Ayat 22:15

 

From: emi_samad
To: ebacaan@yahoo.com
Sent: Mon, March 21, 2011 8:42:49 AM
Subject: Salamun alaikum


Terima kasih kerana sudi membaca kiriman dari saya. Tujuan saya mengirim email ini adalah untuk bertanya pendapat mengenai ayat

22:15.
Sesiapa yang menyangka Allah tidak akan menolongnya di dunia
ini, dan di akhirat, maka hendaklah dia menghulurkan tali ke langit,
kemudian hendaklah dia memotongnya, dan perhatikan sama ada
muslihatnya dapat menghilangkan apa yang menerbitkan marahnya.

Terima kasih sekali lagi atas usaha yang telah dan sedang dilakukan. Maaf jika ada kekurangan dari saya.

Allah disanjung!

Salamun alaikum,

Terima kasih kerana sudi menulis kepada kami untuk kemukakan soalan yang baik. Ayat yang ditanya, sebenarnya, adalah juga sukar bagi kami fahamkan. Justeru, pendapat orang lain dicari, lalu dipilih pendapat yang tercatat pada nota kaki 2786, muka surat 856, kitab terjemahan (Inggeris) al-Qur'an oleh Abdullah Yusuf Ali.

Pertama dilihat pada perkataan menolongnya atau menolong dia (singular) yang ditujukan kepada Nabi atau Rasul. Kemudian pada perkataan "Sesiapa", yang ditujukan kepada musuh Nabi, yang marah.

Selepas itu, frasa "menghulurkan tali ke langit" atau menghulurkan tali ke siling, untuk menggantungkan diri, dan kemudian memotong pula tali itu. (Kami berpendapat orang itu tidak mungkin dapat memotong tali yang menggantungnya, jadikan tali itu tidak terpotong.)

Atau, menurut catatan di nota kaki itu lagi, perkataan langit tidak diertikan kepada siling. Maka ayat tersebut bermaksud sekiranya musuh Rasul marah akan pertolongan Allah dari langit, hendaklah mereka menghulurkan tali ke langit dan lihat sama ada mereka mampu memotong pertolongan Allah dengan cara itu! - dengan kata lain, mereka bodoh jika mereka memikirkan dapat memotong pertolongan Allah dengan muslihat yang menjengkelkan.

Demikianlah dua kemungkinan atas maksud ayat 22:15. Selanjutnya, ayat yang menyusul (22:16) menyebut pula tentang ayat-ayat yang Allah turunkan - seolah menegaskan supaya tidak fikirkan tentang muslihat terhadap Rasul, tetapi melihat kepada ayat-ayat yang dibawanya. Di bawah ini turunkan kedua-dua ayat bersabit:

22:15. Sesiapa yang menyangka Allah tidak akan menolongnya di dunia ini, dan di akhirat, maka hendaklah dia menghulurkan tali ke langit, kemudian hendaklah dia memotongnya, dan perhatikan sama ada muslihatnya dapat menghilangkan apa yang menerbitkan marahnya.

22:16. Demikianlah, Kami turunkannya sebagai ayat-ayat, bukti-bukti yang jelas, dan Allah beri petunjuk kepada siapa Dia hendaki.

Oleh demikian, pada hemat kami, ayat-ayat tersebut bermaksud iaitu Rasul atau orang yang menyampaikan ayat-ayat Allah pasti dapat pertolongan Allah di dunia dan di akhirat, dan pertolongan itu pula tidak mampu disekat oleh mana-mana musuh yang marah, walau dengan apa jua muslihat yang mereka lakukan. Dan diingatkan lagi agar mereka tidak buat sebarang muslihat terhadapnya, tetapi melihat pada apa yang dia sampaikan, iaitu ayat-ayat Allah yang jadi bukti jelas, dan jadi petunjuk, daripada-Nya.

Sekian penjelasan dan pendapat kami.

Allah disanjung!

22.3.11

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman