Ayat Air keji & sebelum Dia Tahu

 


From: azizsuriani
To: ebacaan@yahoo.com
Sent: Wed, August 25, 2010 11:41:57 AM
Subject: Beberapa frasa yang aneh


Salamun’alaikum, saya mendoakan kebahagian sentiasa dilimpahkan oleh Yang Pemurah ke atas tuan serta keluarga.  Di sini saya ada dua soalan untuk ditanyakan.


pertama:

32:8. Kemudian Dia buatkan keturunannya daripada pati air yang keji,

32:9. Kemudian Dia membentuknya, dan hembus Roh-Nya ke dalamnya. Dan Dia buatkan bagi kamu pendengaran, dan penglihatan, dan hati; sedikit terima kasih kamu tunjukkan.

Kenapakah Allah mengistiharkan bahawa manusia berasal dari keturunan pati air yang keji.  Adakah kekejian itu atau baunya atau tempat letaknya atau kerana kerana ketidaksempurnaannya yang tiada pendengaran atau penglihatan dan hati….


kedua:

8:70. Wahai Nabi, katakanlah kepada orang-orang tawanan yang di tangan kamu, "Jika Allah tahu sebarang kebaikan di dalam hati kamu, Dia akan beri kamu yang lebih baik daripada apa yang diambil daripada kamu, dan Dia akan ampun kamu; dan Allah Pengampun, Pengasih."

9:16. Adakah kamu sangka kamu akan dibiarkan sedang Allah belum tahu orang-orang yang berjuang antara kamu, dan tidak ambil - selain daripada Allah, dan Rasul-Nya, dan orang-orang mukmin - sebagai sahabat karib? Allah sedar apa kamu buat.

18:12. Kemudian Kami bangkitkan mereka supaya Kami tahu manakah antara dua golongan yang menghitung lebih tepat bagi tempoh yang lama mereka tinggal.

Soalan saya ialah  tentang beberapa prasa yang ditekankan dalam tiga ayat di atas. 
Apakah kisah yang dapat kita pelajari dari ayat-ayat ini sedangkan sifat pengetahuannya merangkumi tanpa sebarang batas masa atau kejadian.  Bagaimanakah kita dapat memahami prasa ini…

 

Sekian dan salam

Aziz Suriani

 

Salamun alaikum,

Terima kasih. Soalan sahabat adalah baik kerana mencabar - dan maaf menyatakan - kecuali perkataan aneh yang diguna atas frasa dan ayat-ayat tersebut. Kami tidak begitu senang dengannya sebab apa yang terkandung di dalam al-Qur'an adalah hikmah, bukan keanehan.

Izinkan kami menyatakan secara umum (bermaksud tidak dituju khas kepada sahabat azizsuriani) bahawa perasaan aneh mampu menimbulkan kesangsian pula, seperti dapat difahamkan daripada ayat berbunyi,
 

"Apabila dia (Ibrahim) lihat tangan-tangan mereka (malaikat) tidak sampai padanya (daging yang dihidangkan), dia memandang aneh pada mereka, dan dia sangsi terhadap mereka, dan berasa takut. Mereka berkata, "Jangan takut; kami diutus kepada kaum Lut.'" (11:70)

 

Di samping itu, didapati bahawa orang-orang tidak percaya akan berasa aneh terhadap ayat-ayat Allah. Firman-Nya,

 

"Tidak, tetapi mereka hairan bahawa seorang pemberi amaran datang kepada mereka daripada kalangan mereka; dan orang-orang tidak percaya berkata, 'Ini adalah sesuatu yang sangat aneh! Apa, apabila kami sudah mati dan menjadi tanah? Itu pengembalian yang jauh!'" (50:2-3)

 

Sekali lagi ditegaskan iaitu apa yang baru kami nyatakan tidak dituju khas kepada sahabat azizsuriani. Beliau hanya bertanya bagaimana kita dapat memahami frasa pada ayat-ayat yang ditanya. Tidak seperti seorang yang kami pernah jumpa, setelah menemui ayat-ayat seperti disebut pada soalan kedua, dia mengisytiharkan bahawa Allah tidak tahu kesemua perkara yang berlaku!

 

Mungkin pemikirannya tidak sampai kepada hikmah yang terkandung di dalam ayat-ayat tersebut, dan dia tidak sabar menanti penjelasan yang betul daripada orang lain, lalu timbul kesangsian terhadap kebenaran bahawa di dalam al-Qur'an tidak terdapat sebarang perselisihan atau percanggahan.

 

Begitu juga dengan jawapan kami di sini, yang mungkin tidak sampai kepada tahap hikmah sebenar. Andaikata itu yang berlaku maka tunggulah penjelasan daripada orang lain, atau cari di tempat lain, dan setelah dapatinya, jangan lupa berkongsi dengan kami pula.

 

Tanpa memanjangkan lagi "bebelan" di atas, terus pergi kepada soalan pertama, mengenai manusia dicipta daripada air yang keji. Kami turunkan lagi ayat berkenaan:

 

32:8. Kemudian Dia buatkan keturunannya daripada pati air yang keji,

32:9. Kemudian Dia membentuknya, dan hembus Roh-Nya ke dalamnya. Dan Dia buatkan bagi kamu pendengaran, dan penglihatan, dan hati; sedikit terima kasih kamu tunjukkan.

 

Bagi kami, kalau Allah kata keji maka kejilah ia pada pandangan manusia. Contoh, manusia yang normal tidak akan rasa senang apabila melihat air itu berada bersepah di lantai, atau di atas kerusi, atau di atas meja, ataupun di atas katil. Perasaan tidak senang itu mungkin jijik namanya.

 

Air itu harus diterima sebagai keji, tidak dijadikan pertunjukan, umpama dilihat sedap dimakan, seperti didapati daripada sebuah filem komedi dari sebuah negara Asia yang menunjukkan ia, setelah dikeluarkan (tanpa menunjukkan dari mana ia keluar), digoreng macam telur ayam digoreng lalu dimakan dengan roti!!!

 

Kami tidak fikir perbuatan itu Quranik, sedangkan Allah memanggil bahagian anggota yang keluarkannya sebagai bahagian aib dan kemaluan yang harus ditutup, tidak ditonton orang-orang lain.

 

Setelah menerimanya sebagai jijik atau keji, walhal ia jadi detik utama dalam ciptaan, manusia tidak harus belaku sombong terhadap Allah yang mencipta mereka, dengan tidak berterima kasih (berkaitan ayat 32:8 disebut di atas) atau mendustakan-Nya, seperti disebut ayat berkaitan dengan ayat 77:20, iaitu satu lagi ayat yang mengandungi frasa air yang keji.

 

Beranjak kepada soalan kedua, dan menyebut ayat pertama yang diutarakan, berbunyi,
 

8:70. Wahai Nabi, katakanlah kepada orang-orang tawanan yang di tangan kamu, "Jika Allah tahu sebarang kebaikan di dalam hati kamu, Dia akan beri kamu yang lebih baik daripada apa yang diambil daripada kamu, dan Dia akan ampun kamu; dan Allah Pengampun, Pengasih."
 

Pada hemat kami, frasa yang dikasarkan itu dan ayat sepenuhnya bermaksud memang Allah tidak tahu, tetapi yang Dia tahu hanyalah tiada sebarang kebaikan di dalam hati orang-orang tawanan tersebut. Jika ada sebarang kebaikan di hati mereka tentu Dia tahu dan akan beri mereka lebih baik daripada yang diambil daripada mereka, dan ampunkan mereka.

Justeru, ayat tersebut beri peluang kepada orang-orang tawanan untuk mereka menukar kepada berhati baik supaya dapat apa yang dijanjikan Allah.

 

Beralih kepada ayat kedua, soalan kedua iaitu:
 

9:16. Adakah kamu sangka kamu akan dibiarkan sedang Allah belum tahu orang-orang yang berjuang antara kamu, dan tidak ambil - selain daripada Allah, dan Rasul-Nya, dan orang-orang mukmin - sebagai sahabat karib? Allah sedar apa kamu buat.
 

Bagi kami, sebenarnya Dia tahu, dan sebelum sampai ke peringkat itu, Dia juga tahu apa yang dilakukan oleh manusia. Misalan, Dia menyatakan bahawa Dia tahu bahawa X akan mati dalam kemalangan jalan raya. Sebelum Dia tahu demikian, Dia juga tahu bahawa X pergi ke sebuah bar untuk minum sampai mabuk, kemudian dia keluar dan memandu keretanya dengan laju lalu menemui ajalnya dalam kemalangan jalan raya.

Sama dengan ayat di atas. Dia tahu terlebih dahulu tentang orang-orang yang berjuang, dan tidak ambil selain daripada-Nya, Rasul-Nya, dan orang-orang mukmin sebagai sahabat karib. Sebelum sampai ke peringkat itu Dia juga tahu tentang orang-orang yang buat demikian, dan juga yang tidak buat demikian. Firman-Nya,
 

"Dia tahu apa yang sebelum mereka, dan apa yang sesudah mereka, dan mereka tidak tahu sesuatu daripada pengetahuannya, kecuali apa yang Dia hendaki." (2:255)

 

"Dia tahu segala yang di hadapan mereka, dan yang di belakang mereka, dan kepada Allah segala urusan dikembalikan." (22:76)
 

Frasa "Allah belum tahu" itu juga menunjuk dan menegaskan bahawa Dia tidak tetapkan sesuatu bagi manusia, tetapi manusialah yang menetapkan bagi diri mereka sendiri. Allah tahu apa yang di dalam dada, dan Dia mengujinya pula, supaya manusia sendiri tahu, seperti yang Dia sudah tahu. Firman-Nya,
 

"dan ketahuilah bahawa Allah tahu apa yang di dalam diri kamu; maka takutilah kepada-Nya, dan ketahuilah bahawa Allah Pengampun, Penyantun." (2:235)

 

"dan supaya Allah uji apa yang di dalam dada kamu, dan supaya Dia buktikan apa yang di dalam hati kamu; dan Allah tahu apa yang di dalam dada." (3:154)

 

 

Setelah beri pendapat di atas, merangkak pula kepada ayat terakhir yang ditanya sahabat azizsuriani, berbunyi,

 

18:12. Kemudian Kami bangkitkan mereka supaya Kami tahu manakah antara dua golongan yang menghitung lebih tepat bagi tempoh yang lama mereka tinggal.
 

Kami rasa jawapannya sama seperti sebelum ini, iaitu Allah sudah tahu tentang penghitungan mereka, dan sebelum itu Dia bangkitkan mereka untuk beritahu kita bahawa itu adalah langkah yang diambil-Nya untuk buktikan manusia tidak tahu berapa lama mereka tidur sehingga sampai hari kebangkitan.

Apa yang terjadi setelah mereka dibangkitkan disebut di dalam ayat berikut:
 

"Dan demikian Kami bangkitkan mereka supaya mereka saling bertanya antara mereka. Seorang daripada mereka berkata, 'Berapa lamakah kamu tinggal?' Mereka berkata, 'Kami tinggal selama sehari atau sebahagian hari.' Mereka berkata, 'Pemelihara kamu sangat-sangat tahu berapa lama kamu tinggal.'" (18:19)

 

Allah tahu penghitungan mereka sebelum itu. Buktinya terdapat pada kes-kes lain yang diceritakan di dalam ayat-ayat berbunyi,

 

"Atau, seperti orang yang melalui sebuah bandaraya yang telah roboh di atas junjung-junjungnya. Dia berkata, 'Bagaimanakah Allah hidupkan ini setelah ia mati?' Maka Allah matikannya seratus tahun, kemudian Dia bangkitkannya kembali, dengan berkata, 'Berapa lamakah kamu tinggal?' Dia berkata, "Saya tinggal sehari, atau sebahagian hari.'" (2:259)

 

"Berkata, 'Berapa lamakah kamu tinggal di bumi, dengan bilangan tahun?'

Mereka berkata, 'Kami telah tinggal sehari, atau sebahagian hari; tanyalah orang-orang yang menghitung!'" (23:112-113)

 

"Kami sangat-sangat tahu apa mereka kata, apabila yang terutama daripada mereka pada tarekat (jalan) berkata, 'Kamu tinggal hanya sehari.'" (20:104)

 

Sekian pendapat kami yang harus dibetulkan apabila didapati songsang.

 

Allah disanjung!

 

27 Ogos 2010

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman