Respon 2 - Makanan Satu Pendapat

 


From: abumuslim
To: Tuan Pengurus Laman <e_bacaan@yahoo.com>
Sent: Wednesday, December 10, 2008 12:49:20 AM
Subject: Makanan 2.

 

Salamun 'alaikum,

Setelah membaca respon dari sahabat tentang artikel makanan tersebut, maka tidak saya nafikan bahawa kenyataan sahabat mengenai 'benda apa yang tidak dinyatakan tentang keharamannya di dalam Al-Qur'an; maka ianya halal'; kenyataan itu tidak dinafikan.

Namun begitu, sesuatu yang halal itu belum tentunya baik, dan kita diperintah untuk memakan yang halal dan baik;

~2:168. Wahai manusia, makanlah apa yang di bumi, yang halal dan baik,.....

Dalam menyelusuri permasalahan binatang apakah yang baik untuk dimakan, maka Al-Qur'an menerangkan;

~5:1. Wahai orang-orang yang percaya, tepatilah perjanjian kamu. Dihalalkan bagi kamu ialah binatang ternakan,.....

Telah dijelaskan pada artikel yang terdahulu mengenai ciri-ciri binatang ternak tersebut iaitu;

1.     Jinak - boleh ditunggang / boleh didekati tanpa membahayakan nyawa.

2.     Memakan tumbuh-tumbuhan - tidak buas / bukan pemangsa.

3.     beri minuman berupa susu - boleh didekati tanpa membahayakan nyawa untuk mengambil susu.

4.     Boleh dikorbankan / sebagai binatang sembelihan - tidak berpenyakit

5.     Sebagai perhiasan - enak mata memandang

Pada pendapat saya, ini adalah ciri-ciri binatang yang paling baik untuk dimakan. Adakah anjing, buaya, singa, harimau dan haiwan yang bersifat karnivor terdapat ciri-ciri tersebut ?. Buaya sekiranya benar ada yang menternaknya, bukanlah kerana dagingnya tetapi kerana kulitnya yang mempunyai harga yang tinggi dipasaran.

Pada pendapat saya, binatang karnivor ini boleh dimakan, namun perlu diselidiki dahulu dengan mendalam akan kebaikannya. Seperti pepatah Inggeris; 'You are what you eat'. :)

Salam.


Salamun alaikum,

Terima kasih kerana sudi menulis lagi, seperti dijangka. Pendapat sahabat diterima dengan baik. Pun begitu, ia mengundang pendapat kami yang selanjutnya.

Paling menyerlah pada penglihatan kami ialah frasa paling baik. Dari hanya "baik" menurut kata Allah ("halal dan baik" -2:168) kini jadi "paling baik" pulak. Dalam perbandingan tentu ada perbezaan; perbezaan dengan yang hak.

Izinkan kami menyentuh beberapa kenyataan sahabat yang lain, yang kami agak keliru. Kenyataan-kenyataan yang ingin disentuh dahulu adalah seperti berikut:

  1. "Jinak - boleh ditunggang / boleh didekati tanpa membahayakan nyawa." Pada hemat kami, gajah pun boleh dijinakkan, hingga jadi senang didekati tanpa meragut nyawa manusia. Sebaliknya pula, lembu yang diternak, dan jinak, tidak harus disangka tidak membahayakan. Tidakkah terdapat orang yang ditanduk lembu? Atau ditendang kuda dan keledai yang diternak? Bagi kami binatang tetap binatang, yang dijinakkan boleh jadi buas dengan sekelip mata.
     
  2. Contoh haiwan tadi boleh diguna lagi untuk membalas hujah sahabat berbunyi "Memakan tumbuh-tumbuhan - tidak buas / bukan pemangsa." Selain daripada itu, kami pernah terserempak dengan seekor ular, bersifat ular tedung kerana kepala yang mengembang, di tepi hutan, tetapi saiznya jauh lebih besar dan berwarna hijau muda. Apabila ia mendongak melihat kami berempat ketinggiannya kira-kira semeter setengah. Kami difahamkan kemudian haiwan liar/buas itu hanya makan daun sahaja, dan tidak membahayakan. Jika ikut rasional sahabat ia juga boleh dimakan.
     
  3. "Sebagai perhiasan - enak mata memandang." Kami setuju, namun, yang "paling baik" atau secantik-cantik kulit dijadikan perhiasan dan enak mata memandang, menurut mata kami, adalah bukan daripada haiwan ternakan tetapi daripada haiwan liar dan buas.

Disebut juga tentang buaya. Pernahkah dengar sate/satay buaya yang jadi kegemaran sesetengah manusia? Ia mungkin tidak terdengar di kalangan masyarakat Melayu sebab sudah lama dirasuk dengan bisikan kalimat halal, haram, harus, makruh, dua dunia, karnivor dan sebagainya.

Tuhan menyebut haiwan ternakan ditunggang, memakan tumbuh-tumbuhan, jadi perhiasan, keluarkan susu, dan lain, adalah untuk membayangkan kebesaran-Nya atas ciptaan mereka yang mempunyai pelbagai kemanfaatan, pelajaran, dan sampaikan hajat, supaya manusia berterima kasih, bukan sebagai contoh atau kriteria untuk menetapkan daging yang paling baik dimakan. Ayat-ayat Allah akan disenaraikan di bawah ini sebagai bukti atas dakwaan kami:

"Dan binatang ternak, Dia ciptakan untuk kamu; padanya kehangatan, dan pelbagai manfaat, dan daripadanya kamu makan.

Dan terdapat kecantikan padanya bagi kamu, apabila kamu membawanya pulang untuk merehatkan, dan apabila kamu melepaskannya keluar untuk memakan rumput.

Dan mereka angkut beban-beban kamu ke sebuah negeri yang kamu tidak akan sampai padanya, melainkan dengan banyak kesusahan. Sesungguhnya Pemelihara kamu Lembut, Pengasih.

Dan kuda, dan baghal, dan keledai, untuk kamu tunggangi mereka, dan sebagai perhiasan; dan Dia cipta apa yang kamu tidak tahu." (16:5-8)

Petikan ayat-ayat diganggu sebentar untuk bertanya. Bolehkah daging kuda, baghal dan keledai dikategorikan "paling baik" kerana mereka binatang ternak? Mungkin daging ular tadi lebih baik daripada daging mereka. Satu lagi pertanyaan (harap sabar dengan kami kerana suka bertanya). Apa pula yang dicipta-Nya, yang tidak diketahui, tetapi sama dalam kemanfaatannya dengan binatang ternak?

 

Senarai diteruskan dengan memetik tiga kumpulan ayat berikut:

"Dan sesungguhnya pada binatang ternak ada pelajaran bagi kamu; Kami memberi minum kepada kamu daripada apa yang di dalam perut mereka, dan banyak manfaat pada mereka kepada kamu, dan daripadanya kamu makan,

Dan di atasnya, dan di atas kapal, kamu dibawa." (23:21-22)

 

"Tidakkah mereka lihat bagaimana Kami ciptakan untuk mereka daripada apa yang tangan Kami buat, binatang ternak yang mereka miliki?

Kami menundukkannya untuk mereka, dan sebahagiannya mereka tunggang, dan sebahagiannya mereka makan.

kemanfaatan yang lain juga mereka dapati padanya, dan minuman. Apa, tidakkah mereka berterima kasih?" (36:71-73)

 

"Allah yang buatkan untuk kamu binatang ternak, sebahagian mereka untuk ditunggangi, dan daripada sebahagiannya, kamu makan.

kemanfaatan yang lain juga kamu dapati pada mereka; dan supaya kamu mencapai satu hajat yang di dalam dada kamu, dan di atas mereka dan di atas kapal, kamu dibawa." (40:79-80)

Melencong sedikit daripada tajuk untuk menyebut suatu agak lucu, iaitu tentang tabiat makan binatang ternak. Ia disamakan dengan tabiat makan orang-orang tidak percaya. Satu persamaan yang buruk! Ayat yang berkait berbunyi,

"Bagi orang-orang tidak percaya, mereka bergembira dan makan sebagaimana binatang ternak makan;" (47:12).

Tentu ada sebab mengapa Allah menyamakan dengan binatang ternak, tidak dengan singa, misalannya.

 

Kembali kepada tajuk. Kenyataan terakhir sahabat berbunyi "Pada pendapat saya, binatang karnivor ini boleh dimakan, namun perlu diselidiki dahulu dengan mendalam akan kebaikannya. Seperti pepatah Inggeris; 'You are what you eat'. :)"

 

Betul, kami setuju. Selidik dahulu. Haiwan ternakan juga harus diselidik dahulu dengan rapi. Tidakkah sudah berlaku kematian ramai manusia akibat daripada kesihatan mereka, atau daging mereka, yang tidak diselidik sebelum dimakan?

 

Dan pepatahnya 'You are what you eat'. Juga betul, bukan "You are what you don't eat." Hence, if you are a believer, you will eat all those not forbidden (haram) for you. On the contrary, if you don't or doubtful to eat what is not forbidden then your status as a "believer" will be questioned. Firman-Nya,

"Mengapakah dengan kamu, bahawa kamu tidak makan daripada apa yang padanya diingatkan nama Allah, padahal Dia telah jelaskan kepada kamu apa yang Dia haramkan kamu, kecuali kamu terpaksa padanya? Tetapi, sesungguhnya ramai orang menyesatkan dengan keinginan mereka tanpa sebarang pengetahuan; Pemelihara kamu, Dia sangat-sangat tahu orang-orang yang mencabul." (6:119)

Selanjutnya, mungkin tidak keterlaluan kami andaikan frasa halal dan baik (2:168) sama seperti frasa Kitab dan Hikmah (4:54) yang bermaksud satu iaitu Kitab itu Hikmah dan Hikmah itu Kitab. Maka satu juga bagi halal dan baik - halal itu baik dan baik itu halal. Oleh demikian, kami tidak setuju dengan pendapat bahawa pada halal "belum tentunya baik".

 

Abumuslim adalah sahabat kami, dan pendapatnya kami dengar. Antara sahabat selalu berlaku perdebatan mengenai ayat-ayat Allah. Namun debat seperti ini kami tidak begitu gemar kerana takut akan akibatnya, disebut di dalam firman Allah berbunyi,

"Dan orang-orang yang berdebat mengenai Allah setelah sahutan dibuat kepada-Nya, perdebatan mereka tidak sah di sisi Pemelihara mereka; kepada mereka kemurkaan, dan bagi mereka, azab yang keras." (42:16)

Sahutan "Kami percaya" dan/atau "Kami dengar dan kami taat" sudah dibuat kepada-Nya. Termasuk petunjuk halal dan haram-Nya. Mengapa pula harus berdebat lagi dengan hujah "paling baik" atau "belum tentunya baik" - atau "karnivor" sambil meyakini kalimat-kalimat-Nya sudah cukup sempurna?

 

Sampai di sini sahaja. Kami tutup dengan satu ketegasan. Buah fikiran di sini dilahirkan dengan ikhlas, bertujuan hanya untuk mencari kebenaran, bukan untuk menyinggung perasaan sesiapa. Dan ia harus ditolak jika tidak berkenan dengannya.

 

Salam.
 

 

11 Dis 2008

 

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman