Sejarah Azan - Respon

 

Respon saudara Azahidi telah disampaikan melalui attachment yang kami turunkan bersama suratnya di bawah ini:

 

From: azahidi@
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Respons kepada
Sejarah Azan
Date: Tuesday, June 07, 2005 3:07 PM

Salamun 'alaikum

Disertakan respons kepada subjek sejarah azan.

Berkenaan dengan subjek azan sukacita saya beri sedikit pendapat sebagai sokongan kepada respons penulis Bacaan. Memang azan tidak pernah di syariatkan oleh Allah. Manusia yang mereka reka perbuatan tersebut

Berkaitan dengan subjek memanggil kepada solat, Quran hanya ada menyebut sebagai berikut:

Wahai orang-orang yang percaya, apabila dipanggil untuk solat pada hari berkumpul, bersegeralah kepada mengingati Allah, dan tinggalkanlah jual beli; itu lebih baik bagi kamu jika kamu tahu. (62:9)

Kalau diperhatikan di sini, Allah tidak beri cara khusus dalam perkara pemanggilan kepada solat. Cara memanggil tidak di khususkan. Maka terpulanglah kepada kita untuk menentukan cara yang paling baik di antara kita dan difahami semua. Harus diingat, apabila ianya tidak dikhususkan maka caranya mungkin berbeza-beza di antara satu tempat atau satu kaum atau pun satu budaya. Terpulanglah kepada pemikiran masing-masing apa yang paling baik dan sesuai.

Ayat di atas, dari satu sudut, menekankan supaya bersegera mengingati Allah dalam apa jua suasana walaupun masa sibuk.

Pada pendapat saya, cara pemanggilan yang lazim digunakan kebanyakan orang sekarang (yang dikenali sebagai azan) tidak salah oleh kerana ianya sudah diterima umum.

Yang salahnya ialah mengaitkannya (cara azan tersebut) dengan syariat Allah. Mengatakannya sebagai tuntutan Islam adalah tidak tepat dan mengelirukan kerana Allah tidak pernah mengkhususkan demikian.

Berkenaan dengan cerita oleh Farhan (dalam emailnya kepada Bacaan) bahawa, mengikut hadith, asal azan adalah dari mimpi seorang seorang sahabat, ianya mungkin betul, mungkin tidak. Ada juga hadith yang ceritakan usul azan sebagai berikut:

Dari Anas Bin Malik:

Bila jumlah orang Islam bertambah, mereka berbincang cara bagaimana hendak mengetahui waktu solat dengan cara yang mudah. Setengah mengesyorkan supaya dinyalakan api dan ada yang mengesyorkan untuk dibunyikan loceng. Bilal diarahkan untuk malaungkan lafaz azan dua kali dan iqama’ sekali sahaja.

Sahih Bukhari : Jilid 1, Buku 11, No 580:

Terdapat bermacam-macam lagi hadith berkenaan usul azan. Sila lihat Sahih Bukhari Jilid 1, Buku 11, No 578. Hadith ini adalah dari Ibnu Umar dan ceritakan bagaimana trompet juga pernah disyorkan sebagai cara azan.

Ada juga hadith yang ceritakan bahawa syaitan lari terkentut-kentut sejauh 38 batu apabila mendengar azan. Lucu sekali. (sila lihat Sahih Bukhari Jilid 1, Buku 11, No 582 dan Sahih Muslim Buku 4 No 1161 dan 0751). Mahukah kita percaya cerita syaitan kentut.

Kalau kita mendengar tok-tok guru ajar di pondok-pondok, madrasah-madrasah atau mesjid-mesjid bermacam-macam hukum rekaan telah diadakan berkaitan dengan subjek azan. Berbagai-bagai kategori pahala telah dipadankan dengan azan. Sebagai contoh, ada kitab rekaan manusia yang buat hukum bahawa sesiapa yang melakukan azan selama 4 tahun, ianya akan masuk syurga. Patutkah kita mengendahkannya? Pahala adalah hak Allah untuk menentukan, bukan manusia. Siapa yang masuk syurga, Allah yang tentukan bukan manusia.

Di kampung-kampung, sekarang ni masih lagi diamalkan mengazankan bayi yang baru saja lahir. Azan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri. Kalau tidak bayi tersebut akan mendengar bisikan syaitan dahulu dan akan jadi manusia yang tak baik.

Sebagai penutup, sukacita saya membawa kepada hadith lucu berikut :

Yahya ceritakan daripada bapa saudaranya bahawa dia sedang duduk bersama Mu'awiya b. Abu Sufyan bila Muazzin memanggil kepada solat. Mu’awiya berkata: Saya mendengar Rasul Allah berkata “Muazzin akan mempunyai leher yang terpanjang pada hari bangkit.” (Sahih Muslim Buku 4, No. 0750)

Apa mesej hadith tersebut ? Untuk beri kedudukan istemewa kepada pelaung azan?

Ada seorang Ulamak terkenal di Malaysia pernah berkata bahawa kita mesti menghormati azan, hinggakan sekiranya azan didengari semasa memandu pun kita patut berhenti sebagai menghormatinya. Bayangkan apa yang akan terjadi di Lebuhraya Persektuan.


Salamun alaikum,

Terima kasih kepada saudara Azahidi atas pandangan beliau untuk menghuraikan lagi tajuk yang dibincang, iaitu Azan. Kandungan responya sungguh menarik. Kami bersetuju dengannya, tetapi ingin menambah sedikit lagi.

Ayat yang disebut di atas (62:9) memang sudah dijangka akan diketengahkan. Maka ia jadi perkara utama dalam penyampaian kami di sini.

Ayat tersebut mengandungi perkataan 'dipanggil' di dalamnya. Perkataan itu bukan 'azan' dalam bahasa Arab, tetapi 'nudiya' yang terbit daripada 'nada'. Kedua-duanya mempunyai maksud yang berlainan.

Azan, atau adzaan, di dalam al-Qur'an bermaksud proclamation dalam bahasa Inggeris, atau pengisytiharan dalam bahasa kita. Contoh ayat yang mengandungi perkataan tersebut ialah:

"Satu pengisytiharan daripada Allah dan Rasul-Nya kepada manusia pada hari Haji Besar, 'Allah berlepas diri, dan Rasul-Nya, daripada orang-orang yang sekutukan. Maka jika kamu bertaubat, itu lebih baik bagi kamu; tetapi jika kamu berpaling, ketahuilah bahawa kamu tidak dapat kandaskan Allah.'" (9:3)

Seperti yang dinyatakan, perkataan adzaan tidak diguna di dalam ayat 62:9, tetapi nudiya atau nada. Contoh ayat yang mengandunginya berbunyi:

"Apabila dia datang kepadanya, dia dipanggil, 'Wahai Musa, Sesungguhnya Akulah Pemelihara kamu; tanggalkan kasut kamu; kamu adalah di lembah suci, Thuwa.'" (20:11-12)

Satu lagi contoh ialah:

"Dan jika kamu panggil kepada solat, mereka ambilnya dalam ejekan, dan sebagai satu permainan; itu kerana mereka adalah kaum yang tidak faham." (5:58)

Justeru, daripada dua ayat yang baru disebut, pada hemat kami, panggilan untuk solat bukan suatu pengisytiharan yang diumum atau dilaung kepada semua orang seperti yang lazim dilakukan, tetapi merupakan suatu ajakan yang agak peribadi, atau ditujukan khas kepada seseorang atau sekumpulan manusia, atau kepada golongan yang percaya (62:9) sahaja.

Selanjutnya, panggilan untuk kerjakan solat dalam ayat 62:9 adalah bagi hari-hari manusia berkumpul dan sibuk dengan permainan dan jual beli. Hari-hari itu, pada hemat kami, tidak berlaku setiap hari. Pada hari-hari tersebut memang wajar panggilan itu dibuat, takut nanti orang-orang yang percaya jadi lalai daripada lakukan solat. Bukan sahaja panggilan yang dibuat malah tempat solat juga disediakan dekat dengan kawasan permainan dan jual beli, seperti digambarkan di dalam ayat yang menyusul (62:11).

Panggilannya pula biarlah berpatutan, jangan sampai melaungkan nama Allah yang tidak disebut di dalam al-Qur'an mahupun dalam senarai 99 nama Tuhan anjuran para sarjana Islam, misalannya. Itu adalah suatu yang berat yang harus dijauhkan. Mungkin dengan panggilan seperti "Marilah bersolat wahai orang-orang yang percaya" sudah memadai.

Bagi keadaan lain, umpamanya mereka yang tinggal di rumah dengan aman, dan tinggal sekampung dengan orang-orang tidak percaya pula, mereka tidak perlu dipanggil dengan pembesar suara yang kuat bunyinya kerana mereka sudah pun dipanggil dengan ayat Allah berbunyi,

"Dan lakukan solat pada dua tepi siang, dan awal malam; sesungguhnya perbuatan baik menghilangkan kejahatan. Itu adalah satu peringatan bagi orang-orang yang mahu ingat." (11:114).

Panggilan ayat itu sentiasa didengari oleh hati orang-orang yang ingat serta takut kepada Allah. Ia lebih digeruni daripada panggilan muazzin, yang telah disebut di dalam salah sebuah "hadis" di atas. Muazzin (penyeru) seperti itu tidak disyariatkan oleh Allah. Pun begitu, perkataannya ada di dalam al-Qur'an, pada ayat-ayat berikut (dan tidak bermaksud penyeru untuk solat):

"Penghuni-penghuni Taman memanggil penghuni-penghuni Api, 'Kami dapati apa yang Pemelihara kami janjikan kami adalah benar. Adakah kamu dapati apa yang Pemelihara kamu janjikan kamu itu benar?' Mereka berkata, 'Ia.' Dan kemudian seorang penyeru antara mereka menyeru, 'Laknat Allah adalah ke atas orang-orang zalim,'" (7:44)

"Kemudian, apabila dia (Nabi Yusuf) menyiapkan untuk mereka persiapan mereka, dia letak gelas minumannya ke dalam pundi saudaranya. Kemudian orang yang menyeru berseru, 'Hai kafilah, kamu adalah pencuri-pencuri!'" (12:70)

Dengan muazzin itu pendapat kami berakhir. Pendapat kami tidak terlepas daripada sebarang kesilapan.

Terima kasih.

8 Jun 2005
 

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman