Saya ingin kembali kepada al Qu'ran

 

From: noor firdawaty
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Saya ingin kembali kepada al Qu'ran -firda
Date: Friday, October 14, 2005 12:48 PM

Salamun alaikum

Saudara yang dihormati,

Dari masa ke semasa saya ingin menulis dan meluahkan pandangan saya namun setelah hampir 3 minggu setelah saya jadi pengunjung yang setia meneliti setiap artikel diruangan saudara barulah kesempatan ini saya perolehi. 

Saya telah lama merasakan kekosongan dalam jiwa. Saya takut jika telah terputus dari hidayat-Nya. Lantaran saya sudah terlalu lama tinggalkan al-Quran. Ini bukanlah disengajakan tetapi kerana saya takut akan berdosa pula jika tersalah menyebut ayatnya dalam bahasa arab. Mungkin kerana malas atau lebih tepat iaitu ‘takut’. Maka saya tidak mampu menghafaz dengan baik. Kerana takut kepada bahasa al-Quran juga menyebabkan saya tidak mahu menyambung pelajaran dalam bidang agama (bila dikaitkan agama tentunya berkaitan dengan bahasa arab) walaupun dapat tawaran ke sekolah menengah berasrama penuh aliran agama (juga sebenarnya saya tidak mahu memakai tudung labuh ).Tapi saya sebenarnya memang gemar membaca mengenai kisah-kisah nabi dan agama sejak kecil tapi tidak pada al-Quran kerana saya tidak faham (kerana saya telah diingatkan oleh ustaz suatu masa dulu supaya tidak membaca al-Quran tanpa terjemahan kerana itu adalah satu dosa. Lebih-lebih lagi jika hanya membaca terjemahannya saja, maka akan bertambahlah dosa; itu pemahaman yang saya pegang.) 

Saya pernah membaca bible (sekadar ingin tahu, kebetulan rakan Sabahan saya adalah kristian) semasa di IPTA yang saya fahami isinya adalah mirip dengan Islam (kerana amalan kelihatan memihak kepada kehidupan Islam-Melayu, yang rupanya Melayu yang mengikut Bible: berdasarkan pernyataan dalam teks antara FIRDAUS & JAHANAM yang telah saya baca. (saya bermula dengan ‘solat perintah dalam isra ?’ ketika klik search tentang solat dan seterusnya ke bacaan teks FIRDAUS & JAHANAM seterusnya mengenali halaman utama saudara) 

Dan setelah membaca paparan demi paparan, semalamam saya berfikir. Saya tak boleh tidur. Saya juga takut, jika tidur malam itu adalah lena yang terakhir saya (sebenarnya setiap malam saya takut jika saya mati dalam tidak beriman kerana tahu saya adalah hambanya yang telah lama meminggirkan al-Quran; iaitu tidak membacanya. Saya sentiasa berdoa moga diberi peluang hidup kerana saya sedang berusaha untuk menjadi muslim yang mukmin). Saya memohon padaNya, tunjukkanlah saya jalan yang benar. Saya adalah orang berdosa yang ingin menebus dosanya sementara masih berpeluang. 

Dihadapan saya ada seseorang yang menunjuki saya sesuatu yang saya inginkan. Menerangkan bahasa al-Quran yang mampu saya fahami. Saya yakin dan mahu kembali kepada al-Quran. Saya yakin kerana setiap hujah dan kebanyakan artikel saudara beserta dengan rujukan ayat dari al-Quran. Saya bersyukur kerana Allah tidak menarik kepercayaan saya yanga seikhlasnya terhadap al-Quran. Kini malam-malamnya yang selalu saya merasa hiba kerana kebebalan saya yang tidak mampu membaca al-Quran (membacanya dalam bahasa arab) berakhir. Saya berterima kasih kepada saudara kerana telah lakukan suatu yang terbaik sebagai saudara sesama agama. Amat benar kini Islam itu agama yang mudah tetapi mereka yang dikatakan terlalu beragama itu yang telah memesong dan memutarbelitkan Islam sehingga jadikan ianya ajaran yang terpecah-pecah (pasal banyak mazhab, banyak alirannya).

Inilah yang saya inginkan dan cari selama ini. Inilah persoalanan semasa saya masih anak-anak yang tersimpan dan tidak pernah terjawab. Emak yang selalu membawa saya sama ke surau sejak usia saya 5 tahun kerana mendengar ceramah dari ustazah maupun ustaz iaitu yang merupakan satu daripada kegiatan anjuran KEMAS (masa itu) juga kerana saya telah (dan suka membaca kisah-kisah nabi juga kitab-kitab agama kepunyaan datuk yang kebanyakan bertulisan jawi waktu itu) membaca kisah penciptaan adam sehingga nabi yang akhir iaitu Rasulullah saw mulai dari 9 tahun. (kerana waktu itu baru dibenarkan meminjam buku di perpustakaan) Selalu terlintas di benak saya mengapakah hanya nabi Muhammad sering diagung-agungkan dalam setiap ceramah-ceramah sedangkan nabi-nabi yang lain juga mempunyai misi yang sama menegakkan agama Allah (maafkan saya, masa saya lingkungan umur bawah 10 tahun saya ada favorite cerita nabi sendiri yang selain Nabi Muhammad- selepas itu saya berasa amat berdosa pula kerana dikatakan Rasulullah itu penghulu segala nabi juga kekasih Allah- kata-kata yang selalu saya dengar). Dalam tempoh menginjak dewasa, semakin banyak persoalan yang berpusing di kepala saya kerana fikirkan pula logik disebalik setiap bacaan dari kitab-kitab agama karangan tokoh ulama yang besar-besar tu kerana dikesampingan itu genre pembacaan saya pelbagai. Saya tidak cenderung kepada agama sahaja tetapi saya suka pelbagai genre bacaan macam sains (fisiologi utamanya), sejarah ketamadunan & budaya, geografi dan falsafah.

Apabila semakin meningkat dewasa saya terfikirkan bagaimana Rasulullah boleh mengawini Aisyah yang dipercayai berusia 7 tahun, dan berbagai persoalan yang tidak logik saya fikirkan. Yang semuanya bertitik dari pembacaan saya, tentunya saya tidak berani mempersoal segala kelogikan menurut akal masa tu dan ianya hanya berlegar-legar difikiran tanpa jawapan yang pasti. 

Antara lain tentang sunah berpoligami. Mereka (yang mengikut sunah) ambil hadis yang bertepatan dengan keinginan mereka tetapi melupakan pula pada Rasulullah yang berpoligami HANYA dengan janda-janda yang kematian suami (sewaktu berperang) (kecuali Aisyah) adalah bagi mengelakkan status perempuan yang ramai jadi janda rendah martabatnya. Kerana pada waktu itu sahabat-sahabat nabi beristeri hingga mencecah belasan orang mengakibatkan status wanita dipandang hina dan murah. Maka turunlah ayat yang membenarkan hanya kepada 4 orang isteri sahaja tapi Allah menyertakan syaratnya. Itu yang kita dapati bila kita menyingkap pada fakta sejarah.

Relevan dan menepati ayat Allah, 4:3. Jika kamu takut kamu tidak akan berlaku adil terhadap anak-anak yatim, maka kahwinilah perempuan-perempuan yang nampak baik bagi kamu, dua, dan tiga, dan empat; tetapi jika kamu takut kamu tidak akan berlaku adil, maka satu sahaja, atau apa yang tangan-tangan kanan kamu miliki; maka ia lebih dekat bagi kamu untuk tidak buat aniaya.

Tetapi sekarang ini apa yang kita lihat. Mereka-mereka ini yang berpegang dengan hadis nabi itu pula melawan sunahnya. Tentunya yang mereka mahu kawini itu bukan janda-janda yang melarat hidupnya dan tidak sekali-kali mahu terbeban dengan bertanggung jawab terhadap anak-anak yatim. Jadi sunah berpoligami patut terbatal jika sememangnya hanya mementingkan nafsu semata-mata dan jauh untuk berlaku adil. Kita imbas pula satu lagi hadis yang berkaitan, Nabi marah betul bila Ali bin Abi Talib hendak berkawin lagi. Nabi langsung tidak beri keizinan kecuali Ali menceraikan Aisyah terlebih dahulu. Dan kata Nabi lagi setiap satu perkara yang menyakitkan hati Aisyah akan menyakitkan hatinya juga.. Pelik betul, hadis yang ini tak selalu diguna pakai, dah kalau macam tu maknanya sunah tentang berpoligami tidak praktikal disebabkan pernyataan nabi itu juga jika tidak disebabkan keadaan yang darurat macam kes kat atas atau bagi membantu janda-janda malang dan anak-anak yatim yang terbiar. Boleh?

Untuk bersikap adil adalah satu perkara yang sukar, seperti juga kitab-kitab tulisan manusia tidak mampu memuaskan semua manusia. Bukti, ada macam-macam mazhab dan boleh ikut mana suka tapi satu lagi peliknya orang yang tidak mengikut mana-mana mazhab (berpegang pada al Quran sahaja) dikatakan sesat dan murtad pula. Poligami jelas boleh di dalam al Quran tetapi Allah mengingatkan tentang ADIL. Makanya yang jadi huru-hara dalam institusi keluarga yang suaminya mengamalkan poligami adalah kerana tidak berlaku adil. (tidak dapat memuaskan hati isteri-isteri) Jelasnya manusia itu yang tidak mampu bersikap adil tapi menurut nafsu seterusnya akan mengabaikan anak-anak dan nasib malang wanita masih tidak terbela. Lagi banyak masalah kalau ikut sunah nabi tapi kalau ikut al Quran Allah kata boleh tapi syaratnya ADIL dan keutamaan adalah dengan tujuan membantu janda-janda dan anak-anak yatim yang terbiar. Setuju. 

Memang benar menurut saudara Azahidi, kita telah mengguna pakaikan budaya arab dalam struktur budaya kita. Bila dikatakan Islam mesti kita secara tidak langsung melihat kaitannya dengan arab. Bukankah dikatakan Islam itu Universal tapi sebaliknya kita taksub pada arab. Dan sepatutnya kita melihat al Quran itu dari mesejnya bukannya melagu syairkannya tanpa kita tahu bait butirnya. Teringat saya sewaktu kecil dulu, opah memang suka mendengar berita larut malam dari Radio Satu Malaysia dan selepas itu ada lagu-lagu arab dari mesir yang berlagu syahdu. Dan saya selalu cakap pada mak, entah-entah, apa yang dilagukan tu bercakap tentang cinta nafsu dan tidak berunsur Islamik langsung tapi disebabkan dinyanyikan dalam bahasa arab maka secara otomatik opah terima bulat-bulat. Dan bila saya yang setahun jagung masa tu protes depan opah, tentunya bangkitkan kemarahannya dan menyalahkan emak saya tidak mendidik saya dengan baik. (betapa opah taksub dengan muzik arab yang diingatnya bermesej baik dan mengatakan lagu-lagu zaman sekarang ni berunsur negatif) 

Mungkinkah imam shafie (imam besar tu) sedikit sebanyak mahu mempromosikan arab, (jika saya keterlaluan, maafkan saya) ambil contoh pemakaian jubah, janggut, serban, jilbab, dan sebagainya. Jika kita meneliti sejarah, tentunya Abu Jahal, Abu Lahab dan kroni-kroninya (isteri-isteri mereka tentunya berjilbab dan menutup aurat maha hebat dari kita sekarang yakni nampak biji mata saja) juga berjubah, berserban (yang entahkan lebih besar lilitnya dari serban alim ulama yang ada sekarang) berjanggut, sebagainya tapi mereka ini bukan Islam. Bagaimana ini? Kenapa tidak kita melihat dari perspektif geologi mereka. Bukankah arab itu sebuah negara padang pasir yang amat hebat suhu panasnya. Jadi patutkah perkara seperti itu jadi ikutan kita? 

Lagi yang lain, kalau ikut dalam sunah, nabi suka makan kambing (sama seperti mereka yang duduk di pergunungan, tidak ingat namanya tapi ada tonton di National Geographic di mana bertujuan mereka untuk memanaskan badan mereka dan tidak merosakkan sistem badan kerana sememangnya persekitaran mereka begitu) tapi cuba kita di Negara beriklim Khatulistiwa ini mengikut begitu sentiasa, tidakkah akan menjejaskan sistem badan kita yang akan mengakibatkan mudarat pula. (Disini kalau kita gunakan akal “betapa maha berkuasa Allah cipta setiap manusia mengikut persekitarannya dengan pengimunan masing-masing, mampan diri masing-masing. Setuju?”.)

Jadi sekarang jelaslah tentang ayat Allah: Hanyalah benda-benda ini yang Dia haramkan kamu: bangkai, dan darah, dan daging babi, dan apa-apa yang disucikan kepada selain Allah. Namun begitu, sesiapa yang terpaksa, dengan tidak menginginkan dan tidak menderhakai, maka tidaklah berdosa kepadanya; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih. (2:173)

Tapi kita tidak mengikut al Quran tetapi Halal mengikut apa yang orang arab makan dan mengHaramkan pula pada makanan yang arab tidak suka makan. 

Allah juga tidak menyuruh kita melupakan dunia dan memaksa diri terus beribadat semata-mata. Namun kebanyakan apa yang saya baca dari cerita-cerita sufi dan wali-wali Allah, semuanya lakukan ibadah yang keterlaluan dalam mencari tuhan yang hakiki (kononnya), pulak tu mereka-mereka ini dikatakan telah Allah tunjukkan ganjaran syurga siap dengan mahligai dan tentunya para bidadari (perkara wajib ada) yang melayaninya. Kemudian dari kisah sufi atau wali-wali Allah itu yang dikatakan ganjarannya begitu dan begini selalunya mengutamakan para lelaki (menjurus pula kepada ganjaran seks iaitu layanan para bidadari yang dikatakan dalam mereka mampu berjimak dalam masa sehari dengan 100 bidadari) Belum lagi saya berjumpa mana-mana buku yang menulis keistimewaan (ganjaran) yang kaum perempuan perolehi. 

Mengikut pendapat saya, kita bukan sepatutnya mengikut apa nabi buat, begitu atau begini tapi kita mengikut apa yang al Quran gariskan. Kita nak ikut orang arab atau mengikut al Quran sebagai panduan yang sesuai untuk semua zaman dan keadaan. Susah benarkah kita hendak percaya. Tambahan, orang arab hanya mandi seminggu sekali (pernyataan ini dari pendakwah arab sendiri iaitu Dr. fatimah az-zehra asalnya kaherah; yang saya dengar ketika ceramah sempena hari raya haji tahun lalu) mahu ikut juga. Diulangi sekali lagi sebabnya atas dasar geografi. Jika bertabiat mandi seperti amalan kita di negara beriklim Khatulistiwa macam kita ni boleh mudaratkan badan orang-orang arab tu.

Selepas kenal al Quran (seperti saya yang semakin faham tentang mesejnya) itu barulah kita akan mengenali Islam dengan lebih dekat. Kita selalu didengarkan tentang barat yang mengguna pakai pengetahuan Islam dan keberjayaan mereka adalah kerana meminjam pengetahuan Islam (yang dari ras arab tu). Kesimpulan yang saya perolehi, apa akan berlaku jikalau barat ambil pengetahuan tentang cerita-cerita sufi yang tekun beribadat dan langsung mengabaikan duniawi tentunya mereka tidak akan gah seperti sekarang ini sebaliknya lesu dan lemah. Sebenarnya barat bijak ambil sesuatu yang relevan baginya untuk memajukan negaranya. Barat mengutip keilmuan dari tokoh Islam disesuaikan mengikut persekitarannya tetapi tidak mengikut budaya tokoh arab itu. Kalau kita pulak, ikut sekali cara pemakaian lagi barakah (entah siapa punya idea) Kita hari ini Islam mengikut budaya arab. Mengikut sunah dan hadis nabi yang berbangsa arab (entahkan bukhairi, syafie menokok tambah bagi mempromosikan arab sedangkan Rasulullah tidak pula buat begitu-begini dan kalau buat pun bersesuaian dengan geografi muka bumi arab itu dan keselesaan nabi sendiri dalam kehidupan sehariannya) dan kita pula menurut tanpa langsung menghayati mesej yang tertulis di dalam al Quran. 

Saya ingin ambil contoh diri saya sendiri, sebelum menemui laman web ini saya juga ‘mengakui’ (jarang mengikut) sunah nabi, membaca hadis bukhairi, muslim dll (walaupun akal saya mengatakan tak boleh pakai langsung hadis ni dan sebahagiannya yang saya dapati bercanggah-canggah. Semuanya hanya terpendam dalam hati. Hendak menafikan kebenaran hadis imam-imam besar ini ketika itu- TINDAKAN/HUKUMAN Difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri. Hendak baca al Quran, sepatah haram saya tak faham) Kini saya berasa yakin dengan berpegangkan kitab Allah. Alhamdulillah keterbukuan hati saya selama ini dapat saya kongsi dengan saudara. 

Saya rasa yang perlu pada alim-alim ulamak bukan hanya bertekun membaca dari kitab-kitab tuan syeikh sebagainya yang terdahulu. Jika hendak berkiblatkan sunah-hadis itu, rujuk semua aspek jangan semata-mata kata-kata ulama agama tapi ambil juga apa kata ulamak ekonomi, apa kata ulamak alam sekitar, (geografi) apa kata ulamak astrologi (sejarah) dan apa kata ulamak sains (nak tambah lagi pun boleh) Contoh: Disunatkan tidur siang sebelum menginjak ke petang seperti nabi. Apakah relevannya dengan negara kita? Kata pakar Geografi, Negara arab bercuaca panas dan waktu itulah yang sesuai dimanfaatkan berehat seketika. Ulamak-ulamak yang tidak berfikir panjang terus mahu menerima tanpa usul periksa. Tak nak rujuk camana muka bumi (Geologi) arab tu samakah dengan negara kita ni. Tubuh badan mereka (yang besar gadang) tentulah lain jenis pemakanannya. Kenapa kita makan nasi, kenapa tak cekit saja roti gandum cicah kuah dhal hari-hari. Maka jadilah kita seperti kata Mahadhir dalam Malay Dillema.

Rasanya ulamak-ulamak sekelian kena baca juga buku pasal aestetik, apa Plato tulis, apa Socrates cakap, Samuel frued (tokoh yahudi) pun boleh kita baca, bible pun boleh dirujuk (bukan boleh jadi murtad) Jangan nanti berceramah cakap pasal bagaimana rupanya Rasulullah itu (sekadar memetik beberapa) “Rasul itu kemerah-merahan kulitnya tidak terlalu putih tidak pula gelap, dan peluhnya jika menitik seperti mutiara yang berbutir turun dari tabir dagu ke janggut-janggutnya…… bla…bla… Bila mendengar ceramah ustaz ini (dulu dia ni penyanyi) teringat pula saya cerita pasal Hang Tuah dalam Hikayat Tan Sri Lanang menyebut tentang kegagahan Hang Tuah itu “8 hasta lebar dadanya, ukuran badannya…. Tapak kakinya…. (pendek kata segala yang muluk-muluk dan manis-manis) 

Kesimpulan saya, kitab-kitab buatan tangan manusia tu hanya sesuai dalam lingkungan zamannya saja (sewaktu tika dia menulis) dan apabila zaman berubah maka penulisannya tidak mampu disesuaikan dengan eranya dulu. Akan adalah penokohan dan penambahan mengikut peredaran lalu ianya jadi tidak praktikal. Jauh bezanya dengan al Quran, jelas praktikal dan kekal sesuai mengikut peredaran. Putusannya menjelaskan. 

Sekian, terima kasih.

P/S: Maaflah kerana terlalu panjang, harap tidak membebankan saudara.


Salamun alaikum,

Pengakuan saudari untuk kembali kepada al-Qur'an ditontonkan di sini, untuk pengamatan umum, dan pengakuan tersebut, sama ada ditontonkan atau tidak, tentu juga disaksi oleh Allah sendiri (sama ke atas pengakuan orang yang menolak al-Qur'an, pun disaksikan-Nya jua).

Sebab-sebab telah disampaikan dengan jelas. Kesanggupan untuk meluahkannya, terutama kritikan terhadap ajaran Islam yang bukan Qur'an, pada pandangan kami, adalah satu langkah untuk stand up and be counted. Syabas!

Semoga dengan tindakan itu masyarakat kita dapat kembali bersama saudari kepada Kitab Allah, dan selanjutnya tidak ditimpa sebarang kemurkaan dari langit dalam bentuk bencana alam atau bencana lain yang mengazab.

"Segala puji bagi Allah, Pemelihara semua alam."


16 Oktober 2005

P/S: Selamat meneruskan amalan puasa.
 

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman