Pengalaman Hidup Seorang Muslimah VIII
(Maulidur Rasul)

 

From: Sari Nande
Date: 2010/2/26
Subject: Maulidur Rasul
To: Pengurus Laman <
ebacaan114@gmail.com>

 

Pengalaman Hidup Seorang Muslimah VIII

 

MAULIDUR RASUL

 

 

Salamun alaikum,

 

Selamat bertemu kembali para sahabat yang saya sayangi semoga sentiasa diberkati terutama dengan kesihatan dan kebahagiaan. Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman tentang tajuk. Saya percaya ramai yang telah melalui yang lebih baik. Namun, jika dikongsi bersama rasanya adalah terbaik, untuk dijadikan sempadan atau tauladan.

 


Maulidur Rasul

 

Setiap kali tiba Maulidur Rasul ia disambut dengan bermacam-macam cara. Dari adakan ceramah, perarakan, pertunjukan pentas dengan nasyid dan selawat, hinggalah sambutan kecil-kecilan di peringkat kampung. Di kampung saya hari itu disambut dengan melibatkan seluruh keluarga. Kaum ibu akan sibuk dari malam lagi merendam pulut untuk dikukus esoknya bagi buat pulut kuning dan memasak lauk ayam masak lemak pekat, kuning juga. Kalau dulu, pulut kuning itu dibentuk bulat di atas dulang, anggaran untuk makan lapan hingga sepuluh orang. Di atasnya dikčpakkan seekor ayam, tanpa dipotong. Ini kami panggil Jambar atau Punjung untuk dihantar ke surau pada tengah harinya.

 

Kini trend telah berubah. Selain pulut ada juga yang menghantar nasi lemak kuning. Lauknya diganti dengan masakan daripada daging, ikan, sotong, udang, atau ikan. Ada juga yang menghantar KFC supaya lain dari yang lain.

 

Tiada lagi Jambar atau Punjung yang memerlukan ia dipotong sebelum diagih-agihkan dan dibungkus dengan daun pisang dan surat khabar untuk dibawa pulang oleh kanak-kanak yang datang beramai-ramai ke surau.

 

Kini dengan inovasi, juadah ke surau sudah dibungkus dengan polistiren dan plastik. Kanak-kanak tidak lagi mahu ke surau. Mereka sudah tidak hairan dengan lauk ayam. Sejak kebelakangan ini hanya makmum import yang rajin mengunjungi surau. Merekalah yang menerima 2 – 3 bungkus habuan untuk dibawa pulang.

 

Saya masih teringat semasa kami kecil. Ibu akan membekalkan kami setiap seorang dengan sapu tangan abah untuk mengikat bungkusan supaya tidak bertabur. Kemudian bungkusan itu kami bawa ke sungai untuk berkelah. Kadang-kadang terdapat juga pilih kasih dalam pengagihan yang mana seseorang dapat ayam lebih atau lebih besar. Perkelahian juga sering tercecus kerana kenakalan curi-mencuri lauk. Itu semua kenangan silam yang manis.

 

Sehari suntuk kami akan kekenyangan makan pulut dan ayam masakan ibu dan juga hasil bertukar-tukaran dengan jiran-jiran. Biasanya masakan ibulah yang paling sedap dan laris. Kaki, leher, tongkeng, kepala dan bahagian dalam ayam adalah untuk ibu. Semua itu ada pantang larangnya bagi kanak-kanak atau yang belum berkahwin. Sebenarnya hanya itu yang tinggal untuk ibu makan, bagi yang kurang berkemampuan.

 

Maulidur Rasul kali ini anak-anak saudara saya masih ingin mengekalkan tradisi lama itu. Saya mula berceloteh bagaimana sepatutnya menghormati Nabi Muhammad. Iaitu dengan mentaati ajaran-ajarannya seperti yang terkandung di dalam al-Quran.

 

“Tapi tujuan kita untuk bersedekah,” balasnya balik.

 

Saya menerangkan antara lain cara bersedekah:

89:17. Tidak sekali-kali! Tetapi kamu tidak muliakan anak yatim,

89:18. Dan kamu tidak menggesa memberi makan orang miskin,

90:14. Atau memberi makan pada hari kelaparan,

90:15. Kepada anak yatim kerabat yang dekat,

90:16. Atau seorang miskin dalam penderitaan.

 

Melihat muka mereka seperti kecewa saya menyambung, “Biasanya jiran-jiran akan menghulur. Untuk membalas kita masaklah apa yang patut. Tapi bukan kerana sempena menyambut Maulidur Rasul.”

Senyuman mereka menguntum kembali. Alhamdulillah.

 

Salam drp Putri Nande.


Salamun alaikum,

Terima kasih. Sepatutnya kiriman di atas diterbit semasa menyambut hari Maulidur Rasul yang lepas, iaitu lebih sebulan yang lalu, tetapi keadaan tidak mengizinkan. Harap maaf, dan diharap juga pihak puan tidak serik mengirim kiriman kepada kami.

Demikianlah pengalaman dialami SN dalam menyambut Maulud Nabi (kami guna istilah lama, kerana orang lama). Sambutan dengan masakan pulut kuning dan ayam diletak di atasnya mengingatkan kami sambutan yang agak serupa dilakukan di Solo, Indonesia, kalau tidak silap.

Pada awal tahun 70an di dalam sebuah majlis untuk menyambut hari yang sama, bertempat di sebuah bandar di selatan negara kita, kami terdengar sebuah ceramah, yang antara lain, mengatakan bahawa sambutan Maulud Nabi adalah bukan khas bagi Nabi Muhammad sahaja tetapi bagi mengingati semua Nabi Allah. Pada masa itu kami hanya mendengar, tetapi pada hari ini, pendapat itu bagi kami adalah lebih bermakna, lebih dekat dengan ajaran Allah yang melarang kita daripada beza-bezakan antara para Nabi dan Rasul-Nya.

Terdapat pula pendapat yang berbeza tentang sambutan Maulud Nabi!

Sekian. Salam.

29 Mac 2010

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman