Hukuman Minum Arak
From: mohdazmel
Date: 2009/7/23
Subject: Hukuman Minum Arak
To: <ebacaan114@gmail.com>
Cc: <dipadam>
Salamun alaikum tuan.Apa khabar? Moga tuan sentiasa sihat sejahtera bersama keluarga.
Saya ingin berkongsi dan ingin sekali mendengar pendapat tuan tentang artikel yang menarik perhatian saya ini.
IPOH: “Saya akan terima hukuman di dunia. Hukuman di akhirat kelak biar Allah s.w.t yang menentukannya. Saya menghormati keputusan mahkamah dan mengaku itu kesalahan saya, bukannya kesalahan ibu bapa, keluarga saya atau orang lain.
“Justeru, saya memohon mahkamah mempercepatkan hukuman sebatan itu memandangkan mahkamah belum beritahu bila hukuman ini akan dijalankan,” kata model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, yang dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan.
Dia yang dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah meminum arak, memohon supaya mahkamah mempercepatkan hukuman sebatan supaya dia boleh menumpukan masa depan bersama keluarganya.
“Saya anggap ini ketentuan Allah dan balasan kepada saya kerana memandang ringan soal agama. Sekiranya kejadian ini tidak berlaku mungkin saya masih lagi ‘hanyut’ dalam keseronokan dunia.
“Namun, saya bersyukur keluarga saya tetap menerima saya walaupun sudah menconteng arang dan memalit lumpur ke muka mereka,” katanya sambil menitiskan air mata pada sidang media di sini, semalam.
Kartika menasihatkan kepada kepada golongan muda supaya tidak lakukan perkara yang boleh membawa aib kepada diri dan juga keluarga.
“Apa yang boleh saya katakan, sebelum lakukan sesuatu, perasaan keluarga terutama ibu bapa perlu diambil kira agar maruah mereka tidak tercalar,” katanya.
Beliau yang berasal dari Sungai Siput, dekat Kuala Kangsar, menetap 15 tahun di Singapura sejak berkahwin dengan warga negara republik itu dan mempunyai dua anak berusia tujuh dan lima tahun.
Sementara itu, bapa Kartika, Shukarnor Mutalib, 60, berkata hukuman dikenakan terhadap anaknya itu tepat dan wajar kerana berlandaskan undang-undang Islam.
“Memang tidak dapat dinafikan saya terkejut dan kecewa apabila mengetahui berita itu kerana sejak kecil saya didik dia dengan ilmu agama yang cukup tetapi saya sedari bahawa dia hanya insan biasa dan kadangkala tergelincir daripada landasan.
“Saya terus ke Singapura untuk mendengar sendiri penjelasan daripadanya,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, keluarganya tetap akan menyokong anak keempat daripada sembilan beradik itu dan bersyukur kerana Kartika sudah insaf dan mengakui kesilapannya.
“Selepas hukuman sebatan itu dilakukan, saya merancang untuk menghantar dia ke Makkah untuk kerjakan umrah bagi menebus kembali kesilapannya,” katanya.
Sumber: Harian Metro. (23/7/09)
Berdasarkan terjemahan dalam e-bacaan, ayat-ayat yang mengandungi kalimah 'arak' yang didapati adalah seperti berikut:2:219. Mereka tanya kamu mengenai arak dan judi. Katakanlah, "Pada keduanya dosa besar, dan beberapa manfaat kepada manusia, tetapi dosanya adalah lebih besar daripada manfaatnya." Dan mereka tanya kamu mengenai apa yang mereka patut nafkahkan. Katakanlah, "Yang berlebihan." Begitulah Allah menjelaskan ayat-ayat kepada kamu supaya kamu fikirkan.
5:90. Wahai orang-orang yang percaya, arak, judi, berhala-berhala dan ramalan anak-anak panah, adalah kotoran, sebahagian daripada amalan syaitan; maka jauhilah ia agar kamu beruntung.
5:91. Syaitan hanya hendak sebabkan permusuhan dan kebencian antara kamu dalam arak dan judi, dan untuk halangi kamu daripada Peringatan Allah, dan daripada solat. Mahukah kamu berhenti?
12:41. Wahai rakan-rakanku yang sepenjara, bagi seorang daripada kamu, dia akan tuangkan minuman arak untuk pemeliharanya (tuannya); bagi yang lagi satu, dia akan disalib, dan burung memakan sebahagian kepalanya. Perkara telah diputuskan yang kamu minta keputusan kepadaku."
47:15. Inilah persamaan Taman yang orang-orang bertakwa dijanjikan: di dalamnya sungai-sungai daripada air yang tidak dicemari, dan sungai daripada susu yang tidak berubah rasanya, dan sungai-sungai daripada arak - suatu keseronokan bagi peminum-peminum - dan sungai-sungai daripada madu yang dibersihkan; dan di dalamnya bagi mereka segala macam buah-buahan, dan ampunan daripada Pemelihara mereka. Samakah mereka dengan orang yang tinggal selama-lamanya di dalam Api, yang diberi minum air yang mendidih, yang memotong usus-usus mereka?
Apa yang saya dapat fahami daripada ayat-ayat di atas, tiada satu pun bentuk hukuman kepada orang-orang islam yang meminum arak. Cuma, ianya adalah dosa besar, sedikit manfaat, sebahagian amalan syaitan yang perlu dijauhi yang boleh menyebabkan permusuhan dan kebencian serta dapat menghalang kita daripada Peringatan Allah dan solat.
Menurut pendapat tuan;
1. Apakah seseorang yang meminum arak itu wajar menerima hukuman seperti hukuman yang dikenakan kepada wanita tersebut dengan 6 kali sebatan sedangkan al-quran itu sendiri tidak tetapkan bentuk hukuman tersebut?
2. Jika tiada bentuk hukuman dalam al-quran, patutkan manusia diberi kebenaran untuk menetapkan hukuman tersebut sedangkan perbuatan tersebut tidak melibatkan orang lain yakni, dosanya hanya kepada Allah sahaja?
3. Pada pendapat saya, hukuman tersebut hanya menyebabkan orang lain takut kepada hukuman manusia bukan hukuman Tuhan. Di samping itu, orang bukan Islam mungkin mempunyai tanggapan negatif bahawa bentuk peraturan dalam islam itu adalah sesuatu yang berbentuk zalim.
Terima kasih.
Salamun
alaikum,
Terima kasih sahabat atas kiriman mengandungi berita yang amat mengejutkan. Tidak disangka golongan Melayu yang pandai agama boleh jadi begitu zalim dalam hukuman. Orang-orang yang mereka terangkan sebagai kafir pun tidak sezalim mereka. Malah, Tuhan sendiri tidak tetapkan sebarang hukuman bagi manusia ke atas peminum arak.
Hukum sebat yang dikenakan itu adalah sangat melampau, melewati batas ditetapkan Allah, yang hanya menyuruh lakukannya ke atas penzina sahaja. Dan penzina pula hanya disebat, tidak disuruh-Nya ditambah hukuman lain, misalan bayar denda.
Apa yang menghasut mereka untuk menghukum peminum arak dengan hukuman lebih berat daripada hukuman zina yang ditetapkan Allah jadi satu pertanyaan besar. Apapun, yang jelas ialah hukuman mereka bukan Islam.
Kartika telah dizalimi tanpa beliau mengetahuinya. Begitu juga orang lain. Justeru, hingga bilakah orang Melayu, orang Islam, harus dizalimi oleh hukum agama ciptaan manusia? Bilakah mereka akan tampil ke muka untuk mendesak supaya hukum Allah diterima pakai? Atau desakan itu sudah lama dibuat tapi dengan tanpa mengetahui hukum Allah yang sebenar! Atau, bukan tidak mengetahuinya, tetapi tidak mempedulikan-Nya jua!
Kalau begitu, sampai bilakah Allah harus rahmati bangsa Melayu, dan tidak hapuskannya, atau menggantinya dengan kaum lain di buminya sendiri, atas kezalimannya dan sikap tidak peduli terhadap hudud-Nya?
Itu saja yang direnungkan di sini. Maaf jika kami tidak menjawab pertanyaan-pertanyaan di atas kerana kami sangka mereka sudah dijawab dengan sendirinya, atau sudah ditulis di halaman lain seperti Syariat Agama.
Salam.
24 Julai 2009
Halaman Utama
Terkini Perpustakaan
Artikel Bacaan
E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
Senarai Penulis English
Articles
Tulis kepada Pengurus
Laman