Maksud Al-Baqarah
From: sipekan
To: Pengurus Laman <ebacaan@yahoo.com>
Sent: Wed, March 30, 2011 4:59:05 AM
Subject: Maksud Al-Baqarah
Salam,
Pagi tadi saya ada melihat sebuah program agama kanak-kanak di sebuah saluran tv. Ustaz tersebut ceritakan beberapa potong ayat surah Al-Baqarah dan menterjemahkannya sebagai "Lembu Betina". Manakala Bacaan pula menterjemahkannya sebagai "lembu".
Lalu saya menyelidik dan saya dapati Al-Baqarah atau Baqara lebih sesuai diterjemah sebagai "Lembu Betina".
Yusuf Ali dan Rashad Khalifa memilih "heifer - lembu betina yg belum pernah beranak", manakala Pickthall, Shakir, Sher Ali dan JM Rodwell menterjemahkannya sebagai "cow - lembu betina".
Terjemahan Hans Wehr juga menterjemahkannya sebagai "cow". Salah satu maksud "cow" mengikut kamus Inggeris Webster saya ini ialah "the mature female of cattle". Lembu jantan pula dipanggil "bull".
Terima kasih dan Salam.
Salamun
alaikum,
Terima kasih atas penjelasan yang baik mengenai baqarah. Kami sedari akan maksud baqarah seperti yang dipakai umum, namun, tidak juga menterjemahkannya kepada lembu atau sapi betina tetapi hanya lembu.
Dalam surah al-Baqarah, kalimat itu disebut
sebanyak lima kali. Satu daripada lima ayat mengandunginya berbunyi,
"Dia berkata, 'Sesungguhnya Dia berkata, ia lembu yang belum pernah dipakai untuk membajak bumi, atau untuk mengairi tanaman; sesuatu yang teguh, tanpa tanda yang mencacatkan padanya.' Mereka berkata, 'Sekarang kamu sudah datangkan yang benar.' Lalu mereka korbankannya, dan hampir mereka tidak melakukannya." (2:71)
Frasa dipakai untuk membajak bumi menarik perhatian kami. Kerana setahu kami lembu betina tidak diguna untuk membajak bumi. Lalu kami syak lembu di situ adalah lembu jantan. Tapi kami tidak tulis lembu jantan.
Selain enam di surah ke-2, terdapat dua lagi
ayat mengandungi baqarah di surah lain, iaitu surah ke-6 (Binatang
Ternak). Antaranya berbunyi,
"Dan ke atas orang-orang Yahudi, Kami haramkan segala haiwan yang berkuku, dan daripada lembu dan kambing, Kami haramkan mereka lemak mereka, kecuali apa yang punggung-punggung mereka bawa, atau ususnya, atau apa yang bercampur dengan tulangnya; bahawa Kami balas mereka kerana keangkuhan mereka; sesungguhnya Kami berkata benar." (6:146)
Dengan mengubah pendekatan, kami merujuk 4 terjemahan al-Qur'an lain pula. Mereka terdiri daripada karya-karya Dept. Agama R.I, Prof Mahmud Yunus, H. Zainuddin Hamidy dan A. Hassan. Kesemua mereka telah menterjemahkan baqarah kepada sapi betina bagi nama surah ke-2, tetapi bagi dua perkataan tersebut yang terdapat di surah Binatang Ternak, kesemua mereka menterjemahkan kepada hanya sapi sahaja. Mereka tidak pula menterjemahkan kepada sapi betina. Lalu timbul satu lagi keraguan di kepala.
Selanjutnya, didapati dua lagi perkataan
berkenaan diguna di dalam al-Qur'an (jadikan totalnya 9). Dua
yang dimaksudkan terdapat di dalam surah 12, Yusuf. Satu
daripada ayat mengandunginya bermaksud,
"Dan raja berkata, 'Aku lihat dalam mimpi tujuh ekor lembu yang gemuk, dan tujuh yang kurus makan mereka; dan tujuh tangkai bijirin yang hijau, dan tujuh yang lain kering. Wahai pembesar-pembesarku, putuskanlah kepadaku mimpiku, jika kamu adalah penghurai-penghurai mimpi.'" (12:43)
Sekali lagi empat terjemahan tadi dirujuk. Kali ini mereka didapati tidak sepakat pula. Dua daripada mereka (Dept Agama R.I dan H. Zainuddin Hamidy) menterjemahkan kepada sapi betina, sementara dua yang lain (Prof Mahmud Yunus dan A. Hassan) kepada hanya sapi.
Justeru terdapat dua pendapat yang berbeza atas maksud kalimat baqarah - satu, khas dituju kepada lembu betina, dan lagi satu, umum sahaja iaitu lembu.
Seterusnya, didapati bahawa antara 9
ayat mengandungi kalimat tersebut, terdapat satu yang menunjukkan, pada hemat
kami, kepada maksud umum, iaitu hanya lembu, bukan lembu betina mahupun
yang jantan. Ayat yang disebut itu berbunyi,
"Daripada unta, dua; dan daripada lembu, dua. Katakanlah, 'Adakah dua yang jantan Dia haramkan, atau dua yang betina? Atau apa yang rahim-rahim dua yang betina kandung? Adakah kamu saksi-saksi ketika Allah wasiatkan ini kepada kamu? Maka siapakah lebih zalim daripada orang yang ada-adakan dusta terhadap Allah untuk dia sesatkan manusia tanpa sebarang pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak beri petunjuk kepada kaum yang zalim.'" (6:144)
Unta dan lembu disebut di situ, kemudian ditanya, adakah yang jantan atau yang betina daripada mereka yang diharamkan?
Oleh demikian, kami memilih maksud umum bagi kalimat baqarah. Sebelum berundur disenaraikan di bawah ini semua ayat al-Qur'an mengandungi baqarah untuk pengetahuan semua:
BAQARAH (jamak baqarat atau baqar)
2:67. Dan apabila Musa berkata kepada kaumnya, "Sesungguhnya Allah, Dia perintah kamu, hendaklah kamu korbankan seekor lembu." Mereka berkata, "Adakah kamu ambil kami sebagai buah ejekan?" Dia berkata, "Aku berlindung pada Allah daripada aku jadi antara orang-orang bodoh."
2:68. Mereka berkata, "Serulah kepada Pemelihara kamu untuk kami supaya Dia jelaskan kepada kami yang manakah ia?" Dia berkata, "Sesungguhnya Dia berkata, ia lembu yang tidak tua, dan tidak juga dara, yang pertengahan di antara yang demikian itu; maka buatlah apa yang kamu diperintah."
2:69. Mereka berkata, "Serulah kepada Pemelihara kamu untuk kami, supaya Dia jelaskan kepada kami apakah warnanya?" Dia berkata, "Sesungguhnya Dia berkata, ia lembu yang keemasan, terang warnanya, menggembirakan orang-orang yang memandang."
2:70. Mereka berkata, "Serulah kepada Pemelihara kamu untuk kami, supaya Dia jelaskan kepada kami yang manakah ia; lembu serupa sahaja bagi kami, dan jika Allah hendaki, tentu kami akan dapat petunjuk."
2:71. Dia berkata, "Sesungguhnya Dia berkata, ia lembu yang belum pernah dipakai untuk membajak bumi, atau untuk mengairi tanaman; sesuatu yang teguh, tanpa tanda yang mencacatkan padanya." Mereka berkata, "Sekarang kamu sudah datangkan yang benar." Lalu mereka korbankannya, dan hampir mereka tidak melakukannya.
6:144. Daripada unta, dua; dan daripada lembu, dua. Katakanlah, "Adakah dua yang jantan Dia haramkan, atau dua yang betina? Atau apa yang rahim-rahim dua yang betina kandung? Adakah kamu saksi-saksi ketika Allah wasiatkan ini kepada kamu? Maka siapakah lebih zalim daripada orang yang ada-adakan dusta terhadap Allah untuk dia sesatkan manusia tanpa sebarang pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak beri petunjuk kepada kaum yang zalim."
6:146. Dan ke atas orang-orang Yahudi, Kami haramkan segala haiwan yang berkuku, dan daripada lembu dan kambing, Kami haramkan mereka lemak mereka, kecuali apa yang punggung-punggung mereka bawa, atau ususnya, atau apa yang bercampur dengan tulangnya; bahawa Kami balas mereka kerana keangkuhan mereka; sesungguhnya Kami berkata benar.
12:43. Dan raja berkata, "Aku melihat dalam mimpi tujuh ekor lembu yang gemuk, dan tujuh yang kurus makan mereka; dan tujuh tangkai bijirin yang hijau, dan tujuh yang lain kering. Wahai pembesar-pembesarku, putuskanlah kepadaku mimpiku, jika kamu adalah penghurai-penghurai mimpi."
12:46. "Wahai Yusuf orang yang benar, putuskanlah kepada kami mengenai tujuh ekor lembu yang gemuk, yang tujuh yang kurus makan, dan tujuh tangkai bijirin yang hijau, dan tujuh yang lain kering; supaya aku kembali kepada manusia, supaya mereka tahu."
Allah disanjung!
1.4.11
Halaman Utama
Terkini Perpustakaan
Artikel Bacaan
E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
Senarai Penulis English
Articles
Tulis kepada Pengurus
Laman