Berquran dan Jaminan

 

From: "mizam"
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Pertanyaan
Date: Tuesday, July 05, 2005 10:47 PM

Saya Ada beberapa soalan yang ingin saya tanya kerana tidak pasti.

1) Adakah tujuan kita berquran? Adakah quran ini untuk semua ahli kitab atau semua manusia? Saya bertanya soalan ini kerana kawan saya bertanya pada saya setelah saya tunjukkan padanya mengenai bukti yang tercatit dalam quran," Siapa kah kamu ? Adakah engkau ustaz untuk melecture aku?" Sedangkan dia sendiri belajar di UIA.

2) Dan apakah misi kita berquran? Sebabnya saya bertanya adalah saya tidak mengerti adakah kita berpegang pada alquran dan sunnah sedangkan kita cuma sembahyang, puasa dan buat kebajikan. Kita tidak merasakan apa orang 2 terdahulu merasakan seperti yang tercatit pada surah 2:214. Adakah dengan lakukan sembahyang, puasa dan buat kebajikan boleh menjamin kita masuk syurga?


Salamun alaikum,

Kami tidak faham mengapa e-mail di atas yang bertarikh sebulan yang lalu baru diterima semalam. Ini bukan kali pertama kami menerima e-mail yang backdated. Sebelum ini kami pernah terima daripada orang lain. Apapun, terima kasih kepada pengirim yang sudi menulis kepada kami untuk bertanya.

Jawapan kepada pertanyaannya dimulakan dengan kenyataan paling menarik perhatian kami tetapi berada di soalan nombor 2. Kenyataan yang dimaksudkan berbunyi "tidak merasakan apa orang 2 terdahulu merasakan".

Pada hemat kami, keadaan yang dirasakan itu berkait rapat dengan ayat-ayat Allah, iaitu al-Qur'an. Sekiranya ayat-ayat tersebut telah disampaikan satu-satunya kepada orang lain tentu beliau akan rasa sesuatu, seperti perasaan sedih. Kerana kebanyakan orang akan lari daripadanya, dan rasa meluat terhadapnya, jika Allah tidak disebut bersama yang selain daripada-Nya. Itu adalah kebenaran yang dinyatakan di dalam ayat-ayat di bawah:

"Dan apabila kamu mengingatkan (menyebut) Pemelihara kamu satu-satunya di dalam al-Qur'an, mereka berpaling ke belakang mereka dalam pelarian." (17:46)

"Apabila Allah diingatkan (disebut) satu-satunya, maka meluatlah hati orang-orang tidak percayai akhirat, tetapi apabila orang-orang selain daripada Dia disebut, tiba-tiba mereka gembira." (39:45)

Orang-orang yang rasa meluat apabila Allah dan ayat-ayat-Nya disebut satu-satunya tetapi bergembira apabila Dia disekutukan dengan yang selain daripada-Nya dianggap Allah sebagai orang-orang tidak percayai akhirat. Itu sungguh berat.

Misalan, jika disebut "alquran dan sunnah" mereka berasa gembira tetapi jika ayat-ayat al-Qur'an sahaja disebut mereka rasa meluat, dan lari. Sebenarnya mereka yang berakidah demikian tidak percaya kepada ayat-ayat Allah. Dia jelaskan:

"Itu adalah kerana, apabila diseru kepada Allah satu-satunya, kamu tidak percaya; tetapi jika yang lain disekutukan dengan-Nya, maka kamu percayai." (40:12)

Contoh paling mudah bagi mereka ialah cara beri salam hormat ajaran Tuhan di dalam al-Qur'an, Salamun alaikum, yang didapati amat sukar diterima kerana mereka percaya salam ajaran "sunnah" adalah benar lagi Islamik.

Ketidakpercayaan terhadap Allah jelas kelihatan apabila pengirim e-mail menunjukkan ayat al-Qur'an kepada seorang rakan yang belajar di UIA. Kesombongan telah mengambil rakannya lalu keluarkan kata-kata menghina yang tidak relevan dengan kebenaran. Tiada yang mampu mengubah pendiriannya, tidak juga alasan-alasan yang memenuhi kandungan artikel Surat kepada Rektor U.I.A dan Upah Mengajar Agama walaupun mereka berdasarkan ayat-ayat Tuhan.

Demikianlah itu satu contoh penolakan daripada seorang manusia. Sekiranya pengirim e-mail telah terus menunjukkan bukti daripada al-Qur'an, dan beramal seperti yang diajar di dalamnya, maka sudah tentu penolakan itu akan merebak kepada orang-orang lain pula, yang akhirnya akan buat beliau menjadi dalam musibah dan kesusahan seperti disebut di dalam ayat Allah yang beliau nyatakan, berbunyi,

"Atau, adakah kamu sangka kamu akan masuk Taman (Jannah) tanpa datang kepada kamu yang sama dengan orang-orang yang telah berlalu sebelum kamu? Mereka disentuh musibah dan kesusahan, dan mereka digoncangkan sehingga Rasul dan orang-orang yang percaya bersamanya berkata, 'Bilakah datang pertolongan Allah?' Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah dekat." (2:214)

Sungguh, kemasyghulan dan kesusahan, dan kegoncangan, akan dilalui oeh orang-orang yang benar-benar ikut ayat-ayat Allah, atau ikut Jalan Allah. Keadaan itu berlaku di negara ini, dan di tempat lain, termasuk di negara pengirim surat sendiri. 

Tekanan yang dihadapi, yang turut datang dari ahli keluarga mereka, dapat difahami lagi dengan membaca artikel Kebencian orang tidak percaya dan Musuh orang percaya.

Kesombongan yang ditunjukkan oleh rakannya adalah suatu yang lazim, baik daripada orang-orang yang diikuti mahupun orang-orang yang ikut dalam agama. Tidak macam mereka daripada sebuah agama lain seperti dijelaskan Allah di dalam ayat berikut:

"sungguh kamu dapati mereka yang paling dekat dalam kasih sayang terhadap orang-orang yang percaya ialah orang-orang yang berkata, 'Kami adalah orang-orang Kristian'; itu adalah kerana sebahagian mereka adalah paderi-paderi dan rahib-rahib, dan mereka tidak sombong." (5:82)

Kesombongan yang dinampakkan itu kononnya terbit apabila ditunjukkan kepadanya ayat Allah mengenai al-Qur'an, yang diturunkan bukan khas bagi ahli Kitab, tetapi semua manusia. Sebab penolakan tidak diketahui, tetapi ayat-ayat Allah yang berkaitan adalah amat jelas. Buktinya di bawah ini:

"Ini (al-Qur'an) ialah satu penyampaian bagi manusia supaya mereka diberi amaran dengannya, dan supaya mereka tahu bahawa Dia Tuhan Yang Satu, dan supaya semua yang empunya minda mengingati." (14:52)

"Ia (al-Qur'an), tidak lain, melainkan Peringatan bagi semua alam." - 38:87. (Mesej yang sama terkandung di dalam ayat-ayat 68:52 dan 81:27.)

Justeru, al-Qur'an bukan milik mana-mana pihak tertentu. Ia milik semua hamba Allah. Kepada siapa saja ia sampai, Mesej-Nya harus dipanjangkan pula kepada orang lain. Firman-firman-Nya,

"dan al-Qur'an ini diwahyukan kepadaku (Muhammad) supaya aku beri amaran kepada kamu dengannya, dan sesiapa ia sampai." (6:19)

"Dan beri berita gembira kepada orang-orang yang percaya dan buat kerja-kerja baik (amal salih), bahawa bagi mereka taman-taman (jannah) yang di bawahnya mengalir sungai-sungai." (2:25)

"Orang-orang yang menyampaikan Mesej-Mesej Allah, dan takut kepada-Nya, dan tidak takut pada sesiapa jua kecuali kepada-Nya; dan cukuplah Allah sebagai penghitung." (33:39)

Kata-kata "tidak takut pada sesiapa jua kecuali kepada-Nya" yang terkandung di dalam ayat di atas beri isyarat tentang kewujudan pihak-pihak yang mengancam orang-orang yang menyampaikan ayat-ayat Allah.

Amalan sampaikan ayat-ayat al-Qur'an termasuk dalam "misi kita berquran". Misi tersebut amat mencabar dan berbahaya kerana kebanyakan manusia, termasuk yang mengaku Islam, tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, dan mereka pula tidak segan lakukan keganasan terhadap orang lain yang tidak sefahaman.

Akhir sekali, pengirim e-mail bertanya mengenai jaminan masuk syurga dengan soalan berbunyi "Adakah dengan lakukan sembahyang, puasa dan buat kebajikan boleh menjamin kita masuk syurga?"

Untuk menjawab soalan itu, izinkan kami mengingatkan bahawa Allah tidak ajar supaya manusia berasa sudah terjamin berada dalam pengasihan-Nya, seperti masuk syurga, walaupun sudah bermisi dengan al-Qur'an. Sebaliknya pula, Dia hanya ajar supaya mereka menaruh harapan terhadap pengasihan-Nya. Sila renungkan empat ayat yang diturunkan di bawah ini:

"Tetapi orang-orang yang percaya, dan orang-orang yang hijrah, dan berjuang di jalan Allah, merekalah yang mempunyai harapan daripada pengasihan Allah; dan Allah Pengampun, Pengasih." (2:218)

"Janganlah buat kerosakan di bumi setelah ia dibetulkan, dan serulah kepada-Nya dengan rasa takut, dan penuh harapan. Sesungguhnya pengasihan Allah dekat dengan orang-orang buat baik." (7:56)

"Tetapi jika kamu berpaling daripada mereka, untuk inginkan pengasihan daripada Pemelihara kamu yang kamu harapkan, maka ucapkanlah kepada mereka perkataan-perkataan yang lemah lembut." (17:28)

"Sesungguhnya orang-orang yang baca Kitab Allah, dan lakukan solat, dan nafkahkan (belanjakan) daripada apa yang Kami rezekikan mereka, secara rahsia dan secara terbuka, mereka mengharapkan perdagangan yang tidak sia-sia, Supaya Dia bayar sepenuhnya upah mereka, dan tambahkan kepada mereka pemberian-Nya; sesungguhnya Dia Pengampun, Berterima Kasih." (35:29-30)

Tambahan lagi, bukan sahaja pengasihan dan pemberian daripada-Nya yang harus diharapkan malah keagungan yang ada pada-Nya jua. Firman-Nya,

"Mengapakah dengan kamu, bahawa kamu tidak mengharapkan keagungan pada Allah," (71:13).

Begitu juga dengan taubat. Bagi orang yang benar-benar bertaubat pun jangan rasa sudah terjamin taubatnya diterima kerana Allah hanya mengatakan 'mungkin' sahaja. Firman-Nya,

"Wahai orang-orang yang percaya, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang tulus hati; mungkin Pemelihara kamu akan lepaskan kamu daripada kejahatan-kejahatan kamu, dan masukkan kamu ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai." (66:8)

Boleh jadi sebab Dia berkata demikian - 'mengharapkan' dan 'mungkin' - adalah supaya manusia terus berusaha untuk-Nya, dengan tidak berasa sombong tetapi rendah hati dan takut kepada-Nya, dan sentiasa mengingati bahawa janji-Nya adalah benar belaka.

Terima kasih.


7 Ogos 2005


Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman