Cetak Rompak

 

From: abumuslim
To: Tuan Pengurus Laman <e_bacaan@yahoo.com>
Sent: Sunday, December 14, 2008 9:45:00 PM
Subject: Cetak rompak.

Salamun 'alaikum,

Ramai dikalangan masyarakat kita yang suka membeli barangan cetak rompak terutamanya DVD, VCD, CD - filem, lagu, perisian komp., permainan komp. dan sebagainya.

2:188. Dan janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan cara palsu, dan kamu menawarkannya kepada hakim-hakim, supaya kamu dapat makan, dengan dosa, sebahagian daripada harta manusia yang lain sedang kamu mengetahuinya.

Adakah ayat di atas boleh disamakan dengan orang-orang yang membeli barangan cetak rompak iaitu memakan harta-harta secara palsu ?.

Atau mereka yang membeli barangan cetak rompak ini boleh digelar sebagai pencuri ?.
Apa pendapat sahabat tentang perkara ini ?.

Terima kasih.


Salamun alaikum,

Teringat zaman dulu ketika muda (isy, orang tua ni asyik cerita lama aje!) apabila ditanya oleh seorang sahabat, apakah curi yang tidak salah? Jawapan kami, semua curi bersalah. Katanya tidak, curi hati tidak salah! Kami tersenyum kerana ketika itu sedang mencuri hati seseorang.

Sebelum terlupa, kami ucapkan terima kasih kepada sahabat kerana sudi menulis lagi, untuk mendatangkan satu soalan, yang pada hemat kami, terkena pada batang hidung semua orang terutamanya dengan kehadiran frasa "dan sebagainya" yang diselitkan. Frasa tersebut merangkumi alat gantian kereta, ubat-ubatan, dan lain, yang reka bentuk dirompak daripada ciptaan asal.

Mengapa jadi begitu? Pada hemat kami juga, dunia hari ini adalah dunia riba, manusia mencari untung berlipat kali ganda. Mencekik darah manusia.

Satu lagi cerita. Harap sabar. Setahun lebih yang lalu kami membeli sebuah laptop dengan OS Vista. Kedua-duanya sah dari segi undang-undang, iaitu yang genuine. Kemudian kami dapati tidak serasi dengan Vista lalu pergi ke sebuah kedai komputer bertanyakan tentang penukaran Vista kepada XP. Kami terkejut apabila disebut sejumlah RM500.00 diperlukan untuk memproseskannya. Terkejut kerana kami seorang pesara bukan jutawan. Rancangan kami dibatalkan tetapi di dalam hati berkata, tidak peliklah orang pilih beli cetak rompak!

Mencetak rompak adalah perbuatan mencuri, yang hukumannya tersedia di dalam al-Qur'an. Membeli barang cetak rompak pula bermakna menolong orang-orang yang mencuri, atau bersubahat.

Sebaliknya pula, yang asli itu berlumuran dengan riba. Membelinya bermaksud menggalakkan lagi riba, yang dilarang Allah dengan keras. Allah menyuruh supaya riba diperangi (2:278-279).

Justeru, kes ini serupa makan daging babi apabila terpaksa, dengan memakannya tanpa niat mengingkari ayat-ayat Allah. Dan kemudian mohon ampun kepada-Nya.

Kami tidak tahu apa harus dikatakan lagi. Cuma ingin beri satu nasihat, iaitu ikut undang-undang negara, kerana hujah kami yang baru disebut tidak akan laku di mana-mana mahkamah dunia.

Kembali kepada ayat yang dipetik sahabat kita. Diturunkan sekali lagi supaya senang dirujuk:

"Dan janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan cara palsu, dan kamu menawarkannya kepada hakim-hakim, supaya kamu dapat makan, dengan dosa, sebahagian daripada harta manusia yang lain sedang kamu mengetahuinya." (2:188)

Kelihatan seperti hakim atau penguasa disogok (misalan 20% daripada keuntungan jual-beli) supaya kamu dapat makan harta (atau wang) orang lain (seperti pembeli, atau pembayar cukai) dengan cara palsu. Gejala ini biasa terdengar, tapi sukar dipastikan di mahkamah.

Mungkin juga kamu di situ ada kaitan dengan riba pula. Kerana riba pun amalan yang makan harta manusia secara palsu. Sila lihat ayat riba di bawah:

"Dan kerana ambilan riba mereka, yang mereka telah dilarang daripadanya, dan makan harta manusia dengan cara palsu; dan Kami sediakan bagi orang-orang tidak percaya antara mereka, azab yang pedih." (4:161)

Oleh itu, ada orang disogok, supaya riba dapat dimakan dengan banyak sekali. Demikianlah andaian kami yang kedua.

 

Sebagai penutup, kami tinggalkan keputusan kepada para pembaca untuk menentukan sendiri sama ada ayat yang dikemukakan oleh sahabat kita ada kaitan dengan cetak rompak. Selamat memutuskannya!

 

Salam.

 

15 Dis 2008

 

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman