Tudung Kepala:
wanita ditakut-takutkan
Isi surat di bawah, tatkala kami menerimanya, terkandung di dalam sebuah perenggan sahaja. Lalu kami memecahkannya kepada beberapa perenggan supaya jadi lebih senang dibaca. Hanya itu sahaja yang diubah. Harap maklum, dan maaf.
From: "hawauri terawis"
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Kesedaran dan keinsafan
Date: Wednesday, September 15, 2004 12:09 PM
Saudara,
Dalam hidup ini Allah swt akan beri kita kesedaran dan keinsafan jika dihendakiNya.Contohnya perempuan yang tidak memakai tudung: Di Mekah seorang pramugari telah koma dan apabila Dia menyedari dia berkata " Allah itu Maha Besar, Maha Agung, Maha Kaya. Semasa koma, kakak telah ditunjukkan oleh Allah tentang balasan yang Allah beri kepada kakak. Balasan azab, bukan balasan syurga. Kakak rasa seperti diazab di neraka. Kakak ni seumur hidup tak pernah pakai tudung. Sebagai balasan, rambut kakak di tarik dengan bara api. Sakitnya tak boleh nak kakak ceritakan macam mana pedihnya. Menjerit-jerit kakak meminta ampun minta maaf kepada Allah.
Bukan itu saja, buah dada kakak pula diikat dan disepit dengan penyepit yang dibuat drp bara api, kemudian ditarik ke sana-sini...putus, jatuh ke api neraka. Buah dada kakak rentung terbakar, panasnya bukan main. Kakak menjerit, menangis kesakitan. Kakak masukkan tangan ke dalam api itu dan kakak ambil buah dada tu balik.
Hari-hari kakak diseksa. Bila rambut kakak ditarik dengan bara api, sakitnya terasa seperti nak tercabut kulit kepala. Panasnya pula menyebabkan otak kakak terasa seperti menggelegak. Azab itu cukup pedih...pedih yang amat sangat...tak boleh nak diceritakan.
Sambil bercerita, wanita itu terus meraung, menangis teresak-esak. Nyata dia betul-betul menyesal dengan kesilapannya dahulu
Saudari,
Terima kasih. Sudikan kami membalas di sini dengan turunkan beberapa petikan daripada al-Qur'an, iaitu kitab yang kita imani bersama, sebagai rujukan. Kami mulakan dengan dua ayat yang jelas maksudnya, selaku pembukaan, berbunyi,
"Allah, tidak ada tuhan melainkan Dia. Dia pasti akan kumpulkan kamu pada Hari Kiamat, yang tidak ada keraguan padanya. Dan siapakah lebih benar hadisnya daripada Allah?" (4:87)
"Ini adalah ayat-ayat Allah yang Kami bacakan kamu dengan benar; maka dengan hadis apakah, sesudah Allah dan ayat-ayat-Nya, yang mereka akan percayai?" (45:6)
Itu sebab kami memilih ayat-ayat al-Qur'an dalam penjelasan kami - kerana tiada hadis lain yang lebih benar daripada-Nya, dan yang boleh dipercayai.
Mula-mula kami ingin menyentuh mengenai neraka. Ia adalah sebuah tempat tinggal yang kekal bagi orang-orang tidak percaya kepada ayat-ayat Tuhan, atau mendustakannya. Sila lihat ayat di bawah:
"Dan, orang-orang tidak percaya dan dustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni-penghuni Api (Neraka), di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya." (2:39)
Ayat-ayat Tuhan, yang berkait dengan kaum wanita, boleh dikatakan banyak. Akan tetapi, tiada satu pun yang perintah mereka memakai tudung kepala. Maka, para wanita yang tidak bertudung kepala tidak boleh dikategorikan sebagai tidak percaya atau mendustakan ayat-ayat Tuhan. Justeru, mereka tidak akan dimasukkan ke dalam neraka kerana tidak memakai tudung kepala. (Sila rujuk Tudung Kepala. Terima kasih.)
Sementara neraka pula, ia tidak pernah dilihat oleh sesiapa jua yang tinggal di dunia ini. Kerana ia belum didatangkan. Ia hanya didatangkan pada hari kiamat. Firman-Nya,
"Apabila bumi dihancurkan, sehancur-hancurnya, Dan Pemelihara kamu datang, dan malaikat-malaikat, barisan atas barisan, Pada hari itu, Jahanam didatangkan; pada hari itu, manusia mengingati; dan bagaimanakah Peringatan (al-Qur'an) baginya? Dia berkata, 'Alangkah baiknya sekiranya aku telah dahulukan untuk kehidupanku!'" (89:21-24)
Dan apinya, belum juga dinyalakan lagi. Ia akan dinyalakan pada hari yang sama. Sila renungkan Peringatan Allah berbunyi,
"Apabila langit dibuka, Apabila Jahim dinyalakan," (81:11-12)
Kami melencong sejenak untuk memperkatakan mengenai Nabi. Baginda tidak pernah melihat neraka, mahupun, penghuni-penghuninya, kerana menurut Allah, baginda tidak tahu hal-hal yang ghaib - "Aku (Muhammad) tidak tahu yang ghaib" (6:50). Perkara-perkara yang diterangkan ghaib adalah termasuk kejadian-kejadian yang akan berlaku pada masa depan. Justeru, apa-apa yang baginda tahu mengenai neraka adalah segala yang diwahyu dan disuratkan di dalam kitab al-Qur'an.
Kembali kepada hal api tadi. Ia akan bakar muka-muka dan punggung-punggung orang-orang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah. Firman-Nya,
"Sekiranya orang-orang tidak percaya tahu, waktu mereka tidak dapat menahan Api daripada muka-muka mereka, dan tidak juga daripada punggung-punggung mereka, dan tidak juga mereka ditolong!" (21:39)
Api itu juga diguna untuk memanggang orang-orang tidak percaya kepada ayat-ayat Tuhan, lalu kulit mereka jadi hangus kesemuanya. Firman Tuhan,
"Sesungguhnya orang-orang tidak percaya kepada ayat-ayat Kami, Kami pasti akan panggang mereka di Api. Setiap kali kulit-kulit mereka hangus kesemuanya, Kami tukar dengan kulit-kulit lain, supaya mereka rasakan azab. Sesungguhnya Allah Perkasa, Bijaksana." (4:56)
Dan, kepala mereka dicurah dengan air yang mendidih. Firman-Nya,
"dan dicurahkan ke atas kepala mereka, air yang mendidih," (22:19)
Hanya kepala yang disebut. Rambut tidak. Tidak juga disebut rambut akan diheret dengan bara api.
Seterusnya, mereka diheret, bukan dengan bara api seperti yang diceritakan itu, tetapi dengan belenggu dan rantai yang berada pada leher. Firman-Nya,
"Apabila belenggu dan rantai berada pada leher mereka, dan mereka diheret, Ke dalam air yang mendidih, kemudian di dalam Api mereka dibakar," (40:71-72)
Begitu juga dengan perkataan "payudara" (buah dada, menurut cerita di atas). Ia tidak disebut langsung di dalam ayat-ayat mengenai neraka. Lantas, apa yang konon dikerjakan kepadanya, yang mirip perbuatan sex maniac, atau orang yang gila seks, tidak akan dilakukan oleh Allah atau malaikat-malaikat-Nya di neraka kelak.
Cerita di atas dikarang oleh seseorang yang memilih seorang pramugari untuk dijadikan contoh. Mungkin kerana kecantikan, pergaulan yang luas dan mesra, dan lazimnya tidak memakai tudung. Tujuan dia menulis adalah untuk menakut-nakutkan para wanita yang tidak atau enggan bertudung kepala.
Pramugari tersebut dikatakan telah berada dalam keadaan koma dan kemudian Dia menyedari. Adakah orang yang baru sedari dari koma terus bercerita, meraung dan menangis? Siapakah orang-orang yang berada di sisinya sewaktu Dia menyedari (di hospital Mekah, mungkin)? Dan dia dikatakan juga mengguna perkataan "kakak" dalam ceritanya. Berapa agaknya usia pramugari tersebut? Bolehkah terdapat pramugari Melayu yang melampaui usia 40 tahun? Atau hampir 60 tahun, sekiranya mereka yang di sisinya adalah orang-orang haji yang mungkin berumur dalam lingkungan 55 tahun. Namun, soalan-soalan itu hanya sekadar bertanya saja.
Sekian. Kini, terpulanglah kepada para pembaca untuk menerima cerita pramugari yang kembali dari neraka itu sebagai benar, atau, sebagai satu contoh pendustaan terhadap Allah dan agama-Nya.
Terima
kasih. Salamun alaikum.
16.9.2004
Halaman Utama
Terkini Perpustakaan
Artikel Bacaan
E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
Senarai Penulis English
Articles
Tulis kepada Pengurus
Laman