Adam dicipta dewasa dan jadi Nabi?

 

From: "abdul khalid"
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: adam
Date: Thursday, August 11, 2005 8:36 PM

salaam

saudara 

ada dua perkara yang ingin saya dapat jawapannya. apabila nabi Adam dan Hawa dimasukkan ke syurga, maka Allah perintahkam mereka makan dan bersukaria (enjoy). tiada perintah sujud, puasa, dan lain-lain aktiviti.

2. Hadith tidak menerangkan apabila Nabi Adam dicipta, adakah bentuk badan Nabi Adam seorang kanak-kanak atau dewasa.

sekian terimakasih 

gk


Salamun alaikum,

Terima kasih kepada saudara "gk" atas e-mailnya, dan kesudian bertanya mengenai dua perkara. Satu daripadanya agak sukar namun kami akan cuba menjawabnya.

Dimula dengan menyatakan bahawa Adam tidak disebut sebagai seorang Nabi di dalam al-Qur'an. Tidak ada ayat yang mengatakan baginda seorang Nabi. Senarai ayat-ayat al-Qur'an yang mengandungi perkataan 'Nabi' jadi bukti, dan dapat dibaca di sini.

Oleh itu, baginda tidak diwahyukan seperti seseorang Nabi diwahyukan. Dalam senarai nama beberapa orang Nabi, iaitu mereka yang diwahyukan Allah, nama Adam tidak disebut. Senarai tersebut bermula dari Nuh, didapati di dalam ayat berikut:

"Kami wahyukan kamu (Muhammad) sebagaimana Kami wahyukan Nuh, dan Nabi-Nabi selepasnya, dan Kami wahyukan Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub, dan puak-puak, dan Isa, dan Ayub, dan Yunus, dan Harun, dan Sulaiman, dan kami beri Daud, Zabur." (4:163)

Baginda juga didapati tidak diturunkan atau diberi daripada Allah seperti seseorang Nabi. Ayat yang menjelaskannya turut tidak menyebut nama Adam, berbunyi,

"Katakanlah, 'Kami percaya kepada Allah, dan apa diturunkan kepada kami, dan apa diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub, dan puak-puak, dan apa diberi kepada Musa dan Isa, dan apa diberi kepada Nabi-Nabi daripada Pemelihara mereka. Kami tidak beza-bezakan seorang pun antara mereka, dan kepada-Nya kami muslim.'" (2:136)

Justeru itu, Adam tidak diturunkan daripada Allah sebuah Kitab seperti seseorang Nabi diturunkan. Sesungguhnya, tiap-tiap Nabi diturunkan Kitab daripada Allah (2:213).

Kerana tidak diberi Kitab, atau diwahyu seperti seseorang Nabi diwahyu, maka didapati "tiada perintah sujud, puasa, dan lain-lain aktiviti" kepada Adam.

Walaupun begitu, anak-anaknya didapati lakukan amalan qurban pula. Firman Tuhan,

"Dan kamu bacakan kepada mereka cerita dua orang anak Adam dengan sebenarnya; ketika mereka persembahkan satu qurban ....." (5:27).

Mungkinkah itu satu-satunya suruhan daripada Allah kepada Adam, anak-anaknya, dan manusia lain, dalam ketundukan mereka kepada-Nya? Harus diingat bahawa manusia pada zaman itu tidak seperti zaman ini. Anak Adam didapati tidak tahu cara mengebumikan mayat ketika itu (5:31). Tetapi amalan qurban tetap dilakukan hingga ke zaman ini.

Beralih kepada soalan kedua yang agak sukar dijawab - adakah Adam berjasad seperti bayi atau orang dewasa ketika dicipta?

Untuk itu kami turunkan ayat-ayat al-Qur'an yang mengisahkan peristiwa yang berlaku di sekitar ciptaannya, dengan harapan jawapan jadi jelas dengan petunjuk Allah. Bermula dengan satu kumpulan ayat, dari yang berbunyi,

2:30. Dan apabila Pemelihara kamu berkata kepada para malaikat, "Aku akan letak di bumi khalifah (pengganti)." Mereka berkata, "Adakah Engkau letak di dalamnya orang yang akan buat kerosakan di dalamnya dan tumpahkan darah, sedang kami sanjung dengan memuji-Mu dan panggil Engkau Suci?" Dia berkata, "Sesungguhnya Aku tahu apa yang kamu tidak tahu."

Ayat yang menyusulinya terus menyebut nama Adam, buat pertama kali di dalam al-Qur'an, dan baginda selanjutnya dikatakan telah diajar nama-nama, tanpa kehadiran para malaikat. Ketika itu tidak mungkin Adam bersifat seperti bayi:

2:31. Dan Dia ajar Adam nama-nama, kesemuanya, kemudian Dia kemukakan kepadapara malaikat. Dia berkata, "Sekarang beritahu Aku nama-nama ini semua, jika kamu berkata benar."

2:32. Mereka berkata, "Engkau disanjung! Kami tidak ada pengetahuan melainkan apa yang Engkau ajar kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Mengetahui, Yang Bijaksana."

2:33. Dia berkata, "Wahai Adam, beritahu mereka nama-namanya", maka setelah dia beritahu mereka nama-namanya, Dia berkata, "Tidakkah Aku kata kepada kamu bahawa Aku tahu perkara-perkara yang ghaib di langit dan bumi, dan Aku tahu apa yang kamu nampakkan dan apa yang kamu sembunyikan?"

Setelah Adam beritahu nama-namanya, para malaikat disuruh sujud kepadanya.

2:34. Dan apabila Kami berkata kepada para malaikat, "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud kecuali Iblis. Ia enggan, dan ia sombong, dan ia jadi antaraorang-orang tidak percaya (kafir).

Selepas ayat di atas, isteri Adam pula disebut di dalam ayat yang menurutinya:

2:35. Dan Kami berkata, "Wahai Adam, tinggallah kamu dan isteri kamu di Taman (Jannah), dan makanlah daripadanya dengan senang di mana kamu hendak, tetapi jangan dekati pokok ini, supaya kamu tidak jadi orang-orang zalim."

Seperti yang dapat dilihat, ayat-ayat di atas tidak menunjukkan Adam dicipta bermula dari peringkat bayi. Ayat selanjut menjelaskan tentang dua peringkat yang dilalui dalam ciptaan Adam, iaitu cipta dan membentuk, berbunyi,

7:11. Kami cipta kamu, kemudian Kami bentuk kamu, kemudian Kami berkata kepada para malaikat, "Sujudlah kamu kepada Adam"; maka mereka sujud, kecuali Iblis; ia bukan daripada orang-orang yang sujud.

Ayat-ayat seterusnya (7:12-18) mengisahkan "perbualan" Tuhan dengan Iblis, yang kemudian diikuti ayat mengandungi perkataan 'isteri' kepada Adam, berbunyi,

7:19. "Wahai Adam, tinggallah kamu dan isteri kamu di Taman, dan makanlah dari mana kamu hendak, tetapi jangan dekati pokok ini supaya kamu tidak termasuk orang-orang zalim."

Melencong sebentar untuk mengingatkan iaitu Adam dan isteri hanya disuruh makan bukan "makan dan bersukaria (enjoy)". Mungkin enjoy berlaku setelah mereka makan daripada pokok yang terlarang di Taman tempat mereka tinggal!!

Kembali kepada perbincangan mengenai ciptaan Adam, tentang dua perkataan, cipta dan membentuk, yang disebut di dalam ayat 7:11 tadi. Yang pertama bermaksud cipta daripada tanah, sementara yang kedua berlalu selepas itu. Kedua-dua proses berlaku sebelum para malaikat disuruh sujud kepada Adam. Firman Tuhan,

"Dan apabila Pemelihara kamu berkata kepada para malaikat, 'Sesungguhnya, Aku cipta seorang manusia daripada tanah liat yang kering, daripada lumpur yang dibentuk, Apabila Aku sudah membentuknya, dan hembus Roh-Ku ke dalamnya, jatuhlah kamu bersujud kepadanya.'" (15:28-29)

Proses pembentukan berlaku di dalam rahim, seperti dijelaskan di dalam petunjuk Allah berbunyi,

"Dia yang bentuk kamu di dalam rahim seperti yang Dia hendaki." (3:6)

Tetapi Adam dibentuk tanpa melalui rahim. Pembentukan di dalam rahim akan melahirkan bayi, bukan orang dewasa. Seperti Nabi Isa yang dibentuk di dalam rahim dan dilahirkan sebagai bayi. Pun begitu, Adam dikatakan sama dengan Nabi Isa. Firman Tuhan,

"Sesungguhnya persamaan Isa di sisi Allah seperti persamaan Adam. Dia ciptanya daripada tanah, kemudian Dia berkata padanya, 'Jadilah', maka jadilah dia." (3:59)

Persamaannya dengan Nabi Isa adalah pada ciptaan. Akan tetapi dalam pembentukaan mereka, yang tidak disebut di situ, didapati tidak sama, kerana Adam tidak dibentuk di dalam rahim, seperti Isa.

Lantas, Adam kelihatan seperti seorang dewasa apabila dicipta, menurut apa yang difahamkan daripada ayat-ayat al-Qur'an. Namun, kami tidak berani buat kesimpulan bahawa itu adalah satu hakikat. Kerana beberapa soalan akan timbul. Seperti, kalau Tuhan hendaki Adam dicipta bermula dari peringkat bayi, tanpa melalui rahim, maka Dia tentu mampu lakukannya, meskipun proses tersebut masih belum dikuasai oleh para saintis dewasa ini.

Apa yang jelas bagi kami ialah bahawa Adam seorang dewasa ketika para malaikat disuruh menyembahnya sebab dikatakan mempunyai seorang isteri sejurus selepas sebutan suruhan ke atas malaikat itu dibuat. Dan baginda bukan seorang Nabi, tidak diwahyu atau diturunkan Kitab seperti seorang Nabi, lalu tidak diberi suruhan seperti orang-orang diberi Kitab disuruh.

Apa pendapat anda?


13 Ogos 2005

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman