Masuk agama Allah berkumpulan

 

From: achedeen
To: e_bacaan@yahoo.com
Cc:
Sent: Tuesday, May 26, 2009 4:07:45 PM
Subject: Salamun alaikum

 

Salamun alaikum.

 

Selamat bertemu kembali.

Sejak saya menerima balasan e-mail dari Tuan bertarikh 27/4/09 yang lalu, saya menerima nasihat Tuan untuk membaca BACAAN dan juga lain-lain artikel dan soalan-soalan yang ada dalam e-bacaan.

Saya bersyukur kepada Allah kerana dengan mudah saya dapat menerima penjelasan-penjelasan Tuan yang terdapat dalam e-bacaan (berdasarkan ayat 7/2, 22/78). Walaubagaimanapun belum semua dapat saya baca, insyaAllah saya akan meneruskan pembacaan saya.

 

<dipadam>

 

Persoalan saya, adakah jadi kesalahan kepada saya mewujud sebuah kumpulan/jemaah sebegini dan jadi ketuanya?

Padahal bukanlah niat saya dan sahabat-sahabat untuk berpecah belah dalam agama Allah ini tetapi sebagai suatu kaedah bagi memudahkan usaha jihad di Jalan Allah (bersatu dalam jemaah dan dapat bertukar-tukar fikiran dan perbincangan- ambil mana yang terbaik berdasarkan ayat 39/18 dan 17/9), malahan kami dengan rasa rendah diri boleh bergabung atau menyertai mana-mana orang perseorangan atau perkumpulan yang membawa kebenaran. Panduan kami adalah Al-Quran yang diajar oleh Allah (Al-Kitab dan Al-Hikmah yang diajar oleh Rasul-Nya) dan sentiasa ingat kepada gesaan Allah berdasarkan ayat 39/18 dan 17/9.

 

Saya bimbang jika saya dan sahabat-sahabat saya tergolong dalam ayat 6/159, 23/53, 30/32 yang memecah belahkan agama dan merasa bangga dengan golongannya (InsyaAllah kami tiada niat sedemikian).

 

Bagaimana pula pandangan Tuan terhadap adanya yang di sebut Hizbullah : Golongan Allah; 5/56, 58/22,  'satukanlah aku dengan orang-orang yang soleh': 26/83, 29/9 (mesej berjemaah) , dan kalangan hamba-hamba-Ku: 89/29.

Bukankah Rasul-Rasul terdahulu juga berjuang secara berjemaah seperti Nabi Muhammad bersama Muhajirin dan Ansar (8/72 - ada kisah Muhajirin dan Ansar), Nabi Isa bersama golongan Hawariyin (3/52, 61/14)?

 

Harap Tuan dapat bantu saya dengan beri jawapannya (10/94).

Rasa berat terpikul dibahu saya kerana ada orang yang ikut saya.

Sekian terima kasih, Maafkan saya jika ada tersilap kata/tulis.

 

Che Deen.

Alhamdulillahirabbil 'ngaalamin


Salamun alaikum,

Terima kasih. Kini surat sahabat dipanjangkan kepada para pembaca, dengan harapan mereka turut bergembira dan dapat manfaat atas kehadiran sahabat di sini.

Segala pantang larang sudah sahabat ketahui. Justeru, tidak perlu dibincangkan lagi mengenai kumpulan sahabat yang bukan seperti mazhab anjuran manusia lain. Malah, pada hemat kami, kewujudan kumpulan tersebut adalah seakan dijanjikan Allah di dalam al-Qur'an berbunyi,

"Apabila datang pertolongan Allah, dan kemenangan,
Dan kamu lihat manusia masuk agama Allah berkumpulan-kumpulan,
Maka sanjunglah dengan memuji Pemelihara kamu, dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dialah yang menerima taubat." (110:1-3)

Lalu Allah disanjung dengan kalimat "Segala puji bagi Allah, Pemelihara semua alam" (1:2). Atau dengan pujian lain seperti di bawah:

"Segala puji bagi Allah yang kepunyaan-Nya apa yang di langit dan apa yang di bumi. Bagi-Nya segala puji di akhirat; Dia Yang Bijaksana, Yang Menyedari." (34:1)

 

"bagi Allah segala puji, Pemelihara langit dan Pemelihara bumi, Pemelihara semua alam." (45:36)

Sepucuk lagi surat daripada sahabat achedeen dipamerkan di sini yang ceritakan jalan atau jalan-jalan telah diambil sebelum menemui jalan yang ditunjukkan Allah di dalam Kitab-Nya. Sudilah membacanya.


From:
achedeen
To: Pengurus Laman <e_bacaan@yahoo.com>
Cc:
Sent: Friday, May 29, 2009 4:56:25 PM
Subject: Re: Salamun alaikum


Salamun alaikum,

 

<dipadam>

 

Sejak kecil saya telah diajar tentang agama Islam oleh keluarga, di sekolah dan di masjid di kampung saya (dari kecil saya selalu ke masjid - rumah dekat masjid ). Walaubagaimanapun apabila usia meningkat, saya jadi bingung apabila melihat keadaan masyarakat Islam tidak seperti yang di ceramahkan kepada saya. Mungkin Allah bukakan pintu hati saya untuk mencari kebenaran. Sejak di UPM saya telah ikut secara tak langsung aktiviti2 keagamaan  seperti tabligh, al arqam, dan lain-lain yang biasa seperti orang lain juga, tetapi pada 1991 saya sangat terpengaruh dengan syiah, walaubagaimanapun kerana saya ada pegangan ahlil sunnah wal jemaah yang kuat (yang saya pelajari dari kecil) maka saya tinggalkan fahaman syiah itu.

 

Semasa saya di Sabah, saya dengan beberapa orang ustaz <dipadam>, mewujudkan kumpulan usrah untuk berbincang dan mendalami ilmu agama Islam, walaubagaimanapun perbincangannya masih dalam lingkungan fahaman ahlil sunnah wal jemaah. 

 

Pada tahun 1999 semasa balik bercuti hujung tahun ke semenanjung, saya telah diketemukan oleh pak cik saya dengan sebuah jemaah yang sampaikan Al-Quran, membawa dalil-dalil Al-Quran dan sentiasa merujuk Al-Quran. Maka saya berkata kepada diri saya, inilah sebenarnya yang saya cari  - hidup berpandukan Al-Quran. Jemaah ini berlegar di sekitar lembah klang. Oleh sebab itulah bila saya berpindah balik ke semenanjung, saya tidak balik ke Perak tetapi berpindah ke <dipadam> yang berdekatan dengan lembah klang. Maka apabila saya telah berpindah ke <dipadam>, saya mencari semula jemaah itu dan saya menyertainya semula. Saya melibatkan diri secara aktif dengan segala aktiviti jemaah tersebut, seperti belajar, kemudian sampaikan Al-Quran, membawa Umat baru sehingga diberi kepercayaan menjaga sebuah kumpulan atau yang mereka sebut malja/buyut. Walaubagaimanapun apabila telah lama bersama mereka dan duduk dikerusi kepimpinan, saya dapati banyak yang mereka perbuat tidak menurut Al-Quran (cakap tak serupa bikin - 61:3 Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu kata apa yang kamu tidak buat dan mereka banyak berbohong, malahan dibenarkan membohong.

 

Dengan sepenuh kekuatan yang Allah beri akhirnya pada 17 Ramadan pada tahun 2003 saya keluar dari jemaah tersebut yang dipanggil Negara Islam Indonesia / Umat Islam Bangsa Indonesia (NII / UIBI). Saya keluar dari jemaah tersebut bukanlah dengan perasaan marah, tertipu, terperangkap atau sebagainya tetapi adalah kerana saya tak menemukan kebenaran yang sebenarnya di dalamnya walaupun pada awalnya saya sangka disitulah kebenaran boleh diketemui. Walaubagaimanapun saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua sahabat-sahabat saya di sana, kerana bersama-sama mereka saya diperkenalkan akan kepentingan ber Al-Quran dan erti perjuangan. Semasa saya hendak keluar dari Jemaah tersebut, saya telah adakan sesi dialog dengan kepimpinan yang lebih tinggi untuk menyatakan perbezaan pendapat saya dengan mereka, bermakna saya berhujah dengan ilmu dan dalil, tetapi akhirnya mereka menuduh saya kafir. Saya tidak kesal dengan dakwaan itu kerana saya memakai dalil Al-Quran (Sebab-sebab saya keluar dari jemaah itu telah saya tuliskan dan ada dalam simpanan saya)

 

Apabila saya keluar dari jemaah itu saya membawa keluar semua umat yang dulunya saya bawa mereka menyertai NII.

 

Selepas keluar dari jemaah itulah saya adakan kumpulan Usrah untuk membimbing semula sahabat-sahabat saya yang bersama dengan NII dahulu, walaubagaimanapun ada sebahagiannya tak mahu bersama-sama kerana merasai diri mereka teraniaya dan tertipu. Maka keluarlah tuduhan yang tidak enak kepada saya dan sahabat-sahabat yang masih bersama saya.

 

Kumpulan usrah yang saya usahakan ini bermula pada 31/12/2003 hinggalah sekarang, alhamdulilah <dipadam>

 

Itu serba sedikit pengalaman saya dalam hidup ini, insyaAllah saya tidak akan berputus asa dari Pengasihan Allah.

 

<dipadam>

Salam.

Semoga golongan Allah pimpinan sahabat jadi lebih ramai dan padu supaya dapat mencapai matlamat iaitu berjuang di jalan-Nya seperti disebut dalam sebuah firman berbunyi, "Allah suka orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan-barisan, seakan-akan mereka sebuah bangunan yang padu." (61:4)

Allah tidak memerlukan kita, tapi kitalah yang memerlukan Dia. Firman-Nya,

"Kepunyaan Allah segala yang ada di langit dan di bumi. Kami telah wasiatkan kepada orang-orang diberi Kitab sebelum kamu, dan kepada kamu, 'Takutilah Allah.' Jika kamu tidak percaya, maka kepunyaan Allah segala yang ada di langit dan di bumi; Allah Kaya, Terpuji." (4:131)

 

"Wahai manusia, kamulah yang memerlukan Allah, dan Dia Yang Kaya, Yang Terpuji." (35:15)


Terima kasih. Salam.


9 Jun 2009

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman