Percaya Kepada Allah

 

Kalimat Allah atau The God adalah antara nama Tuhan paling baik, menurut firman berbunyi "Serulah Allah, atau serulah Ar-Rahman; apa sahaja kamu seru, bagi-Nya nama-nama paling baik" (17:110).

Kepada Dia yang bernama itu manusia disuruh seru, dan juga percaya, menurut perintah lain berbunyi percaya kepada Allah atau percayai Allah yang terdapat disebut di dalam 73 ayat al-Qur'an, termasuk 18 berbentuk negatif atau tidak percaya.

Bagi Ar-Rahman (Yang Pemurah) pula, dalam konteks yang sama, disebut hanya dua kali sahaja, tetapi kedua-duanya berbentuk negatif. Sila lihat di bawah ini:

"Demikianlah Kami utus kamu kepada satu umat yang sebelumnya beberapa umat telah berlalu untuk bacakan mereka apa yang Kami wahyukan kamu; namun begitu, mereka tidak percaya kepada Ar-Rahman. Katakanlah, 'Dia Pemelihara aku; tidak ada tuhan melainkan Dia. Kepada-Nya aku tawakal, dan kepada-Nya aku bertaubat.'" (13:30)

"Dan sekiranya manusia bukan umat yang satu, tentu Kami buatkan untuk orang-orang tidak percaya kepada Ar-Rahman, bumbung-bumbung rumah mereka daripada perak, dan tangga-tangga, di atasnya mereka menaiki," (43:33)

Dimaklumkan iaitu hanya nama-nama Allah dan Ar-Rahman sahaja yang terdapat pada suruhan "percaya" di dalam al-Qur'an. Nama Tuhan yang lain tidak ada. Tiada juga disebut percaya kepada Tuhan atau percayai Tuhan, tetapi percaya kepada-Ku ada (5:111), dan percaya kepada-Nya (46:31) dan juga frasa percaya Aku (2:126 dan 2:186).

Turut disebut ialah percaya kepada Pemelihara, di dalam sebanyak 13 ayat (sila rujuk di sini di mana terdapat senarai ayat bagi semua frasa yang disebut).


1. Percaya Kepada Allah

Perbincangan di sini berkisar sekitar nama Allah sahaja, iaitu percaya kepada Allah, yang selanjutnya menjadi satu-satunya Tuhan dipercayai, menurut Peringatan berbunyi,

40:84. Kemudian, apabila mereka lihat bencana Kami, mereka berkata, "Kami percaya kepada Allah satu-satunya, dan kami tidak percaya kepada apa yang kami telah sekutukan dengan-Nya."

Hanya percaya kepada Allah. Selain Dia, disifatkan sebagai sekutu-sekutu-Nya sahaja.


Kebanyakan manusia dikatakan tidak percayai Allah kerana amalan mereka yang sekutukan-Nya (12:106). Lalu seruan harus dilakukan supaya percaya kepada-Nya, setelah mengambil iktibar daripada ayat berbunyi,

40:42. Kamu menyeru aku supaya aku tidak percaya kepada Allah, dan untuk sekutukan-Nya dengan apa yang aku tiada pengetahuan, sedang aku menyeru kamu kepada Yang Perkasa, Yang Pengampun.

Selain sekutu, Allah difahamkan tidak mempunyai sebarang rakan. Firman-Nya,

34:33. Dan orang-orang yang hina berkata kepada orang-orang yang sombong, "Tidak, tetapi tipu daya malam dan siang, apabila kamu menyuruh kami supaya tidak percaya kepada Allah, dan untuk adakan rakan-rakan bagi-Nya."

Misalan yang dimaksudkan sekutu atau rakan bagi Allah ialah orang-orang yang menetapkan hukum, kerana hukum agama adalah hak Allah semata-mata.


Permusuhan dan kebencian akan terbit apabila manusia diseru supaya percaya kepada Allah satu-satunya, seperti berlaku kepada Nabi Ibrahim dan orang-orang bersama dia yang berkata kepada kaum mereka, "Kami tidak percaya kepada kamu, dan antara kami dan kamu, permusuhan adalah nyata, dan kebencian selama-lamanya, sehingga kamu percayai Allah satu-satunya” (60:4). Pada baginda dan mereka bersamanya terdapat teladan yang baik, menurut ayat itu lagi.

Rasul juga didapati menyeru agar percaya kepada Allah sahaja. Firman-Nya,

57:8. Mengapakah kamu, bahawa kamu tidak percayai Allah padahal Rasul menyeru kamu untuk percayai Pemelihara kamu,


Bukan setakat dikatakan sekutu atau rakan, malah kepercayaan kepada selain daripada Allah dikatakan kepercayaan kepada yang palsu pula. Firman-Nya,

29:52. Katakanlah, "Cukuplah Allah sebagai saksi antara aku dan kamu. Dia tahu apa yang di langit dan bumi. Orang-orang yang percaya kepada yang palsu, dan tidak percaya kepada Allah, mereka itu, merekalah orang-orang yang rugi."


Maka tidak ada Tuhan yang dipercayai kecuali Allah. Percaya kepada-Nya turut bermaksud bertawakal hanya kepada-Nya sahaja, seperti tersirat dalam ayat berbunyi,

10:84. Musa berkata, "Wahai kaumku, jika kamu percaya kepada Allah, kepada-Nya kamu tawakal jika kamu muslim."


Terdapat beberapa ayat lagi mengandungi frasa percaya kepada Allah di dalam al-Qur'an, yang mengandungi mesej-mesej berikut:


Mengenai tidak percaya kepada Allah pula, antara ayat-ayatnya sudah disebut. Berikut adalah dua lagi, mengandungi pertanyaan bagaimana seseorang boleh tidak percaya, dan mengenai ketidakpercayaan sesudah beriman:

2:28. Bagaimanakah kamu boleh tidak percaya kepada Allah memandangkan kamu adalah orang-orang yang mati, lalu Dia hidupkan kamu, kemudian Dia matikan kamu, kemudian Dia hidupkan kamu, kemudian kepada-Nya kamu dikembalikan?

16:106. Sesiapa tidak percaya kepada Allah sesudah keimanannya - kecuali orang yang dipaksa, dan hatinya tenteram dalam keimanannya - tetapi sesiapa yang dadanya dilapangkan dalam ketidakpercayaan, maka kepada merekalah kemurkaan daripada Allah, dan bagi mereka, azab yang besar.

Ayat al-Qur'an terakhir mengandungi mesej percaya kepada Allah memberi peringatan tentang orang-orang yang percaya didendami oleh orang-orang lain hanya kerana mereka percaya kepada-Nya, yang bersifat Perkasa lagi Terpuji! Ayat tersebut berbunyi,

85:8. Mereka mendendami mereka hanya kerana mereka percayai Allah, Yang Perkasa, Yang Terpuji,


2. Percaya Kepada Allah dan Hari Akhir

Suruhan mempercayai Allah didapati digabungkan dengan beberapa perkara lain, misalan, percaya kepada Hari Akhir, seperti tersurat di awal al-Qur'an berbunyi,

2:8. Dan sebahagian manusia ada yang berkata, "Kami percaya kepada Allah dan Hari Akhir" tetapi mereka bukan orang-orang mukmin (yang percayai).

Sebenarnya ayat itu adalah ayat al-Qur'an yang pertama menyebut percaya kepada Allah. Apa yang dikatakan sebahagian manusia di situ kelihatan seperti mereka yang mengaku islam, tetapi tidak percaya kepada-Nya dan Hari Akhir (seperti yang diperingatkan-Nya), atau mereka yang sengaja melakukan perkara-perkara yang dilarang Allah.

Mereka yang percaya kepada Allah dan Hari Akhir didapati menuruti beberapa hukum Allah seperti:

a. Perceraian:

"Perempuan-perempuan yang diceraikan akan tunggu sendiri selama tiga haid, dan tidak halal bagi mereka untuk sembunyikan apa yang Allah cipta di dalam rahim mereka" (2:228),

"Apabila kamu ceraikan perempuan-perempuan, dan mereka sampai tempoh mereka, jangan halangi mereka daripada kahwini suami-suami mereka, apabila mereka sudah saling setuju antara mereka, dengan baik" (2:232),

"Kemudian, apabila mereka sampai tempoh mereka, tahanlah mereka dengan baik, atau berpisahlah daripada mereka dengan baik. Dan adakan saksi, dua orang empunya keadilan di kalangan kamu, dan lakukan kesaksian kepada Allah Sendiri" (65:2).

b. Berzina:

Perempuan yang berzina, dan lelaki yang berzina, sebatlah tiap-tiap seorang daripada mereka dengan seratus sebatan, dan dalam agama Allah, jangan kelembutan terhadap mereka mengambil kamu (24:2).


Mereka juga didapati tidak meminta izin kepada Rasul untuk berjuang dengan harta dan jiwa mereka kerana mereka tidak ragu-ragu. Ayat-ayat di bawah menjelaskan:

"Orang-orang yang percayai Allah dan Hari Akhir, tidak minta izin kepada kamu untuk berjuang dengan harta mereka dan jiwa mereka; dan Allah tahu orang-orang bertakwa.
Mereka yang minta izin kepada kamu hanyalah orang-orang tidak percayai Allah dan Hari Akhir, orang-orang yang hati mereka ragu-ragu, maka dalam keraguan mereka, mereka pergi ke sana sini." (9:44-45)

Mereka turut didapati tidak menyayangi sesiapa saja yang menentang Allah dan Rasul-Nya:

"Kamu tidak dapat sesuatu kaum yang percayai Allah dan Hari Akhir menyayangi sesiapa yang menentang Allah dan Rasul-Nya, walaupun mereka bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, atau kerabat mereka." (58:22)


Bagi orang-orang tidak percaya pula, mereka diberi kesenangan sedikit di dunia kemudian dipaksa kepada azab Api sebagai kepulangan mereka. Firman Allah,

"Dan apabila Ibrahim berkata, 'Pemeliharaku, buatkan ini sebuah negeri yang aman, dan berilah rezeki penduduknya dengan buah-buahan, untuk mereka yang percaya kepada Allah dan Hari Akhir antara mereka.' Dia berkata, 'Sesiapa tidak percaya Aku akan berikan kesenangan sedikit, kemudian Aku akan paksa dia kepada azab Api; betapa buruknya satu kepulangan!'" (2:126)

Terselit pula satu ayat yang tidak menyebut Hari Akhir tetapi akhirat. Ayat berbunyi,

"Dia (Nabi Yusuf) berkata, "Tiada makanan datang kepada kamu untuk rezeki kamu, melainkan sebelum ia datang kepada kamu, aku akan beritahu kamu interpretasinya. Itu adalah daripada apa yang Pemeliharaku mengajarku. Aku telah tinggalkan anutan kaum yang tidak percayai Allah, dan mereka tidak percaya kepada akhirat." (12:37)


3. Percaya kepada Allah, Hari Akir dan Amalan-Amalan Tertentu

Setelah didapati dipasangkan percaya kepada Allah dengan Hari Akhir, ditambah pula beberapa amalan lain. Mereka didapati dikasarkan dalam senarai di bawah:


4. Percaya kepada Allah dan Apa Yang Diturunkan

Selepas melihat ayat-ayat percaya kepada Allah, Hari Akhir dan kemudian beberapa amalan lain, dijelaskan pula ayat-ayat menyebut percaya kepada Allah dan apa yang diturunkan-Nya, iaitu bagi kita, Kitab al-Qur'an:

"Katakanlah, "Kami percaya kepada Allah, dan apa diturunkan kepada kami, dan apa diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub, dan puak-puak, dan apa diberi kepada Musa dan Isa, dan apa diberi kepada Nabi-Nabi daripada Pemelihara mereka. Kami tidak beza-bezakan seorang pun antara mereka, dan kepada-Nya kami muslim." (2:136)
(Nota: Mesej yang sama termasuk amalan tidak bezakan antara Nabi-Nabi terkandung di dalam ayat 3:84.)

"Dan daripada ahli Kitab ada yang percayai Allah, dan apa diturunkan kepada kamu, dan apa diturunkan kepada mereka; mereka rendah hati kepada Allah, tidak jual ayat-ayat Allah untuk harga yang sedikit." (3:199)

"Katakanlah, 'Wahai ahli Kitab, adakah kamu dendami kami kerana kami percaya kepada Allah, dan apa diturunkan kepada kami, dan apa diturunkan sebelumnya, dan bahawa kebanyakan kamu adalah orang-orang fasiq?'" (5:59)
(Nota: Didendami oleh ahli Kitab kerana percaya kepada Allah dan apa yang diturunkan, iaitu al-Qur'an)

Yang diturunkan itu adalah yang benar, yang patut dipercayai, atau Kata-Kata-Nya yang Nabi Muhammad sendiri didapati mempercayainya:

"Tidakkah kami patut percayai Allah, dan yang benar yang datang kepada kami, dan inginkan supaya Pemelihara kami masukkan kami berserta kaum yang salih?" (5:84)

"Katakanlah, 'Wahai manusia, aku adalah Rasul Allah kepada kamu semua, yang bagi-Nya kerajaan langit dan bumi. Tidak ada tuhan melainkan Dia, yang menghidupkan dan mematikan. Maka percayalah kepada Allah, dan Rasul-Nya, Nabi yang ummiy, yang percayai Allah dan Kata-Kata-Nya, dan ikutlah dia supaya kamu dapat petunjuk.'" (7:158)

Dan, apa diturunkanitu dipanggil juga dengan gelaran Cahaya (64:8, ayat ini akan disebut lagi di bawah tajuk kecil lain di halaman ini).

Kemudian didapati ayat-ayat yang menambah kepada amalan percayai Allah dan apa yang diturunkan. Tambahan dimaksudkan adalah amalan percaya kepada malaikat-malaikat, Kitab-Kitab, dan Rasu-Rasul (2:285, di mana disebut juga amalan tidak bezakan antara para Rasul) dan percaya kepada Nabi (5:81).


5. Percaya Kepada Allah, dan Menyuruh Yang Baik, Melarang Yang Mungkar

Seterusnya, menurut sekuen di dalam al-Qur'an, terdapat suruhan percaya kepada Allah, dan amalan menyuruh yang baik dan melarang yang mungkar. Ayat berbunyi,

"Kamu adalah umat terbaik dikeluarkan bagi manusia, dengan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar, dan kamu percayai Allah. Sekiranya ahli Kitab percaya, tentu itu lebih baik bagi mereka; antara mereka, orang-orang mukmin, tetapi kebanyakan mereka adalah orang-orang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan)." (3:110)
(Nota: Kebanyakan ahli Kitab fasiq.)


6. Percaya kepada Allah dan Rasul-Nya

Ayat pertama di sini melarang membezakan antara Allah dan Rasul, kerana mereka adalah sama dalam perintah. Kalau apa dikatakan perintah Rasul itu tidak sama dengan perintah Allah maka perintah itu bukan Islam. Sementara yang kedua mengandungi perintah tidak membezakan antara para Rasul. Firman-firman-Nya berbunyi,

"Orang-orang tidak percaya kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya, dan hendak buat perbezaan antara Allah dan Rasul-Rasul-Nya, dan berkata, 'Kami percayai sebahagian, dan kami tidak percaya kepada sebahagian' dan hendak ambil di antara ini dan itu, satu jalan." (4:150)

"Dan orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya, dan mereka tidak beza-bezakan antara seorang pun antara mereka, maka mereka itu, pasti Kami akan beri mereka upah mereka; Allah Pengampun, Pengasih." (4:152)

Antara ayat-ayat lain mengandungi perintah percaya kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya berbunyi,

"Wahai ahli Kitab, jangan kamu berlebih-lebihan dalam agama kamu, dan jangan kamu kata terhadap Allah kecuali yang benar. Al-Masih, Isa putera Mariam, hanyalah Rasul Allah, dan Kata-Nya yang Dia lemparkan kepada Mariam, dan Roh daripada-Nya. Maka percayalah kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya," (4:171)
(Nota: Peringatan kepada ahli Kitab - jangan berlebih-lebihan dalam agama.)

"Orang-orang mukmin hanyalah mereka yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan yang, apabila mereka berada bersama dia berkumpul atas sesuatu urusan, mereka tidak tinggalkan dia sehingga mereka minta izinnya. Sesungguhnya orang-orang yang minta izin kamu, merekalah orang-orang yang percayai Allah dan Rasul-Nya; maka, apabila mereka minta izin kamu kerana beberapa hal mereka sendiri, izinkanlah sesiapa kamu hendaki antara mereka, dan mintalah ampunan Allah untuk mereka; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih." (24:62)

"Dan orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya, merekalah orang-orang yang benar, dan orang-orang yang jadi saksi (syahid) di sisi Pemelihara mereka; bagi mereka adalah upah mereka, dan cahaya mereka. Tetapi orang-orang tidak percaya, dan dustakan ayat-ayat Kami, merekalah penghuni-penghuni Jahim." (57:19)

"Berlumba-lumbalah kepada ampunan daripada Pemelihara kamu, dan sebuah Taman (Jannah) yang luasnya luas langit dan bumi, disediakan untuk orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya. Itu pemberian Allah; Dia berikannya kepada sesiapa Dia hendaki; dan Allah mempunyai pemberian yang besar." (57:21)

"Tetapi sesiapa yang tidak dapatkannya, maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum keduanya menyentuh satu sama lain. Dan jika sesiapa yang tidak boleh, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin - itu, supaya kamu percayai Allah dan Rasul-Nya. Itu had-had (hudud) Allah; dan bagi orang-orang tidak percaya, azab yang pedih." (58:4)
(Nota: Hukum menzihar isteri.)

Balasan ke atas orang-orang tidak percaya kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya adalah:


Amalan-amalan yang mengekori perintah percaya kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya dijelaskan di dalam ayat-ayat berikut:

"Dan tiada yang mengmenghalangi daripada nafkah mereka diterima daripada mereka, kecuali kerana mereka tidak percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan mereka tidak datangkan solat melainkan dengan malas, dan mereka tidak nafkahkan tanpa mereka membencinya." (9:54)

"Mereka berkata, 'Kami percaya kepada Allah dan Rasul, dan kami mentaati.' Kemudian sesudah itu, segolongan daripada mereka berpaling; mereka itu, mereka bukan orang-orang mukmin." (24:47)

"Supaya kamu percayai Allah dan Rasul-Nya, dan teguhkan-Nya, dan muliakan-Nya, dan supaya kamu sanjung-Nya pada awal pagi dan petang." (48:9)

"Orang-orang mukmin ialah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian tidak ragu-ragu, dan berjuang dengan harta mereka dan jiwa mereka di jalan Allah; mereka itu, merekalah orang-orang yang benar." (49:15)

"Percayalah kepada Allah dan Rasul-Nya, dan nafkahkanlah daripada apa dia buatkan kamu pengganti-penggantinya. Orang-orang yang percaya antara kamu dan nafkahkan, mereka dapat upah yang besar." (57:7)
(Nota: Nafkah disebut lagi)

"Kamu percayai Allah dan Rasul-Nya, dan berjuang di jalan Allah dengan harta kamu dan jiwa kamu. Itu lebih baik bagi kamu, jika kamu tahu." (61:11)
(Nota: Diingatkan juga dalam perjuangan, harus berjuang dengan Rasul, firman-Nya, "Dan apabila sebuah surah diturunkan, 'Percayalah kepada Allah, dan berjuanglah bersama Rasul-Nya'" - 9:86)

"Maka percayalah kepada Allah dan Rasul-Nya, dan Cahaya yang Kami turunkan. Dan Allah sedar apa kamu buat." (64:8)
(Nota: Al-Qur'an itu Cahaya.)


7. Percaya Kepada Allah dan Apa Diturunkan Pada Hari Pembeza

"Ketahuilah bahawa apa sahaja rampasan perang yang kamu ambil, satu per limanya kepunyaan Allah, dan kepunyaan Rasul, dan kepunyaan sanak saudara yang dekat, dan kepunyaan anak-anak yatim, dan untuk orang-orang miskin, dan musafir, jika kamu percaya kepada Allah dan apa Kami turunkan kepada hamba Kami pada Hari Pembeza, hari dua kumpulan bertemu; dan Allah berkuasa atas segala sesuatu." (8:41)

Kami berpendapat bahawa apa diturunkan itu adalah malaikat-malaikat, dengan mengambil iktibar daripada ayat-ayat berbunyi,

"Ketika kamu kata kepada orang-orang mukmin, 'Adakah tidak mencukupi bagi kamu bahawa Pemelihara kamu membantu kamu dengan tiga ribu malaikat yang diturunkan kepada kamu?
Ia, jika kamu sabar, dan bertakwa, dan jika mereka datang kepada kamu dengan segera, Pemelihara kamu akan membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang menyerang dengan pantas.'" (3:124-125)


8. Percaya Kepada Allah dan Orang-Orang Mukmin

"Dan sebahagian daripada mereka menyakiti Nabi, dengan berkata, "Dia telinga!" Katakanlah, "Telinga yang baik bagi kamu; dia percayai Allah, dan percayai orang-orang mukmin, dan dia adalah satu pengasihan bagi orang-orang yang percaya antara kamu. Orang-orang yang menyakiti Rasul Allah, bagi mereka, azab yang pedih.'" (9:61)
(Nota: Nabi percayai orang-orang mukmin.)


9. Percaya Kepada Allah dan Buat Kerja-Kerja Baik

"Pada hari Dia kumpul kamu untuk Hari Berkumpul; itulah Hari Tipu Menipu. Dan sesiapa percayai Allah, dan buat kerja-kerja baik , Allah akan melepaskannya daripada kejahatan-kejahatannya, dan masukkannya ke taman-taman, di bawahnya mengalir sungai-sungai, di dalamnya tinggal selama-lamanya, dan selamanya; itulah kemenangan yang besar." (64:9)

"Seorang Rasul dengan membacakan kamu ayat-ayat Allah yang menjelaskan, supaya Dia keluarkan orang-orang yang percaya dan buat kerja-kerja baik dari kegelapan kepada cahaya. Sesiapa percayai Allah, dan buat kerja-kerja baik , Dia akan masukkannya ke taman-taman, di bawahnya mengalir sungai-sungai; di dalamnya mereka tinggal selama-lamanya, dan selamanya. Sesungguhnya Allah sediakan baginya rezeki yang baik." (65:11)


10. Percaya Kepada Allah dan Gesa Beri Makan Kepada Orang Miskin

"Sesungguhnya dia tidak pernah percayai Allah Yang Agung,
Dan dia tidak menggesa untuk memberi makan orang-orang miskin." (69:33-34)


Demikianlah senarai ayat-ayat mengandungi frasa percaya kepada Allah atau yang serupa berserta amalan-amalan yang didampingkan dengannya untuk menjadi peringatan kita semua.

Allah disanjung!

Penulis Bacaan
5 Mei 2013
(Hari Mengundi PRU13)


Artikel / English Articles
Halaman Utama Terkini Perpustakaan Bacaan E-Mail Hiasan Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar Penemuan Soalan Lazim Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman