Zat Tuhan

 

From: "rz mie" 
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Wajibkah mengenal Tuhan
Date: Sunday, January 30, 2005 3:09 PM

Assalamualaikmu,

Saya ingin bertanya saudara, adakah kita wajib mengenal akan Tuhan kita. Bolehkah saudara beri penjelasan. Kenapa dan sebab serta Dalil dalam Al-Quran. Apa yang saya tahu kita hanya boleh mengenal akan sifatNya. Sekiranya kita kena mengenal akan Tuhan sudah tentu kita juga kena mengenal akan zatNya.

Harap boleh beri penjelasan kepada saya yang musykil ini...

Wassalam....

Salam,

Soalan dikemukakan kerana terdapat orang yang mengatakan mengenal Tuhan adalah wajib dalam Islam. Soal wajib atau tak wajib, dan sebagainya, ke atas sesuatu perkara adalah ciri utama orang agama.

Sayugia diingat iaitu Iblis, yang berkedudukan dekat dan telah berdepan dengan Tuhan, tentu telah mengenali-Nya dengan benar, jauh lebih benar daripada orang yang menganjurkan ilmu tersebut.

Akan tetapi, si Iblis walaupun begitu jelas mengenali-Nya tidak mendorongnya jadi patuh kepada perintah Tuhan. Ia enggan mematuhi satu perintah Tuhan yang amat mudah.

Seperti itu juga didapati di kalangan manusia yang menuntut atau ajar ilmu mengenal Tuhan. Satu perintah Tuhan yang amat mudah dan beberapa kali dibincang di laman web ini telah tidak rela dipatuhi.

Perintah yang dimaksudkan ialah cara beri salam hormat. Tuhan menyuruh melafazkan "Salamun alaikum" tetapi mereka enggan dan seterusnya melafazkan salam hormat yang selain daripada suruhan-Nya.

Iblis dikatakan sombong setelah mengingkari satu perintah Tuhan (perintah sujud kepada Adam). Bolehkah pula manusia yang berilmu mengenal Tuhan tetapi enggan patuh kepada suruhan-Nya dikatakan sombong juga?

Frasa mengenali Tuhan atau mengenali Allah tidak terdapat di dalam al-Qur'an, tetapi mengenali rahmat Allah ada. Begini bunyi ayat yang mengandungi frasa tersebut:

"Mereka mengenali rahmat Allah, kemudian mereka menafikannya, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang tidak percaya (kafir)." (16:83)

Ayat tersebut beri peringatan mengenai rahmat Allah yang dinafikan oleh sesetengah manusia. Tidak dinafikan pula bahawa ayat-ayat Allah di dalam al-Qur'an adalah juga rahmat-Nya kepada manusia. Termasuk ayat yang mengajar cara beri salam hormat.

Perbuatan menafikan ayat atau rahmat Allah diterangkan sebagai tidak percaya kepada-Nya, atau kafir. Iblis, yang mengenali Tuhan dengan dekat, juga dikatakan kafir kerana menafikan satu perintah Allah seperti yang telah disebut.

Maka dengan mengenali Tuhan tidak bererti patuh kepada perintah-Nya.

Beranjak kepada zat Tuhan pula. Menurut Kamus Dewan, perkataan zat berasal dari perkataan Arab yang bermakna "sesuatu yang menyebabkan wujudnya sesuatu benda, bahagian drpd sesuatu benda, pati atau inti drpd sesuatu (spt makanan dll)".

Adakah sesuatu yang menyebabkan wujudnya Tuhan? Al-Qur'an tidak jelaskannya. Maka perkara itu adalah di luar jangkauan manusia.

Mungkinkah perkataan zat pada frasa zat Tuhan bermaksud yang lain, yang bukan zat, tetapi dipanggil zat juga, kerana keliru dengan bahasa? Kalau begitu, ilmu mengenai zat Tuhan penuh dengan kekeliruan. Dan ia tiada lain melainkan sangkaan belaka, dan tidak berguna untuk dipelajari. Mengenai sangkaan, Allah mengingatkan:

"sangkaan tidaklah berguna sedikit pun terhadap kebenaran." (53:28)

Sebalinya pula, al-Qur'an, yang tidak ajar ilmu mengenal Tuhan atau zat Tuhan, ajar manusia supaya takut kepada Tuhan sebagai perkara pertama dan utama, dengan jelas sekali. Ia disebut dengan nyata, dari awal lagi, di dalam surah al-Baqarah ayat kedua berbunyi,

"Kitab itu, di dalamnya tiada keraguan, petunjuk bagi orang-orang bertakwa (takut kepada Tuhan)," (2:2). 

Hanya orang-orang bertakwa, yang tidak perlu menuntut kedua-dua ilmu tersebut, akan masuk ke dalam syurga. Untuk mengetahui bagaimana seseorang boleh jadi seorang takwa sila rujuk karangan Syurga dan orang takwa. Caranya tidak susah, tidak perlu mengharungi alam mistik, atau mempelajari ayat-ayat mutasyabihat yang boleh mengheret kepada kesesatan.

Sifat Tuhan telah juga disebut di dalam e-mel di atas. Sekiranya nama-nama Tuhan menggambarkan sifat-sifat-Nya maka al-Qur'anlah yang harus dirujuk. Tidak perlu lagi pergi ke tempat lain. Segala nama-Nya sudah dicatat dengan jelas di dalam al-Kitab. Setelah merujukinya manusia akan memahami-Nya, bukan mengenali-Nya, kerana belum lagi bersua dengan Dia.

Iblis telah dilaknati Tuhan. Bukan sebab ia tidak mengenali Tuhan tetapi sebab ia sombong dan tidak percaya kepada ayat-Nya. Dengan itu ilmu mengenal Tuhan jadi tidak relevan. Ia boleh mendorong seseorang jadi seperti Iblis yang sombong dan tidak percaya kepada ayat Allah - Salamun alaikum!


3 Februari 2005
 

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman