Siri Kisah Nabi (5)
daripada al-Qur'an

 

Nabi Musa

 

Musa adalah seorang Rasul dan seorang Nabi. Namanya paling banyak disebut di dalam al-Qur'an berbanding Nabi lain. Dia adalah seorang lagi Nabi atau Rasul yang diceritakan dari kecil lagi di dalam al-Qur'an. Dia juga seorang buat baik, tulus, dan telah "dibentuk di bawah mata-Ku (pengawasan-Ku)". Kepadanya Allah berkata-kata secara langsung.

Kitab

Nabi Musa telah datangkan beberapa mukjizat. Turut didatangkannya ialah al-Kitab supaya kaumnya, Bani Israil, dapat petunjuk pada jalan lurus. Demikianlah itu adalah satu pengasihan daripada Allah. Kitab tersebut adalah satu peringatan bagi orang-orang empunya minda, lagi sempurna, dengan menjelaskan segala sesuatu, dan diterangkan pula sebagai cahaya, sama seperti al-Qur'an. Ia berbentuk naskhah gulungan dan Bani Israil telah juga letakkannya di kertas-kertas.

Kelahiran

Musa dilahir ketika Firaun memerintah supaya semua bayi lelaki Bani Israil dibunuh. Ibunya seorang mukmin. Setelah dia dilahirkan, Tuhan wahyukan ibunya, "Susukanlah dia, kemudian apabila kamu takut terhadapnya, lemparlah dia ke laut, dan janganlah takut, dan jangan juga bersedih, kerana Kami akan kembalikan dia kepada kamu, dan akan melantiknya seorang daripada para utusan."

Pada paginya, hati ibu Musa jadi kosong. Namun, bayinya diletak di dalam sebuah peti, dihanyutkan ke laut, dan dia berkata kepada saudara perempuan Musa, "Ikutlah dia". Saudara perempuannya melihat dari jauh dan arus membawanya ke sebuah tebing.

Dia melihat keluarga Firaun memungutnya. Isteri Firaun berkata, "Dia akan jadi satu pendingin mata (kegembiraan) bagiku dan bagi kamu. Jangan membunuhnya; mudah-mudahan dia bermanfaat kepada kita, atau kita ambil dia sebagai anak." Dan mereka tidak sedar bahawa bayi itu akan jadi seorang musuh, dan kesedihan bagi mereka suatu hari nanti.

Tuhan telah mengharamkan Musa, sebelum itu, daripada disusukan oleh mana-mana ibu angkat. Maka saudara perempuannya tampil dan berkata, "Bolehkah aku tunjukkan kamu kepada keluarga daripada seisi rumah yang akan menjaganya untuk kamu, dan mengasuhnya?"

Dengan itu Tuhan kembalikan dia kepada ibunya, supaya ibunya bergembira dan tidak bersedih, dan supaya dia tahu bahawa janji Allah adalah benar.

Menumbuk

Apabila dia dewasa dan tegap Tuhan beri dia putusan, dan pengetahuan kerana dia seorang buat baik.

Suatu hari, dia masuk kota sewaktu penduduknya sedang lalai, dan dia dapati di dalamnya dua orang lelaki sedang berperang; yang satu adalah daripada golongannya sendiri, dan yang lain, daripada musuhnya. Kemudian yang daripada golongannya meminta pertolongan kepadanya terhadap musuhnya. Maka Musa menumbuknya, dan matikannya. Dia berkata, "Ini adalah daripada amalan syaitan; sesungguhnya ia musuh yang sesatkan, yang nyata."

Dan berdoa, "Wahai Pemeliharaku, aku telah menzalimi diriku. Ampunkanlah aku." Tuhan ampunkannya, dan dia berjanji tidak akan jadi penyokong bagi orang-orang yang berdosa lagi.

Pada keesokan paginya, dia berada di kota lagi, takut-takut dan berjaga-jaga. Tiba-tiba orang yang meminta pertolongannya semalam meminta pertolongannya lagi. Kali ini Musa ingin serangnya pula, tetapi ketika dia hendak menyerang, orang itu berkata, "Wahai Musa, adakah kamu hendak membunuh aku sebagaimana kamu bunuh satu jiwa semalam? Kamu hanya hendak menjadi penindas di bumi; kamu tidak hendak menjadi daripada orang-orang yang membetulkan."

Kemudian datang seorang lelaki dari bahagian kota yang terjauh, berlari. Dia berkata, "Wahai Musa, pembesar mereka sedang bermuafakat untuk membunuh kamu." Dia selanjutnya menasihatkan Musa supaya lari dari kota. 

Madyan

Lalu Musa tinggalkan kota, dengan takut-takut dan berjaga-jaga, menuju ke Madyan, dan berdoa, "Wahai Pemeliharaku, selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim."

Apabila dia sampai di perairan Madyan, dia dapati satu kumpulan manusia memberi minum kepada ternakan mereka, dan dia dapati, selain daripada mereka, dua orang perempuan sedang menahan ternak mereka. Mereka tidak dapat memberi minum kepada ternak mereka sehingga penggembala-penggembala di situ menghalau ternakan masing-masing. Bapa mereka tiada di situ sebab usianya sangat tua.

Maka dia memberi minum untuk mereka. Lepas itu, dia berpaling ke tempat yang teduh dan berdoa, "Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya aku  memerlukan apa-apa kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku."

Kemudian datang seorang daripada dua perempuan tadi kepadanya, berjalan dengan malu, dan berkata, "Bapaku memanggil kamu supaya dia membalas kamu dengan upah kerana kamu memberi minum untuk kami." 

Setelah dia datang kepadanya, dan ceritakan kepadanya ceritanya, orang tua itu berkata, "Jangan takut; kamu telah selamat daripada kaum yang zalim."

Seorang daripada dua beradik tadi menyuruh bapanya ambil Musa sebagai upahan. Tidak lama kemudian bapanya berkata kepada Musa, "Aku hendak mengahwinkan kamu dengan seorang daripada dua anak perempuanku ini, dengan kamu ambil upah daripada aku selama lapan tahun. Jika kamu menyempurnakan sepuluh, itu adalah daripada kamu; aku tidak hendak memberatkan kamu."

Api

Nabi Musa bersetuju. Selepas menyempurnakan tempoh yang dijanjikan, dia dengan keluarganya berpergian pada suatu malam yang sejuk. Dia ternampak api di tepi gunung, dan berkata kepada keluarganya, "Tetaplah kamu di sini; aku lihat api. Mudah-mudahan aku akan datangkan kepada kamu beritanya, atau berkas kayu daripada api, supaya kamu dapat panaskan diri-diri kamu."

Apabila dia datang kepadanya, dia terdengar suara dari sepohon pokok, "Diberkatilah orang yang di api, dan orang yang di sekitarnya. Allah disanjung, Pemelihara semua alam!"

"Wahai Musa, sesungguhnya ini Aku, Allah, Yang Perkasa, Yang Bijaksana."

"Wahai Musa, Sesungguhnya Akulah Pemelihara kamu; tanggalkan kasut kamu; kamu adalah di lembah suci, Thuwa. Aku Sendiri telah memilih kamu, maka dengarlah apa yang diwahyukan."

"Sesungguhnya Akulah Allah; tidak ada tuhan melainkan Aku, maka sembahlah Aku, dan lakukan solat untuk mengingati Aku." Kemudian Dia mengingatkan tentang Saat yang pasti datang supaya tiap-tiap jiwa dibalas atas usahanya.

Dan Dia bertanya, "Apakah itu yang di tangan kanan kamu, wahai Musa?"

Tongkat

Musa menjawab, "Ia tongkatku; aku bersandar padanya, dan dengannya aku memukul pokok untuk daun-daun kambingku, dan keperluan lain juga aku dapati padanya."

Berkatalah Dia, "Lemparlah ia, wahai Musa!" Lalu dia melemparnya. Apabila dia melihatnya menggetar-getar seperti seekor ular dan merayap, dia berpaling, berundur, dan tidak menoleh.

"Ambillah ia, dan janganlah takut; Kami akan kembalikan kepada keadaannya yang pertama."

Dan Dia menyuruh Musa mengepitkan tangannya pada ketiaknya, lalu ia keluar jadi putih, tanpa cacat. Itu adalah ayat yang kedua. Kemudian Dia menyuruh Musa mendakapkan tangannya pada tubuhnya supaya tidak jadi gerun, kerana dia akan pergi berjumpa Firaun dan keluarganya. Maka itulah dua bukti, daripada sembilan, yang Pemeliharanya ingin menunjukkan kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya. Mereka adalah kaum yang fasiq dan melampaui batas.

Musa berkata, "Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya aku telah bunuh satu jiwa daripada mereka, dan aku takut bahawa mereka akan bunuh aku. Dan saudaraku Harun lebih fasih lisannya daripada aku. Utuslah dia bersama aku sebagai pembantu, dan untuk mengesahkan aku kerana aku takut mereka akan mendustakan aku."

"Kami akan menguatkan tangan kamu dengan saudara kamu, dan Kami buatkan kamu satu kuasa supaya mereka tidak sampai kepada kamu kerana ayat-ayat Kami; kamu, dan sesiapa yang ikut kamu, adalah orang-orang yang menang."

Firman-Nya lagi, "Aku telah memilih kamu untuk diri-Ku. Pergilah kamu dan saudara kamu dengan ayat-ayat-Ku, dan janganlah lalai untuk mengingati-Ku. Pergilah kamu berdua kepada Firaun; sesungguhnya dia melampaui batas. Namun begitu, ucapkanlah dengan lemah lembut kepadanya; mudah-mudahan dia mengingati, atau dia takut."

Keduanya berkata, "Wahai Pemelihara kami, sesungguhnya kami takut bahawa dia bersegera menyeksa kami, atau melampaui batas."

"Jangan takut. Sesungguhnya Aku berserta kamu, mendengar dan melihat. Maka pergilah kamu berdua kepadanya, dan katakan, 'Kami adalah Rasul-Rasul Pemelihara kamu, maka utuskanlah bersama kami Bani Israil dan janganlah mengazab mereka; kami datang kepada kamu dengan ayat daripada Pemelihara kamu; dan sejahtera ke atas orang yang ikut petunjuk! Telah diwahyukan kepada kami bahawa azab adalah kepada orang yang dustakan dan berpaling.'"

Lalu Musa merayu, "Wahai Pemeliharaku, lapangkanlah dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku. Dan lepaskanlah ikatan pada lisanku (lidahku), supaya mereka faham ucapanku. Lantikkanlah untukku, daripada keluargaku, seorang wazir, Harun, saudaraku. Dengan dia, teguhkanlah kekuatanku, dan sekutukanlah dia dengan aku dalam urusanku, supaya kami menyanjung Engkau dengan banyak, dan mengingati Engkau dengan banyak. Sesungguhnya Engkaulah yang melihat pada kami."

"Kamu diberi, wahai Musa, rayuan kamu."

Firaun

Firaun meninggi di bumi. Dia pecah belahkan penduduknya kepada golongan-golongan, iaitu golongan penduduk asal, orang Mesir, dan golongan kaum mendatang, Bani Israil. Golongan kedua dihina dan dijadikan hamba. Anak-anak lelaki mereka dibunuh sementara yang perempuan dibiarkan hidup.

Apabila Musa datang dengan ayat-ayat Tuhan kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya, dan dia berkata, "Sesungguhnya aku adalah Rasul Pemelihara semua alam", mereka mengetawakannya.

Musa juga telah memohon supaya kaumnya, Bani Israil, diutus bersamanya keluar dari negeri Mesir.

Firaun berkata, "Tidakkah kami yang pelihara kamu di kalangan kami sejak kanak-kanak, dan kamu tinggal bersama kami bertahun-tahun daripada umur kamu?" Dan dia mengingatkan pula tentang pembunuhan yang Musa telah lakukan.

Musa menjawab, "Aku lakukannya tatkala aku termasuk orang-orang yang sesat. Maka aku lari daripada kamu, takut pada kamu. Tetapi Pemelihara aku telah beri aku Putusan, dan buat aku antara para utusan. Itu adalah satu rahmat yang kamu berbudi kepadaku, bahawa kamu menghambakan Bani Israil."

Firaun bertanya, "Apakah ia Pemelihara semua alam?"

"Pemelihara langit dan bumi, dan apa-apa di antara keduanya, jika kamu yakin" dan Musa menambah, "Pemelihara kami ialah Dia yang beri segala sesuatu ciptaannya, kemudian memberinya petunjuk."

Firaun berkata kepada orang-orang di sekelilingnya, "Tidakkah kamu dengar?" Dia berkata lagi, "Sesungguhnya Rasul kamu yang diutus kepada kamu ialah orang yang dirasuk!"

Selanjutnya Firaun beri amaran, "Jika kamu ambil tuhan selain aku, pasti aku akan buat kamu antara orang-orang yang dipenjarakan."

Musa berkata, "Walaupun aku datangkan kepada kamu sesuatu yang jelas?"

"Datangkanlah ia, jika kamu termasuk orang-orang yang benar."

Maka Musa lemparkan tongkatnya, dan tiba-tiba, ia jadi seekor ular yang nyata. Dan dia keluarkan tangannya, lalu ia menjadi putih bagi orang-orang yang melihat.

Firaun berkata kepada pembesar-pembesar di sekelilingnya, "Sesungguhnya ini seorang ahli sihir yang mahir, yang hendak usir kamu daripada bumi kamu dengan sihirnya; apakah yang kamu perintahkankan?"

Mereka berkata, "Tangguhkanlah dia dan saudaranya seketika, dan kirimlah ke kota-kota orang-orang yang mengumpulkan, untuk datangkan kepada kamu tiap-tiap ahli sihir yang mahir."

Firaun bertanya lagi kepada Musa, "Dan bagaimanakah dengan generasi-generasi dahulu?"

"Pengetahuan mengenai mereka adalah di sisi Pemeliharaku di dalam Kitab; Pemeliharaku tidak sesat, dan tidak juga lupa," jawab Musa.

Firaun juga telah berkata, "Aku adalah Pemelihara kamu, Yang Tinggi!"

Ahli Sihir

Hari yang ditetapkan untuk Musa bertarung dengan ahli-ahli sihir ialah Hari Perhiasan. Manusia dikumpulkan pada waktu pagi. Antara manusia ada yang berkata, "Semoga kita ikut ahli-ahli sihir jika merekalah orang-orang yang menang."

Apabila ahli-ahli sihir datang kepada Firaun mereka meminta upah jika mereka menang. Firaun bersetuju dan seterusnya berjanji untuk meletakkan mereka berkedudukan dekat dengannya.

Ahli-ahli sihir bertanya kepada Musa, "Wahai Musa, adakah kamu yang akan lempar, atau kamikah yang pertama melemparkan?"

Musa berkata, "Tidak, kamu lemparlah!"

Lalu mereka lempar tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka, dan berkata, "Dengan kemuliaan Firaun, pastilah kami orang-orang yang menang."

Tiba-tiba ia, seolah-olah nampak kepadanya, daripada sihir mereka, tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka merayap. Musa berasa takut di dalam dirinya. Lantas Allah wahyukan kepadanya, "Jangan takut; sesungguhnya kamulah yang tinggi. Lemparlah apa yang di tangan kanan kamu, dan ia akan telan apa mereka buat; mereka hanya buat tipu muslihat ahli sihir, dan ahli sihir tidak beruntung di mana sahaja dia datang."

Kemudian Musa lemparkan tongkatnya, dan ia telan segala yang mereka palsukan.

Ahli Sihir Sujud

Maka ahli-ahli sihir dikalahkan dan mereka menjadi rendah. Kemudian mereka sujud seraya berkata, "Kami percaya kepada Pemelihara semua alam, Pemelihara Musa dan Harun."

Firaun berkata, "Kamu percaya kepadanya sebelum aku izinkan kamu! Dia ketua kamu yang mengajar kamu sihir; sekarang kamu akan tahu! Sungguh, aku akan memotong, berselang-seli, tangan-tangan kamu dan kaki-kaki kamu, dan kemudian aku akan salib kamu kesemuanya."

Mereka berkata, "Kami tidak akan lebih suka kamu daripada bukti-bukti yang jelas yang datang kepada kami, dan tidak juga daripada Dia yang memulakan kami. Maka putuskanlah apa yang kamu akan putuskan; kamu hanya boleh memutuskan mengenai kehidupan dunia ini. Kami percaya kepada Pemelihara kami supaya Dia ampuni kami atas pelanggaran-pelanggaran kami, dan sihir yang kamu memaksa kami lakukannya; Allah adalah lebih baik, dan lebih kekal."

Ahli-ahli sihir juga berkata, "Sesungguhnya kepada Pemelihara kami, kami balik. Dan kamu mendendami kami hanya kerana kami percaya kepada ayat-ayat Pemelihara kami apabila mereka datang kepada kami. Wahai Pemelihara kami, tuangkanlah kepada kami kesabaran dan matikanlah kami dalam kemusliman."

Kemudian berkata pembesar-pembesar kaum Firaun, "Adakah kamu akan tinggalkan Musa dan kaumnya untuk buat kerosakan di bumi, dan tinggalkan kamu dan tuhan-tuhan kamu?"

Dan mereka berkata lagi, "Kita akan bunuh anak-anak lelaki mereka, dan biarkan hidup perempuan-perempuan mereka; sesungguhnya kitalah yang menakluki mereka!"

Selepas itu Musa berkata kepada kaumnya, "Mohonlah pertolongan kepada Allah, dan sabarlah; sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, dan Dia wariskannya kepada siapa Dia hendaki di kalangan hamba-hamba-Nya. Kesudahan adalah bagi orang-orang bertakwa."

Kaumnya berkata, "Kami disakiti sebelum kamu datang kepada kami, dan setelah kamu datang kepada kami."

"Mudah-mudahan Pemelihara kamu akan musnahkan musuh kamu, dan Dia jadikan kamu pengganti-pengganti di bumi, supaya Dia perhatikan bagaimana kamu buat," sahut Musa.

Kemurkaan

Kemudian Tuhan mengenakan keluarga Firaun dengan beberapa tahun bekalan yang tidak mencukupi, dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka ingat. Namun, mereka tidak ingat juga.

Apabila yang baik datang kepada mereka, mereka berkata, "Ini ialah kerana kami". Tetapi jika keburukan menimpa mereka, mereka meramalkan yang buruk kerana Musa, dan orang-orang yang bersamanya.

Dan mereka berkata, "Apa sahaja ayat yang kamu datangkan kepada kami, untuk menyihir kami dengannya, kami tidak akan mukmin (yang percayai) kepada kamu."

Tuhan mengenakan mereka lagi dengan utus kepada mereka banjir, belalang juta, kutu, katak, dan darah. Itu adalah "ayat-ayat yang jelas". Lagi, mereka menyombong. 

Apabila kemurkaan Allah jatuh kepada mereka, mereka berkata, "Wahai Musa, serulah (mohonlah) untuk kami kepada Pemelihara kamu dengan apa yang Dia janjikan kamu. Jika kamu hilangkan daripada kami kemurkaan, sungguh, kami akan percayai kamu, dan kami akan utus bersama kamu Bani Israil."

Tetapi apabila Tuhan menghilangkan daripada mereka kemurkaan hingga ke satu tempoh, tiba-tiba mereka mungkiri ketaatan mereka. 

Karun

Mesej Nabi Musa telah juga sampai kepada Karun. Karun adalah daripada kaumnya. Dia jadi angkuh kerana Tuhan memberinya harta-harta simpanan yang kunci-kuncinya jadi beban yang sungguh berat untuk diangkat oleh sekumpulan orang empunya kekuatan. Apabila kaumnya berkata kepadanya, "Janganlah kamu berbangga, sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang banggakan diri. Tetapi carilah, dengan apa yang Allah beri kamu, tempat kediaman akhir, dan janganlah melupakan bahagian kamu di dunia ini; dan buat baik, sebagaimana Allah buat baik kepada kamu. Dan janganlah mencari untuk buat kerosakan di bumi; sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang buat kerosakan."

Karun berkata dengan sombong, "Apa yang aku diberi hanyalah kerana pengetahuan yang ada padaku."

Maka dia keluar kepada kaumnya dengan perhiasannya. Orang-orang yang hendak kehidupan dunia berkata, "Sekiranya kita mempunyai yang serupa dengan apa yang Karun diberi! Sesungguhnya dia seorang empunya peruntungan yang besar."

Tetapi orang-orang yang kepada mereka diberi pengetahuan berkata, "Celakalah kamu! Ganjaran Allah adalah lebih baik bagi orang yang percaya, dan buat kerja-kerja baik ; dan tiada yang akan menerimanya kecuali orang-orang yang sabar."

Lalu Tuhan buatkan bumi telan Karun dan tempat tinggalnya. Pada waktu pagi, orang-orang yang inginkan tempatnya kelmarin berkata, "Aduhai, Allah menjulur dan menyempitkan rezeki-Nya kepada sesiapa Dia hendaki daripada hamba-hamba-Nya. Sekiranya Allah tidak berbudi baik kepada kami, tentu Dia buatkan kami ditelan juga. Aduhai, orang-orang tidak percaya tidak beruntung!"

sembunyikan Keimanan

Firaun berazam untuk membunuh Nabi Musa. Dia berkata, "Biarlah aku bunuh Musa, dan hendaklah dia menyeru Pemeliharanya. Aku takut bahawa dia akan tukarkan agama kamu, atau dia menimbulkan kerosakan di bumi."

Musa berkata, "Aku berlindung pada Pemeliharaku, dan Pemelihara kamu, daripada setiap orang yang sombong, dan tidak percayai Hari Perhitungan."

Kemudian tampil seorang lelaki yang mukmin daripada keluarga Firaun yang sembunyikan keimanannya dan berkata, "Apa, adakah kamu akan bunuh seorang lelaki kerana dia berkata, 'Pemeliharaku ialah Allah' walaupun dia datangkan kepada kamu bukti-bukti yang jelas daripada Pemelihara kamu? Jika dia seorang pendusta, kedustaannya adalah terhadapnya; tetapi jika dia benar, maka sebahagian daripada apa dia janjikan kamu akan menimpa kamu. Sesungguhnya Allah tidak beri petunjuk kepada orang yang berlebihan, dan pendusta."

Seterusnya lelaki itu mengingatkan tentang tiada perlindungan daripada bencana Allah apabila ia datang seperti yang jatuh kepada kaum Nuh, Ad, dan Tsamud, yang tidak percaya kepada-Nya.

Haman

Dan Firaun berkata, "Wahai pembesar-pembesar, aku tidak tahu bahawa kamu ada tuhan selain daripada aku! Nyalakanlah api untukku, wahai Haman, pada tanah liat, dan buatkan untukku sebuah menara yang tinggi, supaya aku dapat melihat Tuhan Musa, kerana aku sangka dia termasuk pendusta-pendusta."

Lelaki yang sembunyikan keimanannya menyambung hujahnya dengan menyeru kaumnya supaya ikutinya, serta mengingatkan tentang akhirat, dengan Taman dan Apinya. Lalu dia dilindungi oleh Allah daripada kejahatan keluarga Firaun.

Firaun membalas dengan berkata, "Wahai kaumku, bukankah kepunyaanku kerajaan Mesir, dan sungai-sungai ini yang mengalir di bawahku? Apa, tidakkah kamu melihat? Atau, tidakkah aku yang lebih baik daripada lelaki ini (Musa), yang keji, dan hampir tidak dapat menjelaskan? Mengapa pula gelang-gelang emas tidak dilemparkan kepadanya, atau malaikat-malaikat tidak datang bersama dia untuk bergabung?"

Doa Kamu Disahuti

Musa terus menyeru kaumnya, "Wahai kaumku, jika kamu percaya kepada Allah, kepada-Nya kamu percayakanlah (tawakal) jika kamu muslim."

Mereka berkata, "Kepada Allah kami mempercayakan. Pemelihara kami, janganlah Engkau buat kami satu cubaan bagi kaum yang zalim, dan selamatkanlah kami dengan pengasihan Engkau daripada kaum tidak percaya."

Tuhan wahyukan Musa dan saudaranya, "Ambillah kamu untuk kaum kamu di Mesir, rumah-rumah tertentu, dan buat rumah-rumah kamu satu kiblat (haluan), dan lakukan solat, dan beri berita gembira kepada orang-orang mukmin."

Musa berdoa, "Pemelihara kami, Engkau telah beri Firaun dan pembesar-pembesarnya perhiasan dan harta kekayaan dalam kehidupan dunia ini. Pemelihara kami, biarkanlah mereka sesat daripada jalan Engkau. Pemelihara kami, hapuskanlah harta-harta mereka, dan keraskanlah hati mereka supaya mereka tidak percayai, sehingga mereka melihat azab yang pedih."

Allah berfirman, "Doa kamu disahuti; maka hendaklah kamu berlaku lurus, dan jangan ikut jalan orang-orang yang tidak tahu."

Yang Percaya

Tiada yang percaya kepada Musa kecuali satu keturunan daripada kaumnya kerana takut pada Firaun dan pembesar-pembesar mereka, bahawa mereka akan aniaya mereka. Daripada keluarga Firaun, selain daripada lelaki yang sembunyikan keimanannya, isteri Firaun turut percaya kepada apa yang Nabi Musa datangkan ("Allah buat satu persamaan bagi orang-orang yang percaya - isteri Firaun, apabila dia berkata, 'Wahai Pemeliharaku, binalah untukku di sisi-Mu sebuah rumah di Taman, dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan amalannya, dan Engkau selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim.'” - 66:11).

Gunung tinggi yang besar

Kemudian Tuhan wahyukan Musa supaya tinggalkan negeri Mesir dengan kaumnya, "Berjalanlah dengan hamba-hamba-Ku pada waktu malam; sesungguhnya kamu akan diikuti." 

Firman-Nya lagi, "Buatkan untuk mereka jalan yang kering di dalam laut, tanpa takut akan dipintas, dan tidak juga ketakut-takutan."

Firaun, sebaliknya, telah utus ke kota-kota orang-orang yang mengumpulkan manusia. "Sesungguhnya mereka ini kumpulan yang sedikit, dan sesungguhnya mereka buat kita marah, dan kita semua berjaga-jaga."

Maka mereka keluar dari taman-taman dan mata-mata air, dan harta-harta simpanan, dan medan mereka yang mulia untuk hapuskan Musa dan pengikut-pengikutnya.

Mereka ikut Musa dan kaumnya pada waktu matahari terbit. Apabila kedua-dua kumpulan berlihat-lihatan, teman-teman Musa berkata, "Kitalah orang-orang yang tersusul."

Musa berkata, "Tidak sekali-kali! Sesungguhnya Pemeliharaku bersamaku; Dia akan beri petunjuk kepadaku."

Kemudian Allah wahyukan Musa, "Pukullah laut dengan tongkat kamu"; lalu laut itu terbelah, dan tiap-tiap bahagian seperti gunung tinggi yang besar. Maka Musa dan orang-orang yang bersamanya, kesemuanya, selamat tiba di pantai di seberang laut.

Firaun percaya

Firaun dan tenteranya ikut mereka dengan angkuh dan pantas. Tetapi mereka ditenggelamkan. Sebelum mati lemas Firaun berkata, "Aku percaya bahawa tidak ada tuhan melainkan Dia, yang Bani Israil percaya; aku adalah antara orang-orang yang muslim."

Lantaran itu Allah berfirman, "Adakah sekarang? Dan sejak dahulu kamu mengingkari, dan termasuk orang-orang yang buat kerosakan. Maka pada hari ini Kami selamatkan kamu dengan badan kamu, supaya kamu jadi satu ayat bagi orang-orang yang sesudah kamu. Sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada ayat-ayat Kami."

Patung

Setelah Bani Israil menyeberangi laut, mereka datang kepada satu kaum yang bertekun pada patung-patung yang mereka ada. Mereka berkata, "Wahai Musa, buatkan untuk kami satu tuhan seperti tuhan-tuhan yang mereka ada."

Berkatalah dia, "Sesungguhnya kamu adalah kaum yang bodoh. Sesungguhnya itu yang mereka di dalamnya akan dibinasakan, dan batallah apa mereka buat."

"Apa, adakah aku akan cari satu tuhan untuk kamu selain daripada Allah, Dia yang melebihkan kamu di atas semua alam?"

Demikianlah itu adalah contoh ketidakpercayaan kaum Musa yang baru diselamatkan daripada Firaun dan tenteranya. Namun, ada juga yang percaya dan menjalankan keadilan.

Melihat Allah

Tuhan membahagikan kaum Musa kepada dua belas puak. Dia wahyukan Musa, ketika kaumnya meminta air kepadanya, "Pukullah dengan tongkat kamu batu itu", lalu memancarlah daripadanya dua belas mata air. Semua orang tahu tempat minum mereka.

Tuhan juga bentangkan awan untuk teduhkan mereka, dan Dia turunkan manna dan salwa kepada mereka, dan berfirman "Makanlah benda-benda yang baik daripada apa yang Kami rezekikan kamu."

Kemudian kaumnya berkata pula, "Wahai Musa, kami tidak akan sabar dengan makanan yang satu macam; serulah kepada Pemelihara kamu untuk kami, supaya Dia keluarkan untuk kami daripada apa yang bumi tumbuhkan; herba hijau, dan mentimun, dan jagung, dan kekacang, dan bawang merahnya."

Dia berkata, "Adakah kamu tukar yang lebih baik dengan yang lebih rendah? Turunlah ke Mesir; kamu akan dapati di sana apa yang kamu tanya."

Terdapat juga antara kaum Musa yang enggan percaya sehingga mereka melihat Allah. Mereka berkata, "Wahai Musa, kami tidak akan percayai kamu sehingga kami melihat Allah dengan nyata." 

Maka Musa memilih daripada kaumnya tujuh puluh orang lelaki untuk waktu dengan Tuhan seperti yang ditetapkan, tetapi mereka ditimpa halilintar dan gempa bumi.

Bani Israil juga mencabuli Sabat (hari dilarang bekerja), apabila ikan-ikan datang kepada mereka pada hari Sabat dengan berenang ke pantai, tetapi pada hari yang mereka tidak menjaga Sabat, mereka tidak datang kepada mereka. Ujian itu dikenakan kepada mereka kerana mereka fasiq.

Lembu

Kaumnya juga didapati amat berat untuk laksanakan perintah Allah. Apabila Musa berkata kepada kaumnya, "Allah perintahkan kamu supaya korbankan seekor lembu," lalu mereka berkata, "Adakah kamu ambil kami sebagai buah ejekan?"

Musa berkata, "Aku berlindung pada Allah daripada aku jadi antaraorang-orang bodoh."

Mereka berkata lagi, "Serulah kepada Pemelihara kamu untuk kami, supaya Dia jelaskan kepada kami yang manakah ia?"

"Sesungguhnya Dia berkata, ia lembu yang tidak tua, dan tidak juga dara, yang pertengahan di antara yang demikian itu; maka buatlah apa yang kamu diperintah."

Dan lagi berkata, "Serulah kepada Pemelihara kamu untuk kami, supaya Dia jelaskan kepada kami apakah warnanya?"

"Sesungguhnya Dia berkata, ia lembu yang keemasan, terang warnanya, menggembirakan orang-orang yang memandang."

Dan lagi, "Serulah kepada Pemelihara kamu untuk kami, supaya Dia jelaskan kepada kami yang manakah ia. Lembu serupa sahaja bagi kami, dan jika Allah hendaki, tentu kami akan dapat petunjuk."

"Sesungguhnya Dia berkata, ia lembu yang belum pernah dipakai untuk membajak bumi, atau untuk mengairi tanaman; sesuatu yang teguh, tanpa tanda yang mencacatkan padanya."

Akhirnya mereka berkata, "Sekarang kamu sudah datangkan yang benar." Dan mereka korbankannya setelah hampir-hampir tidak lakukannya sama sekali.

Hamba Berpengetahuan

Suatu hari, Musa berjalan dengan budak suruhannya untuk mencari sesuatu. Dia berkata "Aku tidak akan berhenti sehingga aku sampai di pertemuan dua laut, walaupun aku terus berjalan dalam masa yang panjang."

Kemudian, apabila mereka sampai di pertemuan itu, mereka sedari bahawa mereka telah melupakan ikan mereka. Ikannya telah lepaskan diri ke laut ketika mereka berehat di sebuah batu, dengan mengorek lubang.

Musa berkata, "Inilah yang kita cari!" Mereka kembali kepada kesan-kesan jejak mereka, dengan mengikutinya, menuju ke batu tersebut.

Apabila mereka sampai di sana, mereka dapati seorang hamba daripada hamba-hamba Allah yang kepadanya Dia telah beri pengasihan-Nya, dan Dia telah mengajarnya pengetahuan daripada sisi-Nya.

Musa berkata kepadanya, "Bolehkah aku ikut kamu supaya kamu ajar aku, daripada apa kamu telah diajar, iaitu putusan yang betul?"

Hamba berpengetahuan itu berkata, "Sesungguhnya kamu tidak akan boleh sabar dengan aku. Bagaimanakah kamu akan sabar dengan apa yang kamu tidak meliputi dalam pengetahuan kamu?"

Musa berkata, "Kamu akan dapati aku, jika Allah hendaki, sabar; dan aku tidak akan tentang kamu dalam urusan."

"Jika kamu ikut aku, maka janganlah tanya aku sesuatu sehingga aku sendiri kemukakan sebutan mengenainya kepada kamu."

Maka mereka bertolak, sehingga apabila mereka naik di atas sebuah kapal, dia melubanginya dengan sengaja. Musa bertanya, "Apa, adakah kamu melubanginya untuk tenggelamkan ahlinya? Sesungguhnya kamu mendatangkan sesuatu yang buruk."

"Tidakkah aku mengatakan bahawa kamu tidak akan boleh sabar dengan aku?"

Musa berkata, "Janganlah kamu pertanggungjawabkan aku kerana aku lupa, dan jangan juga memaksa aku untuk buat sesuatu perkara yang amat sukar."

Mereka meneruskan perjalanan, sehingga apabila mereka bertemu seorang anak lelaki muda, dia membunuhnya pula. Musa bertanya lagi, "Apa, adakah kamu bunuh satu jiwa yang suci, dan bukan kerana membalas untuk jiwa yang dibunuh? Sesungguhnya kamu mendatangkan sesuatu yang dahsyat."

"Tidakkah aku mengatakan kepada kamu bahawa kamu tidak akan boleh sabar dengan aku?"

Musa berkata, "Jika aku tanya kamu mengenai sesuatu selepas ini, maka janganlah menemani aku lagi; kamu sudah cukup beri alasan kepadaku."

Mereka bertolak lagi, sehingga apabila mereka datang kepada penduduk sebuah bandaraya, mereka minta makanan daripada penduduknya, tetapi mereka menolak untuk menerima mereka dengan layanan baik bagi tetamu. Kemudian mereka dapati sebuah tembok yang hendak roboh, lalu dia menegakkannya. Musa berkata, "Sekiranya kamu hendak, tentu kamu ambil upah untuk itu."

Hamba Allah yang berpengetahuan itu berkata, "Inilah perpisahan antara aku dan kamu. Sekarang aku akan beritahu kamu interpretasi apa yang kamu tidak boleh sabar dengannya."

Interpretasi

"Mengenai kapal, ia kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut; dan aku hendak merosakkannya kerana di belakang mereka ada seorang raja yang mengambil tiap-tiap kapal dengan paksa.

Mengenai anak lelaki muda, ibu bapanya orang mukmin; dan kami takut dia akan paksa mereka dalam kelampauan batas, dan ketidakpercayaan. Maka kami hendak supaya Pemelihara mereka beri mereka, dengan menukarkan yang lebih baik daripada dia, dalam kesucian, dan lebih dekat dalam kasih sayang.

Mengenai tembok, ia kepunyaan dua anak lelaki muda yang yatim di kota itu, dan di bawahnya ada harta simpanan kepunyaan mereka. Bapa mereka orang salih; dan Pemelihara kamu hendak supaya mereka sampai dewasa dan kemudian keluarkan harta simpanan mereka sebagai satu pengasihan daripada Pemelihara kamu. Aku tidak lakukannya daripada kemahuanku sendiri. Inilah interpretasi apa yang kamu tidak boleh sabar dengannya."

Empat puluh malam

Waktu yang ditetapkan Tuhan untuk berhubung secara langsung dengan Musa adalah empat puluh malam. Sebelum dia pergi, dia berkata kepada saudaranya Harun, "Jadilah penggantiku di kalangan kaumku, dan betulkanlah, dan jangan ikut jalan orang-orang yang buat kerosakan."

Apabila Musa datang pada waktu yang Tuhan tetapkan, untuk berkata-kata dengannya, Tuhan bertanya, "Mengapakah kamu bercepat-cepat daripada kaum kamu, wahai Musa?"

Musa menjawab, "Mereka adalah di atas jejakku; aku bercepat-cepat, wahai Pemeliharaku, hanya supaya aku memuaskan hati Engkau."

jadi Debu

Musa berkata, "Wahai Pemeliharaku, perlihatkan kepadaku, supaya aku dapat lihat Engkau."

"Kamu tidak akan melihat Aku; tetapi perhatikanlah gunung itu - jika ia tetap di tempatnya, maka kamu akan melihat Aku."

Apabila Pemeliharanya nampakkan-Nya kepada gunung, Dia membuatnya hancur menjadi debu, dan Musa jatuh pengsan. Setelah dia terjaga, dia berkata, "Engkau disanjung! Aku bertaubat kepada Engkau; aku yang pertama antara orang-orang mukmin."

Papan

"Wahai Musa, Aku memilih kamu di atas semua manusia untuk Mesej-Mesej-Ku, dan Perkataan-Ku. Ambillah apa yang Aku memberi kamu, dan jadilah daripada orang-orang berterima kasih."

Dan Tuhan menuliskan untuknya pada Papan segala sesuatu teguran, dan satu penjelasan bagi segala sesuatu, "Ambillah ia dengan kekuatan, dan suruhlah kaum kamu ambil yang paling baik daripadanya."

Dia juga beritahu, "Sungguh, Kami menguji kaum kamu sepeninggalan kamu, dan Samiri sesatkan mereka."

Kaum Musa telah buat untuk mereka selepas dia pergi, daripada perhiasan-perhiasan mereka, sebuah patung Anak Lembu, yang hanya berjasad dan berbunyi seperti lembu. Tuhan yang mereka ada-adakan itu dibuat hanya dalam masa yang singkat selepas Rasul mereka tinggalkan mereka buat sementara waktu.

Marah

Apabila Musa kembali kepada kaumnya, dalam keadaan marah dan dukacita, dia berkata, "Buruknya yang kamu lakukan untuk gantikan aku sesudahku; apa, adakah kamu hendak mendahului perintah Pemelihara kamu?"

Lalu dia lempar Papan, dan ambil kepala saudaranya, mengheretnya kepadanya. Dia berkata, "Anak ibuku, sesungguhnya kaum itu telah menghinaku, dan hampir-hampir membunuhku. Janganlah buatkan musuh-musuhku berasa puas terhadapku, dan jangan letak aku di kalangan kaum yang zalim."

"Wahai Pemeliharaku, ampunilah aku dan saudaraku, dan masukkanlah kami ke dalam pengasihan Engkau; Engkau yang paling berpengasihan daripada yang berpengasihan."

Apabila kemarahan Musa jadi reda, dia ambil Papan-Papan yang dalam prasastinya terdapat petunjuk dan pengasihan bagi semua orang yang berasa gerun terhadap Pemelihara mereka.

Kemudian Musa berkata kepada kaumnya, "Wahai kaumku, tidakkah Pemelihara kamu janjikan satu janji yang baik kepada kamu? Adakah masa perjanjian terasa terlalu panjang kepada kamu, atau adakah kamu hendak kemurkaan diturunkan kepada kamu daripada Pemeliharamu, supaya kamu mungkiri janji temu kamu denganku?"

Samiri

Mereka berkata, "Kami tidak mungkiri janji temu kami dengan kamu daripada kemahuan kami; tetapi kami dibebankan oleh beban-beban, yang juga adalah perhiasan-perhiasan kaum, dan kami lemparkan mereka, seperti demikianlah Samiri lemparkan mereka, ke dalam api."

Setelah perhiasan-perhiasan mereka yang dirasakan berat untuk dibawa  dicampakkan ke dalam api, Samiri keluarkan bagi mereka Anak Lembu. Mereka berkata, "Inilah tuhan kamu, dan tuhan Musa, yang dia lupa."

Tidakkah mereka melihat bahawa ia tidak kembalikan ucapan kepada mereka, dan tidak juga ada sebarang kuasa untuk mudaratkan atau manfaatkan mereka?

Namun begitu, Harun sebelumnya telah berkata kepada mereka, "Wahai kaumku, kamu hanyalah diuji dengannya; sesungguhnya Pemelihara kamu ialah Yang Pemurah; maka ikutlah aku, dan taatlah kepada perintahku."

Mereka berkata, "Kami akan tetap bertekun padanya sehingga Musa kembali kepada kami."

Musa bertanya kepada saudaranya, "Apakah yang halangi kamu, wahai Harun, apabila kamu melihat mereka sesat, supaya kamu tidak ikut aku? Adakah kamu mengingkari perintahku?"

Harun menjawab, "Wahai anak ibuku, janganlah ambil aku dengan janggut, atau kepalaku! Aku takut kamu akan berkata, 'Kamu telah memecahkan Bani Israil, dan kamu tidak mengendahkan ucapanku.'"

Musa berpaling kepada Samiri pula, "Dan kamu, Samiri, apakah urusan kamu?"

Samiri berkata, "Aku melihat apa yang mereka tidak lihat, dan aku ambil segenggam debu daripada jejak Rasul, dan melemparnya ke dalam benda itu. Demikian jiwaku menghasutku." Dia ambil daripada jejak Rasul, katanya.

Lalu Musa berkata, "Pergilah! Bagi kamu dalam seluruh kehidupan dunia ini adalah untuk berkata, 'Jangan sentuh aku!', dan selepas itu ada janji temu bagi kamu yang kamu tidak mungkir. Lihatlah pada tuhan kamu, yang kamu tetap bertekun padanya! Sungguh, kami akan membakarnya dan menaburkan abunya ke dalam laut, bertaburan."

ambilan Anak Lembu sebagai tuhan jadikan mereka orang-orang zalim, dan mereka diresapkan kepercayaan kepada Anak Lembu ke dalam hati mereka kerana ketidakpercayaan mereka.

Bumi Suci

Dalam perjalanan mereka untuk mencari sebuah tempat tinggal setelah diselamatkan daripada Firaun dan tenteranya mereka tiba di sebuah bandaraya. Musa berkata kepada kaumnya, "Wahai kaumku, masuklah Bumi Suci yang Allah tetapkan untuk kamu, dan jangan kembali ke belakang kamu, untuk balik sebagai orang-orang yang rugi."

Mereka disuruh tinggal di bandaraya itu, dan makan daripadanya di mana sahaja mereka hendaki, dan disuruh mengatakan, "Tidak membebankan" ketika masuk di pintu gerbang dengan bersujud. Mereka turut dijanjikan Allah untuk mengampuni mereka atas pelanggaran-pelanggaran mereka, dan tambahkan kepada orang-orang buat baik antara mereka.

Akan tetapi mereka berkata, "Wahai Musa, di dalamnya ada kaum yang gagah perkasa, dan kami tidak akan masuk sehingga mereka keluar darinya. Jika mereka keluar darinya, kami akan masuk."

Berkata dua orang lelaki antara orang-orang yang takut kepada Allah, yang Allah rahmati, "Masuklah temui mereka melalui pintu gerbang. Apabila kamu masuk, kamulah orang-orang yang mengalahkan, dan percayakanlah kepada Allah, jika kamu orang-orang mukmin."

Mereka berkata dengan biadab, "Wahai Musa, kami tidak akan masuk selama-lamanya, selama mereka berada di dalamnya. Pergilah, kamu dan Pemelihara kamu, dan berperanglah; kami akan duduk di sini."

Lalu Nabi Musa memohon, "Wahai Pemeliharaku, aku tidak menguasai sesiapa, kecuali diriku dan saudaraku. Pisahkanlah antara kami dan kaum yang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan)." 

Allah berfirman, "Maka ia diharamkan kepada mereka selama empat puluh tahun sedang mereka merayau-rayau di bumi; maka jangan kamu dukacita terhadap kaum yang fasiq."

Perpisahan

Justeru itu, Nabi Musa dan saudaranya Harun berpisah dengan kaumnya, Bani Israil. Kaumnya merayau-rayau selama empat puluh tahun sebelum berjumpa dengan sebuah tempat tinggal bagi mereka. Perpisahan itu juga menamatkan cerita Nabi Musa di dalam al-Qur'an.

Nabi Musa telah menunjukkan ketabahan seorang Nabi, yang juga seorang manusia biasa, dalam usaha untuk buat manusia percaya kepada Allah dan ayat-ayat-Nya. Hatinya selalu disakiti. Penentangan yang diterima sungguh hebat, walaupun mukjizat yang didatangkannya amat jelas, sehingga dia sentiasa memohon pertolongan Allah. Al-Kitab yang disampaikannya pula diragu-ragu, diperselisih dan tidak dipercayakan.

Cerita Nabi Musa di dalam al-Qur'an memuatkan, terutamanya, kisah Firaun yang amat berkuasa, Haman yang amat bijak membina, Karun yang amat kaya, dan Samiri yang ikut jejak Rasul, yang amat berpengaruh. Mereka adalah orang-orang ternama yang zalim, fasiq, dan tidak percaya kepada ayat-ayat Allah. Sementara kaum Nabi Musa pun, yang telah dihina dan perhambakan, turut berkelakuan fasiq, tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, dan lakukan kezaliman. Senario serupa itu tertayang pula pada hari ini. Sesungguhnya sejarah berulang lagi.

Sila rujuk:
Kalimat Musa di dalam al-Qur'an

25 Oktober 2003
Ramadan 1424
dikemaskini:
11 November 2004
Ramadan 1425

Sudut Pelajar


Terkini  Artikel  Perpustakaan  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Kalimat Pilihan  Keratan Akhbar
Penemuan
  Soalan Lazim  English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman