat, dua ekor anjing telah masuk ke dalam dewan solat masjid tersebut. Mereka berebut pengalas kaki dari muka pintu dan membawanya ke atas sejadah imam di hadapan. Kuatnya pergelutan itu sehingga sejadah imam terkoyak. Memang pelik tetapi itulah kebenarannya. Ketua Kampung (KK) dan seorang rakan yang telah menyaksikan peristiwa itu hanya membiarkan kerana ingin melihat kesudahannya. Bagi KK (sahabat saya) itu adalah berupa suatu mesej simbolik dari Allah. Menyedari mereka diperhatikan kedua-dua ekor anjing itu berhenti bergaduh dan lari berekoran mengikut pintu masuk tadi.
Apabila cerita itu sampai ke telinga sebilangan kecil penduduk, mereka terus menolaknya sebagai cerita rekaan. Jika benar kenapa masjid tidak disamak? Tergamakkah membiarkan jemaah sembahyang di tempat yang telah tercemar. Siapakah yang akan menanggung dosanya. Begitulah mereka cuba mempertikaikan kewibawaan seorang KK yang baru dilantik oleh kerajaan baru.
Kisah Empat
Sebulan lepas seekor lagi anjing datang menompang tidur di bawah kerusi rumah saya di kampung. Hampir seminggu, paginya saya lihat ia sudah tiada. Agaknya ia sudah beransur sihat. Badannya dipenuhi tokak dan luka. Mungkin bekas disiram air panas. Pilu saya mendengar rintihannya. Malah itu bukanlah anjing yang pertama bertandang. Entah mengapa kucing, ayam, suka sangat berteduh di bawah rumah saya yang lapang dan terbuka itu. Ayam kepunyaan siapa agaknya, bertelur, menetas dan berlindung disudut tangga hinggalah anak-anaknya membesar. Kami berikan makan dan minum. Apabila dewasa mereka pergi dan tinggalkan sedikit baja.
Sesiapa yang datang akan berkata dengan jijik, “Kenapa tak dihalau anjing kurap tu?” Memang baunya agak meloyakan, tapi saya merasakan ia lebih selamat di situ. Bukan kerana kisah dongeng ‘seorang pelacur yang memberi minum seekor anjing, masuk syurga’. Tetapi saya berasa insaf dengan cerita tentang seorang sufi yang mengelak daripada terkena seekor anjing. Kononnya anjing itu berkata, “Kotor pada jubahmu masih boleh dibasuh untuk membersihkannya, tapi bagaimana dengan kekotoran di hatimu itu.” Walupun itu cerita karangan manusia ia masih boleh beri iktibar. Bagi saya menerima hakikat bahawa Tuhan tidak pernah menganggap anjing itu NAJIS, akan membuka hati manusia dan menerima bahawa anjing itu juga makhluk Allah yang ada hak di bumi-Nya.
Salam drp Putri Nande.
Salamun
alaikum,
Cerita anjing pulak dibawanya kali ini! Bagus, boleh jadi teladan. Terima kasih.
Lalu kami pun terpanggil untuk bercerita tentang anjing kepunyaan orang-orang Qur'an yang kami kenali. Antara mereka tinggal di ibu kota, di bandar sebuah negeri di Semenanjung, dan ada yang di kampung. Mereka semua tinggal di kawasan Melayu atau yang ramai Melayu.
Anjing mereka diberitakan tidak hidup lama kerana dibunuh, dengan dipukul hingga mati atau diracun. Suspek hanya satu, iaitu orang Melayu, yang bersifat kehaiwanannya lebih daripada anjing, kerana anjing tidak membunuh sesama sendiri. Paling jahat mereka lakukan ialah bergaduh sehingga luka, dan yang kalah akan lari. Yang lari pula tidak dikejar untuk ditamatkan riwayatnya. Demikianlah itu adalah yang lazim berlaku di kalangan kaum anjing di negara kita.
Kami termenung untuk membayangkan bagaimana mereka (manusia tersebut) memukul seekor anjing sampai mati, kalau tidak selepas mereka mengejar, mengepung dan memukulnya dengan kayu atau alat yang mampu membawa maut! Bayangkan senarionya!
Bagi yang diracun pula, usaha tidak begitu keluarkan peluh, hanya dengan sediakan makanan kesukaan anjing yang beracun, atau berisi jarum-jarum, dan membalingnya ke dalam kawasan rumah yang berpagar. Perbuatan itu boleh dilakukan dengan senyap sahaja, kecuali bunyi kesakitan anjing sebelum ajalnya tiba.
Kejadian-kejadian tersebut jadi peringatan. Sesiapa yang tinggal di kawasan Melayu atau kawasan ramai Melayu, dan ingin membela anjing, sambil ingin melantangkan ajaran al-Qur'an termasuk mengenai anjing, maka awasilah anjing itu sepanjang masa, sekiranya tidak mahu ia dianiayakan. Kalau tidak jangan bela. Kasihan akannya.
Tak kira di mana saudara tinggal, di bandaraya, atau di bandar, atau di kampung - nampaknya hati sesetengah atau kebanyakan orang Melayu dewasa ini serupa saja. Tidak seperti dulu, di kampung Melayu pun terdapat anjing-anjing dibela dengan baik, sama ada untuk tujuan tertentu seperti menjaga kebun, atau disayangi sahaja.
Salam.
Sila lihat Anjing pemberian Allah
5 Februari 2010
Halaman Utama
Terkini Perpustakaan
Artikel Bacaan
E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
Senarai Penulis English
Articles
Tulis kepada Pengurus
Laman