Mengenali Tuhan melalui Syeikh 
atau
Menakuti-Nya melalui al-Qur'an?

 

Terpanggil untuk menjawab mengenai tarekat atau tasawuf setelah beberapa pucuk e-mail yang mengajak kepadanya diterima. Yang terbaru dikirim oleh seorang yang menggelar dirinya kamal. Kandungan e-mail beliau adalah seperti berikut:

Mendalamilah dan mempelajari sesuatu kumpulan sprt. TAREKAT, TABLIGH ATAU TASAUF. Barulah memperkatakan buku Sheikh Abdul Kadir Jailani.
Contoh...
4 Orang minum air TEH,4 Orang akan beritahu niikmat rasa TEH. Rasanya berbeza-beza mengikut nikmat rasa yan dianugerah oleh tuhan keatas seseorang. Tuhan tidak zalim.
Kita ambil contoh diatas tadi,sebagai cabang ilmu utk.mengenali Tuhan (ALLAH)

Kerana tertarik dengan contoh hikmah pada air teh itu, maka sebagai sambutan, diturunkan satu contoh yang lain pula. Contoh yang dimaksudkan juga berkaitan dengan mengenali Tuhan. Namun, ia bukan sejenis minuman tetapi sesuatu yang dirasa jua. Contoh itu ialah kulit manusia. Dan rasanya, gementar. Contoh diceduk daripada sebuah ayat Allah, bermaksud:

"Allah turunkan hadis yang paling baik sebagai sebuah Kitab, .... dengannya digentarkan kulit orang-orang yang takut kepada Pemelihara mereka; kemudian kulit mereka dan hati mereka jadi lembut pada Peringatan Allah. Itu petunjuk Allah," (39:23).

Sesetengah kulit manusia akan rasa gementar sementara yang lain tidak, bukan selepas minum sesuatu jenis minuman tetapi apabila diingatkan dengan hadis yang paling baik yang diturunkan Allah. Hadis yang dimaksudkan itu adalah ayat-ayat Kitab al-Qur'an.


Mengenali Tuhan

Mungkin ada yang sangkal kerana perasaan takut kepada Tuhan adalah tidak sama dengan mengenali Tuhan seperti dalam contoh yang pertama. Sebaliknya, penulis berpendapat bahawa frasa mengenali Tuhan merangkumi perasaan takut kepada-Nya jua. Kalau sudah kenal tentu akan takut kepada-Nya juga.

Sebenarnya, Allah tidak menyebut atau menyuruh, di dalam Kitab-Nya al-Qur'an, supaya Dia dikenali. Tidak ada frasa mengenali Tuhan di dalam Kitab tersebut. Akan tetapi, Dia ada menyuruh hamba-hamba-Nya supaya takut kepada-Nya, seperti bunyi sebuah firman, "dan takutilah Allah agar kamu beruntung" (2:189).

Seperti yang dikatakan, perasaan takut akan timbul setelah mengenali-Nya. Iaitu takut apabila diingatkan dengan "hadis yang paling baik" yang diturunkan kepada manusia.

Dengan itu, apa saja hadis yang didatangkan oleh manusia, sama ada daripada orang-orang yang dianggap wali atau tidak, namun, mereka tidak sebaik apa diturunkanAllah. Dan lagi, manusia diberitahu bahawa segala hadis yang selain daripada al-Qur'an adalah tidak seharusnya dipercayai. (Sila rujuk ayat-ayat Allah 7:185, 45:6 dan 77:50. Terima kasih.)

Lantas, bolehkah dikatakan bahawa hadis Syeikh tersebut lebih baik daripada hadis Allah, lalu manusia disuruh untuk mencari jalan kepadanya melalui kitab-kitab tarekat, tabligh dan tasawuf? Sungguh, suruhan itu tidak tepat kerana apa yang harus disuruh ialah mengkaji Kitab Allah, terutamanya dalam bulan Puasa ini.

Satu contoh hadis Syeikh tasawuf itu telah dikirim (oleh seorang yang namakan dirinya dajjal!!). Kononnya terdapat sebuah koleksi tipu daya Iblis, di mana satu daripadanya ceritakan Iblis telah berjumpa dengan Syeikh tersebut, seperti berikut:

koleksi tipu daya iblis ini saya sebarkan sebagai contoh tipudaya iblis bacalah dengan menanam di hati ini semua hanyalah tipudaya. contoh tipudaya syaitan ada banyak, sebagai misal kisah Syeikh Abd Qodir Al Jilani kononnya pernah ditipu syaitan dengan kaedah diberi beberapa keistimewaan kemudian diistiharkan ianya anugerah dari suatu suara. kemudian suara itu mengaku tuhan. Beliau hampir terpedaya tetapi sedarnya itu adalah syaitan setelah terdapat percanggahan dengan ilmu agama Islam. Percanggahan itu ialah suara tersebut menghalalkan segala yg haram kerana memberinya taraf wali yang maksum tidak berdosa. Sedangkan dalam ajaran Islam tiada siapa yg maksum selain para nabi.

Koleksi tipu daya Iblis yang dimaksudkan itu didapati tidak seperti koleksi tipu daya Iblis atau Syaitan di dalam al-Qur'an. (Sila rujuk artikel Syaitan di dalam al-Qur'an.) Peristiwa Syeikh mendengar suara dan suara itu mengaku ia Tuhan adalah bukan pendekatan yang dipakai oleh Iblis atau syaitan untuk menyesatkan manusia. Caranya lebih halus, seperti yang telah dijelaskan Allah di dalam al-Qur'an, iaitu Kitab hadis yang terbaik sekali di dunia. Tujuan utamanya buat manusia tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, atau petunjuk-Nya.

Tambahan lagi, kenyataan di atas yang berbunyi "dalam ajaran Islam tiada siapa yg maksum selain para nabi" juga didapati berada di luar cahaya al-Qur'an. Kerana beberapa orang Nabi Allah, termasuk Nabi Muhammad sendiri, didapati buat kesilapan, mengikut al-Qur'an. Maka apa yang dipercayakannya "dalam ajaran Islam" itu adalah hanya suatu yang diadakan sahaja.


Mistik

Selanjutnya, cerita mengenai Syeikh tersebut daripada sebuah buku mengenainya, didapati penuh mistik. Misalan, dia dikatakan telah naik ke mimbar tanpa dilihat orang ramai untuk mengambil alih "khutbah" setelah disedarnya dari bawah bahawa kawannya di mimbar berada dalam keadaan terdesak untuk ke sungai kecil. Atau, cerita dia lemparkan capal yang terbang jauh untuk dikenakan ke atas orang jahat yang sedang merompak di sebuah tempat lain yang jauh. (Sila betulkan penulis di sini kerana sudah lama membaca kisah Syeikh tersebut.)

Syeikh itu dikatakan telah lakukan beberapa "mukjizat" (yang melebihi Nabi Muhammad, dan maaf atas kegunaan kata mukjizat) dan cerita mukjizat-mukjizatnya didatangkan supaya manusia percaya kepadanya, dan mistik yang berlegar disekelilingnya adalah untuk menjadi bukti kepada kebenarannya.

Walhal, dalam agama Allah, bukti-bukti yang didatangkan kepada manusia untuk membenarkan kebenaran-Nya adalah bersifat jelas dan nyata (2:99 dan 6:104).

Balik kepada soalan pokok iaitu mengenali Tuhan. Tidak ada satu ayat pun di dalam al-Qur'an yang menyuruh manusia mengenali-Nya. Lalu, apa yang dikatakan jalan untuk mengenali-Nya itu hanya rekaan sahaja. Atau, sesuatu yang diadakan, macam yang disebut di dalam ayat berikut:

"Kami adakan bagi tiap-tiap Nabi suatu musuh, syaitan-syaitan daripada manusia dan jin, yang mewahyukan ucapan palsu yang indah-indah kepada satu sama lain, untuk menipu; dan sekiranya Pemelihara kamu hendak, tentu mereka tidak membuatnya. Maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan." (6:112)

Tentu sekali, kulit orang-orang yang takut kepada Allah akan rasa gementar apabila ayat di atas dibacanya.


Mendekatkan diri dengan Allah

Apakah peranan Syeikh itu, yang dianggap sultan bagi semua wali Allah (sila betulkan penulis di sini)? Adakah melaluinya seseorang dapat mendekatkan diri dengan Tuhan, atau mengenali-Nya dengan sebenar? Sekiranya itu sebabnya, sila renungkan ayat berikut:

"Dan orang-orang yang mengambil wali-wali selain daripada Dia - 'Kami hanya sembah mereka supaya mereka dekatkan kami dalam kedekatan dengan Allah' .... Sesungguhnya Allah tidak beri petunjuk kepada pendusta, yang berdegil dalam ketidakpercayaan" (39:3).

Ayat itu melarang ambil wali, selain daripada Allah, untuk mendekatkan diri dengan-Nya. Dia menyifat perbuatan itu sebagai menyembah wali-wali tersebut. Sekali lagi kulit orang-orang yang takut kepada Tuhan akan gementar apabila ayat tersebut difahaminya.

Sehubungan itu, Allah telah pun ajar cara-cara untuk mendekatkan diri dengan-Nya. Dinyatakan-Nya tiga, seperti berikut:

1. Berjuang di jalan Allah (5:35)

Terutamanya, menyebarkan ayat-ayat-Nya. Sila rujuk artikel Jalan Allah.

2. Menafkah (9:99)

Membelanjakan daripada apa yang Allah rezekikan, untuk orang-orang miskin, misalnya. Sila rujuk Nafkah di jalan Allah

3. Percaya, dan buat kerja-kerja baik (34:37)

Percaya kepada ayat-ayat-Nya dan buat kerja-kerja baik. Sila rujuk Syurga dan orang takwa. Terima kasih.

Oleh itu, ambil wali daripada golongan manusia, atau yang selain daripada Allah, adalah bukan ajaran Islam sebenar.

Atau, Syeikh yang dimuliakan itu seorang Rasul lalu dia harus ditaati? Seperti yang sudah maklum, Allah hanya menyuruh mentaati-Nya dan Rasul-Nya. Dan Syeikh tersebut bukanlah seorang Rasul. Mengapa pula dia harus ditaati?

Atau, adakah beliau menyuruh agar ayat-ayat Tuhan dipelajari dan ditaati? Malangnya, daripada apa yang dikirim, suruhan itu tidak dibuat. Sebaliknya, disebut tasawuf, tarekat (Syeikh), mengenali Allah, dan cerita-cerita palsu yang mengkhayalkan, yang tidak diwahyukan Allah.


Takut kepada-Nya

Suruhan untuk mengenali Tuhan tidak disebut di dalam al-Qur'an. Akan tetapi, takut kepada-Nya ada. Terdapat banyak ayat yang menyuruh agar Dia ditakuti, seperti dua yang berikut:

"Wahai orang-orang yang percaya (atau beriman), takutilah Allah sebagaimana Dia patut ditakuti," (3:102).

"maka kamu takutilah Aku, wahai orang-orang empunya minda." (2:197)

Nabi turut disuruh takut kepada-Nya. Malaikat pun sama. Firman-Nya,

"Wahai Nabi, takutilah Allah, dan jangan taati orang-orang tidak percaya, dan orang-orang munafik." (33:1)

"Mereka (malaikat) takut kepada Pemelihara mereka yang di atas mereka, dan mereka buat apa yang mereka diperintah." (16:50)

Takut kepada-Nya bererti buat apa yang diperintah-Nya. Perintah-Nya, atau dipanggil Peringatan, didapati di dalam al-Qur'an. Firman-Nya,

"Kami tidak turunkan al-Qur'an kepada kamu supaya kamu jadi sengsara, Tetapi hanya sebagai peringatan bagi orang yang takut." (20:2-3)

"Orang-orang yang takut kepada Pemelihara mereka dalam keadaan ghaib, dan ketakutan kerana Saat. Dan ini adalah Peringatan yang diberkati, yang Kami turunkan; maka adakah kamu sekarang menolaknya?" (21:49-50)

"Kamu hanya beri amaran kepada orang yang ikut Peringatan, dan yang takut kepada Yang Pemurah dalam keadaan ghaib;" (36:11).

Maka ayat-ayat al-Qur'an tetap jadi jalan, atau tarekat, dalam Islam, walaupun ia tidak berfaedah bagi orang-orang yang tidak mengamalkannya dan tidak takut kepada Allah.

Pun begitu, manusia diingatkan supaya berada tegak di atas tarekat tersebut, dengan tidak menyimpang atau berpaling daripada Peringatan, agar tidak dideritakan di akhirat nanti. Ayat terakhir di sini tentu mampu menggerakkan kulit sesetengah daripada manusia untuk menjadi gementar apabila dibaca, berbunyi:

"Sekiranya mereka lurus (tegak) di atas jalan (tarekat), tentu Kami beri mereka minum daripada air yang melimpah," (72:16).

Justeru, apa yang dikatakan cabang untuk mengenali Tuhan, dengan contoh rasa air teh, melalui tarekat tabligh, atau melalui tarekat seorang Syeikh tasawuf yang dimuliakan, adalah bukan cara beramal yang dituntut dalam Islam agama Allah.

 

Penulis Bacaan
Ramadan 1424
November 2003


Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman