Wasiat
dan
Pembahagian Harta Pusaka
Seorang saudara telah bertanya mengenai pembahagian harta pusaka serta beri satu kes
sebagai contoh untuk diselesaikan. Sebelum menjawab soalan beliau, kami turunkan dahulu ayat-ayat
al-Qur'an yang bersabit, supaya penjelasan yang bakal dibuat jadi lebih licin. Kami akan beri
sedikit komentar ke atas ayat-ayat tersebut, dan berharap para pembaca dapat
membantu dengan
membetulkan kesilapannya setelah ia dikesan.
Wasiat
Perkara utama dalam pembahagian harta pusaka ialah buat wasiat. Suruhan buat wasiat disebut dari awal lagi di dalam al-Qur'an. Daripada ayat al-Baqarah yang berkenaan dapat difahamkan iaitu bagi orang-orang bertakwa (takut kepada Tuhan) adalah wajib buat wasiat sebelum mereka meninggal dunia. Wasiatnya memihak kepada ibu bapanya, dan sanak saudara. Ayat yang dimaksudkan berbunyi,
"Dituliskan (ditetapkan) bagi kamu, apabila seseorang antara kamu didatangi kematian, dan dia tinggalkan kebaikan (harta), supaya buat wasiat memihak kepada ibu bapanya, dan sanak saudara dengan baik - suatu kewajipan kepada orang-orang bertakwa." (2:180)
Kemudian, sekiranya kandungan wasiat difikirkan tidak adil atau berdosa maka ia harus dibetulkan dengan rundingan antara pihak-pihak yang terlibat. Al-Qur'an didapati amat jelas mengenai perkara tersebut:
"Jika seseorang takut akan penyimpangan, atau dosa, daripada orang yang berwasiat itu, lalu dia membetulkan antara mereka, maka tidaklah ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih." (2:182)
Wasiat patut juga mengandungi peruntukan untuk isteri selama setahun dan pembayaran sewa rumah, kalau rumah yang didiami disewa. Peringatan itu datang daripada ayat berbunyi,
"Dan orang-orang antara kamu yang mati dan tinggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka buat wasiat untuk isteri-isteri mereka, peruntukan untuk setahun tanpa mengeluarkannya; tetapi jika mereka keluar, maka tidak salah ke atas kamu mengenai apa mereka buat pada diri-diri mereka sendiri dengan baik; Allah Perkasa, Bijaksana." (2:240)
Selanjutnya, difahamkan iaitu nama-nama penerima harta pusaka yang dinyatakan di dalam wasiat hendaklah termasuk "orang-orang yang terikat dengan sumpah" orang yang berwasiat, seperti anak angkat, anak tiri, atau apa yang dikatakan "tangan-tangan kanan kamu miliki" (sila rujuk Tangan Kanan Miliki). Fahaman berdasarkan ayat berikut:
"Dan bagi tiap-tiap orang, Kami lantik waris-waris daripada apa yang ibu bapa dan sanak saudara tinggalkan, dan orang-orang yang terikat dengan sumpah kamu, maka beri mereka bahagian mereka; sesungguhnya Allah adalah saksi atas segala sesuatu." (4:33)
Dua orang saksi diperlukan dalam wasiat, yang terdiri daripada mereka yang mempunyai keadilan di kalangan kenalan orang yang berwasiat atau dua yang lain jika dia sedang dalam perjalanan. Dan mereka akan bersumpah jika orang yang berwasiat ragu-ragu. Demikianlah dinyatakan oleh ayat di bawah:
"Wahai orang-orang yang percaya, kesaksian antara kamu apabila salah seorang daripada kamu ditimpa maut, apabila dia berwasiat, ialah dua orang empunya keadilan antara kamu, atau dua yang lain daripada selain kamu, jika kamu berpergian di bumi, dan bencana maut timpa kamu. Kemudian kamu akan tahan mereka sesudah solat, dan mereka akan bersumpah dengan Allah, jika kamu ragu-ragu: 'Kami tidak akan menjualnya untuk suatu harga, walaupun ia sanak saudara yang dekat, dan kami tidak juga akan sembunyikan kesaksian Allah, kerana jika demikian, tentu kami termasuk orang-orang yang berdosa.'" (5:106)
Oleh yang demikian, wasiat dibuat walau dalam keadaan apa jua pun. Kerana ia wajib.
Wasiat daripada Allah
Apabila si mati (maaf atas kegunaan kata tersebut) tidak tinggalkan sebarang wasiat maka pembahagian harta yang ditinggalkan hendaklah menurut wasiat daripada Allah yang akan dijelaskan sebentar lagi. Atau, terdapat harta yang tidak disebut di dalam wasiatnya, maka harta itu dibahagi antara waris-waris menurut wasiat daripada Allah itu juga.
Tambahan lagi, sebelum harta si mati dibahagikan, hutangnya dikira, andaikata dia berhutang, dan dibayar daripada harta yang ditinggalkan. Hutang dibayar walaupun sudah mati.
Terdapat tiga ayat yang menyentuh mengenai wasiat daripada Allah, iaitu 4:11, 4:12, dan 4:176 yang akan disenaraikan di bahagian akhir halaman ini.
Anak-anak
Pada dasarnya, pembahagian harta pusaka dalam wasiat Allah bagi anak-anak adalah, "bagi (seorang) lelaki serupa dengan bahagian dua perempuan", jika ada dua anak perempuan (2x = 1x + 1x). Ini bermaksud, anak lelaki yang seorang itu dapat separuh dan dua anak perempuan dapat separuh juga (50-50).
Tetapi "jika mereka perempuan-perempuan yang lebih daripada dua, maka bagi mereka dua per tiga daripada apa dia tinggalkan," bererti, anak lelaki yang seorang itu dapat 1/3 sementara anak-anak perempuan yang berjumlah lebih daripada 2 dapat 2/3.
Dan disuratkan lagi, "tetapi jika dia (perempuan) seorang, maka baginya separuh" atau dengan jelas, bermaksud, jika yang ditiggalkan adalah seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan, maka mereka akan dapat separuh seorang daripada harta yang ditinggalkan (50-50).
Bagaimana pula, kalau terdapat 2 orang anak lelaki atau lebih dan 1 orang anak perempuan? Maka kami andaikan supaya balik kepada dasar iaitu bahagian seorang lelaki serupa bahagian 2 perempuan seperti kiraan:
2 lelaki (+ +) + 1 perempuan = 2x + 2x (+ +) + 1x.
Dan seterusnya bagi bilangan anak perempuan yang bertambah (~ + 1x + 1x ....)
Demikianlah itu adalah pembahagian harta pusaka apabila terdapat kedua-dua anak lelaki dan anak perempuan. Bahagian bagi anak perempuan didapati tidak tetap, bergantung pada bilangan mereka. Bahagian bagi lelaki juga turut dipengaruhi oleh bilangan perempuan.
Dengan itu, kami berpendapat bahawa sekiranya si mati tidak tinggalkan seorang pun anak lelaki maka harta yang ditinggalkannya, yang diuntukkan bagi anak-anak, diserahkan kesemuanya kepada anak atau anak-anak perempuan. Begitu juga dengan anak lelaki. Sebab, Tuhan tidak menyuruh supaya diserahkan bahagian anak lelaki (yang tiada itu) kepada mana-mana pihak luar. Malah, Dia tidak menyuruh beri kepada sesiapa yang di luar keluarga, dalam apa saja situasi bagi pembahagian harta pusaka, kecuali kepada "orang-orang yang terikat dengan sumpah".
Isteri dan Suami
Bagi isteri, "bagi mereka (isteri), satu per empat (1/4) daripada apa kamu tinggalkan jika kamu tidak ada anak."
Akan tetapi, "jika kamu ada anak, maka bagi mereka (isteri), daripada apa kamu tinggalkan, satu per lapan (1/8)." Baki setelah diberi bahagian isteri, iaitu 7/8, barulah dibahagi antara anak-anaknya.
Bagi suami pula - "bagi kamu, separuh (1/2) daripada apa yang isteri-isteri kamu tinggalkan, jika mereka tidak ada anak;"
"Tetapi jika mereka ada anak, maka bagi kamu, daripada apa yang mereka tinggalkan, satu per empat (1/4)."
Ibu Bapa
Ibu bapa juga termasuk dalam pembahagian harta pusaka - "kepada ibu bapanya, kepada setiap seorang daripada keduanya, satu per enam (1/6) daripada apa dia tinggalkan, jika dia ada anak." Dari itu, jumlah bagi kedua-dua mereka adalah 2/6 atau 1/3.
Sehingga di sini, adalah baik jika dibuat kiraan, misalan, bagi seorang lelaki yang meninggal dunia dan tinggalkan isteri, anak-anak dan ibu bapa:
Isteri = 1/8 (3/24) = 12.5%
Ibu & bapa = 1/3 (8/24) = 33.33%
Anak-anak (baki) = 13/24 = 54.16%
Atau tinggalkan salah seorang daripada ibu bapanya sahaja, maka kiraannya adalah seperti berikut:
Isteri = 1/8 (3/24) = 12.5%
Ibu atau bapa = 1/6 (4/24) = 16.66%
Anak-anak (baki) = 17/24 = 70.83%
Kembali kepada ibu bapa. Bagi si mati yang hanya tinggalkan ibu bapa sebagai waris, "maka satu per tiga (1/3) bagi ibunya, atau jika dia ada saudara-saudara lelaki, maka bagi ibunya satu per enam (1/6)."
Hanya ibu yang disebut di situ. Tiada bapa. Mungkin tidak silap mengandaikan sekiranya bapa masih hidup maka ibunya dapat 1/6 sahaja, sama seperti bapa.
Ibunya dapat 1/6 juga jika si mati ada tinggalkan saudara-saudara lelaki.
Tiada Waris Terus
Akhirnya, "Jika seorang lelaki atau seorang perempuan tidak mempunyai waris yang terus (ibu bapa dan anak), tetapi ada saudara lelaki atau saudara perempuan, maka bagi tiap-tiap seorang daripada keduanya, satu per enam (1/6); tetapi jika mereka lebih ramai daripada itu, maka mereka bersekutu dalam satu per tiga (1/3)" - 4:12.
Kesemua pembahagian harta di atas adalah daripada ayat 4:11 dan 4:12. Satu lagi ayat yang terbabit, 4:176, melanjutkan penjelasan mengenai "waris yang tidak langsung", seperti di bawah:
"Allah putuskan kepada kamu
mengenai waris yang tidak langsung (selain ibu bapa dan anak). Jika seorang
lelaki mati tanpa
seorang anak, tetapi dia mempunyai saudara perempuan, dia terima separuh
(1/2)
daripada apa dia tinggalkan,
"dan dia (lelaki) adalah warisnya jika dia
(perempuan) tidak mempunyai anak." - saudara lelaki mewarisi semua
peninggalan saudara perempuannya.
"Jika ada
dua saudara perempuan, mereka terima dua per tiga
(2/3)
daripada apa dia (lelaki) tinggalkan." dan,
"Dan jika ada beberapa saudara, lelaki dan perempuan, yang lelaki terima serupa dengan bahagian dua saudara perempuan" (2x + 1x + 1x, atau 2x + 2x + 1x + 1x seperti yang dijelaskan terlebih dahulu) Jumlah adalah 1/3 daripada harta yang ditinggalkan, macam disebut pada ayat 4:12 tadi.
Pada sesetengah kes terdapat lebihan setelah harta dibahagikan. Pada hemat kami, segala yang berlebihan itu diberi kepada "orang-orang yang terikat dengan sumpah" si mati, seperti anak angkat, anak tiri, anak-anak yatim yang sekeluraga atau yang tidak sekeluarga, ibu atau bapa saudara yang miskin, dan sebagainya.
Sekian mengenai wasiat dan pembahagian harta pusaka. Kesemuanya adalah hanya pendapat kami setelah memahami ayat-ayat Allah. Mana yang silap sila tunjukkan. Terima kasih.
Surat
Kembali kepada surat daripada saudara yang telah datangkan pertanyaan mengenai waris harta pusaka, yang disebut dari awal tadi. Surat beliau diturunkan di bawah ini:
From: "Sidi Achmad"
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: harta waris/pusaka menurut perspektif Al Qur'an
Date: Tuesday, November 02, 2004 10:17 PM
Salamun'alaikum
Kasus :
A (laki-laki, single) menikah dengan B (janda beranak dua)
A dan B tidak miliki anak.
A mempunyai saudara seayah seibu (kandung) 3 orang :
1. C (perempuan)
2. D (perempuan)
3. A (pewaris)
4. E (laki-laki)
D dan E wafat sebelum A, sedangkan C sesudah A wafat. B saat ini berusia +/- 75 tahun.
Pertanyaannya : (ketika A selaku pewaris wafat)
Apakah ahli waris D & E dapat bagian/haknya ? Kalau ia, berapa besar bagian /hak mereka ? Bagaimana dengan bagian/hak B dan (ahli waris) C ?
Apakah ada perbedaan antara harta sebelum dan sesudah jadi suami-istri (A dan B) ? Contoh : - A miliki rumah sebelum menikah, B tidak ; - A dan B miliki rumah setelah mereka menikah.
Apa langkah sebaiknya dilakukan oleh ahli waris apabila salah satu dari orang tua atau pewaris mereka wafat ? Di Indonesia ada etika tidak tertulis, ahli waris akan membagikan harta pusaka setelah kedua orang tuanya wafat, di sinilah sering terjadi pertengkaran sesama ahli waris/karena :
- Tidak semua pewaris dan ahli waris mengerti mengenai pembagian harta pusaka, umumnya mereka hanya tahu bagian/hak laki-laki : bagian/hak perempuan = 2 : 1
- manfaatkan perbedaan antara (kompilasi) hukum Islam, hukum adat, dan hukum negara !
Terima kasih.
Salam.
Salamun alaikum. Terima kasih.
Untuk menyenangkan rujukan, kami turunkan lagi sesetengah daripada apa yang saudara tulis:
A (laki-laki, single) menikah dengan B (janda beranak dua)
A dan B tidak miliki anak.
A mempunyai saudara seayah seibu (kandung) 3 orang :
1. C (perempuan)
2. D (perempuan)
3. A (pewaris)
4. E (laki-laki)
D dan E wafat sebelum A, sedangkan C sesudah A wafat. B saat ini berusia +/- 75 tahun.
Pertanyaannya : (ketika A selaku pewaris wafat)
Apakah ahli waris D & E dapat bagian/haknya ? Kalau ia, berapa besar bagian /hak mereka ? Bagaimana dengan bagian/hak B dan (ahli waris) C ?
Komentar kami:
Sekiranya D & E yang wafat itu tinggalkan suami
dan isteri, dan anak-anak, atau ibu bapa, maka A atau C (hanya dua orang saudara) dan juga B
(isteri A) tidak mewarisi apa-apa. Pembahagian harta bagi waris mereka (D & E) adalah
seperti yang telah dijelaskan di atas.
Selanjutnya saudara menulis:
Apakah ada perbedaan antara harta sebelum dan sesudah jadi suami-istri (A dan B) ? Contoh : - A miliki rumah sebelum menikah, B tidak ; - A dan B miliki rumah setelah mereka menikah.
Komentar kami:
Tiap-tiap harta yang besar seperti tanah, rumah, kereta, dan sebagainya, ada nama tuan punya. Adalah baik bagi
suami isteri untuk turunkan nama mereka berdua pada tiap-tiap dokumen bagi harta yang dimiliki.
Soalan saudara seterusnya adalah,
Apa langkah sebaiknya dilakukan oleh ahli waris apabila salah satu dari orang tua atau pewaris mereka wafat ?
Komentar kami:
Pertama sekali, cari wasiat orang yang meninggal dunia. Menulis wasiat
adalah wajib. Kedua, kumpulkan pewaris, seperti isteri atau suami,
anak-anak, dan ibu bapa. Mereka ini pewaris yang amat dekat. Kalau yang wafat itu tidak tinggalkan pewaris yang
dekat, maka adik-beradik jadi waris sebagai ganti. Jangan pula lupa
"orang-orang yang
terikat dengan sumpah" dengan orang yang meninggal dunia itu.
Dan saudara menyatakan:
Di Indonesia ada etika tidak tertulis, ahli waris akan membagikan harta pusaka setelah kedua orang tuanya wafat, di sinilah sering terjadi pertengkaran sesama ahli waris/karena :
- Tidak semua pewaris dan ahli waris mengerti mengenai pembagian harta pusaka, umumnya mereka hanya tahu bagian/hak laki-laki : bagian/hak perempuan = 2 : 1
Komentar kami:
Maaf menyatakan bahawa etika tidak tertulis yang diamalkan
itu adalah tidak Quranik. Ia patut ditukar. Kami faham betapa sukarnya untuk menukarkan adat sesuatu kaum.
Namun, ia diikhtiarkan juga.
Kalau mereka tidak faham, mereka harus difahamkan dengan membaca wasiat daripada Allah kepada mereka, kalau si mati tidak tinggalkan sebarang wasiat. Selepas itu, jika mereka memilih untuk tidak mentaati Allah, maka tinggalkan mereka. Pergaduhan akan berlaku sekiranya saudara berkeras, dan masa itu adalah bukan sebaik-baik masa untuk berdebat.
Bagi permintaan saudara yang akhir kami memohon maaf, kerana kami tidak arif dengan hukum negara mengenai harta pusaka. Sekiranya kami menghadapi masalah itu di sini, di Malaysia, kami akan pergi berjumpa seorang peguam.
Terima kasih.
Salam.
* * * *
Ayat-ayat mengenai wasiat daripada Allah:
4:11. Allah wasiatkan kamu mengenai anak-anak kamu; bagi lelaki serupa dengan bahagian dua perempuan, dan jika mereka perempuan-perempuan yang lebih daripada dua, maka bagi mereka dua per tiga daripada apa dia tinggalkan, tetapi jika dia (perempuan) seorang, maka baginya separuh; dan kepada ibu bapanya, kepada setiap seorang daripada keduanya, satu per enam daripada apa dia tinggalkan, jika dia ada anak; tetapi jika dia tidak ada anak, dan waris-warisnya ialah ibu bapanya, maka satu per tiga bagi ibunya, atau jika dia ada saudara-saudara lelaki, maka bagi ibunya satu per enam, sesudah sebarang wasiat yang dia wasiatkan, atau sebarang hutang. Bapa-bapa kamu dan anak-anak lelaki kamu, kamu tidak tahu siapa antara mereka yang lebih dekat manfaatnya kepada kamu. Demikianlah ketentuan Allah; sesungguhnya Allah Mengetahui, Bijaksana.
4:12. Dan bagi kamu (suami), separuh daripada apa yang isteri-isteri kamu tinggalkan, jika mereka tidak ada anak; tetapi jika mereka ada anak, maka bagi kamu, daripada apa yang mereka tinggalkan, satu per empat, sesudah sebarang wasiat yang mereka wasiatkan, atau sebarang hutang. Dan bagi mereka (isteri), satu per empat daripada apa kamu tinggalkan jika kamu tidak ada anak; tetapi jika kamu ada anak, maka bagi mereka, daripada apa kamu tinggalkan, satu per lapan, sesudah sebarang wasiat yang kamu wasiatkan, atau sebarang hutang. Jika seorang lelaki atau seorang perempuan tidak mempunyai waris yang terus (ibu bapa dan anak), tetapi ada saudara lelaki atau saudara perempuan, maka bagi tiap-tiap seorang daripada keduanya, satu per enam; tetapi jika mereka lebih ramai daripada itu, maka mereka bersekutu dalam satu per tiga, sesudah sebarang wasiat yang dia wasiatkan, atau sebarang hutang yang mudaratkan; wasiat daripada Allah, dan Allah Mengetahui, Penyantun.
4:176. Mereka minta satu keputusan kepada kamu. Katakanlah, "Allah putuskan kepada kamu mengenai waris yang tidak langsung (selain ibu bapa dan anak). Jika seorang lelaki mati tanpa seorang anak, tetapi dia mempunyai saudara perempuan, dia terima separuh daripada apa dia tinggalkan, dan dia (lelaki) adalah warisnya jika dia (perempuan) tidak mempunyai anak. Jika ada dua saudara perempuan, mereka terima dua per tiga daripada apa dia (lelaki) tinggalkan. Dan jika ada beberapa saudara, lelaki dan perempuan, yang lelaki terima serupa dengan bahagian dua perempuan. Allah jelaskan kepada kamu supaya kamu tidak sesat; Allah tahu segala sesuatu."
5 November 2004
Ramadan 1425
Halaman Utama
Terkini Perpustakaan
Artikel Bacaan
E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
Senarai Penulis English
Articles
Tulis kepada Pengurus
Laman