Al-Qur'an dan Bahasa Arab

 

From: achedeen
Date: 2010/1/26
Subject: Al Qur'an dan Bahasa Arab
To: Pengurus Laman <
ebacaan114@gmail.com>
Cc:


Dengan Nama Allah Yang Pemurah, Yang Pengasih.

"Wahai Pemeliharaku, aku berlindung pada Engkau daripada cadangan-cadangan jahat syaitan-syaitan, Dan aku berlindung pada Engkau, wahai Pemeliharaku, daripada mereka hadir padaku."


Salamun alaikum.

Ke hadapan sahabatku yang dikasihi, semoga sahabat sentiasa berada dalam keadaan sihat wal afiat dan sentiasa dalam rahmat Allah.

Baru-baru ini saya ada membaca artikel (dalam Blog Doktrinisasi yang ditulis oleh Jebon) yang pada hemat saya mereka juga berfahaman Al Qur'an.

Maaf, Saya menulisnya di sini kerana saya tidak berminat untuk menyertai mana-mana forum atau perbincangan dalam mana-mana laman web atau blog dibimbangi menimbul perdebatan atau mungkin nanti saya tak punya masa untuk meneruskan perbincangan tersebut. Buat masa ini saya hanya berminat untuk menulis dalam e-bacaan sahaja kerana saya ingin beri sokongan kepada sahabat pengendali e-bacaan dan juga kerana hampir semua pendapat sahabat dapat saya terima.

Oleh sebab itu saya minta maaf kerana saya menyunting sedikit artikel dari doktrinisasi itu untuk dijadikan bahan tulisan saya.

Antara isinya;

`Islam bukan agama khusus hanya untuk orang Arab sahaja, walaupun al-Quran berbahasa Arab, tetapi tafsirannya tidak semestinya menurut konteks orang Arab. Al-Quran memang diturunkan dalam bahasa Arab, itu penulis tidak nafikan dan menganggapnya sebagai ketentuan Tuhan, dimana al-Quran diturunkan kepada Nabi yang berbangsa Arab adalah kehendak Tuhan, sebab kenapa al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab hanya Tuhan lebih mengetahui. Tetapi agama orang Arab adalah tafsiran al-Quran dari orang Arab, bukan dari tafsiran al-Quran orang Melayu atau konteks tanah Melayu. Wallahu'Alam.

Pandangannya tidaklah saya tolak tetapi saya ingin beri sedikit pandangan berkenaan kenapa Al Qur'an itu dalam bahasa arab.

Menurut pembacaan dan pemerhatian saya,

Salah satu budaya arab sejak ribuan tahun dahulu adalah bersyair dan berpidato, malahan dalam buku sejarah ada menyebut mereka sentiasa menganjurkan pertandingan syarahan, berpidato dan bersyair sepanjang tahun. Maka dengan itu mereka sentiasa menggunakan gaya bahasa dan sastera yang bermutu tinggi. Aktiviti ini menyebabkan mereka sentiasa memajukan istilah, gaya, mutu dan sastera bahasa mereka. Dengan itu perkembangan bahasanya jadi begitu pesat dan akhirnya mencapai tahap yang boleh dikatakan sempurna kerana tidak lagi atau kurang perlu kepada penambahan istilah-istilah baru.

Aktiviti bersyarah, berpidato dan bersyair itu menyebabkan jadikan mereka mahir dalam berbahasa dengan bahasa dan sastera yang tinggi. Amalan ini akhirnya jadi kebiasaan bagi mereka untuk berbahasa dengan bahasa yang sempurna dalam perbualan harian. Ini bermakna bahasa arab telah mencapai mutu bahasa yang tinggi sejak 1400 tahun dahulu atau mungkin lebih awal dari itu lagi.

Maka apabila Al Qur'an diturunkan dalam bahasa arab pada 1400 tahun dahulu, bahasa arab telah mencapai tahap perkembangan bahasa yang optima dari segi istilah, mutu, gaya dan sastera bahasa. Ini bermakna ia tidak lagi mengalami apa-apa perkembangan yang besar dari segi istilah dan sasteranya. Dengan itu mereka yang membaca Al Qur'an pada 1400 dahulu tetap sama kefahamannya dengan kita yang membaca sekarang.

Ini kerana tidak ada lagi perbezaan istilah dan maksud di antara 1400 tahun dahulu dengan yang ada sekarang. Malahan bahasa Arab pula yang diguna pakai oleh bahasa-bahasa lain di dunia bagi memperkayakan istilah dalam bahasa-bahasa tersebut. 

Berbeza dengan kebanyakan bahasa di dunia ini yang sentiasa mengalami perkembangan dari segi istilah, gaya dan mutu bahasa. Contohnya bahasa melayu, yang sentiasa mengalami perkembangan seperti dari segi tulisan, istilah dan gaya bahasa. Lihat sahaja bahasa sastera Melayu yang sukar difahami oleh kebanyakan orang Melayu pada zaman ini.

Bolehlah diberikan contoh, jika Hang Tuah hidup semula pada zaman ini dan berbahasa Melayu seperti zaman Melaka dahulu pasti amat sukar kita memahami apa yang dibicarakannya, begitu juga dia amat sukar memahami apa yang kita tuturkan sekarang ini, itupun hanya perbezaan sekitar 500 tahun sahaja.

Ini tidak berlaku kepada bahasa Arab, kerana apa yang dituturkan 1400 tahun dahulu masih sama pertuturannya dan masih sama maksudnya dengan apa yang difahami sekarang. Maka amat jelaslah firman Allah:

6:115. Telah sempurna kata-kata Pemelihara kamu dalam kebenaran dan keadilan; tiada yang boleh tukar kata-kata-Nya; Dia Yang Mendengar, Yang Mengetahui.

15:9. Kamilah yang turunkan Peringatan, dan Kamilah yang menjaganya.

Mungkin itulah antara sebabnya kenapa tiada lagi Kitab Taurat, Zabur dan Injil yang tulen, kerana jika adapun sekarang ini, kemungkinan besar generasi kini tidak dapat memahaminya apabila membacanya kerana ia ditulis dalam gaya bahasa, istilah dan sastera dalam bahasa Ibrani ribuan tahun dahulu. Malahan tiada bangsa lagi yang menggunakan bahasa Ibrani maka dengan itu bahasa Ibrani tidak lagi difahami pada masa ini oleh kebanyakan orang.

Dari kefahaman saya, Allah sendiri tidak beri sebarang jaminan untuk memelihara Taurat, Zabur dan Injil itu. Oleh yang demikian bahasa itu sudah tidak dipertuturkan orang lagi pada masa kini, ibarat bahasa sanskrit yang sudah dilupai oleh orang zaman ini.

Dari pembacaan saya, Taurat atau Torah dan Injil atau bible yang ada pada zaman ini semuanya adalah alih bahasa atau tafsiran yang pindahkan dari bahasa Ibrani ke bahasa hebrew dan lain-lain bahasa, maka kita tidak dapat lagi buat rujukan terhadap teks asal Taurat dan Injil itu. Jika adapun mampukah kita memahaminya?, sedangkan bahasanya sudah tidak digunakan lagi. Ini bermakna kita tidak dapat memastikan samada terjemahan atau tafsiran yang ada sekarang ini benar-benar menurut mahu-Nya Allah atau hanya memakai faham si pentafsirnya sahaja, malahan besar kemungkinan boleh termuat tambahan-tambahan dari si pentafsirnya.

Itu antara pandangan saya berkenaan kenapa Al Qur'an dalam bahasa arab supaya kesucian dan ketulenannya tetap terpelihara seperti firman Allah pada ayat 6:115 dan 15:9.

Allah di sanjung.

Salam.

Che Deen.
 

Salamun alaikum,

Terima kasih atas sumbangan sahabat yang meluruskan suatu pendapat tidak tepat tentang Allah dan bahasa Kitab-Nya. Dan izinkan kami menyampuk pula, tetapi dari sudut lain.

Pandangan sahabat harus diterima kerana dikukuhkan dengan ayat-ayat al-Qur'an; tidak seperti kenyataan dia berbunyi "sebab kenapa al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab hanya Tuhan lebih mengetahui" yang pada hemat kami telah didatangkan dengan tanpa sedari bahawa terdapat ayat-ayat Allah yang menjelaskan kepada kita mengapa al-Qur'an diturunkan dalam bahasa berkenaan. Kenyataan tersebut seolah mengatakan kita tidak tahu langsung mengenainya, selain mengetahui bahawa Nabi seorang Arab.

Antara ayat yang dimaksudkan berbunyi, "Dengan lidah (bahasa) Arab yang jelas" (26:195). Contoh kejelasan ialah pada perkataan kamu yang dijelaskan dengan akhiran ka, ki, kum lalu dapat difahamkan sama ada kamu itu lelaki, atau perempuan, atau kamu yang ramai. Kejelasan pada maksud adalah amat penting dalam sesuatu perkara, misalan mengenai kehukuman (al-Qur'an adalah juga sebuah buku yang menetapkan tentang kehukuman dalam agama Allah). Oleh sebab itu al-Qur'an diturunkan dalam bahasa Arab. Firman-Nya,

"Begitulah Kami turunkan (al-Qur'an) sebagai satu kehukuman dalam bahasa Arab." (13:37)

Di samping sebab itu, didapati tiap-tiap perkataan al-Qur'an boleh didapati tercatat di dalam kamus dwibahasa kini, seperti Arab-Inggeris (link kepada sebuah daripadanya tercatat di ruangan Terkini), lalu usaha menterjemahkan al-Qur'an kepada pelbagai bahasa jadi lebih mudah. Lantas semua bangsa manusia melalui bahasa masing-masing boleh atau dapat memahami mesej Allah dengan tepat, selaras dengan ketentuan-Nya berbunyi,

"Sesungguhnya, Kami membuatnya sebuah Qur'an bahasa Arab supaya kamu faham." (43:3)

Oleh demikian, daripada ayat-ayat al-Qur'an sendiri, dapat diketahui mengapa Allah turunkan Kitab-Nya dalam bahasa Arab, iaitu supaya semua manusia dapat memahami kandungannya serta hukum-hukum yang telah ditetapkan, dengan jelas dan tepat.

Sekian, pendapat kami.

Allah Yang Mengetahui, Yang Bijaksana disanjung lagi!

Salam.


27 Januari 2009

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman