Soal Jodoh

 

From: Seorang Aku
To: ebacaan@yahoo.com
Sent: Wednesday, June 22, 2011 10:06 AM
Subject: Soal Jodoh


Salamun alaikum,

Diharapkan semoga sahabat dilindungi dan berada dalam kasih sayang Allah sentiasa.

Terlebih dahulu saya ucapkan syukur kepada Allah dan penghargaan kepada sahabat atas usaha menegakkan ayat-ayatNya. Sesungguhnya dengan petunjuk Allah dan atas usaha sahabat telah banyak membantu saya dalam jadi hambaNya yang sebenar berpandukan ayat-ayatNya semata.

Setelah sekian lama melayari laman ini dan memerhati tulisan sahabat, saya terpanggil untuk menulis. Saya mohon maaf andainya pandangan dan isu yang akan saya utarakan ini mengganggu atau kurang sesuai untuk dibahaskan.

Saya ingin bertanyakan tentang soal jodoh. Soal jodoh ini adalah sukar untuk dijangkakan. Mudah bagi sesetengah orang dan bagi segolongan yang lain agak sukar menemuinya. Saya sendiri merupakan seorang lelaki yang termasuk dalam golongan yang kedua. Terkadang dirasakan jodoh yang ditunggu agak berat kunjung tibanya.

Namun berdasarkan ayat di bawah ini, adalah difahami bahawa segalanya adalah dalam pengetahuan dan kekuasaan Allah kerana Dialah yang bertindak menjodohkan antara lelaki dan perempuan;

42:50. Atau Dia jodohkan mereka, lelaki dan perempuan; dan Dia buat siapa Dia hendaki mandul. Sesungguhnya Dia Mengetahui, Berkuasa.

Setelah melalui beberapa kesukaran dalam menemukan jodoh, akhirnya ayat berikut menarik perhatian saya;

2:221. Jangan kahwin perempuan-perempuan yang sekutukan sehingga mereka percayai; hamba perempuan yang mukmin adalah lebih baik daripada perempuan yang sekutukan, walaupun dia menarik hati kamu. Dan jangan kahwin orang-orang lelaki yang sekutukan sehingga mereka percayai. Hamba yang mukmin adalah lebih baik daripada orang yang sekutukan, walaupun dia menarik hati kamu. Mereka itu menyeru ke Api, dan Allah menyeru ke Taman, dan ampunan, dengan izin-Nya, dan Dia jelaskan ayat-ayat-Nya kepada manusia supaya mereka ingat.

Terus terang saya katakan, sebelum ini keperluan atau kewajiban untuk mencari perempuan yang percaya seperti anjuran ayat di atas tidak jadi agenda utama saya dalam mencari calon isteri. Mungkin disebabkan kejahilan diri dan juga kesukaran untuk menemui perempuan yang percaya dengan kepercayaan sebenar mengakibatkan saya 'terlepas pandang' ayat di atas. Saya mohon ampun kepada Allah atas kelalaian tersebut. Mohon pandangan sahabat tentang ayat tersebut. Terima kasih.

Ini seterusnya membawa saya kepada ayat berikut pula;

24:3. Lelaki yang berzina tidak kahwini kecuali perempuan yang berzina, atau perempuan yang sekutukan; dan perempuan yang berzina, tiada yang kahwininya kecuali lelaki yang berzina, atau lelaki yang sekutukan; itu diharamkan kepada orang-orang mukmin.

Ayat di atas buat saya berfikir, adakah kegagalan dan kesukaran dalam mencari jodoh selama ini mungkin adalah merupakan satu perancangan atau cara Allah untuk buktikan kebenaran ayatNya di atas. Ini kerana jelas perempuan penzina atau yang sekutukan itu diharamkan bagi orang-orang yang percaya (semoga kita termasuk dalam golongan ini). Sekali lagi saya mohon ampun kepada Allah jika tersalah sangka terhadap ayatNya. Pandangan sahabat turut dipohon dalam hal ini. Terima kasih.

Justeru, saya ingin memohon pandangan dan pendapat sahabat-sahabat berkenaan isu ini. Apakah langkah atau cara terbaik yang boleh diambil dalam urusan mencari jodoh mengikut anjuran dan ajaran Allah yang sebenar. Apakah ciri-ciri yang mesti dicari pada perempuan ataupun lelaki yang ingin dijadukan pasangan hidup. Saya percaya terdapat ramai  sahabat baik lelaki atau perempuan yang akan memperoleh manfaat daripadanya. Dan jika bersesuaian dan tidak jadi keberatan pada pengurus laman, mungkin sahabat-sahabat yang menghadapi situasi yang sama dapat berkenalan antara satu sama lain melalui laman ini :-). Ini bersesuaian dengan kata-kata Allah dalam ayat-ayat berikut;

9:71. Dan orang-orang lelaki mukmin, dan orang-orang perempuan mukmin, adalah wali-wali (sahabat-sahabat) satu sama lain; mereka menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar; mereka melakukan solat, dan memberi zakat, dan mereka mentaati Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu, kepada mereka Allah mengasihani; sesungguhnya Allah Perkasa, Bijaksana.

49:13. Wahai manusia, Kami cipta kamu lelaki dan perempuan, dan buat kamu berbangsabangsa, dan bersuku-suku, supaya kamu mengenali satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah Mengetahui, Menyedari.

Akhirnya, sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada sahabat pengurus laman dan mohon maaf atas kelemahan atau kealpaan dalam tulisan ini.

Allah disanjung.
 

Salamun alaikum,

Terima kasih kerana sudi mengemel kami yang kandungannya kami faham dan suka membacanya pula. Namun, dengan berniat baik, kami menerimanya juga sebagai lamaran, bukan ke atas anak kami, tetapi kaum Mariam lain yang suka laman web ini. Oleh itu kami harap mereka menerima kami sebagai pemberi berita gembira (atau wali sementara pun boleh), walaupun mereka miliki sifat kaumnya iaitu pemalu.

Sebenarnya kami tidak pernah buat kerja seperti ini :-). Pernah ada Yusuf-Yusuf lain yang tampil ke muka, tetapi kami mendiamkan diri sahaja. Tapi kali ini kami rasa okaylah! Kerana Yusuf dan kaum Mariam terpisah jauh, tidak mengenali satu sama lain, dalam masyarakat orang al-Qur'an yang terhad.

Pertanyaan yang dikemukakan sudah dibincang. Justeru, tulisan kami berhenti di sini. Terima kasih.

Allah disanjung!

23.6.11

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman