Tuan Haji menghina Allah

 


From: zukeri ya
To: bacaan <e_bacaan@yahoo.com>
Sent: Tuesday, November 11, 2008 10:26:57 PM
Subject: Beberapa masalah.

Salam,

Saya telah ditanya oleh seorang kawan yang menggelarkan dirinya HAJI.

1)Soalannya ialah adakah Allah terkeliru sekejap kata nak hantar seorang khalipah di bumi tapi diletaknya di syurga tapi selepas lakukan kesilapan, akhirnya Adam disuruh turun ke bumi. Ini berdasarkan ayat-ayat di bawah:

2:30. Dan apabila Pemelihara kamu berkata kepada para malaikat, "Aku akan letak di bumi khalifah (pengganti)." Mereka berkata, "Adakah Engkau letak di dalamnya orang yang akan buat kerosakan di dalamnya dan tumpahkan darah, sedang kami sanjung dengan memuji-Mu dan panggil Engkau Suci?" Dia berkata, "Sesungguhnya Aku tahu apa yang kamu tidak tahu."

2:35. Dan Kami berkata, "Wahai Adam, tinggallah kamu dan isteri kamu di Taman (Jannah), dan makanlah daripadanya dengan senang di mana kamu hendak, tetapi jangan dekati pokok ini, supaya kamu tidak jadi orang-orang zalim."

 

2:38. Kami berkata, "Turunlah kamu keluar darinya, kesemuanya. Jika datang kepada kamu petunjuk daripada-Ku, dan sesiapa yang ikut petunjuk-Ku, tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih.

 

2)Kalau betul Allah bersifat pengasih dan penyayang kenapa Dia sanggup meredhai syaitan menggoda manusia?

 

3)Kenapa Tuhan telah berlaku tidak adil kerana ajar Adam dan tidak Malaikat tentang nama-nama kesemuanya.

 

4)Quran bukanlah sebuah kitab yang lengkap kerana hanya ceritakan bulan-bulan haram tetapi tidak namakan bulan-bulan tersebut sebagaimana menyuruh puasa pada bulan ramadan.

 

Pening saya nak menjawabnya, nak pandai-pandai jawab takut tak kena pulak. So di sini saya pohon jasa baik tuan untuk menjelaskan permasalahan ini supaya saya boleh jelas pada Haji ini.

 

Sekian semoga soalan-soalan ini tidak mengganggu tuan,

 

Salam

Salamun alaikum,

Terima kasih kerana sudi menulis lagi, untuk kemukakan beberapa soalan daripada seorang "Haji" yang didapati biadab kerana menghina Allah.

Mungkin sikap biadab manusia terhadap Allah, seperti dilahirkan oleh Tuan Haji tersebut, merupakan satu daripada banyak perkara yang malaikat tidak tahu mengenai manusia, sebelum Adam dicipta.

Satu lagi perkara yang malaikat tidak tahu ialah mengenai Iblis yang pada mula enggan sujud, dan kemudian bersifat khianat terhadap manusia dengan menyuruh melanggar perintah Allah.

Lalu Allah menempatkan Adam dan isteri di Taman supaya dapat difahamkan sifat khianat tersebut yang berakhir dengan Adam dan isteri diturunkan ke bumi, seperti janji-Nya sebelum itu.

Oleh kerana Allah tidak ceritakan tentang Iblis yang enggan sujud, dan bisikan syaitan yang menyebabkan Adam dan isteri diturunkan ke bumi, pada waktu Dia beritahu malaikat akan penciptaan khalifah untuk tinggal di bumi, maka akal Tuan Haji bertanya, "adakah Allah terkeliru sekejap kata nak hantar seorang khalipah di bumi tapi diletaknya di syurga tapi selepas lakukan kesilapan, akhirnya Adam disuruh turun ke bumi."

Mungkin dia menganggap soalan itu lucu tetapi kami tidak ketawa kerana ia hanya menunjukkan kebiadapan dan penghinaannya terhadap Allah. Soalan seperti itu tidak selaras dengan ayat berbunyi,

"Wahai orang-orang yang percaya, takutilah Allah sebagaimana Dia patut ditakuti," (3:102)

Beralih kepada soalanTuan Haji kedua, iaitu:

2)Kalau betul Allah bersifat pengasih dan penyayang kenapa Dia sanggup meredhai syaitan menggoda manusia?

Kalau betul Allah bersifat ....! Itukah kata seorang yang mengaku Islam? Tidakkah kata itu menunjukkan Tuan Haji tidak percaya bahawa Allah bersifat Pengasih dan Penyayang?

Jika dia mengaku Islam, kami syak dia seorang ASWJ, kerana didapati sesetengah ahli mazhab tersebut hanya ingat bahawa Allah bersifat Pengasih dan Penyayang sahaja. Dia lupa bahawa Allah bersifat lain seperti Pendendam atau Mempunyai Balasan.

Benar, Allah mengizinkan syaitan menggoda manusia, tetapi juga benar bahawa Dia beri, daripada sifat Pengasih dan Penyayang-Nya, suatu senjata melawan syaitan, iaitu petunjuk daripada-Nya (sila rujuk ayat 2:38 di atas).

Turut benar ialah kewujudan Syurga dan Neraka, yang jadi pilihan bagi manusia - memilih hidup dengan tunduk patuh kepada-Nya, atau memilih lakukan biadab, seperti ragu-ragu atau dustakan ayat-ayat-Nya.

Soalan ketiga Tuan Haji seperti berikut:

3)Kenapa Tuhan telah berlaku tidak adil kerana ajar Adam dan tidak Malaikat tentang nama-nama kesemuanya.

Pemberian Tuhan kepada ciptaan-Nya dikatakan oleh Tuan Haji sebagai tidak adil pulak! Pemberian yang tidak sama diertikannya sebagai tidak adil. Kalau begitu, Adam yang dimatikan dan malaikat tidak, pun tidak adil. Atau tugas yang tidak sama antara Adam dan malaikat pun tidak adil. Atau, apa yang dicipta pada dirinya (Tuan Haji) sebagai lelaki dan pada perempuannya sebagai perempuan, yang tidak sama, pun tidak adil.

Dia meragui pemberian Allah kepada makhluk ciptaan-Nya. Atas itu diingatkan satu soalan daripada Allah berbunyi,

"Maka pemberian Pemelihara kamu yang manakah kamu meragui?" (53:55)

Soalan itu bermaksud pemberian-Nya tidak harus diragui, misalan dengan berfikir sama ada ia adil atau tidak.

Soalan terakhir Tuan Haji adalah seperti di bawah:

4)Quran bukanlah sebuah kitab yang lengkap kerana hanya ceritakan bulan-bulan haram tetapi tidak namakan bulan-bulan tersebut sebagaimana menyuruh puasa pada bulan ramadan.

Tuan Haji akhirnya menunjukkan dirinya yang sebenar iaitu tidak percaya dan dustakan ayat-ayat Allah yang menyatakan bahawa al-Qur'an adalah sebuah kitab yang lengkap.

Turut ditunjukkannya ialah ketidaktahuan tentang bulan-bulan haji yang berkaitan dengan bulan-bulan haram.

Bulan-bulan haji seperti petunjuk Allah yang diturunkan di bawah sudah diketahui:

"Haji adalah pada bulan-bulan yang diketahui;" (2:197)

Sungguh, sesetengah manusia mengetahuinya lalu disebarkan pengetahuan tersebut. Sila rujuk artikel Haji di dalam al-Qur'an.

Izinkan kami bercerita sedikit mengenainya. Suatu masa dahulu, kami suami-isteri ingin pergi ke Mekah pada bulan-bulan haram kecuali bulan pertama, iaitu bulan haji. Pemergian kami dihalang kerana visa tidak dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan selepas bulan haji. Kami disuruh memohon visa umrah yang hanya dikeluarkan sejurus selepas tiga bulan tersebut berakhir. Visa bagi tiga bulan itu dipanggilnya pula visa ziarah, selepas visa haji. Sebab tidak diberi visa ziarah ialah, menurut "mereka", orang-orang di sini (termasuk negara-negara Asia Tenggara lain) sudah diberi banyak visa haji.

Bagi kami itu satu bukti yang "mereka" tahu tentang bulan-bulan haji (dan haram) yang empat.

Jawapan kami kepada soalan-soalan Tuan Haji berakhir di sini.

Kami menyimpulkan bahawa Tuan Haji menyimpan kebencian terhadap ayat-ayat al-Qur'an dan ditunjukkan melalui soalan-soalannya. Kebencian yang dikeluarkan adalah seperti ketetapan Allah berbunyi,

"Atau, adakah orang-orang di dalam hati mereka ada penyakit sangka Allah tidak akan keluarkan kebencian mereka?" (47:29)

Kami sangka, apapun bukti daripada al-Qur'an ditunjukkan kepadanya dia tidak akan mendengar. Sangkaan berdasarkan ayat Allah bermaksud,

"Jika kamu seru mereka kepada petunjuk, mereka tidak dengar; dan kamu lihat mereka memandang kepada kamu, dengan tidak melihat.
Maafkanlah, dan suruhlah apa yang baik, dan berpalinglah daripada orang-orang bodoh." (7:198-199)

Seperti kata Tuhan, dia bodoh (maaf atas kenyataan ini). Dia juga bodoh kerana mengatakan terhadap Allah yang keterlaluan. Sama dengan segolongan jin, yang disebut di dalam firman berbunyi

"Yang bodoh di kalangan kami (jin) mengatakan terhadap Allah yang keterlaluan," (72:4)

Sebagai penutup, kami ingin buat satu cadangan. Cadangan dimaksudkan terdapat di dalam ayat al-Qur'an berbunyi,

"Apabila mereka (muslim) dengar percakapan yang sia-sia, mereka berpaling daripadanya, dan berkata, 'Bagi kami amalan-amalan kami, dan kamu, amalan-amalan kamu. Salamun alaikum! Kami tidak inginkan orang-orang bodoh.'" (28:55)

Maka berpalinglah daripada orang-orang serupa Tuan Haji itu.

 

Allah disanjung!

 

14.11.08

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman