Umat Terbaik

 


From: ulul_albab6236
Date: 2009/10/19
Subject: khayra ummatin.
To: ebacaan114@gmail.com


Beginikah gambaran Umat terbaik ?

 

Salamun alaikum,

 

Moga tuan sekeluarga dan sahabat-sahabat sentiasa dalam keadaan sihat selalu. Disini  saya ingin berkongsi satu persoalan yang bermain di fikiran saya sebelum ini. Suatu ketika, pernah juga saya ajukan kepada seorang penceramah di suatu seminar tentang hal ini. Namun, beliau beranggapan ini satu soalan yang agak kritikal untuk dijawab. Soalan saya merujuk kepada ayat 3/110 yang menyebut tentang khayra ummatin (umat terbaik) dan saya bandingkan di dalam skop realiti umat di zaman ini.  Justeru itu, saya berfikir dan mahu ambil pelajaran daripada firman Allah yang bermaksud:

 

3:110. Kamu adalah umat terbaik dikeluarkan bagi manusia, dengan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar, dan kamu percayai Allah. Sekiranya ahli Kitab percaya, tentulah itu lebih baik bagi mereka; antara mereka orang-orang mukmin, tetapi kebanyakan mereka adalah orang-orang fasiq.

 

Siapakah khaira Ummatin (umat terbaik) yang dimaksudkan dalam ayat diatas? Sudah pasti  “kamu” itu merujuk kepada kita umat islam yang disampaikan ayat ini. Inilah  suatu  anugerah Allah kepada umat islam.

 

Justeru itu, sejarah telah merakamkan bahwa umat islam telah berjaya membina tamadun berabad lamanya dan beri sumbangan besar kepada dunia.  Kejayaan umat terdahulu sebenarnya diwarisi daripada perjuangan nabi Muhammad.  Bermula dengan tertubuhnya dua wilayah Islam di jazirah arab ketika hayat Muhammad dan seterusnya wilayah kekuasaan Islam telah meluas di seluruh dunia. Sehinggakan Empayar Rom dan Parsi yang suatu ketika merupakan sebuah empayar besar dan digeruni juga akhirnya berjaya ditakluki oleh pejuang Islam.

 

Ramai ilmuan dan intelektual Islam lahir dalam berbagai bidang samaada sains teknologi dan falsafah. Jika kita pernah mendengar nama seperti ibnu sina, al-khawarizmi, Jabir Ibn Hayyan dsb, mereka adalah tokoh-tokoh yang menyumbang kepada perkembangan ilmu. Ilmuan islam menghasilkan idea-idea baru dan  mengembangkannya melalui banyak tulisan mereka. Sebagai contoh, Ibnu Sina adalah antara tokoh perubatan dalam dunia Islam yang terkenal dan diiktiraf sbg bapa perubatan dunia. Usaha beliau jadi pelopor kepada  kaedah perubatan moden. Kebanyakkan tulisan para ilmuan ini diterjemah dalam dalam pelbagai bahasa  dan sehingga kini pun masih dijadikan rujukan di banyak universiti diseluruh dunia.

 

Kehebatan umat Islam juga dapat dilihat melalui penguasaan ekonomi. Dengan jaminan keselamatan laluan perdagangan dan kekuatan yang armada laut dimiliki oleh kerajaan Islam membolehkan pedagang Islam berjaya berdagang ke merata dunia. Kegiatan jual beli yang adil dan akhlak yang baik yang diamalkan pedagang Islam mungkin jadi faktor mereka dapat bersaing dengan pedagang dari eropah dan menarik minat para pembeli. Disamping itu, mereka ini juga memainkan peranan dalam mengembangkan dakwah Islam di dalam laluan perjalanan mereka ini. Sejarah melayu  mencatatkan tentang kedatangan pedagang arab, India dan cina  ke Melaka suatu masa dahulu.

 

Berdasarkan sejarah, umat terdahulu telah mencapai kemajuan yang tinggi dalam pelbagai aspek kehidupan baik dari segi politik, ekonomi dan social sejak zaman pemerintahan Rasulullah (s.aw) lagi. Islam pernah menakluki sebahagian besar dunia itu sebenarnya terdiri daripada umat yang hanya terikat dengan akidah islam yang menyeru mereka mengesakan Allah. Kekuatan dan kesungguhan generasi awal dalam mengembangkan dakwah Islam ini dizahirkan daripada keimanan yang tertanam di jiwa dan amal soleh yang mereka praktikkan berdasarkan Al-Quran. Dan Allah tidak akan sia-siakan dan menunaikan janjinya kepada umat yang menolong agama-Nya seperti yang disebut dalam firman-Nya.

 

3:195. Dan Pemelihara mereka sahut mereka, "Aku tidak sia-siakan amalan sesiapa yang beramal antara kamu, lelaki atau perempuan,

 

24:55. Allah berjanji kepada orang-orang antara kamu yang percaya, dan buat kerja-kerja baik, bahawa Dia akan sesungguhnya jadikan kamu pengganti-pengganti di bumi, sebagaimana Dia jadikan orang-orang sebelum mereka pengganti-pengganti, dan sungguh, Dia akan teguhkan agama mereka bagi mereka yang Dia relai untuk mereka, dan Dia akan tukarkan untuk mereka, sesudah ketakutan mereka, dengan keamanan. "Mereka menyembah-Ku, mereka tidak sekutukan Aku dengan sesuatu." Sesiapa yang tidak percaya sesudah itu, maka mereka itu, merekalah orang-orang fasiq.

 

47:7. Wahai orang-orang yang percaya, jika kamu tolong Allah, Dia akan tolong kamu, dan meneguhkan kaki kamu.

 


Realiti umat islam kini?

 

Namun, keadaan umat islam kini ini amat menyedihkan dan boleh la diterangkan sebagai zaman kegelapan bagi dunia Islam.  Bermula dengan runtuhnya kekhalifahan islam pada 1924, umat islam telah hilang kekuasan di dunia ini. Umat yang asalnya bersatu berada di bawah satu wilayah kekuasaan Islam telah di potong-potomg seperti kek dan jadilah umat Islam yang berpecah belah mengikut negara bangsa termasuklah negara ini. Satu demi satu negara islam seterusnya telah dijajah  oleh Barat  dalam usaha serang pemikiran umat Islam dengan ideology sekular yang mereka cipta. Sehingga hari ini  negara-negara Islam masih menganut dan berpegang dengan hukum jahiliah acuan penjajah itu. Kita dapat saksikan sendiri kesannya di negara ini, kadar jenayah, rasuah, penculikan, pembunuhan, perzinaan, anak luar nikah, kes buang bayi, kecurian, penyelewengan kuasa dan sebagainya yang semakin bertambah. Malah segala kejahatan ini, majoritinya melibatkan orang Islam. Inilah akibat apabila hukum jahiliah yang mereka sanjung dan praktikkan dengan mengendahkan hukum Allah yang sudah ditentukan-Nya. Firman Allah:

 

5:49. Dan hakimkan antara mereka menurut apa yang Allah turunkan, dan jangan ikut keinginan mereka, dan berhati-hatilah terhadap mereka, supaya mereka tidak goda kamu daripada sebarang apa yang Allah turunkan kepada kamu. Tetapi jika mereka berpaling, maka ketahuilah bahawa Allah hanya hendak timpakan kepada mereka kerana sebahagian daripada kesalahan mereka; sesungguhnya kebanyakan manusia fasiq.

 

Disamping itu, dendam musuh-musuh islam ke atas umat islam tidak pernah padam. Chencha, Bosnia, Kashmir, Algeria, Tunisia, Somalia, Palestin dan lain-lain negara lagi jadi mangsa penindasan dan kezaliman musuh Islam dalam memenuhi agenda mereka.  Umat islam diperangi dan ditindas dalam pelbagai bentuk ancaman seperti dibunuh, dirogol, diseksa, dihalau daripada kampong halaman mereka dan sebagainya. Palestin merupakan tapak masjidil Aqsa dan dahulunya dibawah pemerintahan Islam sehingga kini masih dibelenggu dengan konflik menentang zionis. Rakyat Palestin sudah sekian lama bermandi darah dalam mempertahankan tanah air mereka daripada pencerobohan Yahudi. Jelas keadaan ini buktikan permusuhan Yahudi terhadap Islam sudah terpendam sejak 1400 tahun yang lalu. Hal ini juga disebut dalam firman Allah:

 

5:82. Sungguh, kamu dapati manusia yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang percaya ialah orang-orang Yahudi, dan orang-orang yang sekutukan,

 

Disamping itu, niat jahat golongan ini juga dapat diterjemah daripada ayat yang berbunyi

 

2:120. Dan tidaklah orang-orang Yahudi akan berpuas hati dengan kamu, dan tidak juga orang-orang Kristian, sehingga kamu ikut anutan mereka. Katakanlah, "Petunjuk Allah ialah petunjuk yang benar." Jika kamu ikut keinginan mereka setelah pengetahuan yang datang kepada kamu, maka kamu tidak akan ada, terhadap Allah, wali (pelindung) dan tiada juga penolong.

 

Dewasa ini, perpecahan yang berlaku dalam umat Islam semakin memburukkan keadaan. Mereka sanggup berperang dan bertelagah sesama sendiri  disebabkan berbeza mazhab, fahaman politik dan aliran agama. Umat islam seolah-olah kembali kepada sikap berpuak-puak yang dilarang dalam Islam. Contohnya apa yang berlaku di negara kita, mungkin dikalangan kita yang sudah muak mendengar cerita-cerita politik yang menyaksikan perebutan  kuasa. Akibatnya, kita dapat saksikan  sendiri umat islam berpecah belah dan saling bermusuhan kerana taksub kepada parti politik yang disokong. Samaada sedari atau tidak, mereka ini telah ingkar kepada ayat Allah. Firman Allah:

 

3:103. Dan berpegangteguhlah kamu pada tali Allah, semuanya, dan janganlah kamu berpecah belah, …

 

Baru-baru ini kita sekali lagi digemparkan dengan gempa bumi yang berlaku di Sumatera, Indonesia. Ini bukanlah kali pertama umat Islam dilanda bencana alam yang membunuh ribuan nyawa. Malah tahun 2004 menyaksikan bencana Tsunami dasyat yang membunuh hampir 300 000 nyawa di Acheh dan negara-negara lain termasuklah Malaysia. Bencana seperti mengingatkan saya tentang kaum telah Allah binasakan kerana ingkar ajaran Allah.. Sudah pasti bencana yang berlaku atas kemungkaran manusia sendiri seperti firman-Nya:

 

30:41. Kerosakan telah nampak di darat dan di laut kerana tangan-tangan manusia sendiri usahakan, supaya Dia merasakan kepada mereka sebahagian daripada apa mereka buat, supaya mereka kembali.

 

Ini hanyalah sedikit gambaran yang cuba saya nampakkan. Dengan apa yang dapat dilihat, realiti yang berlaku kepada umat islam kini langsung tidak menggambarkan suatu contoh umat terbaik. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena pada umat ini. Umat yang dahulunya yang pernah menguasai sebahagian besar dunia dan kini hanya jadi umat yang dipandang rendah, dihina, dicop sebagai pengganas dan sebahagiannya terpaksa mengemis dengan kuasa-kuasa besar seperti Amerika dan sekutunya untuk dapat bantuan. Disaat umat islam ditimpa dengan pelbagai musibah dan bencana, umat Islam seperti sudah terlepas daripada perlindungan dan pertolongan Allah. Mungkinkah umat ini adalah umat yang derhaka kepada Tuhan-Nya.

 

Jadi, bagaimanakah umat yang sebenarnya Allah terangkan sebagai umat terbaik? Jika diteliti semula ayat 3/110, dinampakkan ciri-ciri umat terbaik mengikut kehendak-Nya iaitu menyuruh yang baik, melarang yang mungkar dan percayai Allah. Justeru itu, ada tugas dan tanggungjawab yang diperintah kepada umat pilihan Allah ini dalam ayat ini. Pada hemat saya, tugas inilah yang perlu dilakukan untuk umat Islam keluar daripada zaman kegelapan di ketika ini dan kembali ke landasan sebenar. Tugas yang dimaksudkan ialah menyuruh yang baik dan melarang yang mungkar adalah perintah Allah yang disebut dalam ayat-ayat-Nya seperti dibawah : 

 

3:110. Kamu adalah umat terbaik dikeluarkan bagi manusia, dengan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar, dan kamu percayai Allah. Sekiranya ahli Kitab percaya, tentulah itu lebih baik bagi mereka; antara mereka orang-orang mukmin, tetapi kebanyakan mereka adalah orang-orang fasiq.

 

3:104. Hendaklah ada antara kamu satu umat yang menyeru akan kebaikan, dan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar; mereka itulah orang-orang beruntung.

 

3:114. Mereka percayai Allah dan Hari Akhir, dan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar, dan mereka bersegera dalam kebajikan; mereka itulah orang-orang salih.

 

7:157. Orang-orang yang ikut Rasul, Nabi yang ummiy, yang mereka dapati tertulis dengan mereka di dalam Taurat dan Injil, yang menyuruh mereka pada yang baik, dan melarang mereka daripada yang mungkar, dan menghalalkan bagi mereka benda-benda yang baik, dan mengharamkan mereka yang keji, dan membebaskan mereka daripada beban-beban mereka, dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang percaya kepadanya, dan meneguhkannya, dan menolongnya, dan ikut cahaya yang diturunkan bersamanya; merekalah orang-orang beruntung."

 

7:199. Maafkanlah, dan suruhlah apa yang baik, dan berpalinglah daripada orang-orang bodoh.

 

9:71. Dan orang-orang lelaki mukmin, dan orang-orang perempuan mukmin, adalah wali-wali (sahabat-sahabat) satu sama lain; mereka menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar; mereka melakukan solat, dan memberi zakat, dan mereka mentaati Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu, kepada mereka Allah mengasihani; sesungguhnya Allah Perkasa, Bijaksana.

 

9:112. Orang-orang yang bertaubat, orang-orang yang menyembah, orang-orang yang memuji, orang-orang yang berpergian, orang-orang yang tunduk, orang-orang yang sujud, orang-orang yang menyuruh pada yang baik dan melarang daripada yang mungkar, dan orang-orang yang menjaga had-had (hudud) Allah - dan berilah kamu berita gembira kepada orang-orang mukmin.

 

22:41. Orang-orang yang, jika Kami teguhkan mereka di bumi, lakukan solat, dan beri zakat, dan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar; dan kepada Allah kesudahan segala urusan.

 

29:45. Bacalah apa yang diwahyukan kepada kamu daripada al-Kitab, dan lakukan solat; solat melarang kesumbangan dan mungkar. Peringatan Allah adalah lebih besar; dan Allah tahu apa yang kamu kerjakan.

 

31:17. Wahai anakku, lakukan solat, dan suruh yang baik, dan larang yang mungkar, dan sabar atas apa sahaja yang timpa kamu; sesungguhnya itu adalah urusan yang patut ditekadkan.

 

Disamping itu, Al-Quran juga menjelaskan mengenai golongan bertentangan daripada sifat umat terbaik dan sebaliknya mereka pula menyuruh pada kemungkaran dan melarang daripada yang baik. Antara golongan ini disebut seperti dibawah:

 


Kaum Bani Israil

 

5:78. Telah dilaknati orang-orang tidak percaya daripada Bani Israil oleh lidah Daud, dan Isa putera Mariam; itu adalah kerana keingkaran mereka, dan pencabulan mereka.

5:79. Mereka tidak saling melarang daripada sebarang kemungkaran yang mereka lakukan; sungguh buruk apa mereka buat!

 

Ayat diatas merupakan kemuncak ancaman dan kemurkaan dari Allah Ta’ala kerana yang menyebabkan mereka ditimpa laknat itu ialah kerana mereka tinggalkan nahi mungkar; iaitu mencegah orang dari lakukan kejahatan.

 


Orang-orang munafik

 

9:67. Orang-orang munafik lelaki dan orang-orang munafik perempuan adalah sama satu sama lain; mereka menyuruh pada yang mungkar dan melarang daripada yang baik, dan mereka genggamkan tangan-tangan mereka; mereka lupakan Allah, dan Dia lupakan mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik, mereka adalah orang-orang fasiq.

 


Syaitan.

 

24:21. Wahai orang-orang yang percaya, jangan ikut langkah-langkah syaitan, kerana sesiapa yang ikut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya ia menyuruh pada kesumbangan dan mungkar. Sekiranya tidak kerana pemberian Allah kepada kamu dan pengasihan-Nya, tentu tiada seorang pun antara kamu yang menjadi suci selama-lamanya; tetapi Allah menyucikan siapa Dia hendaki; dan Allah Mendengar, Mengetahui.

 

Ayat ini beri peringatan kepada orang-orang yang percaya menjauhi langkah-langkah syaitan.

 

Sebelum mengakhiri tulisan ini, saya mengajak pembaca menyahut seruan Allah dengan lakukan seruan Amar Makruf Nahi Mungkar. Dengan usaha ini, kita berharap dapatlah kita kembalikan umat ini kepada petunjuk Allah dan berdoa mengharapkan pertolongan-Nya. Yang haq pasti menang!!

 

Sila perbetulkan jika saya tersilap.

 

Salam..
 

Salamun alaikum,

Terima kasih. Renungan dan ajakan sahabat kini diabadikan di laman web, supaya sentiasa dapat dibaca oleh para pengunjung.

Seruan tidak terhad kepada menyuruh yang baik dan melarang yang mungkar sahaja tetapi, seperti tercatat di dalam ayat 3:100 tadi, termasuk percaya kepada Allah jua.

Terima kasih.

Salam.


20 Oktober 2009

 

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman