Kalimat wasiat di dalam al-Qur'an


Wasiat
diterjemah daripada empat kalimat yang terbit daripada akar wa sad ya iaitu wasiyah, wassa, awsa dan tawasa. Ayat-ayat yang mengandungi kalimat-kalimat tersebut adalah seperti di bawah. Diselitkan juga dua ayat yang bersangkutan dengan pembahagian harta pusaka di hujung halaman ini.

 

2:132. Dan Ibrahim wasiatkan anak-anaknya dengan ini, dan Yaakub, "Wahai anak-anakku, Allah telah pilih untuk kamu agama; maka jangan kamu mati kecuali dalam kemusliman."

2:180. Dituliskan bagi kamu, apabila seseorang antara kamu didatangi kematian, dan dia tinggalkan kebaikan (harta), supaya buat wasiat memihak kepada ibu bapanya, dan sanak saudara dengan baik - suatu kewajipan kepada orang-orang bertakwa.

2:182. Jika seseorang takut akan penyimpangan, atau dosa, daripada orang yang berwasiat itu, lalu dia membetulkan antara mereka, maka tidaklah ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih.

2:240. Dan orang-orang antara kamu yang mati dan tinggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka buat wasiat untuk isteri-isteri mereka, peruntukan untuk setahun tanpa mengeluarkannya; tetapi jika mereka keluar, maka tidak salah ke atas kamu mengenai apa mereka buat pada diri-diri mereka sendiri dengan baik; Allah Perkasa, Bijaksana.

4:11. Allah wasiatkan kamu mengenai anak-anak kamu; bagi lelaki serupa dengan bahagian dua perempuan, dan jika mereka perempuan-perempuan yang lebih daripada dua, maka bagi mereka dua per tiga daripada apa dia tinggalkan, tetapi jika dia seorang, maka baginya separuh; dan kepada ibu bapanya, kepada setiap seorang daripada keduanya, satu per enam daripada apa dia tinggalkan, jika dia ada anak; tetapi jika dia tidak ada anak, dan waris-warisnya ialah ibu bapanya, maka satu per tiga bagi ibunya, atau jika dia ada saudara-saudara lelaki, maka bagi ibunya satu per enam, sesudah sebarang wasiat yang dia wasiatkan, atau sebarang hutang. Bapa-bapa kamu dan anak-anak lelaki kamu, kamu tidak tahu siapa antara mereka yang lebih dekat manfaatnya kepada kamu. Demikianlah ketentuan Allah; sesungguhnya Allah Mengetahui, Bijaksana.

4:12. Dan bagi kamu, separuh daripada apa yang isteri-isteri kamu tinggalkan, jika mereka tidak ada anak; tetapi jika mereka ada anak, maka bagi kamu, daripada apa yang mereka tinggalkan, satu per empat, sesudah sebarang wasiat yang mereka wasiatkan, atau sebarang hutang. Dan bagi mereka, satu per empat daripada apa kamu tinggalkan jika kamu tidak ada anak; tetapi jika kamu ada anak, maka bagi mereka, daripada apa kamu tinggalkan, satu per lapan, sesudah sebarang wasiat yang kamu wasiatkan, atau sebarang hutang. Jika seorang lelaki atau seorang perempuan tidak mempunyai waris yang terus (ibu bapa dan anak), tetapi ada saudara lelaki atau saudara perempuan, maka bagi tiap-tiap seorang daripada keduanya, satu per enam; tetapi jika mereka lebih ramai daripada itu, maka mereka bersekutu dalam satu per tiga, sesudah sebarang wasiat yang dia wasiatkan, atau sebarang hutang yang mudaratkan; wasiat daripada Allah, dan Allah Mengetahui, Penyantun.

4:131. Kepunyaan Allah segala yang ada di langit dan di bumi. Kami telah wasiatkan kepada orang-orang diberi Kitab sebelum kamu, dan kepada kamu, "Takutilah Allah." Jika kamu tidak percaya, maka kepunyaan Allah segala yang ada di langit dan di bumi; Allah Kaya, Terpuji.

5:106. Wahai orang-orang yang percaya, kesaksian antara kamu apabila salah seorang daripada kamu ditimpa maut, apabila dia berwasiat, ialah dua orang empunya keadilan antara kamu, atau dua yang lain daripada selain kamu, jika kamu berpergian di bumi, dan bencana maut timpa kamu. Kemudian kamu akan tahan mereka sesudah solat, dan mereka akan bersumpah dengan Allah, jika kamu ragu-ragu: "Kami tidak akan menjualnya untuk suatu harga, walaupun ia sanak saudara yang dekat, dan kami tidak juga akan sembunyikan kesaksian Allah, kerana jika demikian, tentu kami termasuk orang-orang yang berdosa."

6:144. Daripada unta, dua; dan daripada lembu, dua. Katakanlah, "Adakah dua yang jantan Dia haramkan, atau dua yang betina? Atau apa yang rahim-rahim dua yang betina kandung? Adakah kamu saksi-saksi ketika Allah wasiatkan ini kepada kamu? Maka siapakah lebih zalim daripada orang yang ada-adakan dusta terhadap Allah untuk dia sesatkan manusia tanpa sebarang pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak beri petunjuk kepada kaum yang zalim."

6:151. Katakanlah, "Marilah, aku akan bacakan apa yang Pemelihara kamu haramkan kamu: bahawa kamu tidak sekutukan sesuatu dengan-Nya, dan buat baik kepada ibu bapa, dan tidak membunuh anak-anak kamu kerana kemiskinan; Kami beri rezeki kepada kamu, dan kepada mereka; dan bahawa kamu tidak dekati sebarang kesumbangan, yang nampak atau yang tersembunyi, dan bahawa kamu tidak membunuh jiwa yang Allah haramkan, kecuali dengan patut. Itu yang Dia wasiatkan kamu dengannya, supaya kamu faham.

6:152. Dan bahawa kamu tidak mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik, sehingga dia dewasa. Dan tepatilah sukatan dan timbangan dengan adil. Kami tidak bebankan sesuatu jiwa melainkan menurut kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata, berlakuadillah, walaupun ia kepada sanak saudara yang dekat. Dan tepatilah perjanjian Allah. Itu yang Dia wasiatkan kamu dengannya, supaya kamu ingat.

6:153. Dan bahawa inilah jalan-Ku, lurus; maka kamu ikutlah ia, dan jangan ikut jalan-jalan yang berlainan supaya mereka tidak pecah belahkan kamu daripada jalan-Nya. Itu yang Dia wasiatkan kamu dengannya, supaya kamu bertakwa."

19:31. Dia buat aku diberkati di mana sahaja aku berada, dan Dia wasiatkan aku supaya bersolat, dan zakat, selama aku hidup,

29:8. Kami wasiatkan manusia supaya dia buat baik kepada ibu bapanya; tetapi jika mereka berjuang dengan kamu untuk kamu sekutukan Aku dengan yang padanya kamu tiada pengetahuan, maka janganlah mentaati mereka; kepada Aku kamu kembali, dan Aku akan beritahu kamu apa kamu buat.

31:14. Dan Kami wasiatkan manusia mengenai ibu bapanya - ibunya membawanya (mengandungnya) dalam kelemahan atas kelemahan, dan susuannya selama dua tahun - "Berterimakasihlah kepada-Ku, dan kepada ibu bapa kamu; kepada-Ku kepulangan.

36:50. Kemudian mereka tidak boleh buat sesuatu wasiat, dan tidak juga mereka kembali kepada keluarga mereka.

42:13. Dia syariatkan bagi kamu sebagai agama apa yang Dia wasiatkan Nuh dengannya, dan apa yang Kami wahyukan kamu, dan apa yang Kami wasiatkan Ibrahim dengannya, dan Musa, dan Isa: "Lakukanlah agama, dan janganlah berpecah belah di dalamnya." Amatlah benci bagi orang-orang yang sekutukan pada apa yang kepadanya kamu seru mereka. Allah pilih kepadanya sesiapa Dia hendaki, dan Dia beri petunjuk kepadanya orang yang berkesesalan.

46:15. Kami wasiatkan manusia, bahawa dia buat baik kepada ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah; pengandungannya dan penyusuannya tiga puluh bulan. Sehingga, apabila dia sampai dewasa, dan sampai empat puluh tahun, dia berkata, "Wahai Pemeliharaku, sediakanlah aku supaya aku berterima kasih atas rahmat Engkau, yang dengannya Engkau rahmati aku dan bapa dan ibuku, dan supaya aku buat kerja-kerja baik yang memuaskan hati Engkau, dan betulkanlah aku, dan juga pada keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau, dan aku termasuk orang-orang yang muslim (tunduk patuh)."

51:53. Apa, adakah mereka saling berwasiat dengannya? Tidak, tetapi mereka adalah kaum yang melampaui batas.

90:17. Kemudian dia termasuk antara orang-orang yang percaya, dan saling berwasiat untuk sabar, dan saling berwasiat untuk menjadi yang berpengasihan.

103:3. Kecuali orang-orang yang percaya, dan buat kerja-kerja baik , dan saling berwasiat pada yang benar, dan saling berwasiat untuk sabar.


~ A Concordance of the Qur'an
ms 1296


Ayat-ayat lain yang bersabit Pembahagian Harta Pusaka

4:33. Dan bagi tiap-tiap orang, Kami lantik waris-waris daripada apa yang ibu bapa dan sanak saudara tinggalkan, dan orang-orang yang terikat dengan sumpah kamu, maka beri mereka bahagian mereka; sesungguhnya Allah adalah saksi atas segala sesuatu.

4:176. Mereka minta satu keputusan kepada kamu. Katakanlah, "Allah putuskan kepada kamu mengenai waris yang tidak langsung (selain ibu bapa dan anak). Jika seorang lelaki mati tanpa seorang anak, tetapi dia mempunyai saudara perempuan, dia terima separuh daripada apa dia tinggalkan, dan dia (lelaki) adalah warisnya jika dia (perempuan) tidak mempunyai anak. Jika ada dua saudara perempuan, mereka terima dua per tiga daripada apa dia (lelaki) tinggalkan. Dan jika ada beberapa saudara, lelaki dan perempuan, yang lelaki terima serupa dengan bahagian dua perempuan. Allah jelaskan kepada kamu supaya kamu tidak sesat; Allah tahu segala sesuatu."
 


Kalimat Pilihan
Terkini  Artikel  Perpustakaan  Bacaan  E-Mail  Hiasan  Keratan Akhbar
Penemuan  Soalan Lazim  Sudut Pelajar  English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman