Hidup dengan isteri tidak percaya

 

From: MAL
To: Pengurus Laman <e_bacaan@yahoo.com>
Sent: Friday, March 27, 2009 1:24:12 AM
Subject: Hidup dengan isteri tidak percaya


Salamun Alaikum tuan.

Semoga tuan dan sekeluarga berada dalam keadaan sihat sejahtera dan dirahmati Allah sentiasa.

Saya ingin berkongsi pendapat dengan tuan mengenai ayat ini.

"Wahai orang-orang yang percaya, apabila perempuan-perempuan mukmin datang kepada kamu sebagai penghijrah, ujilah mereka. Allah sangat-sangat tahu keimanan mereka. Kemudian, jika kamu tahu bahawa mereka adalah perempuan-perempuan mukmin, janganlah kembalikan mereka kepada orang-orang tidak percaya. Mereka adalah tidak halal bagi orang-orang tidak percaya, dan tidak juga orang-orang tidak percaya halal bagi mereka. Berikan orang-orang tidak percaya apa yang mereka telah nafkahkan (belanjakan); dan tiada kesalahan ke atas kamu untuk kahwini mereka, apabila kamu beri mereka upah mereka. Janganlah kamu berpegang pada ikatan dengan perempuan-perempuan tidak percaya, dan mintalah apa yang kamu sudah nafkahkan, dan biarlah mereka minta apa yang mereka telah nafkahkan. Itu putusan Allah; Dia hakimkan antara kamu; dan Allah Mengetahui, Bijaksana." (60:10)

Tuan ada mengatakan di kandungan laman "E-Mail" di bawah tajuk "kahwini Perempuan ahli kitab." di perenggan kedua terakhir seperti berikut;

Ayat turut menyebut mengenai tidak meneruskan hidup dalam perkahwinan dengan isteri yang tidak percaya! Sedangkan yang sudah jadi isteri dilarang meneruskan ikatan dalam perkahwinan apatah lagi dengan perempuan-perempuan yang bakal dijadikan isteri.

Daripada ayat di atas dan huraian tuan, dapatlah saya fahami bahawa Allah melarang orang-orang yang percaya supaya tidak meneruskan ikatan (perkahwinan) dengan orang-orang tidak percaya.

Ayat di atas ada kena-mengena dengan saya. Isteri saya adalah termasuk golongan yang tidak percaya. Dia akan menuduh saya sesat dan menyuruh bertaubat sekiranya saya sampaikan ayat-ayat Al-Quran yang disertai dengan hujah-hujah. Pernah dia menitiskan air mata kerana katanya saya sudah 'terpesong jauh' dari Islam. Namun, saya tidak langsung berasa kasihan kerana saya yakin saya sedang berada di jalan yang lurus. Kadang-kala dia akan menutup telinga dan tidak mahu mendengar penjelasan saya kerana dia tidak mahu terpengaruh dengan golongan 'anti-hadis'. Dia lalu menyuruh saya berjumpa dengan ustaz atau orang yang pakar dalam agama kerana baginya kalau berbahas dengannya, tidak ada makna sebab dia bukan pakar agama, katanya. 

Saya tidak memaksa. Namun kalau ada peluang saya akan sampaikan ayat-ayat Allah kepadanya. Saban hari, selesai solat saya akan berdoa kepada Allah semoga dia diberi petunjuk untuk berada di jalan yang lurus. Alhamdulillah, kini penentangannya tidaklah sehebat sebulan yang lalu namun dia tetap tidak percaya. Katanya, dia tidak mahu berbincang soal-soal itu lagi. Saya akur dan tidak akan memaksa namun akan berusaha supaya hati isteri saya terbuka untuk menerima ajaran-ajaran dari Al-Quran dan bukan daripada hadis kerana saya mungkin yakin suatu hari dia akan dapat petunjuk

Namun setelah membaca ayat Al-Quran di atas (terutama yang ditanda dengan garis) hati kecil saya berbisik. Perlukah saya meneruskan ikatan (perkahwinan) ini kerana saya sedang menjalani kehidupan bersama dengan isteri yang saya kasihi namun tidak percaya kerana saya akur penghakiman Allah kerana Dia Mengetahui, Bijaksana. Setelah menggunakan akal, saya sertakan ayat di bawah ini dengan menyeru jalan Pemelihara dengan kebijaksanaan, teguran dan debat yang baik, hatinya akan terbuka dan saya berserah kepada  Allah kerana Dia sajalah yang sangat-sangat tahu orang-orang yang sesat dan dapat petunjuk.

"Serulah ke jalan Pemelihara kamu dengan kebijaksanaan dan teguran yang baik, dan debatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Pemelihara kamu, Dia sangat-sangat tahu orang-orang yang sesat daripada jalan-Nya, dan Dia sangat-sangat tahu orang-orang yang dapat petunjuk." (16:125)

Jika tuan tidak keberatan, mohon kiranya pendapat tuan dikongsi di sini mengenai perkara ini.  

Terima kasih kerana meluangkan masa membaca email yang tak seberapa ini.  

Teruskan perjuangan sampaikan ayat-ayat Al-Quran.

Salam.


Salamun alaikum,

Terima kasih kerana sudi menulis untuk ceritakan suatu kepahitan dalam kehidupan yang sahabat sedang alami. Sebak telah menyentuh kami ketika membacanya, terutama apabila dapati keimanan sahabat begitu kental sambil menahan dugaan yang menimpa dengan penuh kesabaran. Sifat terpuji lagi mulia itu harus diketengahkan supaya jadi teladan amat berguna bagi para pengunjung laman web ini. Demikianlah adalah satu contoh ujian Allah kepada orang-orang yang mengaku percaya kepada-Nya.

Isteri sahabat adalah seorang ahli Kitab yang menolak seruan dibuat kali pertama kepadanya. Penolakan serupa itu agak lazim, tetapi pedih dirasai oleh penyeru; apatah lagi apabila penyeru merupakan seorang suami yang mencintai isterinya. Kami yakin isteri sahabat juga mencintai suaminya.

Penawar bagi kepahitan sahabat ialah Kitab al-Qur'an. Bacalah ia sebanyak yang mungkin tiap-tiap hari nescaya berjumpa dengan ayat-ayat yang teguhkan lagi keimanan sahabat, dan yang dapat menghuraikan kekusutan yang dihadapi. Pun begitu, kami ingin mengingatkan, sekiranya kami boleh buat demikian, iaitu tentang sungutan seorang isteri yang ketika itu sedang menghadapi masalah dengan suaminya. Dia bersungut kerana suaminya asyik dengan al-Qur'an sahaja, sehingga jadi pada pandangannya, suami telah dirasuk sesuatu. Oleh itu, bacalah al-Qur'an seperti masa-masa ditentukan Allah, iaitu pada waktu malam ketika orang lain sedang tidur, dan pada waktu fajar.

Adalah terlalu awal untuk menyamakan keadaan sahabat dengan Nabi Nuh dan Lut yang mempunyai isteri tidak percaya. Lagipun, isteri-isteri mereka tidak diceritakan terdiri daripada ahli Kitab, mungkin kerana Kitab belum diturunkan, atau hukumnya berbeza. Seterusnya, pada hemat kami, mereka diceritakan di dalam al-Qur'an supaya orang-orang lain yang menghadapi masalah serupa tidak jadi begitu sedih, sedangkan antara para Nabi pun mempunyai isteri yang tidak percaya.

Ikatan perkahwinan harus diteruskan, tapi berpisah daripada tempat tidur, seperti diwahyukan. Namun, jika dia berkeperluan maka jangan nafi keperluannya. Tentu ada hikmah di sebalik petunjuk-Nya.

Kami anggap baik segala tindakan yang sahabat sudah dan akan ambil dalam menempuh ujian yang berat itu. Teruskan buat baik, sambil sabar dengan kesabaran yang manis, dan ingatlah bahawa Allah menolong orang-orang yang menolong-Nya.

Salam.

28.3.09

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman