Talak 3 sudah disahkan

 

From: syira23
Date: 2010/11/11
Subject: Talak 3 buat kali pertama
To:
ebacaan114@gmail.com


Assalammualaikum,

 

Di sini saya ingin bertanya,

 

Saya berasal dari <dipadam>, Johor. Pada 5 November 2010, kira-kira jam 6 petang, di gerai makan ibu mertua saya (ibu suami), suami saya telah melafazkan cerai dengan talak 3 buat kali pertama yang mana pada ketika itu keadaan saya sedang hamil 8 bulan. Ketika suami saya melafazkan talak tersebut, dia berada dalam keadaan marah dan tertekan serta dipaksa oleh saya. Suami saya bertanya kepada adik-beradiknya dan disebabkan yakin bahawa talak 3 itu telah jatuh kami tidak lagi tinggal bersama kerana bimbang akan timbul masalah.

 

Perkara ini telah dibicarakan dihadapan tuan hakim di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 10 November 2010 yang lalu, kami telah disahkan bercerai dengan talak 3 dan sijil nikah kami telah dibatalkan. Permasalahannya, hakim yang membicarakan kes kami cuma bertanya bagaimana lafaz cerai tersebut dibuat dan suami saya dalam keadaan sedari atau tidak. Dan dia tidak bertanyakan mengenai kes kami dengan lebih lanjut. Sedangkan ianya pertama kali dilafazkan oleh suami saya dan dia tidak berniat untuk menceraikan saya. Suami saya benar-benar menyesal dengan apa yang berlaku dan mahu kami bersama semula. Sekarang saya serta suami berada dalam keadaan binggung kerana seperti yang difahamkan, sekiranya lafaz cerai dilakukan buat pertama kali walaupun dengan talak 3, sepatutnya jatuh hanya talak 1. Saya dan suami berasa benar-benar tidak puas hati dengan keputusan hakim. Kami masih sayang antara satu sama lain dan ingin kembali bersatu.

 

    1.    Adakah kami masih lagi suami isteri dan boleh rujuk kembali?   

 

    2.    Apakah jalan penyelesaian yang boleh saya serta suami ambil?

 

    3.    Adakah kami masih bercerai dalam talak 1 atau talak 3 seperti yang dikatakan oleh hakim?

 

    4.    Sekiranya perlu, adakah saya dan suami boleh bernikah di negara jiran dan kemudian mendaftarkan kembali pernikahan kami di sini? Kerana saya dan suami tidak rela sekiranya saya perlu bernikah dengan lelaki lain.

 

Diharap pihak saudara/saudari dapat bantu saya serta suami menyelesaikan masalah ini secepat yang mungkin. Terima kasih.

 

Salamun alaikum,

 

Jawapan daripada kami tidak dapat dilakukan secepat mungkin kerana alamat e-mel yang diguna adalah alamat lama, yang kami jarang jenguk. Kami hanya dapat membaca dan membalas surat di atas dua hari kemudian.

 

Kalau pun ia diterima sejurus selepas ia dikirim, namun kami tidak dapat beri sebarang nasihat kerana nasi sudah jadi bubur - bercerai dengan talak 3 sudah disahkan oleh mahkamah!

 

Terasa amat ralat tidak dapat membantu, terutama atas kehamilan pengirim e-mel. Sekiranya masalah atau pertanyaan itu disampaikan sebelum beliau dan suami pergi ke mahkamah tentu kami dapat menolong dengan beri nasihat berdasarkan ayat-ayat yang diturunkan Allah. Atau menyuruh merujuk kepada karangan-karangan berkaitan, yang berada di laman e-bacaan ini.

 

Kes di atas tentu jadi peringatan bagi orang-orang yang memilih untuk dihakimkan oleh hukum manusia, bukan hukum Allah, yang tidak menzalimi sesiapa jua. Firman-Nya,

 

"Dan sesiapa tidak hakimkan menurut apa yang Allah turunkan, maka mereka itulah orang-orang zalim." (5:45)

 

Sesungguhnya mereka merasakan telah dizalimi, dan terdesak, tetapi kami tidak dapat beri sebarang bantuan dalam jawapan kami, cuma menyuruh buat rayuan dengan bantuan peguam.

 

Demikianlah satu lagi kisah salah hukum dalam dunia Islam hari ini.

 

Diakhiri dengan petikan dua firman Allah buat renungan lagi kali ini, berbunyi,

 

"Apa, tidakkah mereka renungkan al-Qur'an? Atau, adakah adanya kunci pada hati mereka?" (47:24)

 

"Tidakkah ia masanya untuk hati orang-orang yang percaya ditundukkan kepada Peringatan Allah, dan yang Benar, yang Dia turunkan ... dan kebanyakan mereka orang-orang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan)?" (57:16)

 

 

 

Allah disanjung!

 

17 Nov 2010

 

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman