Karangan ditulis pada tahun 1995, untuk mengulas sebuah rencana yang disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan. Namun, ia telah diubahsuai untuk terbitan kali ini. Perubahan yang berlaku adalah pada nama pengarang rencana tersebut, pejabatnya, dan sedikit daripada isi karangan.
Amalan sedekah tanpa al-Qur'an
Rencana berjudul Sedekah menurut kaca mata Islam (Utusan Malaysia, 3.11.95, muka 6) tulisan AW dari sebuah Kor Agama tempatan mendorong penulis untuk menulis. Dorongan digerakkan oleh dua faktor. Pertama, ialah kata Islam yang banyak disebut, termasuk pada judulnya. Islam adalah satu kata yang indah lagi suci.
Kedua, atau penggerak utama bagi sumbangan penulis di sini, ialah ketiadaan kalimat al-Qur'an, dan petikan ayat-ayatnya, mengenai amalan sedekah, dalam tajuk pilihannya mengenai Islam. Ajarannya mengenai sedekah kelihatan seperti tanpa petunjuk daripada Tuhan.
Umat sedia maklum bahawa ayat-ayat Allah adalah nas yang wajib dikemukakan dalam segala tuntutan yang guna nama Islam. Justeru itu, izinkan penulis datangkan di sini beberapa buah ayat al-Qur'an yang bercangkuk pada tajuk, demi untuk mengisi pada kekosongan yang telah diwujudkan, di samping dapat memantapkan lagi isi bagi tajuk yang diutarakan itu.
Kata sedekah dipinjam daripada kalimat al-Qur'an, sadaqah. Ia, menurut Kamus Dewan (1994), bererti "pemberian kepada fakir miskin dll (dengan ikhlas)" Namun begitu, pengertiannya daripada al-Qur'an agak lebih luas.
Terdapat sebanyak dua puluh satu ayat di dalam al-Qur'an yang mengandungi kata tersebut dan kata kerjanya. Jumlah itu bukanlah sedikit tetapi satu pun tidak disebut oleh AW di dalam rencananya yang bertajukkan Islam.
Dengan tanpa merayau-rayau, berpusing-pusing, di dalam hutan kata-kata yang manis, seperti yang lazim didapati, dan menuju terus ke pokok perbincangan, lalu menyebut sebuah ayat al-Qur'an berbunyi,
"Ambillah daripada harta mereka sedekah untuk bersihkan mereka, dan untuk sucikan mereka dengannya," (9:103).
Ayat itu menjawab dua soalan pokok, iaitu apa yang harus disedekahkan dan, mengapa umat harus bersedekah. Sedekah adalah untuk membersih dan menyucikan (jiwa), dan ia disedekahkan daripada harta yang dimiliki. Bermaksud lagi, yang disedekahkan itu adalah benda.
Penulis agak bersetuju dengan AW yang menyatakan, "Pemikiran kebanyakan umat Islam sebenarnya masih menghubungkaitkan sedekah itu dengan sesuatu yang berbentuk material". Pemikiran tersebut tentu tidak disebut-sebut pada hari ini sekiranya umat Islam telah, terlebih dahulu, renungkan sepotong ayat Allah (yang juga merupakan ajaran Rasul yang wajib) berbunyi,
".... orang-orang mukmin yang memberi sedekah dengan sukarela, dan orang-orang yang tidak dapati sesuatu melainkan usaha mereka" (9:79)
Benar seperti kata beliau itu, bahawa sedekah bukan sahaja berbentuk material. Bagi yang tidak mampu, yang tiada harta, Allah hendak mereka menyumbangkan usaha mereka. Usaha adalah "daya upaya (ikhtiar, kegiatan, perbuatan dll) untuk mencapai (melaksanakan, menyempurnakan) sesuatu," kata Kamus.
Namun, usaha atau daya upaya yang dimaksudkan itu, pada hemat penulis, bukanlah sekadar beri senyuman, atau membuang hingus dari dalam masjid, seperti yang dicontohkan oleh AW. Usaha yang disumbangkan adalah yang manfaatkan mereka yang layak menerima sedekah.
Beliau juga tidak menyebut dengan tepat golongan-golongan yang patut menerima sedekah, walhal Allah telah tentukan dengan nyata, di dalam al-Qur'an, yang berbunyi,
"Sedekah adalah untuk orang-orang fakir (yang memerlukan), dan orang-orang miskin, dan yang beramal terhadapnya, dan orang-orang yang hatinya disatukan, dan merdekakan hamba-hamba, dan orang-orang yang berhutang di jalan Allah, dan musafir; begitulah ketentuan Allah, dan Allah Mengetahui, Bijaksana," (9:60).
Menyentuh mengenai orang-orang fakir, atau orang-orang yang memerlukan, yang baru disebut. Mereka adalah orang-orang yang memerlukan bantuan orang lain, seperti mereka yang cacat, sakit, atau yang tua, atau mereka yang kehilangan harta benda akibat berlaku kebakaran, banjir, atau peperangan, atau yang seumpamanya.
Selanjutnya, golongan yang menerima sedekah adalah orang-orang miskin, dan amil yang mengurus hal ehwal mereka, dan orang-orang yang hatinya disatukan (mua'allaf), dan orang-orang yang berhutang di jalan Allah, dan orang-orang musafir. Sementara hamba-hamba pula dimerdekakan dengan pemberian sedekah. Kesemuanya tujuh golongan yang menerima sedekah, menurut ajaran Tuhan pada ayat 9:60 itu.
AW pula menyenaraikan sembilan, yang dianggapnya "antara amalan-amalan yang dianggap sedekah". Antara yang banyak menimbulkan persoalan dan keraguan dalam senarai itu adalah:
berusaha menyembuhkan luka orang yang ditimpa kemalangan,
teguhkan kedudukan orang-orang yang teraniaya,
membangunkan orang yang jatuh atau rebah,
menolong orang miskin yang mempunyai anak ramai, dan
menghindar atau berusaha mengelak daripada berlakunya kemalangan jalan raya.
Hikmahnya, tidaklah sebegitu hikmah yang menyinar pada suruhan Allah yang jelas dan jitu. Begitulah terjadi pada ajaran-ajaran yang diadakan, selain ajaran Tuhan, mereka jadi pudar.
Tokoh dari Kor Agama itu juga menetapkan sebagai yang menerima sedekah (tidak termasuk yang sembilan itu), iaitu binatang dan tumbuh-tumbuhan, seperti kenyataannya yang berbunyi, "tetapi meliputi semua jenis kejadian yang hidup di alam ini termasuk binatang-binatang dan tumbuh-tumbuhan."
Walaupun Tuhan tidak menyenaraikan binatang dan tumbuh-tumbuhan dalam ajaran sedekah-Nya, namun Dia melarang manusia daripada buat kerosakan di bumi, seperti ayat 2:205 yang melarang merosakkan tanaman dan anak-anak pokok, atau ayat 5:1 dan 9:36, yang melarang memburu binatang selama empat bulan setahun. Apapun, senarai penerima sedekah daripada-Nya tidak usah ditambah lagi.
Bahawa sedekah diberi dengan cara senyap-senyap atau terang-terang, tidak juga disebut oleh AW. Itu sebenarnya adalah kehendak Allah seperti yang tersurat berbunyi,
"Jika kamu nampakkan sedekah kamu, ia sangat baik, tetapi jika kamu rahsiakan, dan beri orang-orang fakir, maka itulah lebih baik bagi kamu, dan akan lepaskan kamu daripada kejahatan-kejahatan kamu; Allah sedar apa kamu buat," (2:271).
Maka, berlandaskan satu daripada ajaran yang diada-adakan itu, dan sekiranya umat percayainya, maka umat harus mencari jalan bagaimana mereka bersedekah dengan beri senyuman secara senyap-senyap kepada mereka yang memerlukan bantuan!
Pengarang rencana tersebut tidak juga beritahu tentang sedekah yang diberi sebagai tebusan dalam suatu ibadah dalam haji. Pemberian ini ditentukan di dalam sebuah ayat di mana ia disebut sebagai satu daripada tiga pilihan dalam tebusan bagi mereka yang tidak dapat melaksanakan amalan mencukur kepala setelah pemberian mereka sampai di tempat korban. Ayat itu berbunyi,
"Jika sesiapa di antara kamu sakit, atau ada gangguan di kepalanya, ditebus dengan berpuasa, atau bersedekah, atau berkorban," (2:196).
Terus dikecewakan oleh tulisan AW bertajuk sedekah menurut kaca mata Islam ialah apabila beliau tidak menyatakan bahawa sedekah juga adalah ganti rugi yang dipulangkan balik, iaitu ganti rugi yang dibayar oleh pembunuh kepada keluarga orang yang dibunuhnya. Sedekah itu tersurat di dalam ajaran Allah yang berbunyi,
"Sesiapa membunuh seorang mukmin dengan silap, maka hendaklah dia merdekakan seorang hamba yang mukmin, dan ganti rugi dibayar kepada keluarganya, kecuali mereka sedekahkannya," (4:92).
Amalan itu sudah dilaksanakan dalam masyarakat Islam di sini, setelah pengetahuan mengenainya yang terkubur di dalam hutan kata-kata yang manis itu digali semula. Seperti itulah juga hendaknya digali semula semua ayat Allah yang lain yang telah berkubur dengan lama supaya hutan yang mengelirukan itu jadi taman yang teratur, aman, kerana bersemarak dengan kata-kata Allah yang penuh hikmah.
Apa yang tidak didatangkan oleh AW di dalam artikelnya, yang atas nama Islam, adalah perintah-perintah Tuhan umat Islam mengenai amalan sedekah. Walhal, iman orang yang mengaku Islam harus berpaut pada perintah-Nya!
Kata Islam memang indah, dan mudah disebut. Rencana tersebut, yang sederhana panjangnya, didapati mendaulatkan kata itu, disebutnya sebanyak tujuh belas kali. Akan tetapi, ajarannya tidak berbau Islam sebenar. Sebaliknya, ia mencerminkan ajaran ulama palsu, yang mentaati kitab selain daripada al-Qur'an - ajaran yang tidak mampu untuk menyucikan umat dengan sempurna melalui amalan sedekah perintah Tuhan.
Rujukan:
Kalimat sedekah di dalam al-Qur'an
Penulis
Bacaan
5.11.95
dikemaskini:
Ramadan / November
2002
Artikel
/ English
Articles
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan
Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis kepada
Pengurus Laman