Tujuh Yang Berulang-ulang

 

Date: Sat, 11 Feb 2006 18:29:32 +0800
From: Fazil
To: e_bacaan@yahoo.com
Subject: Surah 15:87

Salamun alaikum.

Tuan, pada pendapat tuan apakah maksud 'tujuh yang berulang-ulang' dalam Surah Al Hijr yang berikut:

15:87. Kami beri kamu tujuh yang berulang-ulang, dan al-Qur'an yang besar.

Salam Sejahtera.

Fazil


Salamun alaikum,

Soalan yang diajukan oleh saudara Fazil amat baik. Telah timbul beberapa pendapat, baik baru mahupun lama, mengenai "tujuh yang berulang-ulang". Kami hormati semua pendapat, dan ingin pula mengutarakan pendapat kami di sini.

Frasa berulang-ulang diterjemah daripada kalimat mathani. Selain di ayat tadi (kami beri kamu tujuh yang berulang-ulang, dan al-Qur'an yang besar - 15:87) terdapat satu lagi ayat yang mengandungi kalimat tersebut, iaitu 39:23 berbunyi,

"Allah turunkan hadis yang paling baik sebagai sebuah Kitab, yang serupa dalam pengulangannya ..."

Lahir pula satu pendapat baru, iaitu kalimat tersebut bermaksud berpasangan (atau pair dalam bahasa Inggeris) kerana ia lahir daripada "akar huruf Tsa-Nun-Ya yang berarti dua, rangkap dua, lipat dua, dua-dua, kali dua, berpasangan". Lalu ayat tersebut diterjemah kepada "Kami beri kamu tujuh yang berpasangan, dan al-Qur'an yang besar" (15:87). Dan, tujuh yang berpasangan bermaksud tujuh lapis langit (dibuktikan dengan tujuh kali disebut di dalam al-Qur'an) dan tujuh lapis bumi (tidak disebut berapa kali).

Tidak juga dinyatakan bagaimana ayat 39:23 (yang turut mengandungi kalimat mathani) diterjemah.

Disyaki, pendapat tersebut berkesimpulan bahawa semua kata terbitan daripada satu akar mempunyai makna yang sama, atau serupa, seperti dijelaskan tadi.

Namun, kami agak sukar menerimanya. Dalam kes yang sedang dibicara pun, terdapat dua lagi kata terbitan daripada Tsa-Nun-Ya yang tidak mampu diterjemah kepada dua atau yang serupa, iaitu kalimat thana (dua ayat) dan istathna (satu ayat). Ayat-ayat mereka berbunyi:

"Lihat, mereka tutup (yathni) dada mereka untuk sembunyikannya daripada-Nya; lihat, waktu mereka selimutkan diri mereka dengan pakaian mereka, Dia tahu apa yang mereka rahsiakan, dan apa yang mereka siarkan; sesungguhnya Dia tahu apa yang di dalam dada." (11:5)

"Dengan memalingkan (thani) lambungannya untuk menyesatkan daripada jalan Allah; baginya kerendahan di dunia, dan pada Hari Kiamat, Kami akan merasakan kepadanyaazab yang membakar." (22:9) dan

"Dan mereka tidak buat pengecualian (yastathni)." (68:18)

Tidak mungkin kalimat-kalimat tersebut wajar diterjemah kepada dua dan sebagainya. Maka, bagi kami, semua kata terbitan daripada akar berkenaan tidak dapat diterjemah kepada dua atau yang serupa dengannga. Sama dengan perkataan Jin dan Jannah (Taman), sebagai satu misalan, walaupun daripada akar yang sama namun mempunyai maksud yang (jauh) berbeza. Sila lihat Kalimat Jin di dalam al-Qur'an.

Menyentuh lagi mengenai akar Tsa-Nun-Ya. Selain daripada tiga kalimat yang diutarakan, yang tidak membawa maksud dua atau yang berkaitan, terdapat empat lagi kalimat yang terbit, tetapi boleh diertikan seperti menurut pendapat baru tadi, iaitu:

ithna-'ashara bermaksud dua belas (2:60, 5:12, 7:160 [2x] dan 9:36),

ithnan bermaksud dua (4:11, 4:176, 5:106, 6:143 [2x], 6:144, 9:40, 11:40, 13:3, 16:51, 23:27, 36:14 dan 40:11 [2x]),

mathna bermaksud berdua, berpasangan, berdua-dua (4:3, 34:46 dan 35:1), dan,

thani bermaksud yang kedua (9:40).

Berpasangan yang diguna pendapat baru adalah mathna. Kalimat yang dipakai ayat 15:87 ialah mathani.

Oleh itu, kami keberatan menerima pendapat baru berbunyi tujuh yang berpasangan, dan tujuhnya yang bermaksud tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi.

Justeru, kami kekal guna frasa tujuh yang berulang-ulang seperti pendapat beberapa penterjemah al-Qur'an lain. Lagi, kami bersetuju dengan pendapat bahawa maksud tujuh adalah tujuh kaum yang dustakan ayat-ayat Allah yang ceritanya diulang beberapa kali di dalam al-Qur'an.

Tujuh kaum itu disebut di dalam ayat-ayat berikut:

"Jika mereka dustakan kamu, sesungguhnya sebelum mereka, kaum Nuh telah dustakan, dan Ad (kaum Hud), dan Tsamud (kaum Salleh), Dan kaum Ibrahim, dan kaum Lut, Dan penduduk Madyan (kaum Shuaib); dan Musa didustakan juga. Dan Aku tangguhkan orang-orang tidak percaya, kemudian Aku ambil mereka; dan bagaimanakah dengan kebencian-Ku?" (22:42-44).

Kelihatan seolah-olah ayat-ayat di atas menjelaskan ayat yang dibicara (15:87).

Bicara dilanjutkan dengan beri sebab mengapa Allah mengulang-ulangi di dalam al-Qur'an. Sebab-sebab adalah seperti di bawah:

"Katakanlah, 'Dia berkuasa unuk mengirimkan kepada kamu azab, dari atas kamu atau dari bawah kaki kamu, atau unuk mengelirukan kamu dalam golongan-golongan, dan untuk rasakan kepada kamu bencana satu sama lain.' Perhatikan bagaimana Kami ulang-ulangi ayat-ayat supaya mereka faham." (6:65)

"Kami mengulang-ulangi di dalam al-Qur'an ini, supaya mereka ingat;" (17:41)

"Begitulah Kami turunkannya sebagai sebuah al-Qur'an bahasa Arab, dan Kami mengulang-ulangi di dalamnya sesuatu daripada ancaman, supaya mereka bertakwa, atau ia menimbulkan peringatan bagi mereka." (20:113) dan,

"Dan Kami telah musnahkan bandaraya-bandaraya yang di sekitar kamu, dan Kami ulang-ulangi ayat-ayat supaya mereka kembali." (46:27)

Maka empat sebab mengapa Allah mengulang-ulagi di dalam al-Qur'an adalah supaya manusia:

  1. memahami atau memikirkan terhadap ayat-ayat-Nya,

  2. ingat kepada ayat-ayat-Nya,

  3. bertakwa atau takut kepada Tuhan, dengan menuruti segala suruhan dan larangan-Nya, dan

  4. kembali iaitu kembali kepada ajaran atau ayat-ayat-Nya.

Sebab-sebab itu pula berkait dengan azab dan ancaman yang pasti diturunkan setelah manusia mendustakan ayat-ayat-Nya. Contoh azab dapat diketahui daripada artikel Bencana Alam - kemurkaan dari langit.

Ketidakpercayaan mereka yang tujuh itu dijadikan antara banyak persamaan, atau misalan, yang terkandung di dalam al-Qur'an. Namun, sebutan mereka sebagai persamaan yang diulang-ulang diterima oleh kebanyakan manusia dengan ketidakpercyaan dan bantahan. Allah benar apabila berfirman,

"Sesungguhnya Kami mengulang-ulangi untuk manusia di dalam al-Qur'an ini tiap-tiap macam persamaan tetapi kebanyakan manusia menolak semua, kecuali ketidakpercayaan." (17:89) dan,

"Sesungguhnya Kami mengulang-ulangi untuk manusia di dalam al-Qur'an ini tiap-tiap macam persamaan; manusia adalah sesuatu yang paling banyak membantah." (18:54)

Kebanyakan manusia tidak percaya dan membantah apabila mereka disamakan dengan kaum-kaum zaman dahulu yang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, dan telah diazab. Lalu mereka menjadi orang-orang tidak memahami, tidak ingat, tidak kembali serta tidak bertakwa atau tidak takut kepada Allah.


12 Februari 2006
dikemaskini 4 Julai 2007
 

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman