Syurga di bawah tapak kaki suami?

 

From: "Mak Siti"
To: <astora_jabat@yahoo.com>; <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: SYURGA DI BAWAH TAPAK KAKI SUAMI
Date: Thursday, May 10, 2007 1:55 PM



4:34. Lelaki-lelaki adalah pengurus-pengurus urusan perempuan, dengan sebab Allah lebihkan sebahagian mereka di atas sebahagian yang lain, dan kerana mereka nafkahkan daripada harta mereka. Maka wanita-wanita yang salih ialah yang patuh, yang menjaga yang rahsia kerana Allah menjaganya, dan mereka yang kamu takut akan jadi derhaka, tegurkanlah mereka, dan asingkanlah mereka daripada tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Jika mereka kemudiannya mentaati kamu, maka janganlah mencari-cari sebarang jalan terhadap mereka; sesungguhnya Allah Dia adalah Tinggi, Besar.
e-bacaan


Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah lebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (beri nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolonganNya dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang lakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka jangan kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.
Quran.al-islam.com (Malay)


[34] Men are the protectors and maintainers of women, because Allah has given the one more (strength) than the other, and because they support them from their means. Therefore the righteous women are devoutly obedient, and guard in (the husband's) absence what Allah would have them guard. As to those women on whose part ye fear disloyalty and ill-conduct, admonish them (first), (next), refuse to share their beds, (and last) beat them (lightly); but if they return to obedience, seek not against them means (of annoyance): for Allah is Most High, Great (above you all).
Quran.al-islam.com (English)


Assalamualaikum

Kali ini saya nak bawa isu lain pula.

Pada pendapat saya, ayat 4:34 ini telah disalahgunakan oleh ramai lelaki untuk menganiaya wanita dan juga oleh ramai wanita untuk merelakan diri mereka dianiaya. Mula-mula sekali saya akui bahawa saya tak pandai berbahasa Arab. Malahan saya juga agak jahil tentang adat-resam, budaya dan cara hidup orang-orang Arab. Olehkerana itu, kebanyakan ilmu Allah dalam Al-Quran saya pelajari dalam bahasa yang lain dari bahasa Arab. Makna pun banyak yang saya pelajari dari terjemahan-terjemahan. (Terjemahan ini kadangkala banyak dipengaruhi oleh pengalaman penterjemah sendiri. Lihat sahajalah contoh-contoh di atas. Oleh itu kenalah hati-hati.) Ini kelemahan saya yang paling ketara dan saya dalam proses memperbaikkinya, Insyallah….

Walau bagaimanapun, setelah membaca beberapa terjemahan dan juga hasil tunjuk-ajar dari orang-orang sekeliling dan dari media-media seperti buku-buku, tv, video, etc. serta dari pengalaman saya sendiri, dapatlah saya simpulkan bahawa ‘inti-pati (essence/core/base)’ seseorang Muslim ialah “Tuhan itu satu”. Ayat ini bukan sekadar menyatakan bilangan tetapi menuntut kita menerapkannya dalam segala-galanya, baik dari segi perbuatan, percakapan, pergaulan, kehidupan, kematian, etc.

Sebagai contoh, bila penganut Hindu mendirikan patung besar di Batu Cave, ramai yang marah-marah sambil berkata “Orang-orang Hindu ni tak patut betul mendirikan patung Tuhan mereka besar-besar macam tu. Kerajaan tak ambil tindakan ke?” HELLO……!!!!! Tuhan orang Hindu dengan Tuhan orang Islam sama. Tuhan cuma satu. Yang bezakan antara orang Islam dengan orang kafir ialah apa yang disembah. Walaupun orang Hindu terang-terangan menyembah berhala, Tuhan mereka tetap Allah. Tuhan segala kejadian (baik, jahat, buruk, elok, Islam, kafir, orang, jin, binatang, pokok, planet, bintang, kuman, etc.) hanyalah Allah semata-mata. Tiap-tiap kali saya terdengar/terbaca sesuatu yang macam ni, takutnyalah saya hanya Allah yang tahu. Bukan takut apa, takut syirik. Mana boleh kita nyatakan ada Tuhan selain Allah? Fikir pun tak boleh. Cakap lagilah…!!

Bila kita yakin dengan seyakin-yakinnya yang Tuhan itu satu, kita mestilah tidak menolak bahawa segala-galanya adalah hak Allah. Tidak ada sesuatu pun yang akan berlaku, wujud, jadi, etc. melainkan dengan izinNya. Kita wajib taat kepadaNya. Ketaatan yang mutlak.

balik kepada ayat tadi, pada pemahaman saya, ayat ini adalah ayat ‘tanggungjawab’. Kaum lelaki bertanggungjawab beri nafkah kepada kaum wanita. Kaum lelaki juga bertanggungjawab mendidik kaum wanita supaya jadi seorang hamba yang taat kepada Allah i.e. ahli syurga. Inilah maksud “Syurga di bawah tapak kaki suami”. Bukan seperti ajaran songsang yang biasa diajar oleh “alim-ulamak” kita iaitu “Isteri wajib taat kepada suami, Kalau suami tak redha tak cium syurga”. Gilo ko? Syurga neraka bukan suami punya, Allah yang punya. Mana ada Allah kata yang kalau suami tak redha isteri tak masuk syurga? Malahan ayat 80:34-37 menyatakan :

“Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya, Dan ibunya serta bapanya, Dan isterinya serta anak-anaknya; Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.”

Suami pun tak peduli kita lagi dah. Kita pun tak peduli siapa-siapa lagi.

18:44 pula
“Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan beri pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dialah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat).”

Cubalah fikir, kalau kita taat kepada Allah dan Allah dah redha dengan kita, buat apa nak cari keredaan makhuk lagi? Kalau Allah dah redha, suami tak redha, biarlah suami jawab nanti. Kalau ikut akal pun, sekiranya Allah dah redha, orang yang tak redha tu dah tak taat pada Allah. Biarlah Allah yang menghukumnya sekiranya dia layak dihukum.

Contoh yang saya selalu tunjuk pada anak-anak ialah sembahyang. Perbuatan, pertuturan dalam sembahyang sama. Yang bezakan kamu mesti sembahyang kerana Allah, bukan kerana malas nak dengar Mak berleter. Yang satu, Insyallah ganjarannya pahala. Lagi satu, bala. Orang tak tau. Malahan malaikat kiri-kanan pun kalau Allah tak izin tak tau. Cuma catit ajalah anak Mak tu dah sembahyang. Sia-sia sajalah anak-anak Mak buat kalau bukan kerana Allah. Yang paling membahagiakan saya sebagai seorang ibu ialah bila anak-anak dah sebati ‘untuk mencari keredhaan Allah semata-mata.’ Saya tak payah risau anak-anak saya tergelincir, Insyallah tak kerana mereka tahu setiap ketika mereka mestilah mencari keredhaanNya. Saya pun boleh ‘kembali’ dengan tenang kerana saya telah berjaya melaksanakan tanggungjawab saya mendidik anak-anak jadi ahli syurga. Inilah makna sebenar “Syurga di bawah tapak kaki ibu”. Fahaman yang biasa kita dengar iaitu ‘anak-anak wajib taat pada ibu’ pada saya adalah mengarut. Ibu bukan sempurna. Banyak juga buat silap. Sekiranya segala sesuatu yang anak-anak saya lakukan diredhai Allah, saya pun tumpang senang kerana saya terjamin tidak akan teraniaya oleh perbuatan anak-anak. Insyallah. Saya pun boleh tidur nyenyak tak kiralah di mana anak-anak saya berada. Tak perlu risau mereka terpesong selagi ketaatan mereka kepada Allah tidak berbelah bagi.

Jadi, tak ada gunanya kita mencari keredaan makhluk. Cukuplah Allah bagi kita. Lagi pun tiap-tiap kali sembahyang kita mengaku
“Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah unuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya....”

Kalau semua mencari keredaan Allah, tiada penganiayaan, tiada penipuan, tak adalah suami-suami dayus yang bertopengkan ajaran sesat untuk menganiya isteri. Ingatlah banyak kali kita jumpa dalam Al-Quran bahawa “Barangsiapa yang mengerjaan amal saleh, baik lelaki maupun perempuan, dalam keadaan beriman maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yag lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” Maknanya kita buat, kita jawab sendiri nanti. Bodoh le kita kalau kita jawab bahawa “Ya Allah, aku lakukan itu semata-mata untuk dapat keredaan suamiku supaya aku boleh masuk syurga macam yang tok-tok alim ajar tu”. Bagi diri saya, buatlah macamana pun, tak sanggup saya nak mengaku macam ni. Pada saya ini dah syirik. Mana ada kuasa selain Alah?. Kalau Allah dah redha, syukur. Cukuplah. Makhluk tak suka, tak redha, bukan masalah saya. Jawablah sendiri nanti.

Untuk renungan :

Kawan baik saya, S, adalah seorang penganut agama Hindu. Tiap-tiap hari sebelum ke pejabat dia akan mencium kaki suaminya memohon restu. Acapkali juga dia berpuasa. Katanya untuk suaminya. Saya juga pernah menyaksikan anak-anak pasangan ini mencium kaki mereka. Bila saya bertanyakan pada S, katanya suami umpama Tuhan. Isteri wajib taat. Begitu juga ibu-bapa. Anak-anak wajib mengagungkan mereka.

Macam biasa dengar aja kan? Kuat sungguh pengaruh Hindu di nusantara ya?

Mak Siti

Salamun alaikum,

Terima kasih Mak Siti. Daripada kandunagn "leterannya" kali ini, kami pilih isi yang mencangkuk isteri dianiaya untuk dibincang dengan lebih lanjut.

Gejala isteri dianiaya, atau dibuli, di kalangan masyarakat Melayu di negara ini, difahamkan masih segar, mungkin kerana ia merupakan pusaka daripada nenek moyang atau kerana pegangan agama yang tidak berpandukan al-Qur'an, atau ada sebab-sebab lain.

Di sini kami ingin mencubit pada pegangan agama sahaja. Pengajar agama ada ajar, barangkali secara tidak langsung, bahawa kaum perempuan berdarjat rendah, duduk mencangkung di bawah darjat kaum lelaki.

Bermula dengan ciptaan mereka. Mereka dikatakan dicipta daripada tulang rusuk lelaki. Itu bukan ajaran agama daripada al-Qur'an tetapi ajaran ulama silam yang dinobatkan sebagai muktabar oleh ulama hari ini. Yang paling ulung ialah Bukhari. Kitabnya jadi macam rukun agama. Barangsiapa yang menolaknya difatwakan sesat.

Tanpa melengah lagi, kami petik sebuah hadis, mengenai ciptaan kaum perempuan, daripada kitab Bukhari (Jilid 4, Hadis no. 548, Riwayat Abu Huraira) yang ceritakan bahawa Rasul Allah telah bersabda berbunyi "perempuan dicipta daripada tulang rusuk, dan bahagian tulang rusuk yang paling bengkok ialah yang berada di atas."

(Ingin dimaklumkan di sini segala hadis yang dihidangkan di halaman ini diterjemah daripada koleksi hadis di CD "E-Ustaz" terbitan Islamic Computing Centre, London [1994].)

Secara tidak langsung, pendustaan itu melahirkan anggapan iaitu kaum perempuan adalah bengkok pada sifat, tidak sesempurna kaum lelaki. Ketidaksempurnaan digambarkan lagi, oleh Imam Bukhari, apabila dia menyamakan taraf perempuan dengan haiwan, anjing dan keledai. Hadis sahihnya tentang itu dicatat di bawah:

Sahih Bukhari, Jilid 1, Hadis No. 490, Riwayat Aisha: 
Perkara-perkara yang membatalkan sembahyang telah disebut di hadapan saya. Mereka berkata, "Sembahyang dibatalkan oleh anjing, keledai dan perempuan (jika mereka lalu di hadapan orang-orang yang sembahyang)." Saya berkata, "Kamu telah buat kami (iaitu kaum perempuan) serupa anjing. Saya lihat Nabi sembahyang sedang saya baring di atas katil di antara dia dan Qiblat. Setiap kali saya memerlukan sesuatu saya akan beredar sebab tidak suka menghadapnya."

Selain menyamakan dengan anjing dan keledai, Bukhari selanjutnya menyuratkan berita iaitu pada kaum perempuan tersemat petanda atau alamat buruk atau jahat. Sila lihat suratannya:

Sahih Bukhari, Jilid 4, Hadis No.111, Riwayat Sahl bin Sad Saidi:
Rasul Allah bersabda, "Jika terdapat sebarang alamat buruk, maka ia adalah pada perempuan, rumah dan kuda."

Penganiayaan ditambah lagi (oleh Bukhari) dengan kenyataan bahawa kebanyakan daripada orang-orang yang masuk neraka terdiri daripada kaum perempuan. Petikan hadisnya dihulur di bawah:

Sahih Bukhari, Jilid 8, Hadis no.456, Riwayat 'Imran bin Husain:
Nabi bersabda, "Aku memandang ke dalam Syurga dan dapati kebanyakan daripada penghuninya adalah orang-orang miskin, dan aku memandang ke dalam Api (neraka) dan dapati kebanyakan daripada penghuninya adalah orang-orang perempuan."

Kononnya, apabila Nabi ditanya oleh sekumpulan perempuan mengenai tragedi tersebut, Bukhari, dalam hadis lain - Hadis No.301, Jilid1, Riwayat Abu Said Al-Khudri - menyenaraikan sebab-sebabnya seperti berikut (hadis dipendekkan dengan bahagian pertama dipadam):

Baginda menjawab, "Kamu selalu ucap kata makian dan tidak berterima kasih kepada suami-suami kamu.
Aku tidak pernah melihat sesiapa jua yang lebih berkurangan dalam kecerdasan (otak) dan agama daripada kamu.
Seorang lelaki yang hati-hati serta bijak boleh disesatkan oleh sesetengah daripada kamu."
Perempuan-perempuan itu bertanya, "Wahai Rasul Allah! Apakah yang berkurangan pada otak dan agama kami?"
Baginda bersabda, "Tidakkah keterangan dua orang perempuan sama dengan seorang lelaki?"
Mereka mengiakan.
Baginda bersabda, "Ini adalah kekurangan pada otaknya. Tidakkah benar bahawa seseorang perempuan tidak boleh sama ada sembahyang atau puasa semasa haidnya?"
Perempuan-perempuan itu mengiakan.
Baginda bersabda, "Ini adalah kekurangan dalam agamanya."

Perempuan dikatakan selalu memaki, tidak berterima kasih kepada suami, tidak pandai, boleh sesatkan lelaki yang baik dan pandai, dan tidak banyak dapat pahala! Demikianlah mesej hadis di atas.

Kalau begitu rupa kedudukan kaum perempuan, dalam ajaran agama, maka tidak hairanlah mengapa mereka dipandang rendah, lalu dibuli atau dianiaya oleh suami-suami mereka.

Melencong sejenak untuk mencuit, pertama, hal keterangan dua orang perempuan yang sama dengan seorang lelaki, dan kedua, haid, yang dirakamkan di dalam hadis tadi.

Mengenai hal pertama, adalah disyaki ia dipinjam daripada sebuah firman Tuhan mengenai perdagangan. Saksi-saksi yang disebut adalah untuk sesuatu perjanjian yang dibuat antara penghutang dan orang yang beri hutang. Firman berbunyi,

".... Jika penghutang itu bodoh, atau lemah, atau tidak boleh imlakkan, maka hendaklah walinya (penjaganya) imlakkan dengan adil, dan serulah untuk menyaksikan, dua orang saksi, lelaki-lelaki; atau jika kedua-duanya bukan lelaki, maka seorang lelaki dan dua orang perempuan, saksi-saksi yang kamu puas hati, bahawa jika salah seorang daripada keduanya sesat, yang lagi seorang akan ingatkannya..." (2:282)

Allah beri sebab mengapa diperlukan dua orang perempuan, iaitu "jika salah seorang daripada keduanya sesat, yang lagi seorang akan ingatkannya". Perkataan sesat di situ telah menerbitkan pelbagai pendapat. Apapun, ia tidak bermaksud kekurangan pada kecerdasan, sebagaimana ditafsirkan oleh Imam Bukhari. Dan sayugia diingatkan, itu adalah satu-satunya penyaksian yang memerlukan dua orang perempuan dan seorang lelaki dalam ajaran al-Qur'an.

Mengenai haid pula, Allah hanya melarang daripada lakukan hubungan jenis. Larangan lain tidak disebut. Sila lihat ayat 2:222. Terima kasih.

Demikianlah pembohongan yang disebar oleh Bukhari, atas nama Nabi, untuk merendahkan martabat kaum wanita.

Telah disebut tadi mengenai isteri-isteri yang tidak berterima kasih kepada suami-suami mereka. Tentang suami-suami yang tidak berterima kasih kepada isteri-isteri mereka pula tidak langsung disebut dalam mana-mana hadis Bukhari.

Darjat suami, menurut Imam Besar itu, amat tinggi. Dia buat beberapa lakaran mengenainya. Yang pertama dipamerkan adalah:

Sahih Bukhari, Jilid 7, Hadis no.122, Riwayat Abu Huraira:
Nabi bersabda, "Jika seorang perempuan melalui waktu malam dengan tinggalkan katil suaminya (tidak tidur bersamanya), maka malaikat-malaikat akan melontar sumpahan mereka ke atasnya hingga dia kembali (kepada suaminya)."

Bagaimana kalau si suami pula yang tinggalkan tempat tidur sedang si isteri terbaring seorang diri kesunyian? Itu tidak penting baginya. Yang penting ialah memuaskan hati suami. Seperti Nabi dipuaskan, menurut Bukhari, melalui salah satu daripada karya agungnya:

Sahih Bukhari, Jilid 7, Hadis no.6, Riwayat Anas:
Nabi selalu melawat (untuk adakan hubungan kelamin dengan) semua isteri-isterinya pada satu malam, dan dia mempunyai sembilan isteri.

Bukhari berjaya mengukir sang isteri sebagai objek seks.

Apa yang berlaku sekiranya suami tidak dipuaskan? Ceritanya begini:

Sahih Bukhari, Jilid 4, Hadis No. 460, Riwayat Abu Huraira:
Rasul Allah bersabda, "Jika seorang suami memanggil isterinya datang ke katilnya (iaitu untuk hubungan kelamin) dan dia menolak, dan menyebabkan dia (suami) tidur dalam kemarahan, malaikat-malaikat akan menyumpahnya hingga waktu pagi.

Timbul soalan yang sama. Bagaimana kalau si isteri pula yang memanggil dan suaminya menolak? Itu tidak penting bagi Bukhari. Yang penting ialah kepuasan hati suami.

Sebutan hadis daripada Bukhari diberhentikan untuk memetik hadis-hadis daripada sebuah kitab lain yang turut tergolong dalam kumpulan lima kitab hadis terbesar di dunia Islam. Kitab ini menambah lagi pembohongan terhadap Nabi atas hal kaum perempuan atau isteri. Petikan pertama, sebuah hadis mengenai ciri-ciri perempuan yang paling baik:

Riwayat: AbuHurayrah, Rujukan: MISHKAT AL-MASABIH, Hadis No.3272:
Apabila Rasul Allah (saw) ditanya perempuan manakah yang paling baik baginda menjawab, "Yang menggembirakan (suaminya) apabila dia melihatnya,
ikut apabila dia beri sesuatu arahan,
dan tidak membantah kehendaknya terhadap dirinya (isteri) atau harta dengan lakukan sesuatu yang dia tidak setuju."

Sumber: Nasa'i dan Bayhaqi, di Shu'ab al-Iman yang sampaikannya.

Kelihatan tiada langsung amalan merunding dan persetujuan bersama antara suami dan isteri. Walhal al-Qur'an, iaitu hadis Nabi sebenar, menyuruhnya. Dua ayat berikut menyebut mengenai persetujuan tersebut:

"Tetapi jika keduanya hendak, dengan persetujuan bersama dan rundingan, untuk tidak susukan, maka tidaklah ada kesalahan ke atas mereka." (2:233)

"Isteri-isteri yang kamu bersenang-senang dengannya, beri mereka upah mereka sebagai satu ketentuan; dan tidak salah ke atas kamu terhadap apa yang kamu saling setuju dengannya daripada apa yang sudah ditentukan." (4:24)

Ayat-ayat Allah dibelakangkan! Terlintas pula di kepala penulis hadis untuk menyuruh isteri bersujud di hadapan suami. Walaupun tidak jadi kenyataan namun ia ditulis dan disemadikan untuk menjadi iktibar bahawa suami berkedudukan dekat dengan Tuhan. Tulisan tersebut dirakam seperti berikut:

Riwayat: AbuHurayrah, Rujukan: MISHKAT AL-MASABIH, Hadis No. 0285(R):
Nabi (saw) bersabda: Sekiranya dibenarkan seseorang untuk bersujud di hadapan yang lain, tentu aku akan perintah seorang isteri bersujud di hadapan suaminya.
Sumber: Disampaikan oleh Tirmidhi.

Tidak habis di situ. Akhirnya penulis hadis berjaya juga mahkotakan suami macam Tuhan (dan isteri, hambanya) apabila terdapat pengisytiharan berbunyi,

Riwayat: Umm Salamah, Rujukan: MISHKAT AL-MASABIH, Hadis no. 3256:
Rasul Allah (saw) bersabda, "Mana-mana perempuan yang meninggal dunia sedang suaminya berpuas hati dengannya akan masuk syurga."
Sumber: Tirmidhi sampaikannya.

Begitu senang masuk syurga! Puaskan hati suami. Lalu suami jadi umpama Tuhan. Benar, jadi umpama Tuhan, kerana jika hamba-Nya ingin masuk ke dalam syurga-Nya hamba itu harus memuaskan hati-Nya. Firman Allah,

"Dia masukkan mereka ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, di dalamnya tinggal selama-lamanya, sedang Allah sangat puas hati terhadap mereka," (58:22)

Lantaran itu, tidak menghairankan bila timbul ungkapan syurga terletak di bawah tapak kaki suami di kalangan masyarakat Melayu di sini. Walau apapun pengertian diberi terhadap ungkapan tersebut, atau ungkapan lain, misalan di bawah tapak kaki ibu, pada hemat kami, ia menghina Tuhan dan Nabi-Nya. Kerana syurga adalah hak-Nya semata-mata. Dan Dia telah tentukan siapa yang akan masuk.

Pun begitu, kalau hendak guna jugak frasa di bawah tapak kaki, maka kami syorkan berkata syurga atau neraka terletak di bawah tapak kaki masing-masing. Ia sejajar dengan firman Tuhan bererti,

"Dan, orang-orang tidak percaya dan dustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni-penghuni Api, di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya." (2:39)

Oleh itu, syurga terletak di bawah tapak kaki orang-orang yang percaya lagi tidak mendustakan ayat-ayat Allah (al-Qur'an), sementara neraka pula di bawah tapak kaki orang-orang tidak percaya dan mendustakannya.


Artikel berkaitan:
Wanita dalam Islam sebenar
Adam dan Isteri: dalam al-Qur'an dan Bible

15.5.07


Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman