Respon 4 - Membetulkan Makanan Satu Pendapat

 

From: Ashraf Sani
To: rujukan bacaan <e_bacaan@yahoo.com>
Sent: Friday, December 12, 2008 4:28:28 PM
Subject:
Jangan Kurang Ajar Dengan Allah


Salam,

 

Semoga saudara pengurus dan pembaca sekalian berada dalam sihat sejahtera dan di rahmati Allah.

 

Saya tertarik dengan tajuk "Makanan Satu Pendapat" yang dibincangkan dan respon-respon yang diberikan. Di sini, saya bukan mahu membincangkan tajuk ini lagi tetapi apa yang menarik perhatian saya tentang perbincangan ini ialah sikap terbuka, ingin tahu dan toleransi serta sanggup meneruskan pembelajaran yang ditunjukkan oleh responden-responden.

 

Saya perhatikan, dalam kita membaca Al Quran, mendalami dan memahami maksudnya serta sampaikan kepada orang lain, kadang-kadang ada perkara yang akal kita tak sampai pada maksud sebenar ayat-ayat Al Quran. Atau kadang-kadang kita terlepas pandang pada sesuatu ayat atau perkataan Al Quran itu sendiri. Memang kita dianjurkan untuk membaca Al Quran dan menggunakan telinga, mata dan hati untuk mendengar, melihat dan memahami ayat-ayat Allah tetapi jangan kita lupa bahawa kita juga mestilah sanggup dibacakan ayat-ayatnya supaya kita mendengarkannya baik-baik, diam/perhatikan dengan tenang supaya dapat rahmat/dikasihani (lihat 7:204) Jadi ada proses baca dan dibacakan atau belajar dan diajarkan

 

Maka, konsep ini mestilah disemai oleh orang-orang yang mahu membaca, memahami dan melaksanakan Al Quran supaya mampu belajar dan sanggup diajar. Dalam Ar-Rahman 55:1-4 ada menjelaskan bahawa Allah Yang Pemurah ajar Al Quran kepada manusia yang diciptakannya. Jadi kita mesti sanggup diajar supaya tidak dikatakan kurang ajar dengan Allah.

 

Sekian sahaja untuk kali ini. Apa-apa tulisan saya yang tersilap minta diperbetulkan dan jika ada yang terkasar minta dimaafkan.

 

Salam  


Salamun alaikum,

Terima kasih kepada sahabat AS atas teguran yang boleh jadi pedoman bagi semua pihak termasuk pihak kami. Keikhlasan padanya disambut baik.

Pada hemat kami, teguran disemarakkan oleh perasaan ingin membetulkan kesilapan sesama sendiri setelah bertemu dengannya demi ketaatan dan ketakwaan kepada Allah. Langkah ini memang disuruh. Firman-Nya,

".... untuk menjadi taat, dan bertakwa, dan membetulkan antara manusia. Allah Mendengar, Mengetahui." (2:224)

Teguran dapat menyedarkan orang-orang yang buat kesilapan besar dengan tanpa mengetahuinya. Setelah ditegur atau disedarkan dia harus membetulkan kesilapannya di samping bertaubat kepada Allah. Jika begitu dilaksanakan, dia akan dapati Allah Pengampun, Pengasih. Demikianlah menurut ayat berbunyi,

"Kemudian, sesungguhnya Pemelihara kamu - bagi orang-orang yang buat jahat dalam kejahilan, kemudian bertaubat sesudah itu, dan membetulkan - sesungguhnya Pemelihara kamu sesudah itu, Pengampun, Pengasih." (16:119)

Sementara ayat lain pula menjelaskan bahawa orang-orang yang membetulkan diri sendiri adalah yang berpegang teguh pada Kitab, dan lakukan solat. Usaha mereka tidak disia-siakan Allah. Ayat tersebut diturunkan di bawah:

"Dan orang-orang yang berpegang teguh pada Kitab, dan melakukan solat - sesungguhnya Kami tidak sia-siakan upah orang-orang yang membetulkan." (7:170)

Bukan sahaja orang-orang yang membetulkan malah tempat mereka menghuni pun akan turut selamat daripada dimusnahkan-Nya dengan zalim. Allah telah berjanji (janji ini berat, harap kemusnahan tidak berlaku di sini) seperti berikut:

"Pemelihara kamu tidak musnahkan bandaraya-bandaraya dengan kezaliman, sedang penduduknya membetulkan." (11:117)

Lagi difahamkan daripada al-Qur'an iaitu Allah turut didapati membetulkan manusia. Dia membetulkan dua kelemahan pada mereka. Pertama, dibetulkan-Nya amalan mereka - yang percaya dan menakuti-Nya, dan ucapan mereka tepat pada sasaran. Firman-Nya,

"Wahai orang-orang yang percaya, takutilah Allah, dan ucapkanlah perkataan-perkataan yang tepat pada sasaran.
Dia akan membetulkan amalan-amalan kamu untuk kamu, dan ampunkan kamu atas kesalahan-kesalahan kamu." (33:70-71)

Di samping amalan dibetulkan, kesalahan juga diampunkan. Itu adalah satu kemenangan yang besar.

 

Kedua, Dia membetulkan keadaan manusia. Mereka yang dibetulkan adalah yang percaya, buat kerja-kerja baik , dan percaya bahawa al-Qur'an sebenarnya yang benar daripada Allah. Bagi mereka, kejahatan-kejahatan mereka turut dilepaskan-Nya. Firman Tuhan,

"Tetapi orang-orang yang percaya, dan buat kerja-kerja baik , dan percaya kepada apa diturunkan kepada Muhammad, dan ia adalah yang benar daripada Pemelihara mereka, Dia akan lepaskan mereka daripada kejahatan-kejahatan mereka, dan membetulkan keadaan mereka." (47:2)

Demikianlah perkara-perkara pada manusia yang dibetulkan Allah. Sebaliknya pula, Dia didapati tidak membetulkan amalan sesetengah golongan manusia. Mereka, menurut ayat di bawah, adalah orang-orang yang buat kerosakan di bumi:

"Sesungguhnya Allah tidak betulkan amalan orang-orang yang buat kerosakan." (10:81)

Justeru itu, manusia sentiasa berharap semoga Allah membetulkan mereka. Harapan diterjemahkan ke dalam sebutan doa kepada-Nya, seperti doa ketika sampai umur empat puluh tahun yang diajar-Nya berbunyi,

"Wahai Pemeliharaku, sediakanlah aku supaya aku berterima kasih atas rahmat Engkau, yang dengannya Engkau rahmati aku dan bapa dan ibuku, dan supaya aku buat kerja-kerja baik yang memuaskan hati Engkau, dan betulkanlah aku, dan juga pada keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau, dan aku termasuk orang-orang yang muslim (tunduk patuh)." (46:15)

Sekian. Terima kasih.

Salam.

 


14 Dis 2008

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman