Didik kanak-kanak kepentingan menyayangi ibu
Sunday Star, 12 Mei 2002, Muka 5
Kanak-kanak harus digalak untuk menunjukkan kasih sayang kepada ibu mereka pada setiap masa dan tidak menunggu suatu hari khas seperti Hari Ibu yang meraikan mereka.
Mereka mesti dididik mengenai kepentingan menyayangi ibu mereka dan tidak bersikap seperti tidak menghargai.
Yang demikian itu adalah antara mesej yang terkandung dalam berita di atas.
Sebenarnya, buat baik kepada ibu, dan bapa, adalah wasiat daripada Allah. Firman-Nya:
"Kami wasiatkan manusia supaya dia buat baik kepada ibu bapanya; tetapi jika mereka berjuang dengan kamu untuk kamu sekutukan Aku dengan yang padanya kamu tiada pengetahuan, maka janganlah mentaati mereka" (29:8).
Ayat di atas, di samping menyuruh buat baik kepada ibu, dan bapa, juga melarang mentaati mereka apabila mereka menyuruh untuk sekutukan Tuhan. Inilah sahaja larangan daripada Allah bagi anak-anak terhadap ibu dan bapa mereka.
Suruhan untuk buat baik kepada ibu diikuti dengan peringatan mengenai kepayahan dalam masa pengandungan, kelahiran dan penyusuan. Diajar-Nya juga sebuah doa untuk diucapkan oleh anak apabila dia sampai usia empat puluh tahun. Kesemua ini disebut dalam pengajaran Allah berbunyi,
"Kami wasiatkan manusia, bahawa dia buat baik kepada ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah; pengandungannya dan penyusuannya tiga puluh bulan. Sehingga, apabila dia sampai dewasa, dan sampai empat puluh tahun, dia berkata, 'Wahai Pemeliharaku, sediakanlah aku supaya aku berterima kasih atas rahmat Engkau, yang dengannya Engkau rahmati aku dan bapa dan ibuku, dan supaya aku buat kerja-kerja baik yang memuaskan hati Engkau, dan betulkanlah aku, dan juga pada keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau, dan aku termasuk orang-orang yang muslim'" (46:15).
Anak-anak juga diseru supaya berterimakasih kepada ibu bapa atas sebab-sebab yang disebut tadi dengan firman-Nya bermaksud,
"Dan Kami wasiatkan manusia mengenai ibu bapanya - ibunya membawanya (mengandungnya) dalam kelemahan atas kelemahan, dan susuannya selama dua tahun - 'Berterimakasihlah kepada-Ku, dan kepada ibu bapa kamu; kepada-Ku kepulangan'" (31:14).
Suruhan Allah untuk buat baik kepada ibu dan bapa adalah dari sejak zaman dahulu lagi. Suruhan itu adalah yang kedua selepas suruhan tidak sekutukan-Nya:
"Dan apabila Kami ambil perjanjian Bani Israil: 'Kamu tidak akan sembah sesuatu melainkan Allah, dan buat baik kepada ibu bapa, dan sanak saudara yang dekat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin; dan katakan yang baik kepada manusia, dan lakukan solat, dan berikan zakat.' Kemudian kamu berpaling, kecuali sedikit daripada kamu, dan kamu palingkan." (2:83).
"Sembahlah Allah, dan janganlah sekutukan sesuatu dengan-Nya. Buat baik kepada ibu bapa, dan kepada sanak saudara yang dekat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran yang kerabat, dan jiran yang tidak dikenali, dan teman di sebelah kamu, dan musafir, dan apa yang tangan-tangan kanan kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang sombong, membanggakan diri" (4:36).
Sebaliknya pula, buat jahat kepada ibu bapa adalah haram di sisi Allah. Ayat yang dibawah ini jelaskannya, dan telah dibaca oleh Nabi kepada orang ramai:
"Marilah, aku akan bacakan apa yang Pemelihara kamu haramkan kamu: bahawa kamu tidak sekutukan sesuatu dengan-Nya, dan buat baik kepada ibu bapa, dan tidak membunuh anak-anak kamu kerana kemiskinan; Kami beri rezeki kepada kamu, dan kepada mereka; dan bahawa kamu tidak dekati sebarang kesumbangan, yang nampak atau yang tersembunyi, dan bahawa kamu tidak membunuh jiwa yang Allah haramkan, kecuali dengan patut. Itu yang Dia wasiatkan kamu dengannya, supaya kamu faham" (6:151).
Dia juga mengingatkan supaya tidak berlaku kasar kepada kedua ibu bapa, atau mengherdik mereka, dengan ayat-Nya yang bererti:
"Pemelihara kamu tentukan bahawa kamu tidak sembah sesuatu melainkan Dia, dan buat baik kepada ibu bapa, sama ada seorang atau kedua-dua mereka telah sampai umur tua di sisi kamu, maka janganlah berkata kepada mereka, 'Cis!', dan jangan juga herdik mereka, tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan-perkataan yang mulia" (17:23).
Kebiadaban anak tentu akan menimbulkan kemarahan ibu bapanya, yang berkesudahan dengan kerugian besar bagi pihak anak:
"Tetapi orang yang berkata kepada bapanya dan ibunya, 'Cis, kepada kamu! Adakah kamu janjikan aku bahawa aku akan dikeluarkan (dibangkitkan), padahal generasi-generasi telah pun berlalu sebelum aku?' sedang keduanya mohon pertolongan Allah - 'Celakalah kamu! Percayalah, sesungguhnya janji Allah benar'; kemudian dia berkata, 'Tiadalah ini, melainkan dongeng orang-orang dahulu kala'" (46:17).
Allah juga tunjukkan cara-cara buat baik kepada ibu, dan bapa, di dalam ayat-ayat berikut:
"Dituliskan bagi kamu, apabila seseorang antara kamu didatangi kematian, dan dia tinggalkan kebaikan (harta), supaya buat wasiat memihak kepada ibu bapanya, dan sanak saudara dengan baik - suatu kewajipan kepada orang-orang bertakwa" (2:180).
"Mereka tanya kamu (Muhammad) mengenai apa yang mereka patut nafkahkan. Katakanlah, 'Apa sahaja kebaikan kamu nafkahkan adalah untuk ibu bapa, dan sanak saudara, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang musafir, dan apa sahaja kebaikan kamu buat, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya'"(2:215).
"Dan dia (Yusuf) naikkan kedua ibu bapanya ke atas singgahsana" (12:100).
"Dan (Yahya) seorang yang taat kepada ibu bapanya, dan dia tidak sombong, ingkar" (19:14).
"Dan taat kepada ibuku, dan Dia tidak buat aku (Isa) sombong, sengsara" (19:32).
Manusia tidak jemu berdoa kepada Tuhan agar dosanya diampun. Dalam doa itu haruslah disebutkan sekali ibu dan bapa. Di bawah ini adalah dua contoh doa selain daripada yang terdapat pada ayat 46:15 tadi:
"Wahai Pemelihara kami, ampunkanlah aku dan ibu bapaku, dan orang-orang mukmin, pada hari apabila hitungan didirikan" (14:41).
"Wahai Pemeliharaku, ampunilah aku, dan ibu bapaku, dan sesiapa yang masuk rumahku sebagai seorang mukmin, dan orang-orang mukmin lelaki, dan orang-orang mukmin perempuan; dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang zalim, kecuali dalam kebinasaan!” (71:28).
Lantas, buat baik kepada ibu, dan bapa.
Terkini Artikel
Perpustakaan
Bacaan E-Mail
Hiasan Kalimat
Pilihan
Penemuan
Soalan
Lazim Sudut
Pelajar English
Articles
Tulis kepada Pengurus Laman