Isra-Mi'raj

 

From: "Sidi Achmad"
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Salam Perkenalan
Date: Saturday, October 02, 2004 9:54 PM

Salam perkenalan dari salah seorang pemerhati 'bacaan' di Bogor, Indonesia.

Salamun'alaikum

Semoga Saudara dan seluruh keluarga berada dalam keadaan sehat dan sejahtera serta senantiasa diberi kekuatan, perlindungan dan pertolongan oleh Allah dalam memperjuangkan agama Allah (22 : 78 ; 3 : 160)

Ada 2 hal yang ingin saya kemukakan :

Kalau saya mengatakan, saya akan mengutip salah satu hadi(t)s yang berbunyi "Demi masa (waktu). Sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal saleh dan saling berwasiat dengan kebenaran dan saling berwasiat dengan kesabaran", hampir dapat dipastikan sebagian besar 'ahli kitab' akan membantahnya dengan mengatakan itu bukan hadis tetapi firman/ayat Allah (Al Qur'an) sedangkan saya berbeda pendapat dengan mereka, itulah yang sebenar-benarnya "hadis" yang merupakan perkataan, keterangan, berita/khabar dari Allah, rujukan saya di antaranya : 39 : 23 ; 45 : 6 ; 56 : 81 ; 68 : 44 ; 93 : 11 ; 4 : 87 'Vs' 31 : 6 ! Jadi saya berkesimpulan "Hadis" = Al Qur'an, bukan 'sunnah', perkataan/sabda Rasul

Para penceramah/pembicara di Indonesia kalau membahas mengenai Isra-Mi'raj rujukannya adalah 17 : 1 dan 53 : 1(13) - 18 dan selalu dihubungkan dengan turunnya perintah kewajiban solat (5 waktu) dan kejadian Mi'raj harus 'diimani' karena di luar jangkauan pikiran manusia. Sedangkan saya lagi-lagi berbeda pendapat, karena ayat 53 : 1-18 tidak ada kaitannya dengan perintah 'solat', perintah solat rujukannya di antaranya : 4 : 103, 14 : 31 ; 19 : 31 ; 20 : 14. Bagaimana pendapat/ulasan Saudara mengenai 2 hal di atas (Hadis dan Miraj)?

Terima kasih.
Salam.

 

Salamun alaikum saudara Sidi Achmad. Semoga saudara dan keluarga juga berada dalam kesejahteraan, limpah kurnia Tuhan kita Yang Satu. Terima kasih atas kesudian saudara melayari laman web kami dan kemudian kemukakan dua soalan. Diharap jawapan di sini memuaskan hati saudara.

Pertama, mengenai perktaan hadis. Pada hemat kami, saudara memang betul, kerana kalimat itu juga merupakan nama bagi al-Qur'an, seperti al-Furqan dan an-Nur.

Mereka juga betul tetapi menurut kepercayaan mereka.

Bezanya, hadis yang saudara maksudkan itu adalah hadis Ahsana (39:23) sementara hadis mereka dipanggil hadis Bukhari, hadis Muslim, dan lain-lain, yang tidak disebut di dalam al-Qur'an. Frasa hadis Nabi juga tidak disebut di dalam al-Qur'an.

Perbezaan dalam kepercayaan tidak dapat dielakkan, dan juga perbantahan di dalamnya. Kerana petunjuk hanya diberi oleh Tuhan. Kita tidak mempunyai kuasa untuk menentukan tetapi hanya mampu menyampaikan dengan cara yang betul-betul baik. Cara itu dapat memelihara keharmonian.

Perkara kedua yang saudara sentuh lebih menarik perhatian kami. Ia sangat sensitif, dan kami, terlebih dahulu, memohon maaf sekiranya hujahan di sini mengganggu perasaan para pembaca.

Isra, seperti yang difahamkan oleh mereka yang percayainya, bermaksud perjalanan Nabi pada suatu malam dari Mekah ke Baitulmaqdis, dan Mi'raj, naik ke langit, untuk bersua dengan Tuhan.

Cerita mengenainya berbeza antara satu mulut dengan mulut yang lain. Ini menunjukkan Nabi tidak tinggalkan penjelasan yang jelas mengenainya. Atau, baginda tidak meninggalkannya langsung.

Peristiwa itu amat besar. Tidak mungkin ditinggalkan sebutannya di dalam al-Qur'an, seperti peristiwa bicara Nabi Musa dengan Tuhan, atau Adam dengan Tuhan yang disebut berulang kali.

Al-Qur'an memang ada menyebut tetapi hanya isra. Mi'raj tidak ada. Ayat 17:1 yang didakwa mengesahkan peristiwa isra-mi'raj, hanya merodkan perjalanan Nabi dari sebuah masjid ke sebuah masjid yang lain. Ayat itu berbunyi,

"Dia disanjung, yang menjalankan hamba-Nya pada waktu malam hari dari Masjidil Haram ke masjid yang lebih jauh (masjidil aqsa) di mana sekitarannya Kami berkati, supaya Kami lihatkan kepadanya sebahagian daripada ayat-ayat Kami. Sesungguhnya Dialah Yang Mendengar, Yang Mengetahui."

Masjid bermaksud tempat sujud. Maka Nabi telah diperjalankan dari tempat sujud haram (Masjidil Haram) ke tempat sujud yang lebih jauh (Masjidil Aqsa).

Memang benar Nabi telah diperjalankan. Tetapi, baginda tidak mungkin telah pergi ke masjid yang kini dinamakan Masjidil Aqsa di Jerusalem kerana masjid tersebut hanya tamat dibina pada tahun 68H oleh Amir Abdul Malik, iaitu kira-kira 50 tahun selepas baginda wafat.

Dan di sekitarnya pula, seperti yang sudah maklum, tidak nampak seolah diberkati, dengan suasana yang sentiasa tidak aman. Ini bertentangan dengan ayat Allah yang menyatakan sekitarannya diberkati.

Jaraknya pula sangat jauh dari Mekah, mengikut kemudahan yang ada dewasa itu. Dan Nabi dikatakan telah pergi ke sana dan naik ke langit, dan akhirnya pulang pada satu malam sahaja. Itu mustahil dapat dilaksanakan. Lalu cerita Nabi naik borak diketengahkan. Haiwan seperti itu tidak wujud tetapi hanya dalam cerita-cerita khayalan.

Kembali kepada kenyataan pada ayat tadi, iaitu Nabi telah pergi ke tempat sujud yang lebih jauh supaya diperlihatkan sebahagian daripada ayat-ayat Kami. Mungkinkah tempat itu Gua Hira yang dipercayai umum sebagai tempat Nabi menerima wahyu pertama, atau ayat-ayat Allah yang pertama?

Jangan sangka kami buat sesuatu kesimpulan dengan soalan itu. Tidak, ia sekadar terlintas di fikiran sahaja.

Mengenai naik ke langit pula, sila lihat ayat berikut:

"Kepada-Nya malaikat-malaikat dan Roh naik dalam sehari yang ukurannya lima puluh ribu tahun." (70:4)

Satu hari Tuhan bersamaan 50,000 tahun kita, iaitu bilangan tahun yang diambil oleh Roh dan malaikat untuk naik kepada-Nya. Kalaulah Nabi telah naik ke langit untuk bertemu dengan Tuhan, dan masanya hanya setengah hari, maka baginda belum lagi sampai di tempat pertemuan itu sehingga hari ini. Baginda akan sampai kira-kira 23,500 tahun lagi.

Berapa lama pula kalau apa yang dimaksudkan Tuhan dengan tahun di situ kepada light year atau tahun cahaya?

Sekiranya Tuhan mahu bersua dengan Nabi, maka baginda tidak perlu naik ke langit. Seperti Nabi Musa yang Tuhan telah berkata-kata secara langsung dengannya, bertempat di tepi gunung (28:29) dan di lembah suci Thuwa (20:12 dan 79:16) di Sinai.

Kemudian, surah 53 disebut. Kononnya surah itu mengandungi cerita perintah solat dalam peristiwa isra-mi'raj. Sebenarnya, surah yang mengandungi 62 ayat itu tidak langsung menyebut perkataan solat di dalamnya. Tidak ada satu pun perkataan solat dicatat di dalam surah tersebut.

Namun, surah tersebut mungkin ada menyebut mengenai isra. Iaitu di akhir perjalanan, di mana "dia" turun untuk mewahyukan Nabi. Ceritanya begini:

"Sangat kuat; dia tegak mengambang,
Di horizon yang tinggi,
Kemudian mendekati dan turun,
Jarak dua ibu panah, atau lebih dekat,
Kemudian mewahyukan hamba-Nya, apa yang dia wahyukan." (53:6-10)

Nabi telah melihat dia buat kali kedua. Adakah ia isra yang kedua? Kisahnya bermula selepas tiga ayat terakhir yang disebut di atas, berbunyi,

"Sesungguhnya dia telah melihatnya sekali lagi,
Di sisi pohon bidara berbatasan," (53:13-14).

Kami berpendapat dia yang dimaksudkan itu ialah Jibrail, malaikat yang ditugaskan untuk mewahyukan Nabi. Bukan Tuhan. Maka mana-mana peristiwa tersebut bukan isra.

Dan peristiwa mi'raj, atau naik ke langit, tidak disebut sama sekali di dalam surah berkenaan. Justeru, surah 53 tidak mengandungi cerita isra-mi'raj dan perintah mendirikan solat, seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Peristiwa besar itu tidak mungkin telah berlaku kerana orang-orang yang berada di sekeliling Nabi ketika itu tidak mengetahuinya. Tidak mungkin mereka tidak diberitahu kerana peristiwa itu mampu untuk meyakinkan mereka bahawa Nabi berada di jalan yang benar. Ayat berikut jadi petunjuk:

"'Atau, sehingga kamu (Muhammad) mempunyai sebuah rumah daripada perhiasan (emas), atau sehingga kamu naik ke langit; dan kami tidak akan percayai kenaikan kamu sehingga kamu turunkan kepada kami sebuah kitab supaya kami membacanya.' Katakanlah, 'Pemeliharaku disanjung! Tidakkah aku hanya seorang manusia, seorang Rasul?'" (17:93)

Bermaksud, baginda sebagai seorang manusia biasa dan seorang Rasul tidak mungkin dapat naik ke langit untuk membawa turun sebuah kitab bagi bacaan manusia. Sedangkan untuk membawa turun sebuah kitab yang mengandungi segala arahan Tuhan pun tidak dapat naik ke langit, apatah lagi untuk satu arahan sahaja, iaitu perintah untuk melakukan solat!

Peristiwa isra-mi'raj kononnya berlaku setahun sebelum Nabi berhijrah ke Madinah, atau kira-kira 10 tahun selepas Nabi menerima wahyu pertama.

Wahyu pertama, menurut pengetahuan umum umat Islam, adalah surah 96 atau Iqra', dan kedua surah 74, dan ketiga surah 73. Sungguh menarik sekali apabila didapati pada surah 73, iaitu wahyu ketiga, perintah untuk bersolat sudah tersurat. 

Andaikata perintah pertama untuk bersolat berlaku semasa peristiwa isra-mi'raj maka dapat diandaikan bahawa surah ketiga (73) yang diwahyu kepada Nabi, yang menyuruh bersolat buat kali pertama, diwahyu kira-kira 10 tahun selepas wahyu pertama. Ini mengelirukan.

Bukan itu sahaja. Sebenarnya, seperti yang telah dihujahkan, segala cerita yang mencorakkan peristiwa isra-mi'raj didapati sungguh mengelirukan, dan agak kabur jua.

Selamat Berpuasa!


13 Oktober 2004


Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman