Taurat dan Nabi Musa

 


From:
demas_80
To: "ebacaan@yahoo.com" <ebacaan@yahoo.com>
Sent: Thursday, May 3, 2012 5:58 PM
Subject: Taurat


Salamun alaikum, saudara pengurus laman...

Sudah agak lama saya tidak menulis di sini...

Saya sedang mencari bukti dari Quran bahawa Taurat telah diturunkan kepada Nabi MUSA. Minta pencerahan dari pihak tuan untuk perkongsian dan perbincangan bersama...

Terima Kasih


Salamun alaikum,

Terima kasih. Perkara yang dikemukakan dirasai amat baik untuk dikongsi dan dibincang bersama. Ia mengenai Taurat - dalam bahasa Hebrew bermakna ajaran, doktrin atau arahan - yang sedia maklum diturunkan kepada Nabi Musa.

Bukti yang dicari itu memang tidak ada. Tidak ada ayat yang langsung mengaitkan Taurat dengan Nabi Musa, tidak seperti al-Qur'an dengan Nabi Muhammad, atau Injil dengan Nabi Isa, atau Zabur dengan Nabi Daud. Tiga ayat di bawah menunjukkan kaitan mereka:

6:19. Katakanlah, "Perkara apakah paling besar dalam kesaksian?" Katakanlah, "Allah adalah saksi antara aku dan kamu, dan al-Qur'an ini diwahyukan kepadaku (Muhammad) supaya aku beri amaran kepada kamu dengannya, dan sesiapa ia sampai."

5:46. Dan Kami utus, menyusuli jejak-jejak mereka, Isa putera Mariam, mengesahkan Taurat yang sebelumnya; dan Kami beri kepadanya Injil, di dalamnya petunjuk dan cahaya, dan mengesahkan Taurat yang sebelumnya, sebagai satu petunjuk, dan satu teguran bagi orang-orang bertakwa.

4:163. Kami wahyukan kamu sebagaimana Kami wahyukan Nuh, dan Nabi-Nabi selepasnya, dan Kami wahyukan Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub, dan puak-puak, dan Isa, dan Ayub, dan Yunus, dan Harun, dan Sulaiman, dan kami beri Daud, Zabur.

Ketiga-tiga Kitab itu diturunkan khas bagi Nabi-Nabi tersebut. Lalu terdapat ayat-ayat yang langsung mengaitkan mereka. Lain pula bagi Taurat, yang tidak diturunkan khas kepada seseorang Nabi tetapi kepada beberapa. Firman-Nya,

5:44. Sesungguhnya Kami telah turunkan Taurat, di dalamnya petunjuk dan cahaya; dengannya Nabi-Nabi yang tundukkan diri hakimkan perkara untuk orang-orang Yahudi; seperti dilakukan rabani-rabani (orang-orang yang menguasai), dan habr (ulama agama) yang diperintah untuk memegang Kitab Allah, dan mereka adalah saksi-saksi ke atasnya.

Mungkin kerana itu tidak terdapat sebarang kaitan yang langsung di antara ia dengan Nabi Musa.

Taurat adalah sebuah Kitab, untuk orang-orang Yahudi, diturunkan sebelum Nabi Isa dan selepas Nabi Ibrahim dan Israil. Demikianlah dijelaskan oleh ayat-ayat berbunyi,

3:65. Wahai ahli Kitab, mengapa kamu berdebat mengenai Ibrahim? Taurat tidak diturunkan dan tidak juga Injil melainkan selepas dia.

3:93. Semua makanan halal bagi Bani Israil, kecuali apa yang Israil haramkan dirinya sebelum Taurat diturunkan.

5:46. Dan Kami utus, menyusuli jejak-jejak mereka, Isa putera Mariam, mengesahkan Taurat yang sebelumnya;

Maka ajaran Taurat telah disampaikan oleh beberapa orang Nabi, dan seandainya ia bermula dengan Nabi Musa maka tempoh penyampaiannya kurang lebih 1300 tahun, iaitu sehingga Nabi Isa.


Agak menarik pula apabila difahamkan iaitu Isa, Nabi Bani Israil, telah juga diajar Kitab Taurat oleh Allah di samping Injil yang khas baginya, menurut firman,

3:48. Dan Dia mengajarnya (Isa) al-Kitab, dan Kebijaksanaan, dan Taurat, dan Injil,

Keagungan Taurat dapat dilihat selanjutnya apabila didapati ajarannya masih berada pada zaman Nabi Muhammad, atau sekurang-kurangnya kehukuman yang terdapat di dalamnya. Firman Allah,

5:43. Dan bagaimanakah mereka mengangkat kamu (Muhammad) jadi hakim sedang mereka ada Taurat, yang di dalamnya terdapat hukum Allah, kemudian sesudah itu mereka berpaling? Mereka bukanlah orang-orang mukmin.


Tidak ada ayat yang langsung tidak bermakna Nabi Musa tidak diturunkan Taurat kepadanya. Mungkin ia ditunjukkan secara tidak langsung, dengan menyatakan Nabi Musa telah diberi sebuah Kitab daripada Allah. Terdapat 13 ayat yang menyebutnya. Antaranya berbunyi,

2:53. Dan apabila kami beri Musa al-Kitab, dan Pembeza, supaya kamu dapat petunjuk.

6:154. Kemudian kami beri Musa al-Kitab, yang sempurna bagi orang buat baik, dan penjelasan bagi segala sesuatu, dan sebagai satu petunjuk, dan satu pengasihan, supaya mereka percayai pertemuan dengan Pemelihara mereka.

Dengan ciri-ciri tersebut, dapat difahamkan iaitu Kitab yang Nabi Musa diberi adalah besar. Kami tidak dapati sebutan sebarang Kitab yang besar pada zaman baginda selain Taurat, iaitu dalam tempoh masa selepas Nabi Ibrahim dan sebelum Nabi Isa. Nama ketiga-tiga Kitab besar daripada Allah disebut dalam ayat 9:111.


Selanjutnya didapati iaitu antara ciri-ciri terdapat pada Kitab Musa terdapat juga pada Taurat, misalan mengandungi cahaya dan petunjuk. Dua ayat di bawah menunjukkan persamaan tersebut:

6:91. Mereka tidak pertimbangkan Allah dengan pertimbangan-Nya yang sebenar ketika mereka berkata, "Allah tidak turunkan sesuatu kepada mana-mana manusia." Katakanlah, "Siapakah yang turunkan Kitab yang Musa datangkan sebagai satu cahaya dan satu petunjuk bagi manusia? Kamu letakkannya di kertas-kertas, dengan menampakkannya, dan sembunyikan kebanyakannya; dan kamu diajar apa yang kamu tidak tahu, kamu dan bapa-bapa kamu." Katakanlah, "Allah." Kemudian tinggalkanlah mereka bersendiri bermain-main permainan terjunan mereka.

5:44. Sesungguhnya Kami telah turunkan Taurat, di dalamnya petunjuk dan cahaya; dengannya Nabi-Nabi yang tundukkan diri hakimkan perkara untuk orang-orang Yahudi; seperti dilakukan rabani-rabani (orang-orang yang menguasai), dan habr (ulama agama) yang diperintah untuk memegang Kitab Allah, dan mereka adalah saksi-saksi ke atasnya.


Kitab Nabi Musa telah disahkan oleh Kitab Nabi Muhammad. Kitab yang baginda sahkan itu pula, menurut ayat lain, adalah Taurat, selain Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa. Dua ayat yang berkait berbunyi,

46:12. Dan sebelumnya Kitab Musa, untuk satu imam, dan satu pengasihan; dan ini sebuah Kitab yang mengesahkan, dalam lidah (bahasa) Arab, untuk beri amaran kepada orang-orang buat kezaliman , dan berita gembira kepada orang-orang buat baik.

3:3. Dia turunkan kepada kamu (Muhammad) al-Kitab dengan yang benar, mengesahkan apa yang sebelumnya, dan Dia turunkan Taurat dan Injil,

Kaitan tersebut menyakinkan lagi bagi pihak kami bahawa Kitab Musa adalah tidak lain tetapi Taurat.


Walaupun tidak disebut secara langsung, namun dengan beberapa cara tidak langsung, dapat kami dicerahkan dengan ayat-ayat al-Qur'an bahawa Kitab Nabi Musa adalah hanya Taurat. Sementara itu kami tidak dapat cari nama lain yang sesuai bagi Kitab baginda di dalam al-Qur'an.

Allah disanjung!


8 Mei 2012

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman