Rasul/Terjemahan yang dipilih

 


From: tj.tokjanggut
To: e_bacaan@yahoo.com
Sent: Monday, May 25, 2009 10:57:15 AM
Subject: Rasul


Salamun Alaikum,

 

Memanjangkan lagi sedikit mengenai Rasul. Saya perturunkan beberapa ayat berkenaan:

 

Dan Kami tidak utus seseorang Rasul melainkan dengan lisan (bahasa) kaumnya supaya dia menjelaskan kepada mereka; kemudian Allah sesatkan sesiapa Dia hendaki, dan Dia beri petunjuk kepada sesiapa Dia hendaki; dan Dia Yang Perkasa, Yang Bijaksana. (Al-Quran 14:4)

 

Sesungguhnya Kami telah bangkitkan dalam tiap-tiap umat seorang Rasul, "Sembahlah Allah, dan jauhilah Thagut." Kemudian antara mereka ada yang Allah beri petunjuk, dan antara mereka wajar dengan kesesatan. Maka mengembaralah di bumi, dan perhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang dustakan. (Al-Quran 16:36)

 

“Tiap-tiap umat ada Rasulnya; kemudian apabila Rasul mereka datang, dengan adil perkara diputuskan antara mereka, dan mereka tidak dizalimi.” (Al-Quran 10:47)

 

Persoalan saya di sini ialah macam mana kita nak tahu siapa RASUL di kalangan kita sekarang? Ramai yang muncul yang mengatakan membawa ajaran Quran tetapi pemahaman mereka mengenai Quran berbeza, sebagai contoh terjemahan mereka.

Sekian, semoga dapat panduan daripada Tuan.


Salamun alaikum,

Terima kasih kerana sudi menulis lagi. Kami akui pelbagai terjemahan yang wujud menimbulkan masalah, dan perpecahan, yang kami takut akan berlaku, dan berharap tidak akan berlaku. Sehubungan itu dua ayat dibuat peringatan:

"Itu adalah kerana Allah turunkan al-Kitab dengan yang benar, dan orang-orang yang berselisih mengenai al-Kitab adalah dalam perpecahan yang jauh." (2:176)

 

"Janganlah jadi seperti orang-orang yang berpecah belah, dan berselisih setelah bukti-bukti yang jelas datang kepada mereka; mereka itu, bagi mereka, azab yang besar," (3:105)

Masalah mungkin diterbitkan oleh kecenderungan penterjemah itu sendiri. Kami telah didatangi e-mel orang yang tidak bersetuju dengan terjemahan solat kami kerana katanya solat tidak ada di dalam al-Qur'an. Mungkin mereka tidak begitu cenderung untuk melakukannya. Atau, dengan orang yang mengatakan babi tidak ada di dalam al-Qur'an setelah melihat Mat Salleh memakannya tanpa sebarang masalah lalu cenderung ikut gaya hidup mereka. Dan beberapa lagi yang lain yang cenderung kepada sesuatu tabiat atau fahaman.

Kesemua itu berlaku kerana keangkuhan (termasuk pada diri kami, yang tidak terkecuali, sebab tidak sependapat) seperti kata Allah berbunyi,

"Hanya orang-orang yang diberikannya berselisih, setelah bukti-bukti yang jelas datang kepada mereka, kerana angkuh antara mereka; kemudian Allah beri petunjuk kepada orang-orang yang percaya pada yang benar mengenai apa yang dalamnya mereka selisihkan, dengan izin-Nya; dan Allah beri petunjuk kepada sesiapa Dia hendaki pada jalan lurus." (2:213)

Pun begitu, kami tidak mengatakan mereka bersalah. Kami ulangi, kami tidak mengatakan mereka bersalah. Kerana bukan hak kami untuk buat demikian -

"Dan dalam apa sahaja yang kamu selisihkan, putusannya kepada Allah. Demikianlah itulah Allah, Pemeliharaku; kepada-Nya aku tawakal, dan kepada-Nya aku berkesesalan." (42:10)

Bagi kami segala perbezaan pada terjemahan al-Qur'an yang wujud adalah sebagai ujian belaka. Ujian ditempoh dengan kesabaran dan doa. Maka berdoalah kepada Tuhan agar Dia tunjukkan yang mana satu akan memimpin ke jalan yang betul. Mudah-mudahan dengan berdoa Dia beri petunjuk, seperti disebut di dalam ayat 2:213 tadi.

Kami juga tidak menggalakkan membuang mana-mana terjemahan yang tidak disukai. Atau taksub dengan sesebuah terjemahan sahaja. Baca semua, dan pilih. Bagi orang yang lurus lagi ikhlas tentu hati kecilnya akan berkata-kata kepadanya. Apapun, jangan lupa memohon kepada Tuhan. Kekadang pohonan tersebut diiringi titisan air mata. Maklumlah kita semua takut buat kesilapan.

Kami tidak tahu sama ada seseorang Rasul yang dimaksudkan itu terdiri daripada orang yang menterjemah al-Qur'an. Sebenarnya kami rasa pelik jika ada orang (tidak semestinya penterjemah al-Qur'an) mengisytihar dirinya sebagai seorang Rasul, Rasul Allah! Kami telah menulis mengenai perkara yang sama suatu ketika dahulu, seperti di "Respon Anak Nabi Nuh & sambungan Kaumku di 25:30 -ramlan" yang kini kami petik berbunyi,

Yang kami cuba elak ialah pertanyaan yang menyusul seperti "Siapa Rasul atau Rasul-Rasul semasa dan sesudah zaman Nabi Muhammad?"

Kami mengelak sebab kami tidak tahu jawapannya. Sebenarnya, pertanyaan tersebut telah kami terima beberapa kali dahulu. Sebab ada orang mengaku dia Rasul utusan Tuhan hari ini. Kami hanya menjawab, "Sekiranya ada orang datang kepada kami hari ini dan berkata dia seorang Rasul, utusan Allah, maka kami akan menjawab 'Baguslah. Tapi kitab al-Qur'an sudah berada di sisi kami. Terima kasih.'"

Seperkara lagi ialah mengenai orang yang menyampaikan Mesej Allah. Orang itu tidak penting. Yang penting hanyalah mesej-mesejnya. Iktibar diambil daripada ayat berikut:

"Berkata pembesar-pembesar kaumnya yang sombong kepada orang-orang antara mereka yang percaya, yang dianggap orang-orang hina, 'Adakah kamu tahu bahawa Salleh seorang utusan daripada Pemeliharanya?' Mereka berkata, 'Pada apa yang dia diutus dengannya, kami adalah orang-orang mukmin.'" (7:75)

Pengikut-pengikut Salleh tidak menjawab, "Benar, Salleh seorang utusan Tuhan" setelah ditanya sama ada baginda seorang utusan Tuhan, tetapi mereka hanya berkata, "Pada apa yang dia diutus dengannya, kami adalah orang-orang mukmin."

Terima kasih. Salam.

26 Mei 2009

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman