Pengalaman Hidup Seorang Muslimah IV

 

From: Sari Nande
Date: 2009/12/27
Subject: Pengalaman Muslimah IV
To: Pengurus Laman <ebacaan114@gmail.com>


Salamun ‘alaikum,

Semoga Pengurus Laman dan sahabat2 yang disayangi sekelian sentiasa dirahmati al-Wadûd. Selamat bertemu kembali. Kali terakhir saya melayar saya tergelak sakan membaca e-mail dari sito***ng yang mengaku PL e-bacaan. Betapa dia mengunderate kita sebagai desperado. Percayalah, mereka yang ikut laman ini adalah daripada yang dibukakan mindanya.

 

Lebih setahun saya tidak melayari alam siber gara-gara angkara ‘tsunami’ yang melanda. Setelah berjaya mengatasi ujian saya masih berdiri tegak. Dan saya akan terus menegakkan kebenaran, menyebarkan yang logik. Kebenaran dan logiklah buat manusia itu kuat dan berani. Kejumutan akan menyempitkan minda dan jadikan seseorang manusia itu lemah dan penakut. Apabila dua golongan ini bertembung, positif dan negatif, terjadilah percikan-percikan yang lama-kelamaan akan membara dan membakar. Namun yang kuat Insya-Allah akan terselamat. Berikut adalah pandangan saya sejak setahun lebih menetap di kampung. Dengan harapan yang membaca akan berfikir.

 

7:184. Tidakkah mereka berfikir? Tiadalah kegilaan pada teman mereka; dia tidak lain hanya seorang pemberi amaran yang jelas.

Pengalaman Muslimah IV

 

 

Ramadan

 

Ramadan datang dan pergi. Setakat yang saya teringat hingga kini, setelah lebih setengah kurun, amalan penduduk di kampung saya masih tidak berubah. Amalan turun-temurun dari datuk nenek moyang kini telah diserap sebagai upacara keagamaan. Biasanya sebelum kedatangan Ramadan masing-masing akan berebut-rebut buat kenduri ‘sesuap nasi’. Iaitu kenduri tahlil sebagai menyambut bulan yang mulia itu.

 

Pada hari-hari biasa qariah surau akan pergi dari rumah ke rumah selepas Isyak untuk bertahlil dan makan. Pada hujung minggu jemputan untuk upacara makan ini bermula dari jam sebelas pagi. Ini diikuti rumah berikutnya untuk makan tengah hari. Selepas Asar(?) ada lagi jemputan, dan seterusnya selepas Maghrib(?) dan Isyak. Semakin dekat Ramadan semakin rancak pesta makan-makan ini.

 

6:122. … seperti orang yang persamaannya berada di dalam kegelapan, dan tidak dapat keluar darinya? Maka dinampakkan indah bagi orang-orang tidak percaya (kafir) apa mereka buat.

 

8:48. Dan apabila syaitan nampakkan amalan-amalan mereka indah bagi mereka, dan berkata, "Pada hari ini, tiada manusia akan menang terhadap kamu kerana aku jiran kamu." Tetapi apabila kedua-dua pasukan berlihat-lihatan, ia berundur di atas tumit-tumitnya, dengan berkata, "Aku berlepas diri daripada kamu, kerana aku lihat apa yang kamu tidak lihat. Aku takut kepada Allah; dan Allah keras dalam balasan-Nya."

 

Untuk lebih afdal jemputan haruslah sekurang-kurangnya empat puluh orang. Doa daripada empat puluh orang itu mustajab(?). Oleh kerana sekarang para bapa sudah berkurangan yang terlarat, maka para ibu pula dijemput sama. Sebelum balik ada tapau pula lagi. Malangnya(?) rumah saya sudah lama tak adakan kenduri ‘sesuap nasi’ ini. Kata sesetengah orang, “Asyik makan nasi orang saja, biarlah orang pula makan nasi kita.” Bagi saya yang dikenali dengan ringan tulang ini saya bersedekah dengan apa yang diusahakan. Bukan saja-saja untuk makan, dan tuan rumah pula bersedekah balik.

 

Ramadan yang lepas jiran saya meluahkan rasa bimbangnya jika tidak ramai jemputan yang ‘sudi lagi lakukan sunat fardu kifayah’ itu. Saya bertanya berapakah anggaran dia ingin bersedekah. Berikan saja ke rumah anak-anak yatim atau fakir miskin di kampung ini. Tiada pembaziran. Terlopong mulutnya. Esoknya saya dijemput makan di rumahnya. Tetamu yang datang cuma suku - dua belas orang shj. Makanan yang berlebih dibungkus untuk dibawa pulang.

 

Ramadan disambut sehari sebelum puasa bermula kerana pada malamnya telah diadakan sembahyang tarawikh. Penuh sesak surau hingga ke pintu. Atas sebab setahun sekali itulah surau semakin dibesarkan. Tapi itu hanyalah pada minggu pertama. Masuk minggu-minggu seterusnya tidak sampai dua baris. Pada malam-malam likur, selepas hari kedua puluh, mereka kembali ramai. untuk mendapatkan malam lailatul-qadar. Sembahyang tarawikh dibawa oleh imam import. Bacaannya ayat-ayat yang panjang berjela yang tidak difahami. Apa yang pasti tidak ketinggalan ayat-ayat yang menyebut:

 

20:14. Sesungguhnya Akulah Allah; tidak ada tuhan melainkan Aku; maka sembahlah Aku, dan lakukan solat untuk mengingati Aku.

 

Dan yang seumpama dengannya.

 

Setiap kali selepas bacaan surah al-Fatihah, Ezra disanjung dengan mereka melaungkan “Aamiin!”

 

"Lalu Ezra memuji Tuhan, Allah yang maha besar, dan semua orang menyambut dengan, "Amin, Amin!" (Nehemia 8:7).

 

Namun ayat-ayat berikut tidak pula mereka mengikut, justeru suara imam begitu lantang dan bacaannya pantas, makmum pula senyap, tidak berketik.

 

17:110. Katakanlah, "Serulah Allah, atau serulah Yang Pemurah; apa sahaja yang kamu seru, bagi-Nya nama-nama paling baik." Dan jangan kamu lantangkan dalam solat kamu, dan jangan juga mendiamkannya, tetapi carilah kamu satu jalan di antara yang demikian itu.

 

4:43. Wahai orang-orang yang percaya, janganlah mendekati solat apabila kamu sedang mabuk sehingga kamu tahu apa yang kamu ucapkan,…

 

Setiap tahun inilah yang berulang kali terjadi. Jemaah terbahagi kepada dua kumpulan. Satu kumpulan akan selesai pada rakaat kelapan, sementara yang lain menghabiskan hingga 23 rakaat. Apabila kumpulan yang pertama berundur terdapat ruang-ruang kosong di antara barisan. Masing-masing menegakkan pendapat bahawa barisan yang mereka beradalah, sama ada kanan atau kiril, yang mesti dipenuhi. Aku beri pendapat bahawa semua jemaah harus berada di tengah, kerana kedudukan pintu yang berada di tengah belakang. Sesiapa yang masuk kemudian boleh ke kiri atau ke kanan. Tapi ustaz masing-masing ajar lain.

 

 

Sujud

 

Satu lagi yang saya musykil ialah solat di atas kerusi. Mereka ini tidak bersujud selazimnya. Bagi saya, (harap betulkan jika saya tersilap, dan saya mohon juga pendapat para sahabat) bersujud dengan letak muka (dan hati) serendah-rendahnya di atas tanah itu ialah salah satu amalan penyerahan diri yang mulak kepada Yang Esa. Jika mampu sujud dilantai ia adalah lebih baik, kerana duduk tegak itu boleh dikira berdiri dan tunduk sebagai isyarat rukuk. Tetapi mereka ini lebih suka duduk di atas kerusi dan buat isyarat sujud dengan tunduk lebih rendah daripada rukuk. Itu cara yang dibolehkan oleh ulama’ mereka.

Golongan ulama’ ini juga yang hakimkan solat itu sama ada kurang pahala, ditolak atau batal. Contoh: pergerakan yang lebih daripada dua kali berturut-turut seperti yang lazim dilakukan ketika beri salam = empat pergerakan => solatnya batal. Aku menyampuk, bukankah salam ke kiri itu sunat? Sunat pun ia masih sebahagian daripada solat yang lengkap, jawabnya. Menangkap renungan mata saya yang sangkal absurdity atau ludicrousness hujahnya, dia berpatah, “Maksud saya kuranglah pahalanya...” Omg! Mereka juga dakwa sujud tanpa melentikkan jari-jari kaki ke dalam, solatnya batal. Dan banyak lagi.

Semasa saya di India, saya melihat, orang Islam di sana solat dengan melunjurkan kaki kanan ke belakang ketika sujud. Kedua-dua belah tangan terletak di atas lantai hingga ke siku. Oleh kerana tidak memakai telekung rambut-rambut mereka terjurai keluar dari sari yang juga dibuat penudung kepala. Tidak terlintas pula di hati saya untuk mempertikaikan cara solat mereka yang konon berlainan mazhab(?). Tapi menimbulkan satu persoalan. Jika cara solat yang dilakukan sekarang didakwa mengikut sunnah nabi, siapakah yang mengikut sunnah yang sahih.

4:82. Apa, tidakkah mereka renungkan al-Qur'an? Jika ia daripada selain Allah, tentu mereka dapati di dalamnya banyak perselisihan.

 

Mentaati Bible

[Kej 17:14] Dan orang yang tidak disunat, yakni lelaki yang tidak dikerat kulit khatannya, maka orang itu harus dilenyapkan dari antara orang2 sebangsanya: ia telah mengingkari perjanjian-Ku.

[Kej 17:24] Abraham berumur 99 tahun ketika dikerat kulit khatannya.

Di majlis berkhatan cucu saudara saya, semua orang menadah tangan dan mentaati ajaran Ezra menyebut, "Amin, Amin!" ketika imam membaca doa. Melihat anaknya serba salah kerana sedang makan my niece commented, “Like granny like grandniece,” kerana aku masih terus menyuap.

”It’s because I don’t hear, and I don’t understand,” jawab saya spontan. Bukan bersikap kurang sopan. Majlis orang, ’kan?

”Angkat sebelah tangan, dapat juga separuh,” nasihat grandaunty yang lain. Mereka membiarkan saya.

Pada sebelah paginya telah diadakan marhaban dan selawat nabi. Terdapat tiga kumpulan di kampung saya. Setiap pelawaan mereka untuk menyertai saya tolak. Saya akan menerima undangan cuma untuk makan. Kawan saya (lelaki) pernah mengikut sekali, semasa kumpulan marhaban sedang rancak bernazam dia membaca makna nazam yang bertulis jawi daripada kitab lama yang diulang cetak baru itu. Nazam itu ceritakan kisah-kisah Nabi Muhammad sejak baginda kecil. Kisah bagaimana baginda memerah susu kambing yang kurus. Cerita itu diulang-ulang setiap kali tanpa mereka memahami maksudnya. Buku itu juga mengandungi doa yang turut dilagukan.

Anehnya tiada siapa pula yang menganggap mereka ini sesat. Saya yang hanya percayai al-Quran dan cuba sampaikan yang benar ini pula dianggap, sesat, mengamal ilmu hitam dan gila iseng. Begitu hebatnya cabaran untuk berdakwah. Itu baru percubaan untuk membetulkan yang remeh dulu.

 

Jenazah haid

Suatu hari saya dapat panggilan kerana ada kematian di kampung jiran. Apabila ke sana saya lihat tiada seorang pun membaca ayat-ayat suci seperti lazimnya. Sekurang-kurangnya pembaca dapat menginsafi diri, jika faham apa yang dibaca.

36:69. … Ia hanyalah satu Peringatan, dan sebuah al-Qur'an yang jelas.

36:70. Supaya dia beri amaran kepada sesiapa yang hidup, dan supaya Ucapan jadi wajar ke atas orang-orang tidak percaya.

Apabila ditanya rupa-rupanya kerana jenazah sedang haid ketika meninggal. Subhan Allah! sudahlah arwah mati dengan tinggalkan solat entah berapa hari, kini penziarah mayatnya pula terhalang, bisik hati saya. “Yang baca kan kita yang hidup, tak ada kena-mengena dengan yang mati,” kata saya. “Kita bersih, kapankan dia dan seperti biasa dibuat, sembahyang jenazah,” kata saya.

 

Begitulah, perkara-perkara begini masih terus berlaku setelah lebih 1400 tahun al-Quran diturunkan.

 

3:187. Dan apabila Allah ambil perjanjian orang-orang diberi Kitab, "Hendaklah kamu jelaskannya kepada manusia, dan janganlah sembunyikannya." Tetapi mereka melemparnya ke belakang punggung mereka, dan menjualnya untuk harga yang sedikit – alangkah buruknya apa yang mereka jual!

 

Salam

 

Nukilan Putri Nande


Salamun alaikum,

Terima kasih SN atas sumbangan penuh makna. Dan selamat berjumpa lagi. Syukur kepada Allah setelah selamat daripada tsunami yang mengancam. Gempa dan ombaknya dapat kami jangka ukurannya, tetapi ketenangan yang menyusul, buat kami rasa sebak setelah dapat melihatnya dengan jelas. Segala puji bagi Allah, Pemelihara semua alam! Sekali lagi, Segala puji bagi Allah, Pemelihara semua alam!

Sekian, sebagai pembuka tirai bagi tahun baru 2010!

Allah disanjung!


1 Januari 2010

 

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman