Hutang piutang dan Riba
megikut al-Qur'an

 

From: Ariff Iskandar
Subject: Mengurus hutang piutang mengikut Quran. 
Date: Monday, July 07, 2003 3:03 PM

Tuan,
semoga tuan benar-benar di dalam sejahtera.

Saya mencari-cari dalam laman web tuan mengenai perkara ini, yang saya anggap sangat penting tetapi tidak terdapat artikel mengenainya ! 

Ramai orang berkata, bahawa Al-Quran adalah pengubat segala penyakit masyarakat yang ada. Saya lihat satu penyakit yang sangat berat ialah hutang, berhutang, dan bayar hutang. Saya lihat sistem Bank yang ada bersifat menindas, IMF satu contoh lain yang beri pinjam dan kemudian cuba menindas negara miskin yang tidak mampu mengurus ekonomi mereka dengan baik kerana kekurangan modal.

Al-Quran sebuah kitab yang lengkap dan terperinci untuk dijadikan panduan kehidupan manusia yang sempurna sama ada individu atau atau secara kolektif. 

Disebabkan hutang, pinjam-meminjam bagi keperluan pribadi atau perniagaan telah jadikan ramai dikalangan masyarakat bergaduh, tidak bertegur sapa, dan bermusuh.

Di peringkat yang lebih tinggi seperti IMF yang datang dengan pakej untuk menolong kemudian cuba menguasai perusahaan negara kecil berkenaan. Konteks masalah ini berlaku secara macro diperingkat antarabangsa dan micro diperingkat masyarakat umum. 

Apakah pandangan tuan berhubung perkara ini berdasarkan ajaran yang dapat kita petik dari al-Quran. Saya rasa soalan yang saya ajukan ini jelas dan saya sabar menunggu.

Sekian

Terima kasih 

Ariff Iskandar.

Terima kasih kerana sudi menulis kepada kami. Kami juga berharap semoga pihak tuan sentiasa berada dalam sejahtera jua.

Kami bersetuju dengan tuan bahawa perkara yang tuan bangkitkan, iaitu hutang piutang, adalah amat penting kerana banyak kekecewaan telah timbul di kalangan pihak-pihak yang terlibat. Oleh kerana perkara tersebut belum dibincangkan lagi di laman web ini, seperti yang tuan maklumkan, maka kami cuba beri sedikit pandangan setelah mengkaji ayat-ayat al-Qur'an yang berkaitan.

Adalah didapati iaitu ayat-ayat mengenai hutang piutang bersifat jelas, bukan jenis mutasyabihat. Namun begitu, kami berpendapat bahawa hanya orang-orang yang berpengetahuan dalam pengurusan kewangan dan perdagangan sahaja yang dapat memahaminya dengan lebih mendalam dan menghuraikannya dengan panjang lebar. Kami hanya mampu untuk beri sedikit pandangan seperti dari kaca-mata seorang amatur.

Berat

Daripada al-Qur'an difahamkan bahawa amalan berhutang adalah berat di sisi Allah. Hutang harus dibayar walaupun selepas penghutang meninggal dunia. Pembayarannya pula dibuat dengan harta yang ditinggalkan. Terdapat dua ayat Allah yang menyebut mengenainya, iaitu 4:11 dan 4:12.

Kedua-dua ayat tersebut adalah mengenai pembahagiaan harta yang ditinggalkan orang yang meninggal dunia. Hartanya hanya boleh dibahagi dan diberi kepada pihak-pihak yang berhak menerima setelah menyempurnakan wasiat, dan sebarang hutang yang belum dibayarnya. Dengan itu, didapati bahawa hutang yang ditanggung, selain wasiat, adalah lebih utama daripada ahli keluarga yang terdekat dalam hukum Allah.

Jual beli

Hutang kerap berlaku dalam urusan jual beli. Amalan itu diharuskan Allah, lalu pengurusannya digariskan di dalam al-Qur'an. Misalan, segala kontraknya hendaklah ditulis, dan ia ditulis oleh orang yang "telah diajar Tuhan mengenainya", yang bermaksud orang yang tahu, seperti seorang peguam. Termasuk yang ditulis adalah tempoh perhutangan. Firman-Nya:

"apabila kamu berkontrak secara hutang dengan satu sama lain, sampai satu tempoh yang dinyatakan, hendaklah kamu menulisnya, dan hendaklah seorang penulis menulisnya antara kamu dengan adil, dan seseorang penulis tidak boleh enggan untuk menulis sebagaimana Allah mengajarnya"

Keterangan itu terkandung di dalam ayat yang paling panjang di dalam al-Qur'an. Dan ayat itu menyentuh mengenai pengurusan hutang piutang dalam jual beli. Selanjutnya, ayat tersebut (2:282) menjelaskan bahawa penghutanglah yang mengimlakkan syarat-syarat dalam kontrak, bukan orang atau pihak yang menghutangkan. Firman-Nya,

"hendaklah orang yang berhak (penghutang) mengimlakkan, dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah, Pemeliharanya, dan jangan kurangkan sesuatu daripadanya."

Kata-Nya lagi:

"Jika penghutang itu bodoh, atau lemah, atau tidak boleh imlakkan, maka hendaklah walinya (penjaganya) imlakkan dengan adil."

Maka penulis, yang terdiri daripada selain penghutang dan pihak yang menghutangkan, hendaklah diadakan dalam kontrak tersebut. Dia, sebaik-baiknya pula, adalah seorang peguam.

Saksi

Setelah penulis menuliskan apa yang perlu dalam kontrak, maka saksi-saksi harus hadir untuk menyaksikan persetujuan antara kedua-dua belah pihak. Para saksi terdiri daripada dua orang lelaki, atau seorang lelaki dan dua orang perempuan. Firman-Nya:

"dan serulah untuk menyaksikan, dua orang saksi, lelaki-lelaki; atau jika kedua-duanya bukan lelaki, maka seorang lelaki dan dua orang perempuan, saksi-saksi yang kamu puas hati, bahawa jika salah seorang daripada keduanya sesat, yang lagi seorang akan ingatkannya."

Sebab diadakan dua orang saksi daripada kaum wanita untuk mengganti seorang lelaki, yang tidak dapat didatangkan, adalah kerana takut "sesat" atau menurut sesetengah pendapat, takut buat "silap". Telah timbul beberapa pendapat mengenainya, dan suruhan Allah itu, atau hikmah-Nya, telah dianggap oleh sesetengah pembidas Islam sebagai satu diskriminasi terhadap kaum perempuan.

Namun, suatu pendapat didapati menarik, iaitu sekiranya para saksi terdiri daripada seorang lelaki dan seorang perempuan sahaja, maka melalui perkahwinan antara keduanya, atau antara dia (saksi perempuan) dengan, sama ada penghutang atau orang yang menghutangkan, ketidakadilan dan kerugian ditakuti akan berlaku.

Itu hanyalah pendapat seseorang. Mungkin ada pendapat lain yang lebih tepat untuk beri makna kepada hikmah Tuhan tersebut.

Penjelasan mengenai saksi dan penulis disambung lagi, di samping menyebut lagi mengenai tempoh perhutangan:

"Dan janganlah saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil, dan jangan kamu tidak suka untuk menulisnya, kecil atau besar, dengan tempohnya; itu adalah lebih adil pada pandangan Allah, lebih tegak untuk kesaksian, dan lebih sesuai supaya kamu tidak ragu-ragu ....... Dan adakanlah saksi-saksi apabila kamu berjual beli sesama kamu. Dan janganlah, sama ada penulis atau saksi, ditekan; atau jika kamu lakukan, itu adalah kefasiqan pada kamu. Dan takutilah Allah; Allah mengajar kamu, dan Allah tahu segala sesuatu."

Syarat adakan penulis dan saksi adalah hanya untuk jual beli yang dilangsungkan secara hutang. Bagi urusan yang dijalankan dengan tunai mereka tidak diperlukan. Firman-Nya (petikan terakhir daripada ayat terpanjang di dalam al-Qur'an):

"kecuali ia perdagangan hadir (tunai), yang kamu menjalankan di antara kamu; maka tidak salah ke atas kamu jika kamu tidak menulisnya." (2:282)

Lain pula dengan urusan jual beli yang dijalankan semasa dalam perjalanan. Apabila seorang penulis tidak dapat didatangkan, dia diganti dengan satu cagaran. Atau, jika kedua-dua belah pihak saling percayai satu sama lain maka gugurlah syarat adakan cagaran tersebut. Firman-Nya:

"Dan jika kamu dalam perjalanan, dan kamu tidak dapati seorang penulis, maka adakanlah satu cagaran yang dipegang. Tetapi jika sebahagian kamu percayai sebahagian yang lain, hendaklah orang yang dipercayai tunaikan amanatnya, dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah, Pemeliharanya. Dan jangan sembunyikan kesaksian, dan sesiapa sembunyikannya, maka hatinya berdosa; dan Allah tahu apa kamu buat." (2:283)

Jalan Allah

Amalan berhutang turut berlaku di jalan Allah. Umpamanya, terdapat orang yang berhutang untuk menerbitkan kitab al-Qur'an atau terjemahannya yang akan diberi secara percuma kepada orang ramai, atau dijual tanpa ambil untung. Baginya hendaklah diberi bantuan. Bantuan yang diberi itu dikira sebagai sedekah, pada pandangan Allah. Firman-Nya:

"Sedekah adalah untuk orang-orang fakir (yang memerlukan), dan orang-orang miskin, dan yang beramal terhadapnya, dan orang-orang yang hatinya disatukan, dan merdekakan hamba-hamba, dan orang-orang yang berhutang di jalan Allah, dan musafir; begitulah ketentuan Allah, dan Allah Mengetahui, Bijaksana." (9:60)

Sedekah

Seperkara lagi mengenai penghutang. Jika dia ditimpa kesukaran, haruslah diberi tangguh kepadanya sehingga dia kembali dalam keadaan senang. Atau, sekiranya didapati ada kebaikan, maka hutangnya wajar disedekahkan kepadanya. Firman Tuhan,

"Dan jika ada yang mempunyai kesukaran, berilah dia tangguh hingga masa senang; tetapi jika kamu sedekahkan, itulah yang lebih baik bagi kamu, sekiranya kamu tahu." (2:280)

Riba

Ingin juga dibincang di sini perkara mengenai riba walaupun tidak disebut oleh pengirim surat di atas. Sebab ia difikirkan bersangkut-paut dengan jual beli, perdagangan dan hutang piutang.

Ayat-ayat riba (terutamanya yang pertama kali disebut di dalam al-Qur'an) dan jual beli atau perdagangan didapati seolah serumpun. Andaian dibuat setelah melihat ayat-ayat 2:275 hingga 2:283, di mana setelah memperkatakan mengenai riba lalu jual beli dan pengurusan hutang piutang pula dinyatakan.

Malahan, kandungan ayat riba yang pertama di dalam al-Qur'an menunjukkan ia berkaitan dengan jual beli, berbunyi,

"mereka mengatakan, 'Jual beli adalah serupa dengan riba.'" (2:275)

Oleh kerana itu, riba adalah seperti jual beli, yang melibatkan keuntungan. Dan ambil untungpula, atau memakan harta manusia dalam perdagangan atau jual beli adalah amalan yang dihalalkan Allah. Firman-Nya,

"janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan cara palsu, kecuali dalam perdagangan, dengan persetujuan bersama antara kamu." (4:29)

Akan tetapi, memakan harta orang lain dengan cara palsu dilarang Allah. Seperti itu juga riba, yang disamakan dengan perbuatan tersebut dalam sebuah ayat berbunyi,

"Dan kerana ambilan riba mereka, yang mereka telah dilarang daripadanya, dan makan harta manusia dengan cara palsu;" (4:161).

Justeru, riba dilarang Allah. Itu kerana ia melibatkan ambil untung dua kali ganda dan berganda-ganda, dalam apa jua bentuk perniagaan, termasuk kewangan. Amalan ambil riba merugikan orang ramai. Firman-Nya,

"janganlah makan riba dua kali ganda dan berganda-ganda, dan takutilah Allah agar kamu beruntung." (3:130)

Riba bukan sahaja keuntungan yang berlipat kali ganda untuk diri sendiri tetapi boleh juga diberi untuk orang lain. Misalannya pelaburan dalam skim cepat kaya di mana mereka yang melabur boleh dapat keuntungan yang dilarang Tuhan. Firman-Nya,

"Dan apa yang kamu beri dalam riba, supaya ia menambahkan harta manusia, ia tidak bertambah di sisi Allah;" (30:39).

Haram

Satu daripada sebab riba dilakukan ialah kerana sifat haloba yang bersembunyi dalam diri. Sifat ini merugikan. Firman Allah,

"Dan sesiapa yang dilindungi daripada kehalobaan dirinya sendiri, maka mereka itu, merekalah orang-orang beruntung." (64:16)

Amalan riba bersifat zalim (2:279). Sesuatu yang mendatangkan mudarat tentu diharamkan Allah, lalu Dia dengan tegas menyatakan bahawa riba itu haram. Sesiapa yang tidak meninggalkannya akan dibalas dengan Api (neraka) dan tinggal di dalamnya selama-lamanya. Firman Tuhan,

"Allah halalkan jual beli, dan haramkan riba. Sesiapa yang didatangkan kepadanya satu teguran daripada Pemeliharanya, dan dia berhenti, maka baginya apa yang telah lalu, dan urusannya kepada Allah; tetapi sesiapa ulanginya, mereka itulah penghuni-penghuni Api, di dalamnya tinggal selama-lamanya." (2:275)

Setelah jelas diajar Tuhan mengenai pengurusan hutang piutang, perdagangan dan riba, tentu dapat dikesan di mana terletak kelemahan dalam sistem tersebut seperti yang dilaksanakan dewasa ini. Kelemahan itu disebut oleh pengirim surat di atas. Orang lain yang arif mengenainya akan bersetuju dengan pengirim surat yang menyatakan bahawa sistem perbankan kini dan IMF bersifat menindas manusia.

Sila ikut komen seorang pembaca terhadap rencana di atas.
Terima kasih.

 

Merdeka!
31 Ogos 2003


Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman