Hadis merendahkan wanita

 

From: penyapu
To: pengurus laman e-bacaan <e_bacaan@yahoo.com>
Sent: Saturday, October 18, 2008 1:54:25 PM
Subject: Hadis yang merendah2kan wanita

Disini saya sertakan satu tulisan yang bertajuk 'Wanita paling ramai masuk neraka' . Saya salinnya daripada sebuah laman web islamik yang agak taksub dengan hadis dan arabnya sehinggakan bercakap pun kena 'ana' & 'enti'.

Wanita paling ramai masuk neraka

MENGENANGKAN banyak antara kaum perempuan menyeleweng daripada ajaran Islam disebabkan beberapa sifat buruk yang sepatutnya dijauhi, Rasulullah SAW menasihati dan menggalakkan mereka supaya selalu bersedekah. Hal ini kerana sedekah akan menolong mereka di dunia dan akhirat.

Dalam hadis daripada Jabir bin Abdullah, katanya: “Aku hadir bersama-sama Rasulullah kerjakan sembahyang pada hari raya (selepas sembahyang dan berkhutbah). Baginda kemudian pergi (ke barisan belakang) hingga sampai ke tempat kaum perempuan. Lalu Baginda menasihati dan mengingatkan mereka, serta Baginda (menggalakkan mereka bersedekah), sabdanya: “(Bersedekahlah kamu kerana sesungguhnya kebanyakan kamu jadi kayu bakaran api neraka.”

Pada saat itu, seorang perempuan yang berkedut kedua-dua pipinya, bangun dari tengah kaum perempuan lalu bertanya: “Mengapa (kami dimurkai Allah seberat itu), Ya Rasulullah? “Baginda menjawab: “Kerana kamu selalu saja mengadu (tidak cukup nafkah), dan kamu pula tidak mengenang budi suami (sedikit pun).”

Jabir (rawi hadis ini) berkata: “Golongan perempuan itu pula tampil bersedekah barang perhiasan badan mereka, mereka letak pada baju Bilal: subang dan anting-anting serta cincin mereka.” (Hadis riwayat Muslim)

Kaum perempuan diciptakan Allah dalam keadaan yang semulia-mulianya – sebagai ibu yang dihormati, isteri dikasihi dan anak disayangi. Selain itu, diberi panduan supaya mereka jadi manusia beriman dan beramal salih.

Untuk menyedarkan mereka akan hakikat itu, Rasulullah menasihati mereka supaya menjauhi apa-apa juga tabiat buruk seperti diterangkan dalam hadis di atas. Perkara itu ditegaskan lagi dalam hadis berikut.

Daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah bersabda: “Wahai kaum perempuan, bersedekah dan banyakkan beristighfar kerana sesungguhnya aku mengetahui (bahawa) kamu golongan yang banyak sekali antara ahli neraka.”

Seorang perempuan yang bijak antara mereka berkata: “Ya Rasulullah mengapa kami jadi golongan yang banyak sekali antara ahli neraka?” Baginda menjawab: "”(Kerana) kamu selalu mengutuk dan memaki-hamun dan kamu pula tidak mengenang budi suami dan (selain itu. Aku tidak melihat golongan yang kurang akal dan kurang pula (amal) agamanya serta besar pula pengaruhnya kepada orang lelaki bijak bestari (sekalipun) – selain daripada kamu.”

Perempuan itu bertanya lagi katanya: “Ya Rasulullah apa maksudnya: (Kaum perempuan) kurang akal dan kurang (amal) agama itu?” Baginda menjawab: “Mengenai kurang akal, maka (ketika jadi saksi): Saksi dua perempuan, (hanya) menyamai saksi seorang lelaki; maka inilah (tanda) kurang akal. Dan seseorang perempuan pula akan tinggal beberapa hari dengan tidak kerjakan sembahyang (kerana kedatangan haid) dan dia pula ada kalanya tidak berpuasa pada Ramadan (kerana kedatangan haid juga) maka ini dan (tanda yang menunjukkan kaum perempuan) kurang amal agamanya (berbanding dengan kaum lelaki).”
(Hadis riwayat Bukhari dan Ibn Majah)

Perbuatan mudah mengutuk, memaki-hamun dan sumpah seranah dilarang Islam sama ada dilakukan oleh lelaki atau perempuan. Tetapi yang banyak lakukannya, seperti yang diterangkan dalam hadis itu ialah kaum perempuan. Sebab itu, Baginda menegur mereka supaya menjauhi perkara yang buruk. – Petikan Mastika Hadis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia


Kalau baca tentang hadis, banyak ceritanya tentang wanita. Serba serbi wanita tidak kena. Apabila terbaca tentang hadis sebegini suatu masa dahulu, rasa hina diri dihidupkan sebagai seorang wanita yang sudah tahu di mana tempatnya di akhirat nanti. Patutlah ramai kaum lelaki yang merendah2 kan wanita terutama sekali mengenai akal kerana ada hadis yg mengatakan bahawa perempuan kurang akal. Suatu masa dahulu, saya cukup merasakan bahawa Tuhan itu tidak adil kerana jadikan wanita dengan 'haidnya' yang menyekat mereka untuk beramal, berpuasa dan solat lantas mengurangkan pahala bagi kaum perempuan dan akhirnya mencampakkan mereka ke dalam api neraka.Cukup rasa macam diri ini terlalu hina dan jengkel jika dibandingkan dengan kaum lelaki yang serba lebih. Ini jadikan saya tidak faham kenapa masih disebutkan tentang dosa dan pahala kepada wanita jika sudah tahu di mana tempatya nanti. Di dunia, disuruh bertutup litup sehingga begitu terhad untuk melakukan aktiviti, bercakap pun tidak boleh dengan lelaki takut kerana aurat. Huh! Cukup tak faham. Dan pada masa itu, saya sendiri tidak tahu kenapa wanita2 lain yang berpurdah dan warak itu tidak terfikir tentang apa yang saya fikir. Apabila saya ucapkan bahawa saya rasa tuhan itu tidak adil jadikan wanita sebegini, lantas mereka berkata, 'kamu silap, tuhan jadikan wanita cukup istimewa dengan diberi pelbagai perhiasan dan kelebihan'. tetapi tiada bukti yang mereka mampu kemukakan apa kelebihannya. Bertahun2 semua itu menyelubungi diri saya. Namun apa saya boleh buat, fikiran dan ilmu saya sempit pada waktu itu. Terhad dengan mendegar ceramah agama dan membaca buku2 agama. Itu natijahnya apabila jadikan hadis sebagai rujukan dalam beragama sehingga menolak sifat Allah s.w.t yang maha adil. 


Salamun alaikum,

Terima kasih kerana sudi menulis lagi. Tajuk yang dikemukakan tentu menarik perhatian ramai. Mungkin kerana tidak sabar hendak berkongsi dengan pembaca lain penyapu terlupa pula beri salam.

Hal masuk syurga (kepunyaan Allah) sahaja yang ingin disentuh di sini. Syurga-Nya didapati tidak mengutamakan kaum lelaki tetapi bagi kedua-dua lelaki dan perempuan yang beramal seperti disebut ayat berikut:

"Lelaki yang muslim dan perempuan yang muslim, dan lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukmin, dan lelaki yang patuh dan perempuan yang patuh, dan lelaki yang benar dan perempuan yang benar, dan lelaki yang sabar dan perempuan yang sabar, dan lelaki yang rendah hati dan perempuan yang rendah hati, dan lelaki yang bersedekah dan perempuan yang bersedekah, dan lelaki yang berpuasa dan perempuan yang berpuasa, dan lelaki yang menjaga kemaluan mereka dan perempuan yang menjaga, dan lelaki yang mengingati Allah dengan banyak dan perempuan yang mengingati - bagi mereka, Allah sediakan ampunan dan upah yang besar." (33:35)

Akan tetapi, amalan wanita dijadikan lebih kurang daripada lelaki dengan adanya ajaran (bukan Allah) mengenai haid yang melarang wanita lakukan beberapa amalan semasa didatanginya. Ajaran Allah (dan juga Rasul yang sebenar) berlainan pula dengan hanya melarang bersatu dengan suami. Firman-Nya,

"Mereka tanya kamu mengenai haid. Katakanlah, 'Ia adalah gangguan; maka hendaklah kamu jauhkan daripada perempuan-perempuan semasa dalam haid, dan jangan dekati mereka sehingga mereka bersih. Apabila mereka sudah bersihkan diri-diri mereka, maka datangilah mereka sebagaimana Allah perintahkan kamu .'" (2:222)

Hanya itu sahaja yang dilarang dalam haid. Larangan lain yang terdapat adalah bukan ajaran agama-Nya (dan agama Rasul sebenar).

Lantas, kaum wanita diberi pilihan, sama ada ingin beriman kepada ajaran Allah (dan ajaran Rasul-Nya yang sebenar), atau beriman kepada ajaran selain daripada-Nya. Yang selain daripada-Nya itu tidak miliki mahupun berkongsi dengan Allah atas Syurga-Nya yang akan wujud sebagai tempat kediaman akhir bagi manusia.

Ajaran agama yang merendahkan kaum wanita dengan perkara-perkara buruk mirip ajaran Bible. Sila rujuk artikel Koran and the Liberation of Women.

Sekali lagi ditegaskan iaitu dari segi amalan terdapat tidak ada kelebihan bagi kaum lelaki. Lelaki dan wanita diberi peluang yang sama. Masing-masing boleh mengatasi satu sama lain asal saja dia orang mukmin. Iktibar dipetik daripada ayat Allah berbunyi,

"Dan sesiapa buat kerja-kerja baik , lelaki atau perempuan, dan dia seorang mukmin, mereka akan masuk Taman, dan tidak dizalimi satu bintit pun." (4:124)

Antara sifat orang mukmin ialah percayai (serta mengamalkan) Kitab Allah, dan tidak beza-bezakan seorang pun antara Rasul-Rasul-Nya (2:285).

Akhir kata, memilih untuk menjadi orang mukmin adalah langkah amat wajar bagi kaum wanita untuk tidak direndahkan di dunia dan di akhirat.


22.10.08

 

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman