Respon 10 Tahun E-Bacaan (12) dan Sahabat
From: husmali
To: ebacaan@yahoo.com
Sent: Wednesday, February 29, 2012 8:05 PM
Subject: E-mail Peribadi.
Tuan Pengurus Laman
Semoga sihat ceria selalu.Salamun alaikum,
Alhamdulillahi rabbil alamin! Syabas kepada sahabat, Tuan Pengurus Laman selaku penasihat dan kepada kita semua yang telah bersama-sama dalam sedekad ini miliki dan memakmurkan laman web kita ini.
<dipadam>
Allah disanjung!
Salamun alaikum,
Terima kasih kerana sudi menulis sempena menyambut 10 Tahun laman web ini. Mengenai penasihat, beberapa orang, dikenali dan tidak dikenali, telah tampil ke muka untuk beri nasihat. Paling tidak dilupakan ialah nasihat seorang kenalan kira-kira tujuh tahun lalu, supaya laman web ditutup. Kerana beliau kelihatan kenal PM ketika itu maka kami menuruti nasihatnya. Akan tetapi, selepas itu kami tidak rasa senang hati, sangat tidak senang hati, lalu kurang 24 jam kemudian kami bukak balik.
Emel di atas sudah agak lama diterima, antara kandungannya menyentuh suatu urusan peribadi, yang kami tidak dapat laksanakan, atas beberapa sebab. Ralat dirasakan. Namun, itu tidak mengubah apa-apa, sahabat tetap sahabat.
Panggilan sahabat menunjukkan pertalian yang rapat. Misalan, Nabi Ibrahim yang telah diambil Allah sebagai seorang sahabat (4:125), atau khalil dalam bahasa asal.
Lain pula cerita mengenai Nabi Muhammad, dengan orang-orang tidak percaya. Mereka tidak ingin ambil baginda sebagai sahabat selagi baginda tidak mengadakan terhadap Allah selain daripada apa yang diwahyukan kepada baginda (17:73). Mereka dianggap buta oleh Allah.
Mengenai orang-orang bertakwa pula, persahabatan di kalangan mereka tidak akan menimbulkan sebarang permusuhan pada hari akhirat, tidak seperti orang-orang lain yang menjadi musuh antara satu sama lain pada hari tersebut (43:67). Contoh, antara mereka ada yang berkata "Celakalah aku! Sekiranya aku tidak ambil si polan sebagai sahabat! Sesungguhnya dia sesatkan aku daripada Peringatan setelah ia datang kepadaku;" (25:28-29). Sahabat sesatkannya daripada ayat-ayat Allah!
Demikianlah peringatan daripada empat ayat mengandungi kalimat tersebut, yang mengesahkan tentang sahabat yang baik dan yang sebaliknya. Di akhirat pula, melalui dua kalimat yang seakar dengan khalil, iaitu khullah dan khalla, difahamkan bahawa persahabatan tidak akan wujud antara manusia pada hari tersebut. Ayat-ayat pemberi penjelasan lanjut berbunyi,
"Wahai orang-orang yang percaya, nafkahkanlah daripada apa yang Kami rezekikan kamu, sebelum datang satu hari yang padanya tiada jual beli, dan tiada persahabatan, dan tiada juga syafaat (pengantaraan); dan orang-orang tidak percaya, merekalah orang-orang zalim." (2:254)
"Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku yang percaya, bahawa mereka lakukan solat, dan nafkahkan daripada apa yang Kami rezekikan mereka, secara rahsia dan secara terbuka, sebelum datang satu hari yang padanya tiada jual beli, dan tiada juga persahabatan." (14:31)
Suatu hari yang padanya tiada jual beli, tiada persahabatan, dan tiada juga syafaat (pengantaraan), dan akan jadi lebih menakutkan apabila ia dihadapi dengan tanpa solat dan nafkah semasa hidup di dunia.
Kalimat-kalimat serta ayat-ayat mengandunginya yang baru disebut terbit
daripada satu akar. Terdapat beberapa akar kata laini yang menerbitkan
beberapa kalimat, antaranya boleh diterjemah kepada sahabat. Mereka tidak
diturunkan di sini tetapi di halaman lain, iaitu di ruangan Kalimat
Pilihan. Senarainya masih di peringkat penyediaan (agak slow sedikit
dewasa ini
kerana kami tidak secergas 10 tahun lalu) dan, dengan izin Allah, akan terbit
esok atau lusa atau lebih lama sedikit.
Pun begitu,
diturunkan beberapa ayat daripadanya buat renungan kali ini. Ayat pertama
dipilih mengenai sahabat Allah, siapa yang mengambil-Nya sebagai sahabat:
"Dan apabila Kami berkata kepada para malaikat, 'Sujudlah kamu kepada Adam' maka mereka sujud, kecuali Iblis; ia adalah daripada jin, dan ia lakukan kefasiqan terhadap perintah Pemeliharanya. Apa, adakah kamu ambil ia dan keturunannya menjadi wali-wali (sahabat-sahabat) kamu, selain daripada Aku, sedang mereka musuh bagi kamu? Betapa buruknya pengganti bagi orang-orang zalim!" (18:50)
"Sesungguhnya wali-wali (sahabat-sahabat) Allah - tiada ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih.
Orang-orang yang percaya dan bertakwa," (10:62-63)
Maka orang-orang yang mengambil Allah sebagai sahabat adalah mereka yang percaya dan bertakwa kepada-Nya.
Tidak ketinggalan ialah makhluk yang dekat dengan Allah, iaitu para malaikat,
yang turut jadi sahabat segolongan manusia di dunia dan di akhirat.
Firman-Nya,
"Orang-orang yang berkata, 'Pemelihara kami Allah', kemudian mereka meluruskan (teguhkan) pendirian, kepada mereka malaikat-malaikat turun, dengan berkata, 'Jangan takut, dan jangan sedih; gembiralah dengan Taman yang kamu dijanjikan.
Kamilah wali-wali (sahabat-sahabat) kamu dalam kehidupan dunia, dan di akhirat; di dalamnya kamu dapati semua yang jiwa kamu inginkan, dan apa yang kamu seru," (41:30-31)
Selain daripada Allah
dan malaikat yang harus dijadikan sahabat ialah Rasul-Nya, dan orang-orang yang
percaya, atau orang-orang mukmin. Mereka dipanggil golongan Allah. Tiga ayat di
bawah jelaskannya:
"Wali (sahabat) kamu hanyalah Allah, dan Rasul-Nya, dan orang-orang yang percaya yang lakukan solat, dan mereka memberi zakat, dan mereka tunduk.
Sesiapa jadikan Allah sahabatnya, dan Rasul-Nya, dan orang-orang yang percaya, maka golongan Allah, merekalah orang-orang yang menang." (5:55-56)"Adakah kamu sangka kamu akan dibiarkan sedang Allah belum tahu orang-orang yang berjuang antara kamu, dan tidak ambil, selain daripada Allah, dan Rasul-Nya, dan orang-orang mukmin, sebagai sahabat karib? Allah sedar apa kamu buat." (9:16)
"Dan orang-orang lelaki mukmin, dan orang-orang perempuan mukmin, adalah wali-wali (sahabat-sahabat) satu sama lain; mereka menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar; mereka melakukan solat, dan memberi zakat, dan mereka mentaati Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu, kepada mereka Allah mengasihani; sesungguhnya Allah Perkasa, Bijaksana." (9:71)
Tidak dilupakan di situ ialah amalan lakukan solat, beri zakat, dan berjuang. Di situ juga didapati bahawa para sahabat kita adalah tidak ramai. Tapi amat mencukupi.
Beralih kepada orang-orang yang tidak harus diambil sebagai
sahabat. Bermula dengan firman berbunyi,
"Ikutlah apa diturunkan kepada kamu daripada Pemelihara kamu, dan jangan ikut wali-wali (sahabat-sahabat) selain daripada Dia; sedikit sekali kamu mengingati." (7:3)
"Apabila kamu baca al-Qur'an, mohonlah perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang direjam.
Ia tidak ada kuasa terhadap orang-orang yang percaya, dan mempercayakan kepada Pemelihara mereka.
Kuasanya adalah terhadap orang-orang yang jadikannya sahabat mereka, dan orang-orang yang sekutukan." (16:98-100)
Allah dan al-Qur'an diikuti dan dijadikan sahabat. Selain daripada-Nya, manusia hanya ikut, atau jadikan sahabat, mereka yang dipanggil -
syaitan (jin dan manusia) dan orang-orang yang sekutukan.
Golongan lain yang tidak dijadikan sahabat adalah:
orang-orang tidak percaya:
"Wahai orang-orang yang percaya, jangan ambil sebagai sahabat karib kamu daripada selain kamu. Mereka tidak berhenti-henti hendak hancurkan kamu; mereka inginkan untuk deritakan kamu. Kebencian telah nyata daripada mulut mereka, dan apa yang dada mereka sembunyikan adalah lebih besar. Maka Kami jelaskan kepada kamu ayat-ayat, jika kamu faham." (3:118)
"Wahai orang-orang yang percaya, jangan ambil orang-orang tidak percaya sebagai wali (sahabat) selain daripada orang-orang mukmin; atau, adakah kamu hendak beri Allah terhadap kamu satu kuasa yang nyata?" (4:144.
Mungkin mereka diambil sebagai sahabat untuk mencari kemuliaan di sisi mereka. Firman-Nya, "Orang-orang yang ambil orang-orang tidak percaya sebagai wali (sahabat) selain daripada orang-orang mukmin, adakah mereka cari kemuliaan di sisi mereka? Tetapi kemuliaan kesemuanya kepunyaan Allah." (4:139)
bapa dan saudara yang tidak percaya:
"Wahai orang-orang yang percaya, jangan ambil bapa-bapa kamu dan saudara-saudara kamu untuk menjadi wali-wali kamu, jika mereka lebih suka ketidakpercayaan daripada keimanan; sesiapa antara kamu yang jadikan mereka sahabat-sahabat, maka mereka itu, merekalah orang-orang zalim." (9:23)
musuh dan musuh Allah:
"Wahai orang-orang yang percaya, jangan ambil musuh-Ku dan musuh kamu untuk wali (sahabat), dengan menyampaikan kasih sayang kepada mereka, sesungguhnya mereka tidak percaya kepada yang benar yang datang kepada kamu, dengan mengusir Rasul dan kamu kerana kamu percayai Allah, Pemelihara kamu. Jika kamu keluar untuk berjuang di jalan-Ku dan inginkan kepuasan hati-Ku, dengan merahsiakan kasih sayang kepada mereka, dan Aku sangat-sangat tahu apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu siarkan; dan sesiapa antara kamu buat demikian itu, dia sesat daripada jalan yang betul." (60:1)
kaum dimurkai Allah:
"Tidakkah kamu renungkan orang-orang yang jadikan sahabat-sahabat satu kaum yang Allah murkai? Mereka bukan daripada kamu dan bukan juga daripada mereka; dan mereka bersumpah bohong, sedang mereka tahu." (58:14)
"Wahai orang-orang yang percaya, jangan jadikan sahabat suatu kaum yang terhadap mereka Allah memurkai, dan yang berputus asa daripada akhirat, sebagaimana orang-orang tidak percaya berputus asa, daripada penghuni-penghuni kubur." (60:13)
dan,
Yahudi dan Kristian:
"Wahai orang-orang yang percaya, jangan ambil orang-orang Yahudi, dan orang-orang Kristian, sebagai wali (sahabat); mereka adalah wali-wali satu sama lain. Sesiapa antara kamu yang jadikan mereka sahabat-sahabatnya adalah daripada mereka. Sesungguhnya Allah tidak beri petunjuk kepada kaum yang zalim." (5:51)
Mereka adalah musuh. Namun begitu, mereka boleh jadi
sahabat-sahabat yang setia. Firman-Nya,
"Dan siapakah lebih baik ucapannya daripada orang yang berseru kepada Allah, dan buat kerja-kerja baik , dan berkata, 'Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang muslim'?
Tidak sama yang baik dengan kejahatan. Tangkislah dengan apa yang lebih baik, dan tiba-tiba, orang yang antara kamu dan dia dalam permusuhan jadi seakan-akan dia seorang wali (sahabat) yang setia.
Namun begitu, tiada yang menerimanya kecuali orang yang sabar; tiada yang menerimanya kecuali orang empunya peruntungan yang besar." (41:33-35)
Buat penutup, para sahabat boleh termasuk ke dalam kategori
ahli keluarga. Iktibar dipetik daripada ayat berbunyi,
"Tidak salah ke atas orang buta, dan tidak salah ke atas orang cacat, dan tidak salah ke atas orang sakit, dan tidak juga ke atas diri kamu sendiri, untuk kamu makan di rumah kamu, atau rumah bapa kamu, atau rumah ibu kamu, atau rumah saudara lelaki kamu, atau rumah saudara perempuan kamu, atau rumah bapa saudara kamu sebelah bapa, atau rumah emak saudara kamu sebelah bapa kamu, atau rumah bapa saudara kamu sebelah ibu kamu, atau rumah emak saudara kamu sebelah ibu kamu, atau yang kuncinya kamu miliki, atau sahabat kamu; tidak salah ke atas kamu untuk kamu makan beramai, atau secara berasingan. Apabila kamu masukrumah, berilah salam kepada diri-diri (sesama) kamu dengan salam hormat daripada Allah, diberkati dan baik. Begitulah Allah jelaskan kepada kamu ayat-ayat supaya kamu faham." (24:61)
Maka salam kepada para sahabat sekalian!
Allah disanjung!
13 Mac 2012
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan
Artikel
Bacaan
E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
English
Articles
Tulis kepada Pengurus
Laman