Makanan - Satu pendapat
From: abumuslim
To: e_bacaan@yahoo.com
Sent: Saturday, July 26, 2008 8:41:38 PM
Subject: Makanan - Satu pendapatSalamun 'alaikum...
Apa khabar saudara ?. Semoga berada dalam keadaan sejahtera hendaknya. :)
Setelah membaca hampir kesemua artikel di laman web saudara, saya dapati tidak ada yang menyentuh mengenai makanan(maaf kalau saya silap). Lalu saya berasa nak berkongsi pendapat juga. Saya ingin berkongsi pengetahuan mengenai makanan yang saya ambil dari ayat-ayat Al-Qur'an melalui terjemahan Bacaan.
Pesanan dari Allah Yang Pemurah, Yang Pengasih,
80:24. Hendaklah manusia renungkan makanannya.
Makanan yang bagaimanakah yang sesuai untuk dimakan oleh manusia ?.
Di dalam Al-Qur'an dijelaskan tentang makanan yang sesuai dimakan, iaitu pada ayat-ayat berikut;
2:168. Wahai manusia, makanlah apa yang di bumi, yang halal dan baik, ......
2:172. Wahai orang-orang yang percaya, makanlah benda-benda yang baik ......
5:88. Makanlah daripada apa yang Allah rezekikan kamu, yang halal dan baik;.....
16:114. Maka makanlah daripada apa yang Allah rezekikan kamu, yang halal, yang baik;.....
20:81. "Makanlah benda-benda yang baik .....''
23:51. "Wahai Rasul-Rasul, makanlah benda-benda yang baik,.....
Makanan yang sesuai untuk dimakan ialah benda yang halal dan baik. Makanan yang baik ialah yang tidak mudaratkan kesihatan kita, bersih dan semestinya di dalam lingkungan halal. Ini kerana makanan yang baik belum tentu ianya halal dan begitulah sebaliknya.
Mari kita lihat dahulu benda-benda yang haram dimakan kerana ia akan mempengaruhi benda-benda yang halal;
2:173. Hanyalah benda-benda ini yang Dia haramkan kamu: bangkai, dan darah, dan daging babi, dan apa-apa yang disucikan kepada selain Allah .....
5:3. Diharamkan kepada kamu ialah bangkai, dan darah, dan daging babi, dan apa-apa yang disucikan kepada selain daripada Allah .....
6:145. Katakanlah, "Aku tidak dapati, dalam apa yang diwahyukan kepadaku, tiada yang diharamkan untuk dimakan kepada orang yang makan daripada itu, kecuali ia bangkai, atau darah yang tercurah, atau daging babi - itu adalah kotoran - atau kefasiqan yang disucikan kepada selain daripada Allah ..... ''
16:115. Hanya benda-benda ini yang Dia haramkan kamu: bangkai, dan darah, dan daging babi, dan apa yang disucikan kepada selain Allah .....
Berdasarkan pada ayat-ayat di atas, maka kita mengetahui bahawa ada empat benda yang haram dimakan oleh manusia iaitu bangkai, darah, daging babi dan apa-apa yang disucikan kepada selain daripada Allah.
Terdapat juga satu ayat yang menerangkan tentang binatang yang haram dimakan kerana situasi kematiannya, iaitu pada ayat yang berikut;
5:3. Diharamkan kepada kamu ialah bangkai, dan darah, dan daging babi, dan apa-apa yang disucikan kepada selain daripada Allah, dan yang dicekik, dan yang dipukul, dan binatang yang jatuh lalu mati, dan binatang yang ditanduk, dan apa yang dimakan binatang buas, kecuali kamu korbankannya dengan patut, dan apa yang dikorbankan untuk berhala, dan membahagi dengan ramalan anak-anak panah; itu ialah kefasiqan.
Maka Al-Qur'an dengan jelas telah menerangkan benda-benda yang haram dimakan. Persoalannya sekarang adakah benda-benda yang tidak disebut selain dari apa yang telah disebut itu, halal dan boleh dimakan ?
Adakah haiwan seperti harimau, singa, anjing, kucing, buaya dll. boleh dimakan ?.
Al-Qur'an menerangkan;
5:1. Wahai orang-orang yang percaya, tepatilah perjanjian kamu. Dihalalkan bagi kamu ialah binatang ternakan, .....
6:142. Dan daripada binatang ternak, untuk pengangkutan dan untuk disembelih, makanlah daripada apa yang Allah rezekikan kamu .....
16:5. Dan binatang ternak, Dia ciptakan untuk kamu; padanya kehangatan, dan pelbagai manfaat, dan daripadanya kamu makan.
22:30. ..... Dan dihalalkan bagi kamu adalah binatang ternak .....
23:21. .....binatang ternak .....daripadanya kamu makan
36:71. Tidakkah mereka lihat bagaimana Kami ciptakan untuk mereka daripada apa yang tangan Kami buat, binatang ternak yang mereka miliki?
36:72. Kami tundukkannya untuk mereka, dan sebahagiannya mereka tunggang, dan sebahagiannya mereka makan.
40:79. Allah yang buatkan untuk kamu binatang ternak, sebahagian mereka untuk ditunggangi, dan daripada sebahagiannya, kamu makan.
Antara ciri-ciri binatang ternak ini ialah mereka memakan tumbuhan;
10:24. Persamaan kehidupan dunia ini adalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, dan tumbuhan bumi bercampur dengannya, daripadanya manusia dan binatang ternak makan,.......
16:10. Dia yang turunkan kepada kamu dari langit, air, untuk kamu minum daripadanya, dan daripadanya pokok-pokok, untuk kamu biarkan ternakan kamu makan.
20:53. ..... Kami keluarkan bermacam-macam jenis tumbuhan.
20:54. Makanlah kamu, dan biarkanlah binatang ternak kamu makan!
32:27. .....dan keluarkan tanaman dengannya, yang binatang ternak mereka dan diri-diri mereka sendiri makan?
Binatang ternak ini sifatnya jinak, dan kerana itu boleh pula dijadikan tunggangan;
36:72. Kami tundukkannya untuk mereka(jinak), dan sebahagiannya mereka tunggang.......
40:79. Allah yang buatkan untuk kamu binatang ternak, sebahagian mereka untuk ditunggangi.......
6:142. Dan daripada binatang ternak, untuk pengangkutan dan untuk disembelih, .....
Binatang ternak ini sifatnya lemah berbanding haiwan buas; kerana itu ia diburu;
5:1. Wahai orang-orang yang percaya, tepatilah perjanjian kamu. Dihalalkan bagi kamu ialah binatang ternakan, kecuali apa yang dibacakan kepada kamu, supaya kamu tidak anggap binatang buruan dibolehkan untuk diburu sedang kamu dalam haram (ihram). Sesungguhnya Allah tetapkan hukum apa sahaja Dia hendaki.
5:95. Wahai orang-orang yang percaya, jangan bunuh binatang buruan sedang kamu dalam haram (ihram) .....
Ada pelbagai manfaat pada binatang ternak ini selain jadi makanan dan kenderaan tunggangan;
Sebagai perhiasan;
16:8. Dan kuda, dan baghal, dan keledai, untuk kamu tunggangi mereka, dan sebagai perhiasan; dan Dia cipta apa yang kamu tidak tahu.
beri minuman berupa susu;
16:66. Dan sesungguhnya pada binatang ternak ada pelajaran bagi kamu; Kami memberi minum kepada kamu daripada apa yang di dalam perut mereka, antara kotoran dan darah, susu yang tulen, enak bagi peminum-peminum.
23:21. Dan sesungguhnya pada binatang ternak ada pelajaran bagi kamu; Kami memberi minum kepada kamu daripada apa yang di dalam perut mereka, ......
Sebagai tempat berteduh dan perkakas rumah daripada kulit dan rambut mereka;
16:80. Dan Allah buatkan satu tempat rehat bagi kamu daripada rumah-rumah kamu, dan buatkan untuk kamu, daripada kulit-kulit binatang ternak, rumah-rumah, yang kamu dapati ringan pada hari perjalanan kamu dan pada hari kamu menetap, dan daripada bulu-bulu mereka (biri-biri), dan bulu-bulu mereka (unta atau kambing), dan daripada rambut mereka, perkakas rumah tangga dan kesenangan untuk satu waktu.
Binatang ternak ini mempunyai pelbagai rupa dan warna(bermacam jenis), sama seperti manusia dan haiwan;
35:28. Antara manusia juga, dan haiwan, dan binatang ternak, bermacam-macam warnanya.
Mari kita renungkan, pernahkah kita mendengar orang menternak singa, harimau, anjing, kucing, serigala, buaya, monyet, ular dll. ?
Binatang yang boleh dimakan mestilah termasuk dalam kategori-kategori ini(mengikut pendapat saya);
- Yang boleh diternak
- Yang memakan tumbuh-tumbuhan
- Yang jinak(bukan haiwan buas)
- Yang diburu bukan yang memburu(seperti haiwan buas;cth : singa,harimau)
Bagaimana pula dengan binatang di dalam air(sungai dan laut) ?.
5:96. Dihalalkan bagi kamu adalah binatang buruan laut, dan makanan daripadanya, sebagai suatu peruntukan bagi kamu, dan bagi pengembara-pengembara......(sewaktu ihram)
16:14. Dia yang tundukkan untuk kamu laut, supaya kamu makan daripadanya daging yang segar, .....
35:12. Tidaklah sama antara dua laut; yang ini(sungai) enak, rasanya menggembirakan(tawar), lazat untuk diminum, dan yang ini masin(laut), pahit. Namun begitu, daripada kedua-duanya, kamu makan daging yang segar, .....
Terdapat juga penjelasan dari Al-Qur'an mengenai makanan yang diharamkan khas untuk kaum Yahudi iaitu,
6:146. Dan ke atas orang-orang Yahudi, Kami haramkan segala haiwan yang berkuku, dan daripada lembu dan kambing, Kami haramkan mereka lemak mereka, kecuali apa yang punggung-punggung mereka bawa, atau ususnya, atau apa yang bercampur dengan tulangnya; bahawa Kami balas mereka kerana keangkuhan mereka; sesungguhnya Kami berkata benar.
Kesemua makanan yang kita makan kecuali yang telah dinyatakan tentang keharamannya, haruslah diteliti kebaikannya. Sebagai contoh cendawan, ianya boleh dimakan, tetapi jika kita tidak teliti kemungkinan besar cendawan itu mengandungi racun yang boleh membahayakan nyawa kita . Dan ikan buntal, ianya mempunyai racun, yang jika kita tersilap sediakannya boleh membahayakan nyawa. Ini adalah antara contoh-contoh makanan yang halal ataupun baik dari segi zahirnya tetapi mengandungi bahaya.
Contoh yang lain yang boleh diberi ialah mee goreng. Jika ditinggalkan 2-3 hari lamanya, maka ianya akan basi dan boleh mudaratkan kesihatan walaupun pada awalnya ianya halal( tambahan dari isteri saya - :) )
Oleh itu kita haruslah teliti tentang kebaikan sesuatu jenis makanan itu sebelum memakannya sepertimana yang telah diperintah kepada kita oleh Yang Esa,
80:24. Hendaklah manusia renungkan makanannya.
Salam, semoga berada dalam keadaan sejahtera sentiasa, insya'Allah !!! :)
Salamun alaikum,
Terima kasih kerana sudi menulis dan kemukakan satu pendapat atas perkara yang wajib direnungkan. Maaf kerana menyimpannya kian lama (empat bulan!!!!).
Apa pula pendapat para pembaca?
27.11.08
Halaman Utama
Terkini Perpustakaan
Artikel Bacaan
E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
Senarai Penulis English
Articles
Tulis kepada Pengurus
Laman