Baca dan Membacakan al-Qur'an
"Belum tumbuh gigi dah pandai baca kitab," bunyi sebaris daripada seni kata lagu kanak-kanak yang dinyanyikan semasa mereka dalam buaian. Lagu didendangkan dengan ibu ataupun bapa memegang kedua-dua tangan anak dan menepukkannya. Anak yang masih kecil itu akan tersengih kegelian atau ketawa.
Sungguh besar harapan para ibu bapa terhadap anak-anak mereka, iaitu pandai membaca kitab al-Qur'an. Ia direalisasikan pula apabila anak-anak sampai umur pandai membaca dan menulis. Mereka dihantar kepada guru-guru mengaji al-Qur'an. Atau guru-guru itu dipanggil ke rumah. Tujuannya hanya untuk mengenal huruf dan tanda baca supaya dapat membaca al-Qur'an dengan betul. Amalan itu baik.
Namun, tujuan muktamad seseorang membaca adalah untuk memahami apa yang dibaca. Seperti itu tujuan Allah turunkan kitab al-Qur'an, agar manusia memahami isi kandungannya. Firman Allah,
"Kami turunkannya sebagai sebuah Qur'an bahasa Arab, supaya kamu faham." (12:2)
Ayat lain yang membawa mesej yang sama ialah 43:3. Justeru, al-Qur'an dibaca khusus untuk memahami segala kata-kata-Nya yang ditujukan kepada manusia.
Membaca jadi saluran utama untuk sampaikan ayat-ayat Allah. Al-Qur'an menunjukkan bahawa amalan itu bermula daripada "Kami", yang membacakan ayat-ayat Allah kepada Nabi Muhammad. Antara kata-kata Allah yang menjelaskannya disenarai di bawah:
"Ini adalah ayat-ayat Allah Kami bacakan kamu dengan benar, dan sesungguhnya kamu adalah daripada para utusan." (2:252)
"Ini adalah ayat-ayat Allah Kami bacakan kamu dengan benar, dan Allah tidak hendak sebarang kezaliman bagi semua alam." (3:108)
"Ini adalah ayat-ayat Allah yang Kami bacakan kamu dengan benar; maka dengan hadis apakah, sesudah Allah dan ayat-ayat-Nya, yang mereka akan percayai?" (45:6)
Kami didapati pula membaca dengan bacaan sebenar, iaitu dengan sebutan yang betul supaya dapat difahami makna perkataan dengan tepat, dan Nabi disuruh ikut bacaannya. Penjelasan Tuhan berbunyi,
"..... dan Kami bacakannya (al-Qur'an) dengan bacaan sebenar." (25:32)
"Maka, apabila Kami membacanya, kamu ikutlah bacaannya." (75:18)
Selepas itu, Nabi disuruh pula membacakan al-Qur'an kepada manusia. Contoh ayat-ayat yang ceritakannya adalah:
"Dan sebuah al-Qur'an yang Kami bahagi-bahagikan, untuk kamu baca kepada manusia berjarak-jarak," (17:106)
"Demikianlah Kami utus kamu kepada satu umat yang sebelumnya beberapa umat telah berlalu untuk bacakan mereka apa yang Kami wahyukan kamu;" (13:30)
Lalu baginda membacakannya, seperti dikisahkan di dalam ayat-ayat ini:
"Katakanlah, 'Marilah, aku akan bacakan apa yang Pemelihara kamu haramkan kamu: bahawa kamu tidak sekutukan sesuatu dengan-Nya, dan buat baik kepada ibu bapa, dan tidak membunuh anak-anak kamu kerana kemiskinan; Kami beri rezeki kepada kamu, dan kepada mereka; dan bahawa kamu tidak dekati sebarang kesumbangan, yang nampak atau yang tersembunyi, dan bahawa kamu tidak membunuh jiwa yang Allah haramkan, kecuali dengan patut. Itu yang Dia wasiatkan kamu dengannya, supaya kamu faham.'" (6:151)
"Katakanlah, 'Sekiranya Allah hendak, tentu aku tidak bacakannya kepada kamu, dan tidak juga Dia beritahunya kepada kamu; aku telah tinggal bersama kamu sepanjang masa sebelumnya - tidakkah kamu faham?'" (10:16)
Nabi didapati, bukan sahaja membaca, tetapi menulis kitab al-Qur'an. Itu difahamkan daripada ayat-ayat Tuhan bererti,
"Tidak sebelum ini kamu baca sebarang Kitab, atau menulisnya dengan tangan kanan kamu; jika demikian, tentulah orang-orang yang ikut yang palsu menjadi ragu-ragu." (29:48)
"Mereka berkata, 'Dongeng orang-orang dahulu kala, yang dia (Muhammad) menulisnya, yang diimlakkan kepadanya pada waktu awal pagi dan petang.'" (25:5)
Membaca ayat-ayat Tuhan kepada manusia jadi tugas utama para Rasul, untuk keluarkan mereka dari kesesatan yang nyata, atau dari kegelapan kepada cahaya. Bandaraya-bandaraya dimusnahkan setelah penduduknya berlaku zalim sesudah ayat-ayat Tuhan dibacakan kepada mereka. Sila lihat di bawah:
"Sesungguhnya Allah berbudi baik kepada orang-orang mukmin apabila Dia bangkitkan antara mereka seorang Rasul daripada mereka sendiri, untuk bacakan mereka ayat-ayat-Nya, dan sucikan mereka, dan ajar mereka al-Kitab dan Kebijaksanaan, sedang sebelum itu, mereka adalah dalam kesesatan yang nyata." (3:164)
"Seorang Rasul dengan membacakan kamu ayat-ayat Allah yang menjelaskan, supaya Dia keluarkan orang-orang yang percaya dan buat kerja-kerja baik dari kegelapan kepada cahaya." (65:11)
"Namun begitu, Pemelihara kamu tidak musnahkan bandaraya-bandaraya sehingga Dia bangkitkan di ibu kotanya seorang Rasul untuk bacakan ayat-ayat Kami kepada mereka; dan Kami tidak musnahkan bandaraya-bandaraya melainkan bahawa penduduknya zalim." (28:59)
Sesiapa yang ingin ikut jejak Rasul maka hendaklah dia membacakan kepada orang ramai ayat-ayat al-Qur'an. Bukan yang lain. Dan lagi, orang-orang yang dengar pembacaan Rasul, dan pembaca lain, akan ditanya esok pada hari akhirat. Kata-kata Allah mengenainya berbunyi,
"Kemudian orang-orang tidak percaya dihalau dalam kumpulan-kumpulan ke Jahanam, sehingga apabila mereka datang kepadanya, pintu-pintunya dibuka, dan penjaga-penjaganya berkata kepada mereka, 'Tidakkah Rasul-Rasul datang kepada kamu daripada kalangan kamu sendiri, dengan membacakan kamu ayat-ayat Pemelihara kamu, dan beri amaran kepada kamu terhadap pertemuan hari kamu ini?' Mereka berkata, 'Ia, benar; tetapi kata azab telah wajar ke atas orang-orang tidak percaya.'" (39:71)
"Ayat-ayat-Ku telah dibacakan kepada kamu, tetapi di atas tumit-tumit kamu, kamu berundur, Dengan sombong terhadapnya, bercakap-cakap percakapan kosong pada waktu malam." (23:66-67)
"Api bakar muka-muka mereka semasa mereka pandang dengan marah di dalamnya. 'Apa, tidakkah ayat-ayat-Ku dibacakan kepada kamu, dan kamu mendustakannya?'" (23:104-105)
Pertanyaan di atas bukan atas kemerduan bacaan ataupun ketepatan pada bacaan oleh para Rasul atau pembaca-pembaca, tetapi ayat-ayat Tuhan, yang tidak dipercayai, yang dijauhi, dan yang didustai.
Penerimaan manusia apabila ayat-ayat Tuhan dibacakan kepada mereka berbeza, bergantung pada keimanan. Ada yang tidak percaya, berundur kerana sombong, dan ada yang mendustakan, seperti yang disebut di dalam ayat-ayat tadi. Reaksi negatif yang selanjutnya dirakamkan di dalam ayat-ayat berikut:
"Dan apabila ayat-ayat Kami dibacakan kepada mereka, mereka berkata, 'Kami telah pun mendengar; jika kami hendaki, tentu kami dapat berkata yang serupa dengan yang ini. Tiadalah ini, melainkan dongeng orang-orang dahulu kala.'" (8:31)
"Dan apabila ayat-ayat Kami dibacakan kepada mereka, bukti-bukti yang jelas, orang-orang yang tidak mengharapkan untuk bertemu dengan Kami berkata, 'Datangkanlah al-Qur'an selain yang ini, atau tukarkanlah ia.'" (10:15)
"Apabila ayat-ayat Kami dibacakan kepada mereka, bukti-bukti yang jelas, orang-orang tidak percaya berkata kepada orang-orang yang percaya, 'Yang manakah antara dua golongan yang lebih baik medannya, dan lebih baik dalam majlisnya?'" (19:73)
"Dan apabila ayat-ayat Kami dibacakan kepada mereka, bukti-bukti yang jelas, kamu kenali pada muka orang-orang tidak percaya akan penolakan (kemungkaran); hampir-hampir mereka menyerang orang-orang yang membacakan mereka ayat-ayat Kami." (22:72)
"Dan apabila ayat-ayat Kami dibacakan kepadanya, dia berpaling, menyombong, seakan-akan dia tidak mendengarnya, dan di dalam telinganya ada sumbatan; maka berilah dia berita gembira dengan azab yang pedih." (31:7)
"Dan apabila ayat-ayat Kami dibacakan kepada mereka, bukti-bukti yang jelas, mereka berkata, 'Tiadalah ini, melainkan seorang lelaki yang hendak halang kamu daripada apa yang bapa-bapa kamu sembah'; dan mereka berkata, 'Tiadalah ini, melainkan fitnah yang diada-adakan.' Dan orang-orang tidak percaya berkata pada yang benar apabila ia datang kepada mereka, 'Tiadalah ini, melainkan sihir yang nyata.'" (34:43)
"yang mendengar ayat-ayat Allah dibacakan kepadanya, kemudian berterusan dalam kesombongan, seakan-akan dia tidak mendengarnya; maka berilah dia berita gembira dengan azab yang pedih." (45:8)
"Dan apabila ayat-ayat Kami dibacakan kepada mereka, bukti-bukti yang jelas, tiadalah alasan mereka melainkan mereka berkata, 'Datangkanlah bapa-bapa kami, jika kamu berkata benar.'" (45:25)
Bagi orang-orang tidak percayai akhirat, misalan orang-orang yang apabila disebut Tuhan satu-satunya di dalam al-Qur'an mereka berpaling (tetapi jika disebut selain daripada Tuhan mereka gembira), Allah akan buat mereka tidak faham dan tidak dengar, apabila ayat-ayat al-Qur'an dibaca kepada mereka. Firman-Nya,
"Apabila kamu baca al-Qur'an, Kami letak antara kamu dan orang-orang tidak percayai akhirat, satu tabir yang mengadang, Dan Kami letak penudung pada hati mereka supaya mereka tidak faham, dan di dalam telinga mereka sumbatan. Dan apabila kamu mengingatkan (menyebut) Pemelihara kamu satu-satunya di dalam al-Qur'an, mereka berpaling ke belakang mereka dalam pelarian." (17:45-46)
Lain pula penerimaan orang-orang yang beriman apabila ayat-ayat Tuhan dibacakan kepada mereka. Sila lihat reaksi mereka di bawah ini:
"Orang-orang mukmin hanyalah yang, apabila Allah diingatkan, hati mereka gementar, dan apabila ayat-ayat-Nya dibacakan kepada mereka, ia tambahkan mereka dalam keimanan, dan kepada Pemelihara mereka, mereka tawakal (mempercayakan)," (8:2)
"..... orang-orang diberi pengetahuan sebelumnya, apabila dibacakan kepada mereka, jatuh di atas dagu-dagu mereka dengan bersujud,'" (17:107)
"Mereka itulah orang-orang yang Allah telah rahmati ke atas mereka - para Nabi daripada keturunan Adam, dan daripada orang-orang yang Kami bawa bersama Nuh, dan daripada keturunan Ibrahim dan Israil, dan daripada orang-orang yang Kami beri petunjuk dan Kami pilih. Apabila ayat-ayat Yang Pemurah dibacakan kepada mereka, mereka jatuh bersujud, dan menangis." (19:58)
"Dan, apabila ia dibacakan kepada mereka (orang-orang diberi Kitab sebelum al-Qur'an), mereka berkata, 'Kami percaya kepadanya; sesungguhnya ia adalah yang benar daripada Pemelihara kami. Sesungguhnya, sebelumnya kami telah muslim.'" (28:53)
Ada pula, tatkala mendengar ayat-ayat Allah, mencucurkan air mata dan ada yang kulit jadi gementar. Demikianlah diriwayatkan di dalam dua ayat berikut:
"Dan apabila mereka dengar apa diturunkan kepada Rasul, kamu lihat mata-mata mereka mencucurkan air mata kerana mereka kenali yang benar." (5:83)
"Allah turunkan hadis yang paling baik sebagai sebuah Kitab (al-Qur'an) .......... dengannya digentarkan kulit orang-orang yang takut kepada Pemelihara mereka; kemudian kulit mereka dan hati mereka jadi lembut pada Peringatan Allah." (39:23)
Suruhan membaca al-Qur'an datang dari sisi Allah. Amalan itu dilakukan untuk mengingati-Nya, dan ia merupakan suatu yang amat besar. Firman-Nya,
"Bacalah apa yang diwahyukan kepada kamu daripada Kitab Pemelihara kamu; tiada yang dapat tukar kata-kata-Nya. Selain daripada Dia, kamu dapati tiada perlindungan." (18:27)
"Bacalah apa yang diwahyukan kepada kamu daripada al-Kitab, dan lakukan solat; solat melarang kesumbangan dan mungkar. Peringatan Allah adalah lebih besar; dan Allah tahu apa yang kamu kerjakan." (29:45)
"....... dan bacalah al-Qur’an dengan bacaan sebenar." (73:4)
Membaca al-Qur'an adalah dengan peraturan. Pertama, memohon perlindungan Tuhan daripada gangguan syaitan, dan kedua, membaca dengan menyebut nama-Nya selaku yang mencipta. Sementara yang ketiga, membaca dengan bacaan sebenar, baru saja disebut di atas (ayat 73:4). Suruhan-Nya yang pertama dan kedua berbunyi,
"Apabila kamu baca al-Qur'an, mohonlah perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang direjam." (16:98)
"Bacalah dengan nama Pemelihara kamu yang mencipta," (96:1)
Sementara bagi orang-orang yang hadir pula, mereka harus dengar dan diam:
"Dan apabila al-Qur'an dibacakan, dengarkan ia dan diam; supaya kamu dikasihani." (7:204)
Waktu yang baik bagi membaca al-Qur'an juga ditentukan oleh Yang Pemurah. Waktu-waktu itu disebut di dalam ayat-ayat di bawah, iaitu pada waktu malam dan fajar:
"Tidaklah mereka semua sama; sebahagian daripada ahli Kitab adalah satu umat yang tegak, yang baca ayat-ayat Allah pada tengah malam, dan sujud." (3:113)
"Berjaga-jagalah pada waktu malam, kecuali sedikit, Separuh daripadanya, atau mengurangkan sedikit, Atau menambahkan sedikit, dan bacalah al-Qur’an dengan bacaan sebenar. Sesungguhnya Kami akan lemparkan kepada kamu ucapan yang berat. (73:2-5)
"Pemelihara kamu tahu bahawa kamu berjaga-jaga hampir dua per tiga malam, atau separuhnya, atau satu per tiganya, dan segolongan daripada orang-orang yang bersama kamu ....... Dia tahu bahawa kamu tidak akan jumlahkannya ....... Maka bacalah daripada al-Qur’an semudah yang dapat. Dia tahu bahawa antara kamu ada yang sakit, dan yang lain antara kamu berpergian di bumi, mencari pemberian Allah, dan yang lain berperang di jalan Allah. Maka bacalah daripadanya semudah yang dapat. Dan lakukan solat, dan berikan zakat, dan pinjamkanlah kepada Allah satu pinjaman yang baik ......." (73:20)
"....... dan bacaan (qur'an) fajar; sesungguhnya bacaan fajar disaksikan." (17:78)
Sebab disuruh membaca ialah supaya tidak lupa. Bukan sahaja tidak lupa kepada-Nya tetapi kepada suruhan dan larangan-Nya. Maksud hadis Allah,
"Kami akan buat kamu baca supaya tidak lupa," (87:6)
Jangan pula lupa untuk membacakan ayat-ayat Tuhan kepada mereka yang tinggal bersama serumah. Peringatan-Nya berbunyi,
"Dan ingatlah apa yang dibacakan di dalam rumah-rumah kamu daripada ayat-ayat Allah, dan Kebijaksanaan; sesungguhnya Allah Halus, Menyedari." (33:34)
Balasan bagi orang-orang yang membaca al-Qur'an dengan bacaan yang benar ialah mereka dapat keuntungan dengan percayainya. Terdapat juga sebutan selanjutnya mengenai balasan tersebut di samping kerjakan kebaikan lain, seperti yang diturunkan di bawah:
"Orang-orang yang kepada mereka kami beri al-Kitabmembacanya dengan bacaannya yang benar, mereka percayainya; dan sesiapa yang tidak percaya kepadanya, merekalah orang-orang yang rugi." (2:121)
"Kamu tidak dalam sebarang hal, dan tidak juga kamu baca sebarang daripada al-Qur'an, dan tidak juga kamu buat sebarang amalan, melainkan Kami saksi-saksi ke atas kamu apabila kamu lakukannya; dan tidaklah seberat satu atom di bumi atau di langit tersembunyi daripada Pemelihara kamu, tidak yang lebih kecil daripada itu atau lebih besar, melainkan di dalam Kitab yang jelas." (10:61)
"Sesungguhnya orang-orang yang baca Kitab Allah, dan lakukan solat, dan nafkahkan (belanjakan) daripada apa yang Kami rezekikan mereka, secara rahsia dan secara terbuka, mereka mengharapkan perdagangan yang tidak sia-sia," (35:29)
"Demi yang berbaris dengan barisan-barisan (di akhirat), Dan yang melarang dengan larangan, Dan pembaca-pembaca Peringatan," (37:1-3)
Membaca tidak berakhir di dunia. Ia berterusan hingga ke hari akhirat. Akan tetapi, kitab yang dibaca nanti bukanlah al-Qur'an. Sebaliknya, ia sebuah kitab yang merekodkan segala amalan seseorang semasa dia hidup di dunia. Lihatlah rupa suruhan untuk membaca kitab itu -
"Bacalah kitab kamu! Cukuplah dengan jiwa kamu sendiri pada hari ini sebagai penghitung terhadap kamu." (17:14)
Membaca kitab tersebut adalah dengan memahami isi kandungannya, untuk mengetahui hitungannya. Bukan macam perbuatan membaca yang terdapat pada lagu kanak-kanak, Puk (Tepuk) Amai Amai, dengan sekadar pandai membaca kitab saja, dan jangan pula sampai ke usia bila gigi terakhir gugur pun, hanya pandai membaca ataupun melagukan sahaja! Sebaliknya, jika dia memahami maka haruslah dia membacakan pula, atau sampaikan, ayat-ayat al-Qur'an kepada orang lain.
Sila rujuk:
Kalimat baca di dalam al-Qur'an
Penulis
Bacaan
9 September 2004
Artikel
/ English
Articles
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan
Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis kepada
Pengurus Laman