Satu umat, Allah disanjung, Kemenangan Dicapai
From: ulul_albab6236
Date: 2010/2/18
Subject: Satu umat, Allah disanjung, Kemenangan Dicapai.
To: ebacaan114@gmail.com
Ummatan wahidatan
Salamun alaikum.
Bertemu lagi sahabat yang dihormati. Semoga sentiasa dalam keadaan sihat selalu. Dan kesempatan ini saya mahu berkongsi pandangan tentang isu perpaduan yang sentiasa diperkatakan di media. Disini saya cuba berfikir hal ini menurut apa yang difahamkan menurut ayat-ayat Allah.
Pada hari ini orang Islam dianggarkan mencecah 1.9 bilion dan agama paling ramai dianuti oleh masyarakat dunia. Disamping itu, kajian menunjukkan Islam adalah agama paling cepat berkembang di Amerika dan Eropah ketika ini.
Tetapi malangnya, populasi muslim yang ramai sebenarnya tidak menggambarkan kekuatan umat Islam. Malah, umat Islam pada ketika ini dilihat lemah, dipandang rendah, ditindas dan dieksploitasi oleh bangsa lain. Apakah faktor yang membawa kepada kelemahan umat Islam? Sebenarnya ini berlaku antaranya kerana perpecahan yang berlaku dalam umat Islam itu sendiri. Biasanya kita dengar bahawa perbezaan mazhab, ideology politik dan bangsa jadi punca umat Islam berpecah belah. Apa yang lebih menyedihkan di sesetengah negara Islam mereka sanggup berbunuhan akibat taksub kepada puak masing-masing. Antaranya, perang mazhab antara puak shiah dan sunni yang di Pakistan dan Iraq sering disiarkan oleh media telah membawa kemusnahan harta benda dan pertumpahan darah dikalangan orang awam.
Fenomena sebegini hanya beri imej buruk dan menimbulkan prejudis oleh masyarakat bukan Islam terhadap Islam sehingga mereka beranggapan kononnya Islam itu pula jadikan umatnya lemah dan berpuak-puak. Sedangkan umat Islam itu tidak beri mesej sebenar tentang Islam. Perpecahan yang berlaku ini sangat ditegah didalam Al-Qur’an seperti firman-Nya:
3:103. Dan berpegangteguhlah kamu pada tali Allah, semuanya, dan janganlah kamu berpecah belah, …
6:159. Orang-orang yang buat pecahan dalam agama mereka, dan menjadi golongan-golongan, kamu bukanlah daripada mereka dalam apa-apa pun. Urusan mereka hanyalah kepada Allah, kemudian Dia akan beritahu mereka apa yang mereka telah buat.
30:32. Daripada orang-orang yang pecahkan agama mereka, dan menjadi golongan-golongan, tiap-tiap golongan berbangga dengan apa di sisi mereka.
Sebaliknya, Islam menyeru kepada penyatuan umat. Islam merupakan agama universal bagi seluruh manusia tanpa ada sempadan bangsa, jantina dan darjat. Berdasarkan pada sirah Rasulullah, faktor kesaksamaan ini juga menarik minat golongan awal menerima ajaran Muhammad 1400 tahun dahulu terutama terdiri daripada golongan hamba dan wanita. Dizaman jahiyyah, golongan ini didiskriminasi dan dinafikan hak mereka oleh masyarakat arab. Namun, cahaya Islam di bawa Muhammad berjaya letak keadilan bagi umatnya dan hapuskan segala fahaman yang membawa kepada perbezaan darjat manusia. Disamping, konsep penyatuan umat ini juga dipraktikkan oleh Muhammad apabila mula berhijrah ke Madinah dimana penduduknya terdiri daripada puak Aus dan Khasraj saling bermusuhan. Dengan seruan Baginda kepada mentauhidkan Allah, akhirnya penduduk Madinah juga dapat bersatu. Pada hari ini kita dapat saksikan Islam jadi pegangan oleh manusia sejagat.
Jika dikaji, ayat Al-Qur’an menyebut tentang seruan kepada penyatuan umat. Kalimat satu umat yang diterjemah daripada kalimat arab iaitu “ummatan wahidatan” diulang sebanyak 9 kali dalam Al-Qur’an. Antara ayat yang menyebut satu umat seperti:
21:92. Sesungguhnya umat kamu ini umat yang satu, dan Aku Pemelihara kamu; maka sembahlah Aku.
23:52. Sesungguhnya umat kamu ini umat yang satu, dan Aku Pemelihara kamu; maka takutilah Aku."
Apakah yang dapat menyatukan umat Islam hari ini?
Walaupun pelbagai pendekatan dicipta manusia bertujuan ke arah perpaduan umat, namun ia hanya sangkaan dan retorik semata-mata. Ini dapat dibuktikan apabila usaha yang mereka itu gagal direalisasikan. Malah, perpecahan umat Islam secara berterusan dilihat berlaku sehingga kini bahkan semakin buruk. Sebagai contoh, pertubuhan negara Islam, persidangan Liga Arab yang diwujudkan dalam mencapai perpaduan negara-negara Islam langsung tidak membawa kesan positif dalam menyatukan umat Islam. Sebaliknya, setiap negara yang duduk dalam OiC masing-masing mempunyai agenda politik yang membawa kepada keuntungan dunia semata. Tambahan, terdapat negara lebih berkiblatkan kuasa besar seperti Amerika dan sekutunya berbanding mengutamakan persaudaraan Islam. Disaat saudara mereka di Palestin yang bergelumang dengan darah dan air mata, dimanakah pula negara-negara Islam yang begitu bangga dengan kekayaan hasil bumi mereka. Jelas disini, terdapat jurang yang memisahkan olehsebab kebanyakannya mementing diri dan sombong.
Pada hemat saya, usaha menyatukan umat adalah mustahil dapat direalisasikan manusia apabila ianya bukan diatas keredhaan Allah. Mungkinkah manusia mampu untuk menyatukan umat Islam dengan jurang perbezaan yang begitu jauh ketika ini. Dan sebenarnya hanya Allah yang dapat menyatukan hati manusia seperti firman-Nya.
3:103. … dan ingatlah akan rahmat Allah ke atas kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Dia satukan hati-hati kamu, supaya dengan rahmat-Nya kamu jadi bersaudara. Kamu di pinggir lubang Api, dan Dia selamatkan kamu daripadanya. Begitulah Allah jelaskan kepada kamu ayat-ayat-Nya supaya kamu dapat petunjuk
8:63. Dan Dia satukan hati mereka. Sekiranya kamu nafkahkan kesemua yang di dalam bumi, tentu kamu tidak akan dapat menyatukan hati mereka; tetapi Allah menyatukan antara mereka; sesungguhnya Dia Perkasa, Bijaksana.
Ayat-ayat ini merujuk kepada hati orang-orang beriman yang disatukan hati oleh Allah. Dengan ini, ia menunjukkan bahawa hanya keimanan kepada Allah sahaja dapat membentuk penyatuan bagi manusia. Dalam erti kata lain, manusia dapat bersatu bila hanya Allah disanjung, tanpa disekutukan. Namun, kebanyakkan umat Islam seperti kita ketahui sudah jauh terpesong daripada hal ini. Begitu banyak berhala-berhala moden yang wujud samaada dari segi kebendaan atau fahaman yang sesatkan mereka daripada kebenaran dan secara langsung membentuk jurang perbezaan dalam umat Islam.
Justeru, usaha yang perlu dilakukan dalam menyatukan umat Islam dengan membawa mereka kembali kepada Al-Qur’an. Dengan ini, hanya Al-Qur’an akan jadi hakim untuk menjawab segala perselisihan yang wujud hari ini. Firman-Nya.
2:213. Manusia adalah umat yang satu, kemudian Allah bangkitkan Nabi-Nabi sebagai pemberi berita gembira dan pemberi amaran, dan Dia turunkan bersama mereka Kitab dengan yang benar untuk Dia hakimkan antara manusia mengenai apa yang mereka selisihkan.
39:3. …. - sesungguhnya Allah akan hakimkan antara mereka mengenai apa yang padanya mereka selisihkan. Sesungguhnya Allah tidak beri petunjuk kepada pendusta, yang berdegil dalam ketidakpercayaan.
Setelah umat bersatu hati, maka akan hancur jurang perbezaan dan lalu mencapai standard umat terbaik (khayra ummatin). Maka, golongan Allah ini akan beroleh kemenangan besar seperti yang telah dijanjikan dalam ayat-ayat-Nya.
10:63. Orang-orang yang percaya dan bertakwa,
10:64. Bagi mereka berita gembira dalam kehidupan dunia, dan di akhirat. Tidak ada pertukaran bagi kata-kata Allah; itulah kemenangan yang besar.
Itu pandangan saya bagi menyelesaikan masalah perpecahan umat hari ini. Agar kita dapat terus berusaha mengajak manusia menEsakan Allah.
Satu Umat, Allah Disanjung, Kemenangan Dicapai.
Salam.
Salamun
alaikum,
Terima kasih. Hanya al-Qur'an disebut, bukan al-Qur'an & Sunnah, untuk menyatukan umat. Justeru, bilangan umat Islam yang hati mereka sudah disatukan Allah adalah amat sedikit sekali. Namun, yang sedikit itu tidak berputus asa, sentiasa berusaha menyatukan umat, kerana Allah, seperti dilakukan sahabat kita di atas. Syabas!
Allah disanjung!
19 Februari 2010
Halaman Utama
Terkini Perpustakaan
Artikel Bacaan
E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
Senarai Penulis English
Articles
Tulis kepada Pengurus
Laman