Fitrah Wanita dan Batasnya

 

From: "Si Fulan"
To: "Pengurus Laman" <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Re: Bulan Membelah
Date: Wednesday, May 18, 2005 11:30 AM

Salamun'alaikum

Alhamdulillah, sudah saya baca dan saya senang dengan jawabannya. Dan mungkin pertanyaan saya berketerusan, mohon dimaklumi adanya, dan bapak pengurus laman tidak bosan bosannya meberikan jawaban yang terukur sesuai Alquran yang jadi petunjuk kita.

Berikut soalan
- Ttg aktivity wanita dalam beribadah (sholat,puasa,baca alquran dll),apakah ada batasannya yg disesuaikan dengan fitrah mereka spt haid, hamil, melahirkan, menyusui.

Berikut salah satu contoh pertanyaan :
Apakah wanita yang menjelang melahirkan (sudah mulai ada pendarahan yang banyak) masih dibebankan shalat? misalnya setelah maghrib, kemudian mulai terasa dan baru melahirkan setelah masukwaktu Isya.

Demikianlah ditanyakan, semoga bapak pengurus laman dimudahkan Allah dalam mendapatkan ilmu yang bermanfaat untuk sembah Allah, begitu juga saya dan seluruh orang yang percaya.

salam

Salamun alaikum,

Terima kasih kepada saudara Rasman atas kesudian beliau menulis dan bertanya lagi. Kali ini perkara yang ditanya adalah sensitif kerana amalannya sudah beribu tahun jadi sebahagian daripada kehidupan sesetengah golongan manusia. Kritikan penulis ke atasnya pula boleh menerbitkan kegelisahan di kalangan mereka yang tidak biasa dengan ajaran al-Qur'an. Harap maaf.

Menurut kepercayaan sesetengah agama yang ada di negara kita, perempuan yang didatangi haid adalah najis - begitu kotor sehingga terdapat suatu "mazhab" di dalamnya melarang mereka daripada memasak makanan untuk suami mereka pula. Apatah lagi menyentuh patung berhala, untuk membersihkannya, yang disimpan dan dipuja di rumah mereka.

Kepercayaan tersebut hampir serupa dengan Islam, yang melarang wanita dalam haid lakukan segala ibadah serta menyentuh kitab al-Qur'an.

Larangan tersebut didapati tidak selari dengan ajaran Tuhan yang terkandung di dalam al-Qur'an. Dia hanya melarang pasangan suami isteri daripada bersatu tatkala para isteri berada dalam gangguan haid. Firman-Nya,

"Mereka tanya kamu mengenai haid. Katakanlah (Muhammad), 'Ia adalah gangguan; maka hendaklah kamu jauhkan daripada perempuan-perempuan semasa dalam haid, dan jangan dekati mereka sehingga mereka bersih. Apabila mereka sudah bersihkan diri-diri mereka, maka datangilah mereka sebagaimana Allah perintahkan kamu .'" (2:222)

Batas yang ditetapkan oleh Allah hanya satu. Kemunculan yang lain, contoh larangan lakukan ibadah solat dan puasa, dan menyentuh serta membaca al-Qur'an, sedang mereka mampu, misalannya, pergi shopping, bermain sukan, berkerja untuk mencari pemberian Allah, atau bersedekah di jalan-Nya, tetap jadi tanda tanya.

Tambahan lagi, tidak didapati sebarang pengecualian untuk mendirikan solat di dalam ajaran Allah. Orang sakit pun harus mendirikannya. Kerana, satu daripada tujuan mendirikan solat adalah untuk mengingati-Nya.

Namun begitu, dalam apa yang dikatakan wuduk terdapat suatu pengecualian. Ayat 5:6 yang berkaitan menyuruh (hanya) mereka yang mampu berdiri untuk solat dihendaki membasuh empat bahagian anggota badan yang ditetapkan. Justeru, kami mengandaikan bahawa bagi mereka yang tidak mampu berdiri dengan betul, misalnya sakit atau sedang lari daripada musuh, mereka terus kerjakan solat tanpa wuduk. Dan juga tanpa berdiri serta perlakuan lain. Iktibar diambil daripada ayat-ayat berikut:

"Wahai orang-orang yang percaya, apabila kamu berdiri untuk solat, basuhlah muka kamu dan tangan kamu hingga siku, dan sapulah kepala kamu dan kaki kamu hingga pergelangan kaki." (5:6)

"Jika kamu dalam ketakutan, maka (bersolatlah) sambil berjalan kaki, atau menunggang. Apabila kamu telah aman, ingatlah akan Allah sebagaimana Dia telah ajar kamu apa yang kamu tidak tahu." (2:239)

Seterusnya, seperti solat, amalan membaca al-Qur'an tidak ada pengecualiannya juga bagi wanita dalam haid. Haid hanya merupakan suatu fitrah pada mereka yang sudah ditentukan Allah.

Lain pula bagi ibadah puasa. Ke atasnya terdapat dua pengecualian, iaitu sakit dan dalam perjalanan. Haid tidak disebut. Firman-Nya,

"dan jika sesiapa antara kamu sakit, atau jika dia dalam perjalanan, maka sebilangan daripada hari-hari lain" (2:184).

Mengenai perjalanan, Tuhan tidak tetapkan jarak yang mengharuskan puasa ditinggal. Lalu akal yang diberi, dan kelurusan hati, diperlukan untuk buat keputusan mengenainya.

Untuk sakit pula, izinkan penulis bercerita mengenai pengalamannya sendiri. Semasa mula-mula mengkaji al-Qur'an dahulu, dan setelah berjumpa serta memahami ayat di atas, penulis telah jatuh sakit, iaitu sakit tekak. Oleh kerana sayangkan puasa maka ia tidak ditinggalkan, dan tidak juga pergi berjumpa dengan doktor. Sebab memikirkan dia sedang lakukan suatu suruhan Allah serta mengharapkan penyembuhan daripada-Nya.

Tetapi keadaan tidak berkesudahan macam yang diharapkan. Penyakit jadi semakin teruk sehingga perbuatan telan air liur pun terasa sakit yang amat sangat. Kemudian, apabila berjumpa dengan doktor, penulis dimarahi dan beliau selanjutnya menyatakan jika penulis telah berjumpa dengannya ketika mula-mula rasa sakit, penyakit itu dapat disembuhkan dalam tempoh dua hari. Atas degil terhadap perintah Allah, penyakit telah berterusan sampai hari ke-6, bersama kesakitan yang begitu ketara ketika telan ubat, dan suhu badan yang tinggi.

Pada tahun yang berikut kejadian yang sama berlaku. Degil lagi! Akibatnya, penderitaan jadi lebih lama. Selepas itu serik. Ayat Allah tidak boleh tidak diendahkan walaupun nampak "sekecil" itu. Lalu, apabila rasa sedikt sakit saja, apa jua sakit pun, pada bulan-bulan puasa yang kemudian, penulis dengan cepat pergi berjumpa doktor dan puasa hanya dapat ditinggalkan sehari dua sahaja.

Demikianlah suatu pengalaman penulis dengan ayat-ayat Allah.

Perkara fitrah wanita disambung dengan menyebut mengenai kehamilan, yang tidak disebut dalam pengecualian. Pada hemat penulis, berpuasa akan datangkan "sakit", atau mudarat, kepada kedua ibu dan kandungannya. Oleh itu adalah wajar bagi wanita yang hamil tinggalkan amalan puasa dan menggantikannya pada hari-hari lain. Pun begitu, pergilah berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat yang tepat.

Diharap dengan pendapat di atas segala pertanyaan sudah dijawab. Kalau begitu, penulis undurkan diri di sini.

Terima kasih. Salam.

23 Mei 2005


Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman