Sembilan Ayat Nabi Musa

 

From: Ashraf Sani
Date: 2009/12/11
Subject: 9 ayat Nabi Musa
To:
ebacaan114@gmail.com


Salamun 'alaikum

Apa khabar saudara dan pembaca-pembaca yang dirahmati Allah? Semoga sentiasa berada di bawah rahmat Allah sentiasa.

 

Di kesempatan ini, saya ingin bertanyakan pendapat kepada saudara berkenaan satu ayat berikut:

 

17:101. Dan Kami beri Musa sembilan ayat, bukti-bukti yang jelas. Tanyalah Bani Israil apabila dia datang kepada mereka, dan Firaun berkata kepadanya, "Wahai Musa, aku sangka kamu orang yang kena sihir."

 

Jadi, soalan saya, apakah sembilan ayat yang telah diberikan kepada Musa itu? Diharap saudara boleh berkongsi pandangan mengenai tajuk ini.

 

Terima kasih.


Salamun alaikum,

Terima kasih kerana sudi menulis lagi, dan maaf atas kelewatan menjawab soalan yang dianggap baik.

Ayat, atau mukjizat, Nabi Musa yang pertama dan kedua telah ditentukan semasa baginda dipanggil Allah setelah melihat api pada suatu malam sedang dalam perjalanan dengan keluarga. Ayat-ayat berkenaan semata untuk ditunjukkan kepada Firaun. Begini ceritanya daripada al-Qur'an:

"Apabila dia (Musa) melihat api, dan berkata kepada keluarganya, "Tetaplah kamu di sini; aku lihat api. Mudah-mudahan aku datangkan kepada kamu sepotong kayu yang bernyala, atau aku dapati di api, petunjuk."

 

Apabila dia datang kepadanya, dia dipanggil, "Wahai Musa, Sesungguhnya Akulah Pemelihara kamu; tanggalkan kasut kamu; kamu adalah di lembah suci, Thuwa. Aku Sendiri telah memilih kamu; maka dengarlah apa yang diwahyukan. Sesungguhnya Akulah Allah; tidak ada tuhan melainkan Aku; maka sembahlah Aku, dan lakukan solat untuk mengingati Aku......... 

Apakah itu yang di tangan kanan kamu, wahai Musa?"

 

Berkata, "Ia tongkatku; aku bersandar padanya, dan dengannya aku memukul pokok untuk daun-daun kambingku, dan keperluan lain juga aku dapati padanya."

 

Berkatalah Dia, "Lemparlah ia, wahai Musa!" Maka dia melemparnya, dan tiba-tiba ia jadi ular yang merayap.

 

Berkata, "Ambillah ia, dan janganlah takut; Kami akan kembalikan kepada keadaannya yang pertama. Dan kepitkan tangan kamu pada sayap (ketiak) kamu; ia akan keluar putih, tanpa keburukan. Itu adalah ayat yang kedua, Untuk Kami lihatkan kepada kamu sebahagian daripada ayat-ayat Kami yang terbesar. Pergilah kepada Firaun; sesungguhnya dia melampaui batas." (20:10-24)

Namun demikian, Firaun masih tidak percaya kepada Musa dan apa yang diutus dengannya. Atas ketidakpercayaan itu -

"Maka Kami utus kepada mereka banjir, dan belalang juta, dan kutu, dan katak, dan darah - ayat-ayat yang jelas; tetapi mereka sombong, dan mereka adalah kaum yang berdosa." (7:133)

Ayat kelapan berlaku setelah lima ayat di atas diturunkan, dan Firaun dalam kemarahannya mengumpul tentera untuk mengejar Nabi Musa dan Bani Israil yang tinggalkan kota pada waktu malam,

"Kemudian mereka ikut mereka pada waktu matahari terbit. Dan apabila kedua-dua kumpulan berlihat-lihatan, teman-teman Musa berkata, "Kitalah orang-orang yang tersusul."

 

Berkata, "Tidak sekali-kali! Sesungguhnya Pemeliharaku bersamaku; Dia akan beri petunjuk kepadaku."

 

Kemudian Kami wahyukan Musa, "Pukullah laut dengan tongkat kamu"; dan ia terbelah, dan tiap-tiap bahagian seperti gunung tinggi yang besar.

 

Dan di sana Kami dekatkan yang lain, Dan Kami selamatkan Musa dan orang-orang yang bersama dia, kesemuanya. Kemudian Kami tenggelamkan yang lain.

 

Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah satu ayat; namun begitu, kebanyakan mereka bukanlah orang-orang mukmin." (26:60-67)

Dan yang akhir, iaitu kesembilan, ketika setelah selamat menyeberangi laut dan berjalan untuk mencari tempat tinggal yang sesuai lalu mereka bertemu dengan kesukaran kekurangan air. Dan Musa pun memohonlah seperti disebut ayat di bawah,

"Dan apabila Musa memohon air untuk kaumnya, Kami berkata, 'Pukullah batu dengan tongkat kamu'; lalu memancarlah daripadanya dua belas mata air; semua orang tahu tempat minum mereka. 'Makan dan minumlah daripada rezeki Allah, dan janganlah kamu buat celaka di bumi dengan buat kerosakan.'" (2:60)

Demikianlah pendapat kami atas pertanyaan mengenai sembilan ayat Nabi Musa. Betulkan ia jika didapati tersilap atau kami terlupa. Terima kasih.

 

Salam.

 


4 Januari 2009

 

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman