Ibadat atau Ritual dan Aktualnya

 

From: achedeen
Date: 2010/1/9
Subject: Perbezaan pendapat
To: Pengurus Laman <ebacaan114@gmail.com>
Cc: <dipadam>


Dengan Nama Allah Yang Pemurah, Yang Pengasih.

"Wahai Pemeliharaku, aku berlindung pada Engkau daripada cadangan-cadangan jahat syaitan-syaitan, Dan aku berlindung pada Engkau, wahai Pemeliharaku, daripada mereka hadir padaku."


Salamun alaikum.

Ke hadapan sahabat yang dikasihi, semoga sentiasa berada dalam keadaan sihat wal afiat dan sentiasa dirahmati Allah.

Sudah agak lama saya tidak menyumbangkan sebarang tulisan kepada e-bacaan kerana pelbagai kesibukan dalam urusan keluarga dan kerja, juga kadang-kadang tak ada idea. Walaubagaimanapun sesekali apabila ada masa yang terluang saya pasti akan melayari e-bacaan dan membaca artikel-artikelnya.

Sahabatku yang dikasihi,

Sejak saya jumpa laman e-bacaan ini, saya juga ada melayari laman-laman web atau blog yang membicarakan faham Al Qur'an. Namun saya dapati di kalangan mereka yang membawa atau memakai fahaman Al Qur'an ini juga terdapat pelbagai perbezaan pendapat seperti e-mail bacaanquran yang sahabat siarkan itu.

Pada pandangan saya perbezaan pendapat ini mungkin terjadi disebabkan dua perkara iaitu;

  1. Terjemahan yang digunakan adalah berbeza,   dan
  2. Perbezaan tafsiran terhadap maksud sesuatu perkataan atau ayat,

Mengenai perkara 1.

Oleh kerana kita ini berbangsa melayu, maka dalam memahami Al Qur'an, kita terpaksa membaca terjemahan Al Qur'an dalam bahasa Melayu atau bahasa Indonesia, masalahnya sekarang di pasaran terdapat pelbagai jenis terjemahan Al Qur'an yang berbeza antara satu sama lain maksud terjemahannya sehingga kadang-kadang membawa maksud yang jauh berbeza antara satu sama lain. Maka dengan itu ayat yang difahami jadi berbeza antara pembaca-pembacanya.

Mengenai perkara 2.

Walaupun memakai terjemahan yang sama, perbezaan tetap juga boleh berlaku apabila sesuatu perkataan atau ayat itu difahami atau ditafsirkan dalam konteks yang berbeza, maka ini akan mewujudkan perbezaan pendapat yang tidak mudah diselesaikan.

Oleh yang demikian untuk mengurangkan atau mengelakkan perselisihan sesama mereka yang membawa dan memakai faham Al Qur'an, saya berpendapat kita perlu letak satu penanda aras iaitu satu penanda aras kebenaran.

Penanda Aras Kebenaran ini sudah semestinyalah Al Qur'an, walaubagaimanapun dalam tulisan ini saya bermaksud;

  1. Menggunakan satu terjemahan Al Qur'an Bahasa Melayu yang diyakini 100% menepati maksud dari  Al Qur'an berbahasa Arab (Alhamdulillah, BACAAN mempunyai ciri-ciri tersebut)
  2. Mengekalkan beberapa istilah Arab yang terdapat dalam Al Qur'an tanpa diterjemahkan dalam Bahasa Melayu yang mana jika istilah tersebut diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu boleh menimbulkan perdebatan atau perbezaan pendapat, maka bagi istilah tersebut bolehlah dimasukkan  tafsirannya sebagai nota kaki atau berbentuk kurungan, contohnya perkataan Solat, Al Hikmah, Takwa, Shabiin, Ulil Amri dan mungkin ada yang lain lagi..
  3. Mewujudkan suatu perkumpulan yang sering berjumpa untuk membincangkan pelbagai perkara berkaitan dengan fahaman Al Qur'an termasuk membincangkan perkara-perkara yang diselisihkan. Maka dalam perbincangan tersebut segala perkara yang diselisihkan, dijernihkan dan diambil keputusan terbaik secara bersama dengan lafaz "Kami dengar, kami taat".

Berkenaan dengan ibadah solat yang diselisihkan samada ada ritualnya atau tidak, saya bersetuju dengan sahabat bahawa solat ada ritualnya, dan saya ada pandangan yang boleh dikongsikan bersama sahabat-sahabat pembaca e-bacaan.

Berdasar ayat ;

36:36. Dia disanjung, yang mencipta semua pasangan daripada apa yang bumi tumbuhkan, dan daripada diri-diri mereka sendiri, dan daripada apa yang mereka tidak tahu. 

43:12. Dan yang mencipta pasangan-pasangan, kesemuanya, dan buatkan untuk kamu, kapal dan binatang ternak, seperti yang kamu tunggang,

51:49. Dan daripada segala sesuatu Kami cipta dua jenis; supaya kamu mengingati.

Berdasarkan ayat-ayat di atas apa yang dapat saya fahami (semoga fahaman saya ini adalah dari Allah) bahawa segala sesuatu yang Allah ciptakan semuanya berpasang-pasangan seperti malam - siang, panjang - pendek, putih - hitam, kanan - kiri dan sebagainya. Maka sudah pasti dalam ibadah yang juga diciptakan oleh Allah untuk umat manusia ada pasangannya iaitu ibadah ritual - ibadah aktual (ibadah khusus - ibadah umum).

Dengan itu bolehlah difahami bahawa ibadah ritual itu berbentuk khusus iaitu khusus pada masa-masa tertentunya dan ada tata cara perlaksanaannya, manakala ibadah aktual pula berbentuk umum iaitu sebagai pelajaran sebenar dari ibadah khusus tadi tanpa masa dan tata cara tertentu.

Maka di sini saya nampakkan pelajaran yang boleh diambil dari pasangan solat ritual dan aktual itu;

Solat secara ritual

Solat secara aktual (Pelajaran yang diambil dari solat ritual)

20:14. Sesungguhnya Akulah Allah; tidak ada tuhan melainkan Aku; maka sembahlah Aku, dan lakukan solat untuk mengingati Aku.

4:103. Apabila kamu sudah laksanakan solat, ingatlah akan Allah, berdiri, dan duduk, dan di atas lambungan kamu. Kemudian, apabila kamu tenteram, lakukan solat; sesungguhnya waktu solat adalah dikitabkan (ditentukan) bagi orang-orang mukmin.

 

Untuk mengingati Allah secara khusus, berdisiplin dan teratur. Ini kerana dalam kesibukan hidup banyak benda lain yang kita ingati. Ada tata tertibnya/ pergerakannya,

ada waktunya; Fajar, Wustho dan Isya'

 

29:45. Bacalah apa yang diwahyukan kepada kamu daripada al-Kitab, dan lakukan solat; solat melarang kesumbangan dan mungkar. Mengingat Allah adalah lebih besar; dan Allah tahu apa yang kamu kerjakan.

 

Pelajarannya dari Solat ritual adalah:

Berdakwah; amar ma'ruf nahi mungkar, bila-bila masapun boleh dan pelbagai kaedah yang tidak khusus mengikut kesesuaian keadaan. Untuk mengingati Allah secara tidak khusus, seperti belajar, membaca, berfikir dan sebagainya bila-bila masa pun boleh tanpa sebarang tatacara khusus.

5:6. Wahai orang-orang yang percaya, apabila kamu berdiri untuk solat, basuhlah muka kamu dan tangan kamu hingga siku, dan sapulah kepala kamu dan kaki kamu hingga pergelangan kaki. Jika kamu dalam junub, bersihkan diri kamu; tetapi jika kamu sakit, atau dalam perjalanan, atau jika salah seorang antara kamu datang dari tandas, atau kamu sentuh perempuan, dan kamu dapati tiada air, maka tayamumlah (minta pertolongan) dengan debu tanah yang baik, dan sapulah muka kamu dan tangan kamu dengannya. Allah tidak hendak buat sebarang kesulitan bagi kamu, tetapi Dia hendak bersihkan kamu, dan supaya Dia sempurnakan rahmat-Nya ke atas kamu, supaya kamu berterima kasih.

 

Ada wudu'nya atau tayammumnya

68:4. Sesungguhnya kamu adalah di atas budi pekerti yang besar.

 

Pelajarannya dari Wudu' bagi Solat ritual adalah:

untuk menjadi pendakwah dalam menegakkan agama Allah mestilah sentiasa menjaga imej, kebersihan diri, akhlak dan sebagainya.

Itu sebahagian dari bukti-bukti yang menunjukkan bahawa adanya ibadah ritual dalam ajaran agama Allah ini, malahan jika kita selidiki ibadah yang lain juga ada pasangannya seperti zakat, puasa dan haji.

Ritual (khusus)

Aktual (umum sepanjang masa boleh dilakukan)

Zakat, Infaq , Nafkah

beri pertolongan samada dengan harta dan diri, Jihad harta dan diri, juga bersedekah.

Puasa di bulan ramadhan

Menahan diri dan mengawal hawa nafsu, menjauhi dosa-dosa besar dan sebagainya

Haji di Mekah pada masa-masa tertentu

Kewajipan umat Islam perlu bersatu, perlu berkorban untuk menegakkan agama Allah, di sisi Allah umat manusia sama sahaja melainkan mereka yang beriman dan bertakwa

Oleh yang demikian saya menasihati sahabat-sahabat ber Al Qur'an, laksanakanlah ibadah ritual tersebut, mohonlah kepada Allah agar Dia ajar kita bagaimana untuk laksanakannya seperti doa Nabi Ibrahim.

2:128. Wahai Pemelihara kami, buatlah kami muslim (tunduk patuh) kepada Engkau, dan daripada keturunan kami, umat yang muslim kepada Engkau; dan perlihatkan kepada kami peribadatan kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Menerima Taubat, Yang Pengasih.

Ibadah ritual dan aktual ini ibarat kaki kanan dan kaki kiri, jika bergerak hanya dengan satu kaki maka pincanglah pergerakannya, maka jika kita laksanakan hanya satu sahaja ibadah tersebut dengan tinggalkan satu lagi maka pincanglah agama kita, tidak sempurnalah  iman dan takwa kita kepada Allah.

Sekian untuk kali ini, jika tulisan ini benar ia adalah dengan izin Allah, jika salah ia adalah atas kelemahan saya sendiri.

Salam.

Che Deen


Salamun alaikum,

Terima kasih Che Deen, dan selamat bertemu lagi. Pendapat sahabat kini disebar dan kami harap akan dapat komen daripada para pembaca. Bagi kami pula, tiada komen yang mahu diberi kecuali satu.

Perkataan ritual telah lama diguna untuk mengkategorikan amalan solat, dan sebagainya, oleh orang-orang al-Qur'an, terutama mereka yang mengatakan ritual umpama solat tidak disebut di dalam al-Qur'an. Dengan perkataan lain, mereka bermaksud iaitu di dalam Islam tidak ada solat, atau ritual lain, seperti yang kini dilakukan. Satu daripada tujuan mereka menggunakan perkataan tersebut, pada pandangan kami, adalah untuk "membusukkan" amalan solat supaya ia dapat ditinggalkan.

Malahan, kami tidak begitu gemari atau bersetuju dengan perkataan tersebut diguna untuk tujuan dinyatakan tadi. Kamus Dewan beri makna perkataan ritual kepada:

yg berkaitan dgn atau yang memperlihatan ciri-ciri atau tatacara dalam upacara keagamaan dsb.

Ritual diceduk daripada bahasa Inggeris dengan ejaan yang sama. Menurut Kamus Oxford ia bermaksud:

1 a prescribed order of a ceremony etc. b solemn or colourful pegeantry etc. 
2
procedure regularly followed, -adj. of or done as a ritual or rite (ritual murder)

Dan, sila layari laman web http://www.answers.com/topic/ritual untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkataan yang dibicarakan itu.

Justeru kami bertanya, adakah solat suatu upacara atau ceremony atau pegeantry? Bagi kami, tidak. Satu contoh upacara keagamaan atau ceremony yang dilakukan oleh orang Islam, pada pendapat kami, ialah upacara pengebumian mayat yang mengandungi bacaan talkin, tahlil, dan sebelum itu mayat dimandi, dikapan dan kemudian disembahyangkan.

Kami rasa lebih baik menggunakan perkataan ibadat atau ibadah untuk mengkategorikan amalan seperti solat. Ia lebih tepat. Sila lihat makna yang diberi oleh Kamus Dewan baginya:

bakti (khidmat) kpd Tuhan, perbuatan dan amalan yang dilakukan sbg bakti kpd atau kerana Tuhan
(spt sembahyang, berdoa, bersedekah, buat baik sesama manusia dll)

Perkataan ibadat atau terbitannya juga terdapat di dalam Bacaan. Satu contoh telah diturunkan oleh sahabat Che Deen di atas iaitu pada ayat 2:128.

Tulisan kali ini bukan bertujuan untuk menegur tulisan sahabat kami di sini secara khusus tetapi ia merupakan suatu perkara ang sudah lama kami ingin memperkatakan.

Terima kasih.

Salam.

12 Januari 2010

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman