Utusan Malaysia, 18 Julai 1995, muka 1
(sambungan berita di sini)

 

Anti Terjemahan al-Qur'an?


Kenyataan Pemangku Ketua Pemuda UMNO Malaysia di atas (perenggan keempat) menarik perhatian, berbunyi:

"Perbuatan menterjemahkan al-Quran ke dalam bahasa lain bukan sahaja menjejaskan kesucian al-Quran malah bertentangan dengan ajaran Islam."

Kenyataan serupa ini menunjukkan sikap negatif terhadap terjemahan al-Qur'an. Sikapnya berbau anti terjemahan al-Qur'an.

Frasa "kesucian al-Quran" telah disebut. Apakah yang suci pada al-Qur'an? 

- Kulit, kertas dan dakwatnya? Tidak, kerana mereka lapuk ditelan zaman. Atau, rosak dimakan anai-anai. Atau, hangus dijilat api. Lalu kitab itu jadi debu yang bertaburan.

- Tulisannya? Tidak juga. Kerana sejak dari mula diturunkan, al-Qur'an ditulis dalam pelbagai seni khat. Yang lama tidak dipakai lagi. Lagipun, tulisan khat yang cantik itu telah diguna oleh orang lain untuk menghiasi ayat-ayat Bible bertujuan menjadi perhiasan yang digantung di dinding-dinding rumah. Kesenian tulisan dan corak hiasannya didapati setanding dengan yang digantung di rumah orang Islam. Sehingga terdapat orang Islam terkeliru lalu membelinya dan menggantungkannya di rumah mereka pula!

- Bahasanya? Pun tidak. Kerana terdapat berjuta orang Arab atau yang berbahasa Arab tetapi tidak percaya dan tidak berpegang pada al-Qur'an. Lalu mereka diiktirafkan sebagai kafir.

Justeru itu, apakah yang suci pada al-Qur'an? Ia adalah mesejnya, atau, peringatannya. Kerana itulah yang Allah janji untuk dipelihara selama-lamanya. Firman-Nya:

"Kamilah yang turunkan Peringatan, dan Kamilah yang menjaganya" (15:9).

Peringatan itu diturunkan bukan untuk sesuatu golongan manusia sahaja tetapi untuk guna semua manusia di muka bumi ini. Firman-Nya lagi:

"Dan tiadalah ia (al-Qur'an), melainkan Peringatan bagi semua alam" (68:52).

Adakah dengan ini Allah bermaksud semua hamba-Nya bertutur dalam bahasa Arab? Tidak! Pelbagai bahasa yang wujud di dunia ini adalah ciptaan-Nya jua, dan ia merupakan satu daripada tanda kebesaran-Nya. Sila renungkan Peringatan yang berikut:

"Dan daripada ayat-ayat-Nya ialah ciptaan langit dan bumi, dan perbezaan dalam bahasa kamu, dan warna. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi orang-orang yang tahu" (30:22).

Malah, Rasul-Rasul yang diutus untuk sampaikan Peringatan Allah bertutur dalam bahasa kaumnya. Kenyataan ini terkandung di dalam ayat-Nya berbunyi:

"Dan Kami tidak utus seseorang Rasul melainkan dengan lisan (bahasa) kaumnya supaya dia menjelaskan kepada mereka; kemudian Allah sesatkan sesiapa Dia hendaki, dan Dia beri petunjuk kepada sesiapa Dia hendaki; dan Dia Yang Perkasa, Yang Bijaksana" (14:4).

Tidakkah dengan petunjuk-petunjuk tersebut meyakinkan bahawa al-Qur'an harus diterjemahkan supaya semua alam dapat memahami kandungannya?

Kerana itu Dia buatkan bahasa Arab al-Qur'an jelas. Senang diterjemahkan ke dalam bahasa lain. Perkara ini sudah banyak kali disebut di laman web e-bacaan.com ini.

Tambahan pula, al-Qur'an itu sendiri merupakan sebuah terjemahan, yang menterjemahkan bahasa-bahasa zaman dahulu dan purba. Seperti bahasa Adam, Ibrahim, Musa dan nabi-nabi lain yang bahasanya bukan bahasa Arab al-Qur'an. Ia juga menterjemahkan bahasa haiwan seperti semut (27:18) dan lebah (16:68).

Tokoh politik tersebut menyatakan lagi bahawa perbuatan menterjemahkan al-Qur'an adalah bertentangan dengan ajaran Islam!

Apakah pula yang bertentangan dengan ajaran Islam? Untuk menjawab dengan sebuah ayat, dinyatakan bahawa, apa saja percakapan atau perbuatan yang bertentangan dengan ayat-ayat Allah di dalam al-Qur'an, maka itulah yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Justeru itu, perbuatan menterjemahkan al-Qur'an adalah bukan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Sebaliknya pula, perbuatan itu mampu untuk melahirkan keimanan dalam Islam yang lebih yakin dan teguh.

 

Halaman Utama  Terkini  Perpustakaan  Artikel  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar  Penemuan  Soalan Lazim  Sudut Pelajar  English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman