Tahu tidak ikut al-Qur'an - Dipesongkan
From: abumuslim
To: Tuan Pengurus Laman <e_bacaan@yahoo.com>
Sent: Thursday, January 8, 2009 12:24:01 AM
Subject: Harta benda.Salamun 'alaikum,
Mungkinkah kerana mereka ambil upah lalu kerana 'upah/gaji/habuan/elaun' tersebut maka mereka takut mengatakan hal yang sebenar ?. Mungkin takut periuk nasi/rezeki mereka tersekat oleh orang-orang yang tertentu, walaupun mereka sedari bahawa rezeki/pangkat/kuasa datang hanya dari Allah Pemelihara seluruh alam?.
Saya ingin berkongsi sebuah cerita, sama ada relevan atau tidak, para pembacalah yang tentukan.(Hanya sebuah cerita rekaan)
Suatu hari seorang alim agama di sebuah kampung terdengar akan kisah sebuah pokok yang berpuaka. Maka demi Allah dan hati yang tekad, si alim ini pun mencapai sebilah kapak lalu menuju ke arah pokok yang berpuaka itu dengan niat untuk menebang dan musnahkannya. Sampai sahaja dia disana, dan ketika dia mula menghayunkan kapaknya, lalu dia ditahan oleh suatu lembaga.
Lembaga itu ialah jin penunggu pokok tersebut. Lalu jin itu pun bertanya; ''Wahai manusia apakah yang ingin engkau lakukan ?''. Maka si alim ini menjawab; ''Demi Allah, aku bertekad mahu menebang pokok ini, kerana ia telah menakutkan ramai penduduk kampung, mereka lebih takut pada pokok ini daripada Allah''. Terdengar saja akan penjelasan si alim ini, lalu jin itu pun serangnya. Berlakulah pergelutan di antara mereka berdua, namun dengan mudah dimenangi oleh si alim. Maka jin pun bertanya; ''Wahai manusia, kekuatan apakah yang ada padamu, sehingga dapat menewaskan aku dengan begitu mudah ?''. Si alim menjawab; ''Aku percaya tiada tuhan selain Allah, dan Allah berkuasa ke atas segala sesuatu, dan kepada Dia aku memohon perlindungan dan pertolongan''.
Setelah mendengar jawaban si alim, lalu jin mula memujuknya, jin itu berkata; ''Wahai manusia yang baik hati, kasihanilah aku, janganlah ditebang pokok tempat tinggal aku, aku berjanji tidak akan mengganggu penduduk kampung, malah akan aku berikan kau hadiah yang istimewa''. Lalu jin itu pun memujuk terus menerus dengan mengulangi ayat-ayatnya, sehinggalah si alim bersetuju untuk tidak laksanakan hasratnya dengan syarat jin mesti memenuhi janji. Lalu jin pun berkata; ''Pulanglah engkau wahai manusia yang baik hati, selepas setiap kali engkau bersembahyang, angkatlah kain sejadahmu, dibawahnya ada hadiah berupa syiling emas''.
Lalu si alim pun pulang, tidak dihiraukan sangat akan apa yang diperkatakan oleh jin. Maka si alim pun menjalankan rutin kehidupan seperti biasa, namun tertanya-tanya di dalam hatinya 'Apakah benar ada sesuatu di bawah sejadahku?'. Apabila diperiksa, terperanjat besarlah si alim kerana terdapat kepingan syiling emas dibawahnya, maka tersenyum dan gembiralah hatinya dan yakinlah dia bahawa jin itu telah menunaikan janji. Begitulah kehidupannya dari sehari ke sehari, bersembahyang dan ambil syiling emas dari bawah sejadahnya, sehinggalah si alim ini bersembahyang kerana inginkan syiling emas tidak lagi kerana Allah.
Pada satu hari setelah bersembahyang, diperiksanya dibawah sejadah, tapi tiada syiling emas. Begitulah yang dilakukan oleh si alim setiap kali selepas sembahyang pada hari-hari yang berikutnya, namun syiling emas tidak kelihatan juga. Timbullah perasaan marah terhadap jin. Berkatalah dia didalam hatinya; ''Cis, jin ini menipu aku, akan aku musnahkan dia! Jin penipu!''. Maka dicapai kapaknya dan dengan hati yang marah menuju ke arah pokok tersebut. Setibanya dia disana, jin pun muncul dihadapannya lalu menahannya dan berkata; ''Wahai manusia apakah yang ingin engkau lakukan?''. Si alim menjawab dengan perasaan yang marah; ''Cis, jin penipu! Engkau berjanji padaku untuk beri hadiah istimewa iaitu syiling emas, tapi sejak beberapa hari ini, apabila aku memeriksa dibawah sejadahku, syiling emas itu tiada, tidak seperti sebelum ini! Jin penipu! Aku datang hari ini adalah untuk musnahkan engkau!''.
Maka berlakulah pergelutan diantara mereka berdua, namun kali ini ianya dimenangi oleh jin. Dengan terpinga-pinga si alim berkata; ''Apakah yang telah terjadi?. Mengapakah aku boleh tewas kepada engkau wahai jin?. Sedangkan sebelum ini aku berjaya kalahkan engkau?''.
Jin itu berkata; ''Wahai manusia, sebelum ini engkau datang dengan hati yang lurus kerana Allah, dan itulah kekuatanmu, kerana itulah engkau berjaya kalahkanku; aku sama sekali tiada daya dan upaya dalam menentang kekuasaan Allah, tetapi pada hari ini hatimu telah dipesongkan oleh harta benda; dan pada hari ini diri engkaulah yang musnah''.
Sekian terima kasih :).
Salamun
alaikum,
Terima kasih kerana sudi menulis lagi dan terima kasih juga atas cerita rekaan yang membawa kesedaran. Pendekatan melalui cerita untuk sampaikan mesej didapati digemari ramai serta berkesan, dan pendekatan ini diguna juga oleh Allah di dalam Kitab-Nya, al-Qur'an.
Kata kunci daripada cerita di atas, pada hemat kami, ialah dipesongkan. Si alim tersebut dapat ditewaskan setelah dipesongkan dengan harta benda. Seperti itu juga dengan orang-orang lain yang dipesongkan daripada ayat-ayat Allah, atau daripada mengingati-Nya, menurut firman bermaksud,
"Wahai orang-orang yang percaya, janganlah harta-harta kamu dan jangan juga anak-anak kamu memesongkan kamu daripada Peringatan Allah; sesiapa yang buat demikian itu, merekalah orang-orang yang rugi." (63:9)
Selain daripada harta benda, anak-anak juga didapati mampu memesongkan seseorang daripada jalan Allah. Mereka jadi sesuatu yang diangan-angankan sebagai ganjaran daripada Allah oleh sesetengah manusia. Namun, mereka merupakan hanya perhiasan kehidupan dunia yang tidak kekal. Firman Tuhan,
"Harta dan anak-anak ialah perhiasan kehidupan dunia; tetapi yang kekal, kerja-kerja baik - adalah lebih baik di sisi Pemelihara kamu dalam ganjaran, dan lebih baik diangan-angankan." (18:46)
Pasangan harta dan anak-anak selalu disebut di dalam al-Qur'an. Antara ayat-ayat mengenai mereka yang harus dijadikan peringatan adalah:
"Dan ketahuilah
bahawa harta kamu dan anak-anak kamu adalah cubaan, dan sesungguhnya
Allah, di sisi-Nya adalah upah yang besar." (8:28)
"Maka
janganlah harta-harta mereka, dan anak-anak mereka, menarik hati kamu;
Allah hanya hendak dengannya untuk mengazab mereka dalam kehidupan
dunia ini, dan supaya jiwa-jiwa mereka melayang sedang mereka orang-orang tidak percaya (kafir)." (9:55)
"Adakah
kamu lihat orang tidak percaya kepada ayat-ayat Kami, dan berkata,
'Sungguh, aku akan diberi harta dan anak-anak'" (19:77)
"Apa,
adakah mereka sangka bahawa Kami membantu mereka dengan harta dan
anak-anak,
Kami bersegera dalam kebajikan untuk mereka? Tidak, tetapi mereka tidak sedar." (23:55-56)
"Bukanlah
harta kamu, dan bukan juga anak-anak kamu yang akan mendekatkan kamu dalam
kedekatan dengan Kami, kecuali bagi orang-orang yang percaya, dan buat
kerja-kerja baik ;" (34:37)
"Ketahuilah bahawa
kehidupan dunia adalah tiada, melainkan satu permainan, dan satu hiburan,
dan perhiasan, dan bermegah-megah antara kamu, dan persaingan dalam harta
dan anak-anak. Ia persamaan hujan di mana tanamannya mengagumkan
orang-orang tidak percaya; kemudian ia jadi kering, dan kamu
melihatnya jadi kuning, kemudian ia jadi jerami yang hancur. Dan di
akhirat ada azab yang keras, dan ampunan daripada Allah, dan kepuasan
hati; dan kehidupan dunia adalah tiada, melainkan kesenangan yang
menipukan." (57:20)
"Maka jangan kamu taati orang-orang yang dustakan.
Mereka inginkan supaya kamu berkompromi, kemudian mereka berkompromi.
Dan janganlah kamu taati setiap orang yang bersumpah, yang keji,
Pengumpat yang berjalan-jalan dengan fitnahan,
Penghalang kebaikan, pelampau batas yang bersalah,
Berbudi kasar; tambahan pula, berkelakuan keji,
Kerana dia mempunyai harta dan anak-anak.
Apabila ayat-ayat Kami dibacakan
kepadanya, dia berkata, 'Dongeng orang-orang dahulu kala!'” (68:8-15)
dan,
"Tinggalkanlah Aku dengan orang yang Aku telah cipta sendirian,
Dan buatkan baginya harta yang banyak,
Dan anak-anak yang berdiri di hadapannya,
Dan buatkan segalanya licin baginya, selicin-licinnya.
Kemudian dia inginkan supaya Aku menambahkan.
Tidak sekali-kali! Dia berdegil terhadap ayat-ayat Kami," (74:11-16)
Dan syaitan didapati bersekutu dengan sebahagian manusia dalam harta dan anak-anak mereka, menurut ayat berbunyi, "'dan bersekutulah dengan mereka dalam harta mereka dan anak-anak mereka, dan janjikanlah mereka!' Tetapi syaitan tidak janjikan mereka kecuali tipuan." (17:64)
Demikianlah mengenai harta dan anak-anak milik seseorang yang mampu memesongkannyaa. Terdapat juga orang-orang yang dipesongkan daripada kebenaran setelah melihat kekurangan harta benda pada orang-orang yang menyampaikan ayat-ayat Allah. Nabi juga telah mengalami yang sama dengan teguran menghinakan, seperti di bawah:
"Boleh jadi kamu tinggalkan sebahagian daripada apa yang diwahyukan kepada kamu, dan dada kamu jadi sempit dengannya, kerana mereka berkata, 'Mengapa harta simpanan tidak diturunkan kepadanya, atau malaikat tidak datang bersama dia?' Kamu hanyalah seorang pemberi amaran; dan Allah Wakil atas segala sesuatu." (11:12)
"'Atau, mengapakah harta simpanan tidak dilemparkan kepadanya, atau kebun (jannah) yang daripadanya dia makan?" orang-orang zalim berkata, 'Kamu hanyalah ikut seorang lelaki yang kena sihir!'" (25:8)
Serupa dengan pemberi-pemberi amaran lain, termasuk Nabi Nuh, yang ditentang kerana tidak mempunyai harta yang banyak. Ayat-ayat berikut jelaskannya,
"Kami tidak utus seorang pemberi amaran ke sesebuah bandaraya melainkan orang-orangnya yang hidup mewah berkata, 'Kami tidak percaya kepada apa yang kamu diutus dengannya.'
Dan mereka berkata, 'Kami lebih banyak dalam harta dan anak-anak, dan kami tidak akan diazab.'" (34:34-35)
"Nuh berkata, 'Wahai Pemeliharaku, mereka menentang aku, dan ikut orang yang hartanya dan anak-anaknya tidak menambah kepadanya kecuali dalam kerugian,'" (71:21).
Dalam pemilihan untuk melantik ketua atau raja harta benda juga dipandang oleh sebahagian manusia. Iktibar diambil daripada cerita peperangan di antara Thalut dan Jalut yang kemudiannya dibunuh oleh Nabi Daud:
"Kemudian Nabi mereka berkata kepada mereka, 'Sesungguhnya Allah bangkitkan Thalut bagi kamu sebagai raja.' Mereka berkata, 'Bagaimanakah patut bagi dia menjadi raja kepada kami, yang lebih berhak daripadanya pada kerajaan, memandangkan dia tidak diberi harta yang banyak?' Dia berkata, 'Sesungguhnya Allah memilihnya di atas kamu, dan tambahkannya dengan luas dalam pengetahuan dan tubuh. Allah beri kerajaan kepada siapa Dia hendaki; dan Allah Merangkumi, Mengetahui.'" (2:247)
Balik kepada bicara mengenai kata kunci. Bukan sahaja harta benda atau anak-anak yang mampu memesongkan seseorang daripada jalan Allah malah tiga yang berikut turut jadi faktornya jua:
angan-angan:
"Tinggalkanlah mereka untuk makan, dan untuk mereka
gembira, dan untuk dipesongkan dengan angan-angan; kelak mereka akan tahu." (15:3)
perdagangan dan jual beli:
"Adalah lelaki-lelaki yang perdagangan dan jual beli
tidak pesongkan mereka daripada Peringatan Allah, dan untuk melakukan
solat, dan untuk memberi zakat, dan takut akan satu hari apabila hati
dan penglihatan dibalik-balikkan kepadanya." (24:37) dan,
persaingan:
"Persaingan memesongkan kamu," (102:1).
Sampai di sini sahaja yang mampu kami tulis kali ini. Diharap cerita sahabat Abumuslim dan ayat-ayat al-Qur'an yang dimuatkan di ruangan ini dapat beri manfaat kepada pembaca.
Salam.
9 Januari 2009
Halaman Utama
Terkini Perpustakaan
Artikel Bacaan
E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
Senarai Penulis English
Articles
Tulis kepada Pengurus
Laman