Ayat 11:77 Kisah Nabi Lut
From: a.zahidi
To: Pengurus Laman <ebacaan@yahoo.com>
Sent: Wed, April 6, 2011 11:49:48 PM
Subject: Kisah Nabi Lut
Salamun alaikum,
Harap tuan dapat beri sedikit penerangan tentang ayat 11:77. Adakah Rasul-Rasul yang di sebut adalah malaikat-malaikat yang diturunkan dalam bentuk lelaki, sebagaimana yang saya dengar diceritakan oleh banyak pihak.
Terima kasih.
Salamun
alaikum,
Terima kasih. Rasanya sudah lama sahabat kita tidak menulis kecuali menjenguk sebentar beberapa hari lalu untuk menghadiahkan sesuatu kepada kita semua.
Adalah difikirkan baik, dalam jawapan kepada
soalan beliau, dimulakan dengan kisah Nabi Ibrahim yang didapati berurutan
dengan kisah Nabi Lut tersebut. Bermula dengan memetik kira-kira
lapan ayat yang terdapat sebelum ayat tersebut (11:77) iaitu:
11:69. Rasul-Rasul Kami telah datang kepada Ibrahim dengan berita gembira; mereka berkata, "Salam!" Dia berkata, "Salam"; dan sebentar kemudian, dia datangkan seekor anak lembu panggang.
11:70. Apabila dia lihat tangan-tangan mereka tidak sampai padanya, dia memandang aneh pada mereka, dan dia sangsi terhadap mereka, dan berasa takut. Mereka berkata, "Jangan takut; kami diutus kepada kaum Lut."
Pada mulanya, Ibrahim tidak tahu orang-orang yang datang adalah bukan manusia biasa dan tidak tahu juga tujuan mereka datang. Mereka adalah Rasul-Rasul (bukan manusia) yang diutus untuk sampaikan berita gembira kepada Ibrahim, dan diutus juga kepada kaum Lut. Kisah suasana di rumah Nabi Ibrahim ketika itu diceritakan lagi:
11:71. Dan isterinya sedang berdiri dekat; dia tertawa, maka Kami beri kepadanya berita gembira dengan Ishak, dan selepas Ishak, Yaakub.
11:72. Berkata, "Celakalah aku! Adakah aku akan beranak padahal aku perempuan tua, dan suamiku ini seorang yang tua? Sesungguhnya ini sesuatu yang ajaib."
11:73. Mereka berkata, "Apa, adakah kamu berasa hairan pada perintah Allah? Pengasihan Allah dan keberkatan-Nya ke atas kamu, wahai ahli Rumah! Sesungguhnya Dia Terpuji, Cemerlang."
Berita gembira yang dibawa mereka adalah bukan ayat-ayat Allah untuk disampaikan kepada manusia, seperti lazim dilakukan oleh Rasul jenis manusia, tetapi tentang kelahiran Ishak, dan Yaakub. Berita tersebut adalah mengenai perkara ghaib, dan peribadi.
Selepas itu Nabi Ibrahim diberitahu tentang azab yang bakal diturunkan ke atas kaum Lut dan baginda mendebatinya pula! Demikianlah menurut ayat-ayat yang menyusul:
11:74. Maka, apabila rasa takut telah pergi daripada Ibrahim, dan berita gembira datang kepadanya, dia berdebat dengan Kami mengenai kaum Lut.
11:75. Ibrahim adalah penyantun, lembut hati, berkesesalan.
11:76. "Wahai Ibrahim, berpalinglah daripada ini. Sesungguhnya perintah Pemelihara kamu sudah datang, dan datang kepada mereka azab yang tidak dapat dikembalikan."
Baginda dikatakan berdebat dengan Kami iaitu suatu kalimat yang diguna untuk menunjukkan firman Allah yang disebut dengan kehadiran atau berserta malaikat-malaikat. Debat Nabi Ibrahim atas kaum Lut tidak diterima dan baginda disuruh berpaling daripadanya.
Kemudian Rasul-Rasul itu pergi kepada Lut menurut ayat selanjut, iaitu ayat yang ditanya di atas, berbunyi,
11:77. Dan apabila Rasul-Rasul Kami datang kepada Lut, dia berasa susah terhadap mereka, dan berasa cemas untuk mereka, dan dia berkata, "Inilah hari yang amat berat."
Kedatangan Rasul-Rasul tidak menyenangkan hati Nabi Lut (sebab mereka lelaki) dan kedatangan mereka menyebabkan pula kedatangan kaumnya, dengan berlari-lari, mungkin kerana ketampanan lelaki-lelaki yang jadi tetamu Lut. Dan jadi idaman mereka!
Ayat-ayat yang menyusul mengisahkan peristiwa tersebut dengan lebih lanjut:
11:78. Dan kaumnya datang kepadanya, berlari-lari ke arahnya, dan sejak dahulu mereka buat jahat. Dia berkata, "Wahai kaumku, inilah anak-anak perempuanku; mereka lebih bersih bagi kamu. Maka takutilah Allah, dan jangan aibkan aku pada tetamu-tetamu aku. Apa, adakah tidak ada seorang lelaki antara kamu yang berfikiran waras?"
11:79. Mereka berkata, "Kamu tahu bahawa kami tidak patut terhadap anak-anak perempuan kamu, dan kamu tahu benar apa yang kami hendaki."
11:80. Dia berkata, "Sekiranya aku ada kekuatan terhadap kamu, atau aku berlindung di sebuah tonggak yang kuat!"
Setelah melihat apa yang terjadi, tetamu-tetamu Lut buat pengakuan, lalu Lut sedari siapa mereka sebenar. Mereka membawa arahan Tuhan menyuruh baginda lari bersama keluarga (kecuali isterinya) kerana azab daripada Tuhan ke atas kaumnya akan datang pada waktu subuh. Seperti Ibrahim, mereka tidak datang membawa ayat-ayat Allah untuk diguna sebagai petunjuk bagi sekalian manusia.
Ayat-ayat yang mengekori beri cerita sebenar tentang pengakuan tersebut dan kejadian yang bakal berlaku:
11:81. Mereka berkata, "Wahai Lut, kami adalah Rasul-Rasul Pemelihara kamu. Mereka tidak akan sampai kepada kamu; maka berjalanlah, kamu dengan keluarga kamu, pada sebahagian malam, dan jangan seseorang daripada kamu berpaling ke belakang, kecuali isteri kamu; dia akan ditimpa dengan apa yang menimpa mereka. Waktu mereka dijanjikan ialah subuh (pagi); bukankah subuh sudah dekat?"
11:82. Maka apabila perintah Kami datang, Kami terbalikkan yang atasnya ke bawahnya, dan hujaninya dengan batu-batu daripada tanah liat yang dibakar, bertubi-tubi,
11:83. Ditanda di sisi Pemelihara kamu, dan ia tidak jauh daripada orang-orang zalim.
Maka dapat difahamkan bahawa Rasul-Rasul yang datang kepada Ibrahim dan Lut adalah bukan manusia biasa, tetapi mempunyai sifat manusia berbentuk lelaki.
Kunjungan makhluk seperti itu diceritakan lagi di dalam al-Qur'an. Kali ini berlaku kepada Mariam pula. Begini ceritanya:
19:16. Dan ingatlah di dalam Kitab, Mariam, apabila dia berundur daripada keluarganya ke suatu tempat di sebelah timur.
19:17. Dan dia ambil satu hijab (tabir), menjauhkan daripada mereka; kemudian Kami utus kepadanya Roh Kami yang menyerupai di hadapannya seperti seorang manusia dengan tanpa cacat.
19:18. Berkata, "Aku berlindung pada Yang Pemurah daripada kamu, jika kamu bertakwa!"
19:19. Dia berkata, "Aku hanya seorang Rasul yang datang daripada Pemelihara kamu, untuk beri kamu seorang anak lelaki yang suci."
19:20. Berkata, "Bagaimanakah aku akan ada seorang anak lelaki sedang tiada seorang manusia pun sentuh aku, dan bukan juga aku perempuan jalang?"
19:21. Dia berkata, "Begitulah; Pemelihara kamu telah berkata, 'Itu mudah bagi-Ku; dan supaya Kami buat dia satu ayat bagi manusia, dan satu pengasihan daripada Kami; ia adalah perkara yang sudah ditentukan.'"
Siapakah yang dikatakan Roh Kami, yang menyerupai seperti seorang manusia, dan jadi Rasul itu? Ayat di bawah dapat beri jawapan kepada soalan itu:
"Dan ketika malaikat-malaikat berkata, 'Wahai Mariam, Allah pilih kamu, dan bersihkan kamu, dan Dia pilih kamu di atas semua perempuan di semua alam.'" (3:42)
Mereka adalah malaikat-malaikat. Justeru, mungkin dapat disimpulkan bahawa Rasul-Rasul yang mengunjungi Nabi Ibrahim dan Nabi Lut adalah juga malaikat-malaikat yang diutus oleh Allah. Kerana antara para manusia dan para malaikat ada yang Allah lantik jadi Rasul-Rasul. Firman-Nya,
"Allah pilih daripada para malaikat Rasul-Rasul, dan daripada manusia; sesungguhnya Allah Mendengar, Melihat." (22:75)
Tambahan pula, menurut Allah lagi, sekiranya Dia turunkan seorang malaikat untuk sampaikan seperti Rasul manusia sampaikan, tentu Dia membuatnya seorang berbentuk lelaki. Ayat-ayat di bawah menjelaskan:
"Mereka berkata, 'Mengapa seorang malaikat tidak diturunkan kepadanya (Muhammad)?' Sekiranya Kami turunkan seorang malaikat, tentu perkara itu akan diputuskan, dan kemudian, tiada tangguh akan diberi kepada mereka.
Dan sekiranya Kami buat dia seorang malaikat, tentu Kami buat dia seorang lelaki, dan kelirukan mereka mengenai apa yang mereka sendiri kekeliruan." (6:8-9)
Oleh demikian, kami bersetuju dengan pendapat bahawa Rasul-Rasul yang disebut di dalam ayat ditanya, iaitu 11:77, adalah malaikat-malaikat yang diturunkan dalam bentuk lelaki.
Sekian pendapat kami.
Allah disanjung!
8.4.11
Halaman Utama
Terkini Perpustakaan
Artikel Bacaan
E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
Senarai Penulis English
Articles
Tulis kepada Pengurus
Laman