Terbayang Arwah Bapa
From: hadi miky
To: e_bacaan@yahoo.com
Sent: Friday, March 27, 2009 3:36:31 PM
Subject: e-bacaan
Salamun alaikum,Saudara pengarang...saya pernah hantar email sebelum ini bertanya tentang KHUMUR...Alhamdulillah setelah saya baca article2 yang di post di laman saudara saya dapat jawapan nya...hari2 saya fikirkan tentang laman saudara...dan saya sudah mula ikut ajaran Al-Quran ini...saya terasa bersendirian kini bila ada rakan yang menolak ajakan untuk memahami Al-Quran melalui laman saudara ini...itu baru soal KHUMUR...belum lagi soal solat lagi...di fikiran mula terbayang arwah bapa yang baru meninggal tahun lepas...adakah amalan yang dia kerjakan diterima Allah...bagaimanakah dengan nasib arwah nenek2 dan atuk2 yang saya percaya mengikut amalan nenek moyang mereka mengikut mazhab2 sunnah2 dan hadis2 tulisan tangan manusia....Kepada Allah saya berserah....amat lah berat untuk saya ceritakan apa yang terbuku dihati ini....disini saya ada beberapa soalan...
<dipadam>
Salamun
alaikum,
Terima kasih kerana sudi menulis kepada kami. Bahagian yang dipadam mengandungi soalan-soalan yang jawapannya sudah ada di laman web ini. Lazimnya soalan-soalan seperti itu, termasuk khumur, tidak kami jawab. Maaf.
Kami faham apa yang dirasai mengenai orang-orang terdekat yang dikasihi, yang meninggal dunia tanpa mengenali ayat-ayat al-Qur'an. Tiada lagi yang dapat dilakukan kecuali berdoa kepada Allah supaya dosa mereka dapat diampunkan.
Tersentuh apabila disebut mengenai arwah bapa. Walaupun bapa kami telah meninggal dunia 21 tahun lalu kami masih mengingatinya, terutama pada waktu malam ketika sedang menyendiri. Berlinang air mata pun pernah berlaku.
Beliau meninggal dunia setahun selepas kami dihukum sesat oleh pihak tertentu, dan disiarkan melalui media massa. Kami percaya beliau telah diganggu perasaan malu dan perasaan lain yang terbit atas "kesesatan" kami. Namun, kami tidak mengingatinya kerana perasaan-perasaan itu tetapi kerana beliau adalah bapa kami, yang harus diingati seperti kata Allah berbunyi,
"Apabila kamu sudah laksanakan peribadatan (haji) kamu, ingatlah Allah sebagaimana kamu ingati bapa-bapa kamu, atau lebih ingat." (2:200)
Tentu sekali Allah diingati lebih daripada yang lain, dan kepada-Nya kami memohon semoga dosa-dosa ayah (kami memanggilnya ayah) dapat diampunkan pada Hari Kiamat. Doa yang bersabit berbunyi,
"Wahai Pemelihara kami, ampunkanlah aku dan ibu bapaku, dan orang-orang mukmin, pada hari apabila hitungan didirikan." (14:41)
Bukan itu saja, kalau boleh hendak berjumpa dengannya lagi, dan seterusnya bersatu dengan ahli keluarga kami yang lain, seperti akan berlaku kepada sesetengah keluarga pada Hari Kiamat. Kurniaan tersebut dapat difahamkan daripada ayat di bawah:
"Taman-Taman Adn yang mereka masuk, dan orang-orang yang salih daripada bapa-bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka, dan para malaikat masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu," (13:23).
Malu yang menimpanya, atau perasaan lain atas ketidaksetujuannya, atau tercemar nama baik keluarga, telah tidak difikirkan semasa kami mula mengorak langkah yang akhirnya sampai kepada apa yang kami buat hari ini. Tidak ada sebab tertentu mengapa kami buat apa yang telah dibuat, kecuali rasa tertipu dan ingin membetulkan pula dengan ayat-ayat al-Qur'an sambil sampaikan kepada orang lain. Tidak ada ayat tertentu yang jadi petunjuk, tidak juga ayat-ayat mengenai bapa dan ahli keluarga yang tidak seharusnya dijadikan para sahabat, tetapi mereka tentu sudah dibaca beberapa kali. Ayat tersebut berbunyi,
"Wahai orang-orang yang percaya, janganlah ambil bapa-bapa kamu dan saudara-saudara kamu untuk menjadi wali-wali kamu, jika mereka lebih suka ketidakpercayaan daripada keimanan; sesiapa antara kamu yang jadikan mereka sahabat-sahabat, maka mereka itu, merekalah orang-orang zalim.
Katakanlah, 'Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak lelaki kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri kamu, dan kerabat kamu, dan harta benda yang kamu peroleh, dan perdagangan yang kamu takut akan kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sangat puas hati - jika ini lebih dicintai oleh kamu daripada Allah dan Rasul-Nya, dan untuk berjuang di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah datangkan perintah-Nya; Allah tidak beri petunjuk kepada kaum yang fasiq.'" (9:23)
Mereka tidak diambil sebagai sahabat, dan tidak diutamakan lebih daripada Allah oleh orang-orang yang percayai-Nya. Mereka yang percayai, kemudian ditetapkan keimanan ke dalam hati mereka oleh Allah, untuk menjadi golongan-Nya, didapati tidak menyayangi orang-orang terdekat yang menentang, termasuk bapa-bapa mereka. Firman-Nya,
"Kamu tidak dapat sesuatu kaum yang percayai Allah dan Hari Akhir menyayangi sesiapa yang menentang Allah dan Rasul-Nya, walaupun mereka bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, atau kerabat mereka. Mereka itu, Dia tuliskan (tetapkan) keimanan dalam hati mereka, dan Dia kukuhkan mereka dengan Roh daripada Dia Sendiri; dan Dia masukkan mereka ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, di dalamnya tinggal selama-lamanya, sedang Allah sangat puas hati terhadap mereka, dan mereka sangat puas hati terhadap-Nya. Mereka itu golongan Allah; sesungguhnya golongan Allah, merekalah orang-orang beruntung." (58:22)
Perasaan tidak menyayangi itu kelihatan terbit dengan sendiri, bukan dengan niat jahat. Seterusnya, didapati bahawa bapa-bapa tidak akan membela anak-anaknya pada Hari Kiamat. Anak-anak juga tidak membela mereka sedikit pun. Firman Allah,
"Wahai manusia, takutilah Pemelihara kamu, dan takutilah akan satu hari apabila tiada bapa akan bela anaknya, dan tiada juga anak bela bapanya sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah benar; maka janganlah kehidupan dunia menipu kamu, dan janganlah sekali-kali penipu dapat menipu kamu terhadap Allah." (31:33)
Lebih berat lagi, apabila bapa-bapa yang berdosa akan lakukan sesuatu yang lebih dahsyat terhadap anak-anak mereka, dan orang-orang terdekat yang lain. Mereka cuba menebus diri-diri mereka dengan orang-orang yang mengasihinya pula, termasuk anak-anak mereka, menurut ayat berbunyi,
"Orang yang berdosa inginkan bahawa dia dapat menebus dirinya daripada azab hari itu dengan anak-anaknya, Dan isterinya yang temannya, dan saudaranya, Dan keluarganya yang melindunginya, Dan sesiapa yang di bumi, kesemuanya, untuk selamatkannya." (70:11-14)
Orang-orang yang disayangi didapati akan lari daripada orang-orang yang menyayangi sejurus sebelum tiba Hari Kiamat, iaitu setelah suatu Letupan berlaku. Sebab masing-masing ada hal sendiri. Ayat-ayat di bawah menjelaskan dengan lebih lanjut:
"Dan apabila Letupan datang, Pada hari seorang lelaki lari daripada saudara lelakinya, Dan ibunya, dan bapanya, Dan isterinya, dan anak-anaknya, Setiap lelaki, pada hari itu, ada hal yang mencukupi baginya. Beberapa muka pada hari itu bersinar, Tertawa, bergembira. Beberapa muka pada hari itu berdebu, Ditutupi kegelapan, Mereka itu, merekalah orang-orang tidak percaya, jahat." (80:33-42)
Semuanya akan berlaku. Apapun yang akan berlaku ayah tetap diingati. Dan juga emak. Disudahi dengan wasiat daripada Allah kepada manusia terhadap ibu bapa, dan sebuah doa serta suatu janji berbunyi,
"Kami wasiatkan manusia, bahawa dia buat baik kepada ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah; pengandungannya dan penyusuannya tiga puluh bulan. Sehingga, apabila dia sampai dewasa, dan sampai empat puluh tahun, dia berkata, 'Wahai Pemeliharaku, sediakanlah aku supaya aku berterima kasih atas rahmat Engkau, yang dengannya Engkau rahmati aku dan bapa dan ibuku, dan supaya aku buat kerja-kerja baik yang memuaskan hati Engkau, dan betulkanlah aku, dan juga pada keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau, dan aku termasuk orang-orang yang muslim (tunduk patuh).'
Mereka itulah orang-orang yang Kami menerima daripada mereka yang paling baik daripada apa mereka buat, dan Kami maafkan kejahatan mereka. Mereka adalah di kalangan penghuni-penghuni Taman - janji yang benar, yang mereka telah dijanjikan." (46:15-16)
Salam.
18 Mei 2009
Halaman Utama
Terkini Perpustakaan
Artikel Bacaan
E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
Senarai Penulis English
Articles
Tulis kepada Pengurus
Laman