Tangkapan Khalwat Hanya Rekaan Orang Melayu

 

From: nasribinazhar
To: e_bacaan@yahoo.com
Sent: Tuesday, April 28, 2009 5:09:20 PM
Subject: TANGKAPAN KHALWAT HANYA REKAAN ORANG MELAYU


Dipetik dari tulisan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin:

Beberapa hari lalu apabila saya membaca muka depan sebuah akhbar yang mendedahkan tangkapan khalwat ke atas individu tertentu yang dilakukan oleh jabatan agama dan disiarkan secara ‘promosi maruah’ oleh akhbar tertentu saya teringat kepada kenyataan saya pada peringkat awal saya jadi mufti dua tahun lepas yang membantah tajassus atau mengintip.

Masa itu saya baru sahaja hendak dikenali oleh sesetengah masyarakat negara ini. Sesetengah pihak ambil kesempatan untuk mengkritik saya dan menganggap itu pandangan yang ‘menghalalkan’ maksiat. Demikianlah segelintir kelompok manusia yang cepat menghukum tanpa berfikir dan menilai.

Hari ini saya hanya tinggal sebulan lagi berada atas jawatan mufti, isu khalwat kembali jadi tajuk besar media. Saya sudah banyak kali mengulas, namun biarlah saya sentuh lagi sebagai tazkirah isu ini untuk kali yang akhir ketika masih memegang jawatan.

Dalam hadis Muslim, seorang lelaki datang kepada Nabi saw dan berkata:


“Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah lakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu.”

Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya:

“Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”.

Nabi saw tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi saw menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya)

“Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu hapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah jadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat” (Surah Hud ayat 114).

Maka ada seorang bertanya:

“Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah?

Jawab Nabi saw:

“Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.

Demikianlah hadis ini menggambarkan Nabi SAW tidak mendedahkan keaiban orang lain selagi keburukan itu tidak dilakukan secara terang-terang. Juga, amalan soleh seperti solat boleh hapuskan keburukan yang dilakukan. Ya, Islam memang mengharamkan zina dan maksiat seks. Namun, Islam juga mengharamkan mendedahkan aib orang lain yang bersifat peribadi dan tidak mengancam keselamatan awam dan empunya berusaha menutupinya.

Dahulu saya sudah sebut hal ini. Ada yang enggan mendengarnya kerana mereka merasakan mungkar mesti didedahkan sebagai pengajaran. Padahal Islam mempunyai pendirian yang berbeza. Akhirnya, hasil daripada sikap suka mengintai dan mendedahkan perkara dalam ‘kain orang lain’ sekalipun pelakunya cuba sembunyikannya, maka kita lihat penyakit ini merebak ke dalam berbagai sektor kehidupan. Politik kita pun, politik lawan selak kain. Ekonomi pun demikian. Akhirnya, harga maruah jadi murah dalam masyarakat kita.

Sesetengah media, memang suka berita sensasi tentang maruah ‘orang lain’ untuk dilelong. Namun Islam menentang cara yang demikian. Maksiat yang dibanteras secara keras oleh Islam adalah maksiat yang berlaku secara terbuka kerana ia menggalakkan aktiviti mungkar dan mencemarkan iklim masyarakat Muslim. Adapun maksiat berlaku secara sembunyi dan hanya membabitkan soal peribadi insan, bukan keselamatan awam, maka ia tidak didedahkan.

Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya ‘Ulum al-Din. telah menyebut mengenai rukun-rukun pelaksanaan Hisbah. Hisbah bermaksud pelaksanaan al-Amr bi al-Ma‘ruf (menyuruh kepada kebaikan) apabila jelas ia ditinggalkan, dan al-Nahy ‘An al-Munkar (pencegahan kemungkaran) apabila jelas ia dilakukan. Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah:


“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu lakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta‘ala telah melarang hal ini. Kisah ‘Umar dan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan). Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa ‘Umar r.a. telah memanjat rumah seorang lelaki dan dapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah ‘Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakai-Nya pada tiga perkara. ‘Umar bertanya: “Apa dia?”. Dia berkata: Allah Taala telah berfirman (maksudnya: Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain). Sesungguhnya engkau telah lakukannya. Allah berfirman: (Maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya). Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya: janganlah kamu masuk ke dalam manamana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta beri salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak beri salam. Maka ‘Umar pun meninggalkannya…Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang masuktanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut..” (Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).

Tokoh ulama semasa seperti al-Qaradawi telah menyebut perkara yang hampir sama. Beliau dalam bukunya Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam telah menyatakan:

“Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya lakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintip atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemungkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis “barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya….” Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemungkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemungkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang kerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak nampakkannya. Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat. Hisab ini bukan jadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia lakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya. Bahkan hukuman Ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak nampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sahih: (bermaksud):“Setiap umatku diberikan ampunan kecuali orang-orang yang nampakkan (dosanya)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Justeru, tiada seorang pun mempunyai wewenang untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyi. Terutamanya maksiat hati seperti riyak, kemunafikan, kesombongan, dengki, kikir dan lain-lainnya. Sekalipun agama menganggapnya sebagai dosa besar, namun tidak dibantah-selagi tidak zahir dalam bentuk amalan. Sebabnya ialah kita diperintah untuk menghakimi manusia apa yang kita nampak. Adapun hal-hal yang tersembunyi kita serahkan kepada Allah”. Lalu al-Qaradawi menyebut kisah Saidina ‘Umar tadi. (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, m.s. 124, Kaherah: Dar al-Syuruq).

Dalam tafsir Fi Zilal al-Quran, ketika menafsirkan firman Allah (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak sangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan
janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha mengasihani”, Sayyid Qutb menyebut: “Namun perkara ini kesannya lebih jauh dari itu. Ia adalah prinsip Islam yang utama dalam sistem kemasyarakatannya, juga dalam urusan perundangan dan pelaksanaannya. Sesungguhnya bagi manusia itu kebebasan, kehormatan, kemuliaan yang tidak boleh dicerobohi dalam apa bentuk sekalipun. Tidak boleh disentuh dalam apa keadaan sekalipun. Dalam masyarakat Islami yang tinggi dan mulia, manusia hidup dalam keadaan aman pada diri mereka, aman pada rumah mereka, aman pada rahsia mereka dan aman pada keaiban mereka. Tiada sebarang justifikasi – atas apa alasan sekali pun – untuk mencerobohi kehormatan diri, rumah, rahsia dan keaiban. Sekalipun atas pendekatan mencari jenayah atau memastikannya, tetap tidak diterima dalam Islam pendekatan mengintip orang ramai. Hukum manusia berasaskan apa yang zahir. Tiada hak sesiapa untuk mencari-cari rahsia orang lain. Seseorang tidak akan diambil tindakan melainkan atas kesalahan dan jenayah yang nyata dari mereka….demikianlah nas ini (larangan tajassus) menempatkan dirinya dalam sistem pelaksanaan dalam masyarakat Islami. Ia bukan sekadar mendidik jiwa dan membersihkan hati, bahkan ia telah jadi dinding yang memagari kehormatan, hak dan kebebasan manusia. Tidak boleh disentuh dari dekat atau jauh, atau atas sebarang pendekatan atau nama”. (Sayyid Qutb, Fi Zilal al-Quran, 6/3346, Kaherah: Dar al- Syuruq).

Amat dukacita bagi masyarakat kita, jika kita sibuk mendedahkan maksiat yang tertutup yang disuruh oleh prinsip Islam agar kita tidak membukanya, dalam masa yang sama kita membiarkan berleluasa maksiat yang terbuka yang dilakukan atas pentas, dalam filem dan dijual dengan harga yang mahal.

Amatlah dukacita jika penguat kuasa agama ada masa yang cukup untuk pergi mengintip, memecah pintu milik peribadi orang lain bagi memastikan maksiat wujud ataupun tidak, namun dalam masa yang sama tiada masa untuk menghenti suami yang zalim memukul isteri yang sudah berulang kali buat aduan, tidak cukup masa untuk menyelesaikan kes-kes kezaliman rumah tangga dan seumpamanya.

Aduhai dukacita, jika mereka bersemangat sampai sanggup tunggu pukul 2, 3 pagi untuk mengintip pasangan berkhalwat tetapi tiada cukup tenaga untuk membantah majalah-majalah yang terang-terang siang dan malam dijual yang mempamerkan aksi-aksi panas pasangan yang tidak berkahwin. Kita cari yang tersembunyi, kita biarkan yang nyata.

Dalam satu riwayat daripada Zaid bin Wahb, katanya:

Dibawa seorang lelaki kepada ‘Abd Allah bin Mas‘ud, lalu diberitahu kepadanya: Lelaki ini menitis arak dari janggutnya. Kata ‘Abd Allah bin Mas‘ud: “Kita dilarang untuk mengintip, namun apabila jelas kepada kita maka kita bertindak”. (Riwayat Abu Daud. Sanadnya sahih).



Salamun alaikum,

Terima kasih atas kiriman sangat bagus. Tapi terlupa beri salam! Kiriman membawa pendedahan suatu amalan salah para ikutan orang Melayu. Amalan itu dilakukan atas nama agama, lalu jadi amalan mengadakan dusta terhadap Allah kerana Islam adalah agama-Nya. Ayat-ayat seperti larangan mengintip telah dimaklumkan tetapi dalam mendustakan ayat-ayat-Nya, mereka berterusan dengan amalan zalim yang diceduk daripada gedung sangkaan golongan mereka, bukan gedung yang mengandungi kebenaran.

Tidak berniat tunjukkan pandai, atas tulisan yang sudah cukup bermakna di atas, tetapi hanya ingin mengkhabarkan apa yang di belakang perbuatan mereka ada disebut di dalam al-Qur'an, berbunyi,

"Dan siapakah lebih zalim daripada orang yang ada-adakan dusta terhadap Allah, atau dustakan ayat-ayat-Nya? Sesungguhnya orang-orang yang berdosa tidak beruntung." (10:17)

"Dan kebanyakan mereka hanya ikut sangkaan, dan sangkaan tidaklah berguna sedikit pun terhadap yang benar. Sesungguhnya Allah tahu apa mereka buat." (10:36)

Salam.

30 April 2009
 

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman