Harta dan Kebajikan

 

From: naqtau
To: ebacaan@yahoo.com
Sent: Mon, October 18, 2010 9:51:51 PM
Subject: Fw: Maksud Harta.


Salam,

Semoga Tuan sekeluarga dan sahabat yang lain berada dalam sejahtera.

Ada banyak ayat2 menyebut mengenai pemberian/menderma harta. Ada kah harta bermaksud sesuatu yang 'besar' seperti tanah, rumah selain daripada wang ringgit yang banyak atau boleh kah kita menganggap mendermakan pakaian2, perabot2 rumah dan yang lain benda2 kechil yang dah tak nak di gunakan lagi, juga sebagai mendermakan harta?

Misal kata benda2 'kechil' yang saya sebutkan tadi di dermakan kepada badan2 kebajikan untuk mereka mengunakannya atau dijual.

Terima kaseh dan Salam.


Salamun alaikum,

Terima kasih sahabat. Sebenarnya kami dan beberapa ahli keluarga baru sahaja rasa lega setelah jatuh sakit. Kami percaya sahabat-sahabat kita tentu berada dalam keadaan sejahtera.

Perkara yang diketengahkan itu baik untuk direnungkan. Mengenai harta, lazimnya ia bermaksud barang berharga, dan dalam pengertian al-Kitab pula, ia adalah suatu yang dicintai, seperti disebut ayat berbunyi,

"... tetapi ketaatan adalah percaya kepada Allah, dan Hari Akhir, dan malaikat-malaikat, dan Kitab-Kitab, dan Nabi-Nabi; dan memberi harta, walaupun dicintainya, kepada sanak saudara, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan musafir, dan orang-orang yang meminta-minta ..." (2:177)

Maka harta boleh dimaksudkan benda yang berharga dan dicintai. Tentang benda-benda yang dikatakan "kecil", yang diberi kepada orang-orang yang patut menerima, seperti yang ditimpa bencana alam, kebakaran dan sebagainya, dan kepada badan amal yang meminta, adalah pada hemat kami, juga harta kerana dimiliki dan bernilai, walaupun tidak lagi tinggi nilainya.

Andaikata pemberian kecil itu dikatakan tidak diterima sebagai harta atau sedekah atau nafkah (sila lihat tajuk-tajuk zakat, sedekah, dan sebagainya di Perpustakaan) namun ia merupakan suatu kebajikan yang amalannya sangat dituntut Allah. Firman-firman-Nya,

"Mereka percayai Allah dan Hari Akhir, dan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar, dan mereka bersegera dalam kebajikan; mereka itulah orang-orang salih." (3:114)

"Dan lantik mereka menjadi imam-imam yang memberi petunjuk dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan mereka perbuatan kebajikan, dan melakukan solat, dan memberi zakat, dan Kami mereka sembah." (21:73)

"Lalu Kami menyahutinya, dan Kami beri dia Yahya, dan Kami betulkan isterinya untuknya; sesungguhnya mereka bersegera kepada kebajikan, dan menyeru Kami daripada rasa rindu dan rasa gerun, dan mereka rendah hati kepada Kami." (21:90)

"Dan orang-orang yang beri apa yang mereka beri, dan hati mereka gementar bahawa mereka akan kembali kepada Pemelihara mereka,
Mereka itu bersegera dalam kebajikan dengan mendahuluinya." (23:60-61)

"Kemudian Kami wariskan Kitab kepada mereka antara hamba-hamba Kami yang Kami pilih; tetapi antara mereka, ada yang menzalimi dirinya sendiri, dan antara mereka tidak bersungguh-sungguh, dan antara mereka ada yang mendahului dalam kebajikan dengan izin Allah; itulah pemberian yang besar." (35:32)

Dalam beri, Allah mengingatkan supaya tidak beri sesuatu benda yang sebelah mata sendiri memicingkan padanya. Iktibar dipetik daripada ayat berbunyi,

"Wahai orang-orang yang percaya, nafkahkanlah daripada benda-benda yang baik yang kamu usahakan, dan daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu, dan janganlah bermaksud yang buruk-buruk daripadanya untuk kamu nafkahkan, sedang kamu tidak akan mengambilnya sendiri melainkan kamu picingkan sebelah mata padanya; dan ketahuilah bahawa Allah Kaya, Terpuji." (2:267)

Seperti dikatakan sahabat tadi, terdapat banyak ayat mengenai harta. Lantaran itu, kerana kalimat harta belum lagi disenaraikan di ruangan Kalimat Pilihan maka kami telah berusaha untuk meletakkannya di situ. Harap ia dirujuk supaya dapat mengetahui lebih lanjut mengenai harta, dan juga harta simpanan, seperti disebut di dalam al-Qur'an.

Terima kasih.

Allah disanjung!
 

20 Okt 2010

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman